Membina Keluarga Sakinah

Posted: Monday, May 24, 2010 by WZWY in Labels:
0

Pada 21 Mei 2010 yang lepas berkesempatan bersama-sama isteri dan anak-anak ke Majlis Diskusi Perdana bertempat di Perkarangan Masjid At-Taqwa, Desa Subang Permai, Shah Alam. 

Tajuk Membina Keluarga Sakinah amat bersesuaian dengan situasi yang dihadapi oleh masyarakat dewasa ini. Moderator diskusi ialah Ustaz Roslan Mohamed dan ahli panel jemputan pula seorang penceramah dan penulis buku tersohor, Dr. Danial Zainal Abidin.

Di bawah ini saya memetik beberapa persoalan yang boleh dijadikan panduan bersama, Insya-Allah.

1- Apakah maksud Keluarga Sakinah ?

Keluarga Sakinah perlu dijadikan suatu cita-cita oleh semua umat Islam. Asas sebuah ummah yang kuat adalah lahir daripada rumahtangga yang kuat berpegang dengan agama Islam. Sakinah bermaksud ketenangan. Kita boleh rujuk di dalam Surah Al-Furqan, ayat 74.

Dan orang orang yang berkata: "Ya Tuhan kami, anugerahkanlah kepada kami isteri-isteri kami dan keturunan kami sebagai penyenang hati (kami), dan jadikanlah kami imam bagi orang-orang yang bertakwa."

Kata sahabat Ibnu Alias, Keluarga Sakinah ialah di dalam sesebuah keluarga itu mereka patuh kepada perintah Allah.
Oleh itu, Keluarga Sakinah adalah keluarga yang dilahirkan ketenangan dan kedamaian.

2- Di mana asas ketenangan sesebuah keluarga?

Asas ketenangan sesebuah keluarga itu berbalik kepada insan itu sendiri iaitu si ayah dan si ibu tersebut sebelum mereka berkahwin. Oleh itu, kemantapan agama seseorang itu amatlah penting untuk mewujudkan sesebuah keluarga yang tenang dan terteram jiwa.

3- Di mana keberkatan sesebuah rumah tangga?

Jika kita membeli sesebuah kereta atau apa jua barangan akan dibekalkan sebuah manual sebagai panduan kita. Oleh itu, Allah juga telah bekalkan kita sebuah manual yang hebat untuk dijadikan panduan sehingga hari kiamat. Jika sebuah kereta mempunyai sebuah manual, apatah lagi manusia yang beroperasi di muka bumi ini sudah tentu mempunyai manualnya.
Oleh itu, kita perlu rujuk manual yang telah dibekalkan kepada kita iaitu Al-Quran.

Keluarga Sakinah bukanlah sebuah keluarga yang tiada masalah, tetapi mereka dapat menghadapi setiap permasalahan itu dengan penuh keimanan dan ketaqwaan kepada Allah s.w.t.

4- Bagaimana seseorang bapa atau ibu yang sedang hadapi permasalahan di dalam keluarga mereka sekarang. Adakah masih ada jalan penyelesaian?

Dr Danial menceritakan pengalaman beliau sendiri menghadapi sepasang suami isteri yang berpengaruh dan dilimpahi kemewahan tetapi kekurangan aspek agama. Anak-anak mereka lalai dengan kemewahan dunia dan tidak hormati mereka sebagai ibu bapa. Oleh itu, beliau meminta mereka melakukan langkah pertama dengan bertaubat dan mengakui kesilapan. Jumpa anak-anak dan akui kesilapan mereka di dalam memberi didikan agama. Alhamdulillah, selepas itu anak-anak mereka pun maafkan mereka dan sama-sama ke masjid untuk solat berjemaah yang tidak pernah mereka lakukannya sebelum ini.

Ibu bapa perlu beri contoh yang baik kepada anak-anak. Al Quran bukan setakat dibaca tetapi dikaji.

5- Kenapa ibu bapa masa kini tidak boleh dijadikan contoh kepada anak-anak?

Kita perlu lihat bagaimana tahap pendidikan agama mereka sebelum berkahwin. Perumpaannya ialah sesebuah perkahwinan itu diibaratkan sebuah kapal. Jika pada mulanya lagi kapal itu sudah bocor kerana kekurangan amalan agama di dalamnya. Bagaimana dengan kapal tersebut ingin terus berlayar? Lama kelamaan kapal tersebut semakin luas bocornya dan akhirnya tenggelam. Maka sebab itu sesebuah perkahwinan itu banyak berakhir dengan penceraian.

Oleh itu amat penting ibu bapa atau pasangan suami isteri cuba perbaiki diri dari semasa ke semasa terutama berkaitan ilmu agama.

6- Apakah kecemerlangan yang sebenarnya yang perlu dicari?

Surah Al-Baqarah ayat 201 bermaksud "Dan di antara mereka ada orang yang bendoa: "Ya Tuhan kami, berilah kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat dan peliharalah kami dari siksa neraka."

Oleh itu, kecemerlangan yang dicari dan dikejar oleh kita ialah kejayaan di dunia dan di akhirat. Kita perlu ubah pemikiran jika hanya mahu berjaya di dunia semata-mata. Anak-anak perlu cemerlang di dalam IQ, EQ dan juga SQ.Jika berjaya di dalam peperiksaan sahaja, maka hanya IQ sahaja cemerlang. Oleh itu, perlu ada kesimbangan di dalam semua aspek kehidupan terutama berkaitan hubungan dengan Allah s.w.t.

Ujar Ustaz Roslan pula ialah hubungan ibu bapa tidak mantap dengan Allah s.w.t menyebabkan anak-anak juga tidak menjaga hubungan mereka dengan Allah  s.w.t. Kebanyakan daripada kita meletakkan keutamaan tidak pada tempatnya. Contoh, kita akan memaksa anak tepat waktu menghadiri kelas tuisyen tetapi anak-anak diberi kelonggaran jika terlewat atau tertinggal waktu solat.

7- Apakah ciri-ciri segera Keluarga Sakinah?

Satu perkara sahaja yang perlu ada di dalam sesebuah keluarga atau terapkan ke dalam diri anak-anak iaitu INGATKAN ALLAH. Di mana jua berada di muka bumi, sentiasa ingatkan Allah s.w.t pada setiap masa. Insya-Allah mereka akan terhindar daripada melakukan sesuatu yang menyalahi batas-batas yang ditetapkan oleh Islam.

8- Apakah kesan terhadap sesebuah keluarga jika punca rezeki keluarga tersebut daripada sumber yang haram?

Di dalam kita Ihya' Ulumuddin, Iman Al-Ghazali menceritakan tentang kerisauan isteri tentang rezeki yang haram dicari oleh para suami berbanding kesenangan hidup di dunia semata-mata. Mereka sanggup hidup di dalam kederhanaan daripada hidup senang dengan punca rezeki yang diragui.

Akibat sumber rezeki haram juga menyebabkan doa seseorang itu ditolak oleh Allah s.w.t. Selain itu kita perlu ingat balasan api neraka bagi orang yang mencari rezeki daripada sumber yang haram.

Dr. Danial juga menegur sikap sesetengah ibu bapa yang mengamalkan slogan JANGAN tapi BOLEH. Contohnya, seorang ayah melarang anak menghisap rokok tetapi dia sendiri tanpa segan silu merokok di depan anak-anak. Anak-anak JANGAN hisap rokok tapi si ayah BOLEH pula.

Kesimpulannya, masyarakat kita perlu sama-sama berubah dan bercita-cita ke arah menjadi Keluarga Sakinah. Perbetulkan semua perkara yang salah dan kembali kepada ajaran Allah s.w.t yang sebenar-benarnya. Dengan kata lain, kembali kepada MANUAL kehidupan kita iaitu kitab suci Al-Quran. Baca dan kaji MANUAL tersebut. Semoga kita mendapat kerahmatan dan keredhaan-Nya.


Bengkel Penulisan bersama Puan Maria Kajiwa

Posted: Sunday, May 9, 2010 by WZWY in Labels:
3

"Penulis jangan buat kesilapan, berikan yang terbaik semasa menulis  sesebuah novel."

"Mungkin pembaca akan membaca novel kita yang ketiga sebagai novel pertama mereka. Oleh itu, jangan anggap kita mahu menulis novel kedua lebih baik daripada novel pertama atau novel kelima lebih baik berbanding novel kedua."

Di antara petikan nasihat Puan Maria Kajiwa (MK) semasa saya hadiri Bengkel Penulisan Novel bersama beliau pada 9 Mei 2010 yang bertempat di Bilik Mawar, IYC Cheras,Kuala Lumpur. Bengkel yang bermula pukul 9.40 pagi hingga pukul 5.00 petang ini sarat dengan pelbagai informasi ilmu penulisan novel. 

"Terima kasih cikgu kerana ajak saya menyertai bengkel ini," beritahu Tuan Zakaria Sungib semasa perjalanan pulang.

Sememangnya perkongsian pengalaman dan tips penulisan yang disampaikan oleh Puan MK cukup berkesan. Kami didedahkan tentang pemilihan sub-genre sesuai dan proses pengembangan idea.

Selain itu juga beliau telah berkongsi pengalaman tentang bagaimana menulis:

a) Babak
b) Dialog
c) Naratif Mode
d) Ayat Transisi
e) Monolog
f)  Prolog
g) Page-turner
h) Story Question
10) Unsur Suspen
11) Proses draf
12) Sinopsis
13) Apa itu 'Readers Contract'.

Di antara nasihat Puan MK yang lain ialah :

a) Cari kelainan di dalam menulis sesebuah novel.
b) Penulis perlu baca hasil karya daripada sudut pandangan pembaca.
c) Tulis mengikut jadual dan hantar pada masa yang ditetapkan.
d) Elakkan pengulangan babak.
e) Kekuatan watak bergantung sejauh mana pembaca mengenali watak tersebut.
f) Jangan lupa membuat kajian atau rujukan.

Banyak lagi perkongsian beliau dan semoga saya serta peserta lain dapat aplikasikannya di dalam penulisan kami. Terima kasih daun keladi Puan Maria Kajiwa. Semoga puan sentiasa dirahmati-Nya.

Kenapa mereka boleh berjaya?

Posted: Saturday, May 8, 2010 by WZWY in Labels:
4

Kata seorang sahabat. " Kenapa sampai usia sekarang saya masih lagi ditakuk lama?"

"Kenapa Si A boleh berjaya sekarang?"

"Macam mana Si B boleh buka syarikat besar?"

"Rasanya aku sudah berusaha tapi masih lagi tidak berjaya."

"Macam mana kau boleh menjadi penulis sekarang?"

Pelbagai persoalan berlegar dan diajukan. Apakah jawapan terbaik yang perlu saya berikan dan boleh memuaskan hati seorang sahabat.
Setiap daripada kita sudah dijanjikan oleh Allah s.w.t berkaitan soal rezeki.

Dalam sebuah hadis qudsi, Allah berkata," Wahai anak Adam, Aku ciptakan kamu maka kamu jangan bermain-main dan Aku jamin rezekimu maka kamu jangan merasa letih. Wahai anak Adam, carilah Aku, maka engkau akan menemukan-Ku. Apabila engkau menemukan Aku, engkau mendapat sesuatu dan Aku mencintaimu lebih dari segalanya."

Ia cukup cantik dan jelas kepada kita. Betapa besarnya kasih sayang Allah terhadap hamba-hamba-Nya. Allah menyuruh kita mencari rezeki yang ada di muka bumi ini tanpa henti kerana Allah sudah menyediakan rezeki tersebut.Mengapa kita masih ragu-ragu lagi tentang rezeki Allah? Cita-cita mahu kaya? Ia tidak salah selagi kita berusaha tanpa jemu.

Saya juga masih  berusaha untuk menggapai cita-cita menjadi salah seorang penulis berjaya. Ia bukan mudah dan ia tidak boleh dipandang enteng. Banyak perkara yang perlu dilakukan. Ia tidaklah pelik kerana semua orang berjaya melakukan perkara yang sama.

Kita tidak boleh berprasangka buruk kepada Allah, terutama dalam soal rezeki. Menetapkan visi hendak berjaya atau mahu kaya adalah prasangka baik kepada Allah. Insya-Allah, Allah meredhai cita-cita kita apabila kita mendekatkan diri kepada-Nya.

Apa yang boleh saya kongsi dengan sahabat tersebut ialah :

1- Hakikat rezeki yang saya pelajari dan baca adalah terbahagi kepada tiga kategori :

a- Rezeki madmun iaitu rezeki yang dijamin. Ia adalah rezeki yang menjadi pokok untuk keperluan hidup, badan, dan badan tidak akan kekal ada kalau rezeki itu tidak ada ( seperti makan, minum dan udara yang dihirup untuk hidup). Inilah yang wajib bertawakal kepada Allah kerana Allah telah menjamin bagi tiap-tiap manusia, dengan mafhum firmannya dalam surah Hud ayat 6 :

" Tiada yang berjalan di atas muka bumi melainkan rezekinya atas Allah."

b- Rezeki maqsum iaitu rezeki yang dibahagikan. Ia adalah rezeki yang dibahagikan oleh Allah dan ditentukan qadarnya di Luh Mahfuz daripada makanan, minuman dan pakaian.

c- Rezeki mau'ud iaitu rezeki yang dijanjikan. Ia adalah rezeki yang dijanjikan Allah dengan syarat taqwa, halal lagi senang mendapatkannya. Allah menjelaskan di dalam surah Ibrahim ayat 7 yang bermaksud, " Apabila kamu bersyukur, pasti Aku menambah nikmat kepadamu, tetapi apabila kamu mengingkari nikmat-Ku sesungguhnya azab-Ku sangat berat."

2- Kunci pertama untuk menjadi salah seorang yang berjaya ialah disiplin diri. Oleh itu, kita perlu mengoptimumkan potensi diri dan meningkatkan disiplin. Jika tidak, kita akan terus berada ditahap sama dan tidak berubah-ubah.

3- Berani bercita-cita, berani berubah dan berani menilai diri sendiri. Seseorang yang berjaya bukanlah suatu kebetulan tetapi dia telah melalui beberapa proses untuk berjaya. Dalam konteks dunia penulisan pula. Saya perlu berjumpa orang terlibat dalam dunia penulisan, membaca, menyertai bengkel penulisan dan menulis.

4- Di antara sifat yang wajib ada di dalam diri seseorang yang mahu berjaya ialah kegigihan, ketabahan dan pantang menyerah kalah. Saya masih ingat lagi apabila 'proposal' pertama saya hantar ke meja editor perlu diubah hampir 70%.Jika saya terus berkeras atau menyerah kalah, maka sampai sekarang tiada satu karya pun terhasil dan saya pun tidak lagi berkecimpung di dalam dunia penulisan ini.

5- Keazaman Membara. Ini adalah kekuatan saya selama ini. Lima proses Keazaman Membara yang saya pelajari daripada tulisan Dr. Asrul Zamani. Lima proses tersebut saya sebutkan secara ringkas pada entri kali ini. Insya-Allah pada entri akan datang saya akan perincikan apakah proses-proses tersebut.

Proses mencipta keazaman membara itu ialah :

1- Menetapkan matlamat.
2- Menghasilkan keazaman membara.
3- Perancangan.
4- Bertindak.
5- Peliharalah keazaman membara anda agar ia kekal hidup.

6- Dua buah buku lagi yang menjadi panduan saya sebelum ini ialah Law of Attraction dan Quranic Law of Attraction. Ia juga banyak membantu dari segi kekuatan dalaman untuk terus berusaha dan menjadikan impian suatu realiti.

Wallahualam, ia sekadar suatu perkongsian ilmu daripada seorang yang masih berusaha keras untuk mendaki puncak kejayaan.Ingatilah Allah dan dekatilah Allah. Semoga segala usaha kita diberkati. Insya-Allah.