BERTUGAS DI HUJUNG MINGGU

Posted: Friday, June 29, 2012 by WZWY in Labels:
0

Walaupun bukan memaksa tetapi saya masih YAKIN bahawa ada seseorang atau beberapa orang yang mahu membantu atau dengan kata lain diberi ruang lapang oleh Allah SWT untuk membantu setiap kebaikan yang kita lakukan.

Program Bengkel Keluarga Saa'dah

Di atas keyakinan itu semasa Taklimat Program Bengkel Keluarga Saa'dah untuk anak-anak asnaf yang bakal dilaksanakan pada 1 Julai 2012 semalam ( 28 Jun 2012 ), saya memberi peluang kepada guru-guru untuk menerima atau menolak tugasan yang diamanahkan kepada mereka. Mungkin sesetengah individu merasakan kaedah 'beri ruang dan peluang' ini akan memungkinkan acara yang bakal diadakan itu terencat atau gagal dilaksanakan. Saya terima pandangan demikian. Ada benarnya.

Kebetulan program ini pihak sekolah sudah amanahkan kepada sebuah konsultan, maka keringat guru yang diperlukan adalah minima. Apa yang saya mahu ialah berkongsi ILMU dengan para guru berkaitan program berkenaan. Di antara slot menarik ialah IBU BAPA SUPER, sebagaimana modul yang dibekalkan oleh penaja program ini iaitu Lembaga Zakat Selangor. Para guru yang hadir dapat sama-sama mengikuti modul berkenaan dan dijadikan panduan dan diaplikasikan dalam kehidupan seharian sebagai ibu bapa dan pendidik.

Mendoakan Orang Lain

Nasihat sahabat saya, "Mendoakan orang lain juga merupakan satu kaedah menjemput rezeki dan memberikan kebaikan yang tidak dijangka oleh kita." Sebagai pentadbir di sekolah, nasihat untuk diri saya dan juga rakan-rakan pentadbir agar sentiasa mendoakan kesihatan, kesejahteraan, keselamatan dan kemudahan untuk semua guru dan kakitangan sokongan. Secara tidak langsung, Insya-Allah doa kita dapat mewujudkan satu hubungan erat dengan mereka. Dan selain itu, setiap perkara yang kita laksanakan itu sentiasa dipermudahkan oleh-Nya. Secara mudahnya, apabila guru-guru dan kakitangan hidup dengan sejahtera, segala aktiviti dan tugasan rasmi mereka dapat dilaksanakan dengan cemerlang. Insya-Allah.

Lihat Dengan Kaca Mata Positif

Namun begitu, saya tidak boleh memandang negatif kepada guru-guru yang tidak dapat membantu menjayakan setiap program di hujung minggu ini. Masing-masing sudah mempunyai jadual dan urusan yang harus dilunaskan. Mereka juga mahu membantu tetapi kebetulan ada urusan keluarga yang perlu diuruskan juga. Walaupun begitu, jika tugasan itu dikategorikan WAJIB hadir dan arahan dari pihak kementerian pelajaran, maka pihak pentadbir juga harus bertegas kerana ia melibatkan tugas rasmi. 

Berkat Dan Pahala

Bila kita menyentuh soal KEBERKATAN dan PAHALA, ia bukan sesuatu yang mudah. Kebetulan malam semalam saya mengikuti kuliah tafsir yang disampaikan oleh Ustaz Abdullah Lutfi di Surau Alam Suria, Seksyen U10. Beliau memberitahu bukan mudah untuk meyakinkan orang tentang balasan akhirat kerana ia sesuatu yang ghaib dan belum berlaku lagi. Sebagai contoh tentang kepentingan solat berjemaah di masjid. Walaupun masing-masing sudah membaca hadis sahih berkaitan gandaan pahala dan digambarkan bahawa manusia sanggup merangkak ke masjid untuk tunaikan solat berjemaah, tetapi masih ramai yang mengabaikannya. Ini soal iman dan keyakinan. Jika seseorang itu yakin bahawa sedekah, amal jariah, ikhlas dan sebagainya itu bakal menerima imbuhan besar daripada Allah SWT, maka masing-masing berlumba-lumba untuk melakukan kebaikan.

Komitmen Yang Jitu

Alhamdulillah, bersyukur kepada Allah SWT kerana usaha pihak pengurusan Hal Ehwal Murid kali ini masih mendapat sokongan dan bantuan guru-guru yang sanggup menerima amanah pada hari tersebut. Kalau dikira hukum matematik, jika seorang berikan jawapan "TIDAK", maka pasti yang lain akan berikan jawapan yang sama. Bagi saya, ia kiraan yang "SALAH" kerana kita masih ada ALLAH. Dia akan membantu setiap usaha baik yang kita kerjakan. Berdoa pada-Nya. Dan hasilnya masih ramai guru-guru yang mahu beri komitmen apabila diperlukan. Jazakallahu khair.

Semoga Program Bengkel Keluarga Saa'dah berjalan dengan baik dengan izin-Nya.

HAKIKATNYA KEJAR DUNIA

Posted: Sunday, June 24, 2012 by WZWY in Labels:
0

24 Jun 2012

Dengan izin Allah SWT, saya berkesempatan menghadiri Kuliah Dhuha yang diadakan di Surau Al-Hidayah, Perdana Height. Terima kasih kepada Tuan Haji Abd. Aziz yang memaklumkan pada saya semalam.

Kuliah Dhuha disampaikan oleh seorang tokoh pendakwah bebas, Al-Fadhil Ustaz Abdullah Lutfi. Sejujurnya inilah kali pertama saya bersua dan mendengar kuliah beliau. Ternyata kuliah Ilmu Tafsir Al-Quran yang disampaikan oleh Yang Berbahagia ustaz menarik minat saya dan jemaah lain. Kebetulan pagi ini pula, beliau memulakan tajuk baharu iaitu tafsir surah Al-Mukminun. Mukadimah sahaja memakan masa yang agak lama kerana beliau memperincikan setiap perkara yang disampaikan. Baharu dua ayat, waktu terus pantas berjalan dan terpaksa dihentikan apabila jarum jam sudah menunjukkan pukul 10.30 pagi.

Siapa mahu dunia, dia akan dapat dunia

Apa yang mahu saya kongsikan di sini sebagaimana yang disampaikan oleh Yang Berbahagia Ustaz Abdullah ialah manusia diberi pilihan sama ada untuk mengejar kebahagiaan di dunia atau di akhirat.

Kalau dilihat senario semasa, kebanyakan manusia lebih tumpukan kehidupan di dunia. Keluar kerja diawal pagi dan pulang pada lewat petang. Dan begitulah rutin harian hingga tiada masa untuk mengunjungi rumah-rumah Allah SWT yang berdekatan. Walaupun jarak 100 meter sekali pun, jika hati katakan TIDAK, maka amat berat sekali kedua-dua belah kaki untuk memasuki perkarangan surau atau masjid.

Beliau meminta ahli jemaah membuka kitab tafsir masing-masing dan membaca serta memahami ayat-ayat berikut :

1) Surah Hud, ayat 15 : " Barang siapa mengkehendaki kehidupan dunia dan perhiasannya, pasti Kami berikan (balasan) penuh atas pekerjaan mereka di dunia (dengan sempurna) dan mereka di dunia tidak akan dirugikan."

2) Surah Hud, ayat 16 : "Itulah orang-orang yang tidak memperoleh, (sesuatu) di akhirat kecuali neraka, dan sia-sialah di sana apa yang telah mereka usahakan (di dunia) dan terhapuslah apa yang telah mereka kerjakan."

3) Surah Al-Isra', ayat 18 : "Barang siapa mengkehendaki kehidupan sekarang (duniawi), maka Kami segerakan baginya di (dunia) ini apa yang Kami kehendaki bagi orang yang Kami kehendaki. Kemudian Kami sediakan baginya di (akhirat) Neraka Jahanam; dia akan memasukinya dalam keadaan tercela dan terusir."

4) Surah Asy-Syura, ayat 20 : "Barang siapa mengkehendaki keuntungan di akhirat akan Kami tambahkan keuntungan itu baginya, dan barang siapa mengkehendaki keuntungan di dunia Kami berikan kepadanya sebahagian darinya (keuntungan dunia), tetapi dia tidak akan dapat bahagian di akhirat."

Insya-Allah jadual pengajian Yang Berbahagia Ustaz Abdullah Lutfi selepas ini akan diadakan di Masjid As-Syarif, Pekan Meru (26 Jun 2012) dan Surau Alam Suria (28 Jun 2012). Beliau juga menawarkan kepada saya menulis buku berkaitan apa-apa yang diajarnya sebelum ini kerana beliau maklumkan banyak projek penulisannya terhenti di pertengahan jalan. Insya-Allah, diberikan kemudahan oleh-Nya.

PENGALAMAN BERHARGA

Posted: Friday, June 22, 2012 by WZWY in Labels:
0

"Seronok betul berniaga hujung minggu lepas ketika program TV Al-Hijrah di Masjid Negeri Shah Alam," kata seorang makcik kebetulan gerainya bersebelahan dengan meja jualan saya tempoh hari.

"Kenapa?"

"Tiga hari berniaga bakul-bakul ni, makcik dapat RM5000," beritahu makcik itu dengan penuh semangat di sebelah timbunan baku-bakul anyaman yang cukup menarik.

Saya cuma mampu diam sahaja. Jumlah itu melebihi gaji bulanan saya sebagai seorang guru yang sudah bekerja hampir 17 tahun.

Hebat!

Begitulah hebatnya rezeki seorang peniaga. Boleh memperoleh keuntungan besar dalam jangka masa singkat sahaja. Walaupun begitu, ia bukanlah sentiasa begitu. Sekurang-kurangnya acara besar yang disertai itu dapat menampung pendapatan pada hari lain yang mungkin berkurangan.

Pada 20 Jun yang lalu, saya mencuba sesuatu yang belum pernah dilakukan sebelum ini. Promosi dan jual sendiri buku di khalayak ramai. Kebetulan seorang rakan mempelawa untuk berkongsi meja jualan sempena Ulangtahun ke-6 MPPJ di Stadium Petaling Jaya. Apa yang ada dalam fikiran ialah pengalaman mempromosi dan menjual sendiri buku yang ditulis. Apatah lagi saya masih baru dalam bidang penulisan motovasi dan tarbiah. Ia perlukan kerja keras untuk memperkenalkan buku pertama yang ditulis kepada masyarakat.

Ramai hadir, kurang jualan

Itulah yang diluahkan oleh seorang peniaga baju di sebelah. Memang benar lokasi stadium yang luas membuatkan para pengunjung sukar buat keputusan. Tambahan pula 20 Jun bukanlah hari keraian para penjawat awam atau pun swasta. Poket masing-masing belum tebal lagi.

Itu semua secara teori ilmu perniagaan sahaja. Apa yang lebih utama ialah setiap rezeki itu datangnya daripada Allah. Dia yang tentukan segalanya. Jika kurang sambutan, bersyukurlah dan apatah lagi apabila jualan yang memberangsangkan.

Kata seorang teman, ramai orang berusaha keras mencari rezeki. Namun begitu, ramai yang tidak sedar pintu rezeki itu milik Allah SWT. Oleh sebab itu, ramai yang sanggup mencari pelbagai teknik perniagaan. Kemudian apabila masih belum berjaya, barulah dirujuk kepada ahli agama atau ustaz.

"Bukan mudah untuk berniaga pada situasi sekarang," jelas seorang teman.

Walau apa pun yang ada dalam fikiran kita, harus ingat bahawa kunci rezeki itu ialah BERIMAN dan BERTAKWA  kepada Allah SWT. Apabila kita dekat dengan Allah, maka segala apa yang kita lakukan itu dapat dijayakan dengan penuh yakin dan sabar.

Segala penat lelah terubat apabila melihat keletah anak-anak yang mahu sama-sama membantu mempromosikan buku SUAMI YANG TERUJI. Mereka sanggup menggalas buku dan memperkenalkan buku pada para pengunjung. Alhamdulillah, ada juga yang berminat.

Memang agak penat tetapi puas. Semoga para pembeli buku SUAMI YANG TERUJI dan MUDAHNYA MENJEMPUT REZEKI berpuas hati dan mengambil manfaat di dalam kedua-dua buku tersebut.

Amin.

Cari Salah

Posted: Tuesday, June 19, 2012 by WZWY in Labels:
0

Seorang lelaki mengadu dia berkecil hati apabila isterinya selalu menghantar SMS atau bercakap dengan bahasa yang agak kasar terhadapnya. Lelaki itu juga semakin merasakan dirinya semakin jauh dengan isterinya. Walau bagaimanapun lelaki itu tidak mahu memutuskan ikatan perkahwinan mereka semata-mata sikap si isteri yang selalu melukakan perasaannya. Dia pun tidak pasti kenapa.

"Yang jelas dia selalu mencari salah saya." Luah lelaki itu.

"Mungkin kamu ada lakukan sesuatu perkara yang menyakitkan hati dia."

"Mungkin juga...tetapi kenapa kebaikan yang saya lakukan itu tidak pernah disebut. Jika saya buat silap sekali sahaja, ia sudah cukup membuatkan dia sakitkan hati saya dengan membaca SMS-nya." Suara lelaki itu semakin merendah. Sebak.

Apa yang seharusnya saudara pembaca lakukan jika berdepan dengan situasi demikian? Adakah membiarkan sahaja atau mengambil jalan mudah, leraikan ikatan perkahwinan itu? Rasanya langkah kedua itu perlu difikirkan dengan lebih wajar lagi.

Apa yang pasti setiap permasalahan itu pasti ada hikmahnya. Percayalah setiap kesulitan itu pasti ada jalan penyelesaiannya. Kita harus yakin apabila Allah SWT menyayangi kita, Dia akan menguji kita dengan berbagai-bagai perkara. Kita jangan fikir jika orang sentiasa hidup mewah dan seperti tiada masalah hidup itu bermakna Allah lebih sayangkan mereka. Kita harus perbetulkan persepsi kita tentang perkara ini.

Kita juga harus yakin bahawa setiap ujian hidup itu sebenarnya untuk memberi kebaikan buat kita tanpa kita sedari. Sesungguhnya Allah itu Maha Mengetahui. 

Nasihat yang boleh diberikan kepada lelaki itu atau sesiapa sahaja mengalami situasi demikian ialah :

1) Perkemaskan lagi hubungan kita dengan Allah SWT. Jaga solat fardhu dan laksanakan perintah-Nya dengan ikhlas.

2) Mendoakan orang lain juga salah satu cara terbaik. Maksudnya kita doakan sesiapa yang dikira bermasalah dengan kita. Contoh lelaki tadi dengan isterinya. Tidak perlu melemparkan kata-kata kesat pada isteri. Banyakkan doa dan terus berdoa agar isteri taid berubah. Setiap hari selepas solat fardhu, doakan buat isteri tadi. Insya-Allah, dalam tempoh tertentu isteri tadi akan berubah. Bersangka baik dengan Allah.

3) Muhasabah diri kita dengan sebenar-benarnya. Kita tidak mampu menipu diri sendiri. Ikhlas untuk berubah jika di pihak kita melakukan apa-apa kesalahan. Buang segala rasa ego dan sewaktu dengannya.

4) Laksanakan ibadah sunat. Ibadah sunat bukan sahaja dapat menampung kekurangan kita dalam ibadah fardhu, tetapi ia akan membuatkan kita semakin dekat dengan Allah.

5)  Bersedekahlah. Semakin kita dilanda masalah, semakin banyak kita bersedekah. Ikut kemampuan masing-masing. Bersedekah bukan bermaksud menyumbang wang ringgit semata-mata, tetapi sumbangan idea atau tenaga kita untuk orang lain juga boleh diklafikasikan sedekah.

6) Jangan lupa doakan agar kita diberi kekuatan iman dan permasalahan dihadapi itu dapat selesai dengan cara terbaik.

7) Basahi lidah dengan menyebut zikrullah. Beristighfar banyak-banyak berbanding menyanyikan lagu-lagu yang diminati semata-mata.

Cukup sekadar tujuh perkongsian itu untuk sama-sama diamalkan. Insya-Allah keajaiban akan berlaku ke atas diri kita.

Wassalam.

MISI BESAR JPMPP 1

Posted: Saturday, June 16, 2012 by WZWY in Labels:
0

SYUKUR ALHAMDULILLAH. Hanya itu yang mampu saya ungkapkan apabila penjualan buku SUAMI YANG TERUJI sejak 15 Jun -16 Jun 2012 mendapat sambutan baik daripada ahli kariah Surau Al-Ikhwan, Taman Sandaran Permai, Surau Sunway Alam Suria dan Surau Cahaya SPK. Sasaran awal Jawatankuasa Pembinaan Masjid Puncak Perdana (JPMPP) ialah mengadakan jualan di surau-surau sekitar Seksyen U10, Shah Alam.

LOKASI 1 ( SURAU AL-IKHWAN ) : 15 Jun 2012 ( Usai solat Jumaat )

Sebelum khatib naik mimbar, pihak surau sudah menguar-uar tentang penjualan buku ini selepas solat Jumaat. Saya juga sudah siap dengan 'bunting' tentang promosi jualan buku SUAMI YANG TERUJI bagi mengisi tabung pembinaan Masjid Puncak Perdana. Pihak JPMPP sebelum ini sudah pun membeli 100 buah buku SUAMI YANG TERUJI  untuk tujuan kutipan sumbangan ini. Tugas saya pula selaku penulis dan setiausaha memastikan perancangan jawatankuasa berjalan lancar. Alhamdulillah, sebanyak 15 buah buku SUAMI YANG TERUJI sudah berpindah tangan ke pembaca baharu.

LOKASI 2 : SURAU SUNWAY ALAM SURIA : 16 Jun 2012 ( 7.00 pagi )

Di sini merupakan lokasi kedua sesi jualan amal JPMPP. Selepas selesai kuliah Subuh yang disampaikan oleh Ustaz Jaafarudin, saya dan Tuan Haji Aziz mula mengadakan jualan dan 18 buah buku SUAMI YANG TERUJI menemui pembaca baharu. 

LOKASI 3 : SURAU CAHAYA SPK : 16 Jun 2012 ( 12.00 tengah hari )

Lebih kurang pukul 9.40 pagi saya tiba di Surau Cahaya SPK. Penduduk sekitar telah dijemput untuk menghadiri Forum Israk Mikraj yang julung-julung kali diadakan di surau ini. Ustaz Amir Hezam selaku moderator dan ditemani dua ahli panel yang tidak asing lagi iaitu Ustaz Fauzi Mustafa dan Ustaz Hazlin Bahrin. Lebih kurang dua jam forum ini berlangsung dan tepat pukul 12.15 tengah hari saya dan Tuan Haji Aziz membuka kaunter jualan. Sebanyak 28 buah buku SUAMI YANG TERUJI telah berpindah tangan. Syukur ke hadarat Ilahi kerana beberapa individu yang menyumbang lebih dari harga ditawarkan.

Setakat ini sumbangan yang kami terima dengan menawarkan perkongsian ilmu buku SUAMI YANG TERUJI ini sudah masuk angka 65 buah termasuk 4 buah buku yang dijual sebelum ini semasa mesyuarat jawatankuasa.

Jazakallahu khairan di atas sumbangan para dermawan.

Misi ini akan diteruskan lagi pada minggu hadapan. Surau Al-Ikhwan akan menjadi lokasi wajib selepas solat Jumaat. Insya-Allah. Selepas ini kami merancang untuk singgah di masjid atau surau di kawasan berdekatan seperti di Kg.Budiman, Subang Permai, TTDI Jaya, Kg. Melayu Subang, dan lain-lain.

Minta saudara-saudara doakan usaha kami dipermudahkan-Nya. Amin.

* JIKA TUAN BERMINAT UNTUK MENJADI SALAH SEORANG PENYUMBANG DAN BERKONGSI DENGAN AHLI KARIAH DI TEMPAT TUAN SEMASA APA-APA PROGRAM DI SURAU, BOLEH HUBUNGI SAYA DI TALIAN 019-2989457 atau TN. HJ AZIZ (019-2626029).
* LOKASI SEKITAR LEMBAH KLANG.

RM5

Posted: Thursday, June 14, 2012 by WZWY in Labels:
0

"Ehhh..lupa pulak."

"Kenapa?" Saya menoleh ke arah Al-Ghazali, anak yang nombor tiga ketika saya memandu pulang dari surau.

"Ini ada lima ringgit."

"Nak buat apa?" Tanya saya.

"Nak derma bina masjid." Kebetulan tadi semasa di surau saya berbincang dengan Tuan Shaik Yusof dan Ustaz Hajar tentang program jualan buku dan sesi autograf 'Suami Yang Teruji' selepas solat Jumaat ( 15 Jun ). Pihak jawatankuasa pembinaan sudah membeli 100 buah buku tersebut untuk dijual bagi menambah dana pembinaan Masjid Puncak Perdana.

"Subhanallah." Dalam hati saya. 

"Kalaulah anak saya yang ketika itu ada RM15 dalam dompetnya, kemudian sanggup keluarkan RM5, bagaimana dengan saya? Masya-Allah."

"Banyak duit."

"Umi bagi. Hadiah periksa sekolah agama."

Saya terima duit Al-Ghazali dengan penuh keinsafan. Dia akhirnya tersenyum. Hasratnya tercapai.

Saya teringatkan satu bab di dalam buku sahabat saya iaitu 'Mudahnya Menjemput Rezeki', salah satu cara menjemput rezeki ialah dengan bersedekah. Beliau memberi formula 1-1=10. Ini bermakna kita tidak perlu takut atau bimbang untuk bersedekah kerana sesungguhnya Allah menjanjikan pulangan yang berlipat ganda bagi sesiapa yang bersedekah.

Salah satu kehebatan sedekah ialah ia boleh memberikan ketenangan kepada kita. Kalau kurang yakin, cuba amalkan. Berikah sesuatu kepada orang yang memerlukan dan tidak semestinya berbentuk wang ringgit. Mungkin dari segi bantuan lain, doa dan sebagainya.

Jika kita ditimpa apa-apa musibah atau ujian Allah, amalkan banyak bersedekah. Insya-Allah, Allah akan tunjukkan kita jalan keluar. Setiap apa yang dilakukan dengan penuh ikhlas, pasti ada ganjaran daripada-Nya.

Inilah teknik terbaik yang digalakkan oleh Rasulullah SAW.

Bersedekah.

Hati akan tenang. Setiap permasalahan nampak hujung penyelesaiannya.

Begitulah hebatnya kekuasaan Allah SWT. 

Percayalah.

DILEMA WANG PLASTIK

Posted: Wednesday, June 13, 2012 by WZWY in Labels:
0

Entri kali agak berlainan sekali. Kali ini saya cuba sampaikan sesuatu yang 'dekat' dengan kita.

Apa?

KAD KREDIT.

Kenapa?

Ramai dikalangan kita menggunakan kad kredit dalam urusan perbelanjaan harian terutama di stesen minyak. Saya juga lakukan perkara sama sebelum ini. Ia memang 'melegakan' apabila tangki petrol diisi penuh tanpa mengeluarkan wang poket. Benarkah?

Sedar atau tidak kita akan diperangkap dengan bayaran minima setiap bulan.

Bagaimana?

Kita lebih selesa membuat bayaran minima. Contohnya, hutang kad kredit kita ialah RM2000 dan akan membayar RM100 sahaja. Ini bermakna kita masih berhutang dengan bank pengeluar sebanyak RM1900+RM28.50 (caj faedah RM1900 x 1.5%) = RM1928.50.

Malangnya, keburukan membayar cara begini akan menyebabkan kita akan dikenakan caj faedah dan masa yang lebih lama akan diambil untuk menyelesaikan hutang tertunggak ini.

Akibatnya?

Bebanan hutang kita semakin banyak dalam jangka masa yang singkat. Buat masa ini, kebanyakan bank pengeluar mengenakan caj kewangan sebanyak 1.5% sebulan, pada kadar harian dan dikompaun secara bulanan.

Jadi kita perlu sedar bahawa dengan hanya membayar jumlah minima, kita akan mengambil masa yang lebih lama untuk menyelesaikan hutang kad kredit. Hutang pun akan lebih banyak terkumpul. Dengar kadar faedah yang tinggi, kita membayar lebih lagi kepada bank pengeluar jika dibandingkan dengan harga asal barangan atau perkhidmatan yang kita beli dahulu. Tidak muastahil jika kita membeli sebuah televisyen berharga RM1,500 akan meningkat kepada RM3,000 jika kita hanya membayar dengan bayaran minima sahaja. Mungkin kita tidka sedar, tetapi itulah keuntungan yang dijana oleh bank pengeluar.

Oleh itu, kita perlu berhati-hati menggunakan kad kredit kita. Keperluan mendesak sahaja perlu digunakan. Kalau setakat 'suka-suka', dinasihatkan agar jangan guna walaupun bernilai RM100.

Satu perkara lagi JANGAN guna kad kredit untuk mendapatkan pendahuluan wang tunai dari mesin ATM. Setiap kali kita mengeluarkan wang menggunakan kad kredit, kita menambahkan lagi bebanan pinjaman, ditambah dengan yuran pendahuluan wang tunai dan faedah harian yang tinggi.

Saya pernah berjumpa dengan seorang kaki tangan awam yang memiliki lebih lima kad kredit dan semua kad sudah digunakan secara maksima. Bayangkan sekeping kad kredit beliau yang mempunyai had limit RM5000 sudah meningkat hutangnya melebihi RM10000 kerana kegagalannya menjelaskan bayaran bulanan dalam tempoh yang agak lama.

Jadi, beringat-ingatlah. Jangan mudah terpedaya dengan pujuk rayu penjual agar menggunakan kad kredit anda. Kelak kita juga yang tanggung hutang kecuali keperluan terdesak dan mempunyai perancangan pembayaran yang baik.

Wallahualam.

 

I WANT TO BE A WRITER : Perkongsian Hidup Seorang Penulis

Posted: Sunday, June 10, 2012 by WZWY in Labels:
0

PERTAMA KALI saya menatap kulit buku ini, saya menganggap buku ini sebuah buku panduan penulisan biasa. Apabila saya membuka helai demi helai, buku ini lebih daripada sekadar buku panduan penulisan kerana Ummu mencatat perjalanan hidup beliau dengan begitu menarik sekali. Bukan itu sahaja, pembaca akan mendapat ibrah melalui pengalaman yang dilalui oleh beliau.

Sebelum bertolak, abah mengagihkan pen dan buku nota kecil kepada saya dan adik. Tulis apa sahaja yang Kak Ummu dan Kak Na nampak di jalan raya," kata abah.

Saya mengerut dahi. "Apa dia, abah? Nampak pokok pun tulis?" tanya saya.

Abang mengangguk.

"Kereta pun tulis?"

Abah mengangguk lagi.

"Tulis apa yang tercatat di papan tanda sepanjang kita balik nanti," pesan abah lagi.

Saya mengetap bibir mendengar arahan abah yang pelik itu tetapi tidak membantah. Menulis adalah kerja paling saya sukai.

Apabila sahaja van bergerak, saya dan adik giat mencatat. Abah dan emak bersembang di hadapan. Selalu juga saya bertanyakan abah tentang apa yang mahu ditulis lagi. Ini kerana terlalu banyak kereta dan pokok yang ditemui sepanjang jalan. Saya mulai bosan. ...........

Apabila sampai masa pulang di Kuala Lumpur, saya tidak bersemangat lagi menerima buku nota kecil dan pen daripada abah. Bahkan saya tidak bersemangat naik van dan bernasyid bersama adik-adik. ...........

Catatan yang saya tulis ketika pulang ke kampung itu disimpan oleh abah. Saya kemudiannya mendapat tahu yang abah menggunakan sebahagian maklumat dalam catatan nota tersebut untuk novelnya. Oleh sebab ketika itu abah sedang memandu, jadi abah melatih saya dan adik-adik mencatat maklumat perjalanan untuknya. Jauh daripada itu saya terkesan dengan latihan abah, proses itu mnegajar saya peka pada persekitaran. Pelajaran yang lekat pada diri hasil didikan abah ini, saya selalu memastikan ada buku catatn dan pen dalam beg sebelum bergerak ke sesuatu tempat.

Ini adalah sebahagian petikan di dalam bab ketujuh. Helah Abah.

Ummu juga berkongsi lima tips penulisan dan contoh manuskrip Telemovie Disapa Izrael. Oleh itu, buku setebal 322 yang berharga RM22 ini sangat sesuai dibaca oleh semua. Istimewa buku ini bagi bakal penulis akan mendapat inspirasi dan mengetahui kehidupan seorang penulis. Semoga perkongsian menarik Ummu ini dapat memberi manfaat buat semua pembaca.

Di antara bab menarik dibaca ialah :

1) Pacat Masuk Kain
2) Hantu
3) Mulai Menulis Diari
4) Haid Pertama
5) Budak Ketot
6) Menulis Novel Pertama
7) Cinta Haramain
8) Berkat Ikut Kata Suami
9) Apa Lagi Perlu Ditulis?

Tahniah buat Ummu Hani Abu Hassan.

Beli Online di laman ini.

Wawancara di KOSMO

Posted: by WZWY in Labels:
0

RAHSIA ANDA LEBIH DIHARGAI

Posted: Friday, June 8, 2012 by WZWY in Labels: ,
0


PEJAM CELIK, PEJAM CELIK sudah tiba di penghujung cuti sekolah pertengahan tahun. Dipanjatkan puji bagi Allah yang masih memelihara kesejahteraan kita hingga saat ini. Kali ini saya ingin berkongsi suatu perkara penting berkaitan perhubungan kita dengan orang lain. Tidak kira seseorang itu dekat atau jauh, kenal atau tidak kenal dan sesiapa sahaja yang kita jumpa.

Satu perkara yang jelas ialah manusia suka apabila dirinya dihormati dan disayangi. Betulkan? Pasti angguk walaupun sekadar anggukan kecil. Maka ada sebahagian manusia akan menceritakan pelbagai cerita berkaitan kehebatan diri masing-masing.

Untuk apa?

Supaya orang beri perhatian dan menghormati mereka. Ini adalah sesuatu yang lumrah. Kita pun begitu, rasa ingin dihormati dan disayangi oleh orang sekeliling. Mungkin kita tidak sanggup mengangkat diri sendiri dengan cerita-cerita kebaikan dan kehebatan diri kita sendiri.

Kenapa?

Yakin bahawa semua kebaikan itu pasti ada ganjaran daripada Allah dan tidak mengharapkan pujian manusia sekeliling.

Hakikatnya perkara ini tidak perlu kita susah-susah dan peningkan kepala. Saya cuba jelaskan bagaimana orang akan menghargai dan mencintai kita. Saya juga sedang mempraktikkan perkara ini agar diri kita lebih disenangi oleh orang lain. Ia dilakukan mengikut kemampuan diri kita sendiri.

Saya berikan satu contoh kisah supaya ia lebih mudah difahami. Mungkin saudara merasakan bahawa perkara ini biasa-biasa sahaja tetapi kita mungkin abaikan atau tanpa sedar kita sudah lama mengamalkannya.

*****

Sudah masuk hari ketiga Ahmad tidak keluar dari rumah. Kesihatannya tidak mengizinkan apabila disahkan oleh pihak doktor dia menghidapi penyakit gout yang agak teruk. Isterinya pula tiada lesen memandu. Bekalan makanan di dapur hampir kehabisan. Dua tiga orang rakan sekerja menelefon bertanya khabar. Sekurang-kurangnya kesakitan yang dialami rasa berkurangan apabila mendengar ucapan takziah dan doa rakan-rakan agar cepat sembuh.

“Saya harap awak cepat sembuh dan datang bekerja seperti biasa,” kata Razak di hujung talian.

Kemudian Fariz pula menghantar pesanan SMS. “Saya doakan awak tabah dan jangan lupa makan ubat.”

Amirul pula menelefon, “Saya sudah kata awak jangan suka makan udang dan ketam. Kan dah kena gout…hahhaha.”

Syed pula menelefon, “Saya sentiasa doakan awak cepat sembuh. Masih banyak projek kita belum selesai.”

Saya yakin Ahmad akan terkesan apabila rakan-rakan sekerja menelefon dan menghantar SMS kepadanya. Sekurang-kurangnya dia merasakan bahawa dia diberi perhatian oleh rakan-rakan. Namun ia setakat itu sahaja. Ada satu situasi yang membuatkan Ahmad lebih terkesan dan menyebabkan dia bercucuran air mata.

Begini….

Pintu rumah diketuk. Kedengaran salam diucapkan dari luar. Isteri Ahmad bangun dari sisi Ahmad dan mempersilakan seorang lelaki yang dikenali masuk dan duduk di ruang tamu.

Ahmad menyambut salam dengan mengukir senyuman.

“Maafkan saya kerana tidak menelefon dan SMS. Saya berada di luar kawasan. Apabila dapat tahu awak sudah tiga hari terlantar di rumah, saya terus ke mari. Saya pun belum sempat pulang ke rumah,” beritahu Azmin jujur.

Azmin dan Ahmad mula berkenalan selepas syarikat di tempat mereka bekerja menjalinkan kerjasama dalam satu projek sebulan yang lalu.

“Terima kasih kerana sudi datang ziarah saya,” balas Ahmad.

“Cuti awak sampai bila?” Tanya Azmin.

“Seminggu.”

“Bagaimana dengan barang-barang keperluan dapur selama tiga hari ini? Saya masih ingat awak beritahu isteri tidak boleh memandu kereta. Betulkan?”

Ahmad tunduk seketika.

“Begini sahajalah. Beritahu isteri awak agar senaraikan keperluan yang perlu dibeli dan saya akan ke pasar raya selepas ini.”

“Errr…ia tak menyusahkan awak ke?” Ahmad serba salah.

“Saya lebih susah melihat seorang sahabat dalam kesusahan,” jawab Azmin mengukir senyum.

Tiba-tiba Ahmad terasa sebak. Walaupun mereka jarang berjumpa, perhatian Azmin membuatkan dia benar-benar terharu. Di saat ia dalam kesukaran begini, dia hadir memberikan bantuan tanpa disangka-sangka.

Apa komen saudara? Adakah persahabatan mereka selepas ini sebagai rakan pekerjaan atau lebih daripada itu? Saya yakin jika saudara di tempat Ahmad, saudara akan lakukan perkara sama iaitu Azmin menjadi rakan paling akrab selepas ini.

Kenapa?

Jawapannya ialah PERHATIAN.

Jika kita memberikan perhatian yang lebih kepada seseorang, maka orang tersebut akan juga memberikan lebih perhatian  dan menghormati kita.

Contoh lain katakan kita sedang berada di dalam satu majlis. Saudara bersalam dengan beberapa orang di majlis berkenaan. Seorang menyambut salam dan tersenyum. Seorang lagi bersalam sambil bercakap di telefon. Seorang lagi bersalam tanpa menoleh ke arah saudara dan terus berbual dengan orang sebelah. Dan akhir sekali seorang bersalam dan memandang tepat ke mata saudara, senyum dan bertanya khabar walaupun belum pernah berjumpa sebelum ini.

Maka, sudah tentu saudara akan rasa lebih selesa berbual dengan tetamu itu. Saudara ambil makanan dan duduk berhampiran orang itu dan berbual-bual.

Kenapa?

Dia memberi lebih perhatian dan apatah lagi saudara pula tidak mengenali sesiapa pun di majlis berkenaan. Apabila kita setiap saat memberi perhatian dan menghargai orang lain dan menampakkan kita memberi perhatian kepada mereka. Maka kita akan menarik perhatian serta simpati orang tersebut. Dan kita juga akan lebih disayangi oleh orang tersebut.

Begitulah yang berlaku semasa Rasulullah SAW sedang berada di atas mimbar untuk berkhutbah. Tiba-tiba datang seorang Badwi. Dia masuk ke barisan solat yang sedang khusyuk mendengar khutbah Rasulullah SAW. Dia melihat ke arah baginda dan berkata, “Wahai Rasulullah, aku adalah orang yang tidak mengetahui tentang agama, ajarkanlah agama kepadaku.” Rasulullah SAW pun turun dari mimbar dan berjalan menuju ke arah lelaki Badwi tersebut. Baginda meminta disediakan kerusi dan duduk berdepan dengan lelaki Badwi itu tadi. Kemudian baginda mengajar tentang Islam kepada lelaki Badwi itu. Apabila sudah faham, lalu baginda menyambung khutbah di atas mimbar.

Inilah bentuk penghargaan dan perhatian yang diberikan oleh Rasulullah SAW terhadap orang lain walaupun baginda tidak mengenali orang tersebut. Tanya diri kita pula adakah kita hanya beri perhatian kepada orang dikenali sahaja atau sebaliknya?

Baginda Rasulullah SAW juga akan tidak akan melepaskan tangan semasa berjabat tangan sehingga orang yang berjabat tangan dengan baginda melepaskan dahulu. Subahanallah!

Baginda juga akan memandang wajah dan mendengar dengan serius apabila berbual dengan para sahabat. Allahu akbar!

Sama-sama kita perbaiki diri. Insya-Allah.

Majlis Perjumpaan Penulis (Fiksyen) GISB

Posted: by WZWY in Labels:
0

ALHAMDULILLAH, lebih kurang pukul 2.35 petang (07 Mei 2012) saya tiba di Astana Karya, ibu pejabat Galeri Ilmu Sdn Bhd untuk menghadiri Majlis Perjumpaan Penulis (Fiksyen) dengan Pengarah Urusan, Ketua Penerbitan,  Editor Kanan dan editor (Fiksyen) Galeri Ilmu Sdn Bhd.

Penulis yang sempat hadir selain saya ialah Dissa Azmin, Ummu Hani, Ila Husna, Zurinah Ismail dan Norhayati Sapie. 

Kami diberi sedikit taklimat oleh Pengarah Urusan, Cikgu Abu Hassan Morad. Beliau amat berterima kasih di atas kehadiran dan kesudian penulis yang memberikan kepercayaan kepada pihak GISB menerbitkan karya kami. Kemudian Tuan Haji Azmin pula menjelaskan perkara-perkara berkaitan royalti para penulis yang telah ditukar kepada setahun sekali. Setelah mendengar penjelasan beliau, saya dan para penulis lain berpuas hati kerana masih ada klausa perjanjian yang dianggap 'bonus' oleh para penulis. Kami amat berpuas hati dan berterima kasih dengan keprihatinan pihak penerbit.

Taklimat seterusnya diberikan oleh Tuan Haji Zakarian dan Tuan Amirudin berkaitan perkara yang perlu diberi perhatian semasa menulis mansukrip. Ia merupakan ulangkaji buat para penulis dan menitik beratkan hasil karya yang memiliki ciri-ciri tarbiah. Pihak GISB akan sentiasa memastikan konsep serta pegangan selama ini terus diperjuangkan walaupun ia dilihat 'kurang popular'. Penulis dilarang keras memasukkan adegan atau dialog yang bercanggah dengan nilai-nilai Islami.

Semoga pertemuan sebegini terus diadakan bagi mendekatkan lagi para penulis dengan pihak penerbit. Selain itu pertemuan sebegini akan memberikan sesuatu yang baharu buat para penulis.

AMANAH ALLAH SWT

Posted: Wednesday, June 6, 2012 by WZWY in Labels:
0


AMANAH ALLAH SWT

Kali ini saya mulakan dengan maksud firman Allah SWT yang ditujukan khas buat ketua keluarga iaitu bapa atau suami :

“Wahai orang-orang yang beriman, peliharalah diri kamu dan keluargamu daripada api neraka, yang bahan-bahan bakarnya ialah manusia dan batu-batu (berhala), neraka itu dijaga dan dikawal oleh malaikat-malaikat yang keras kasar (layanan mereka), mereka tidak menderhaka kepada Allah dalam segala yang diperintahkannya kepada mereka, dan mereka pula tetap melakukannya segala yang diperintahkan.” (Surah al-Tahrim:6)

Ia memang menakutkan dan menggerunkan. Berdasarkan amaran Allah SWT dalam firman-Nya di atas, tanggungjawab dan amanah seorang suami atau bapa cukup besar. Tugas seorang suami atau bapa untuk mendidik dan mengasuh isteri dan anak-anak bukan suatu tugas yang mudah. Jika dilihat dari satu sudut ia nampak sukar lalu timbul pula persoalan, kenapa begitu berat sekali tanggungjawab yang dipikul oleh kaum lelaki? Inilah hakikat sebuah kehidupan sebagai hamba Allah SWT. Masing-masing ada tugasan dan tanggungjawab. Sesungguhnya Allah SWT bukanlah zalim dengan memberatkan hamba-Nya dengan tanggungjawab yang tidak mampu digalas. Ia dalam kemampuan manusia selagi mana mereka meletakkan Allah SWT di aras paling atas untuk dipatuhi dan menjadikan peringatan Rasulullah SAW sebagai panduan hidup.

****

Petikan di atas adalah saya petik daripada buku SUAMI YANG TERUJI. Ia merupakan petikan segmen Muhasabah Diri di dalam bab keenam iaitu Belum Dapat Hidayah. Ia merupakan satu rakaman kisah benar di mana si suami yang sudah melewati usia 40an tetapi masih gagal menjadi hamba Allah SWT yang taat pada perintah dan suruhan-Nya.

Kisah Ayub dan Zulaikha itu wajar dijadikan iktibar walaupun kita hidup dalam kesempitan kewangan, tidak bermakna kita terus melupakan Allah dalam mencari rezeki untuk keluarga. Padahal segala bentuk rezeki di atas muka bumi ini di dalam kekuasaan Allah. Dialah Maha Pemberi rezeki buat semua makhluk di alam ini.

Kelekaan sebahagian manusia mencari rezeki dan mengabaikan perintah Allah menjadikan mereka itu terus hanyut dan tidak menemui kebahagiaan yang hakiki. Walaupun dikatakan kaya raya, tetapi mereka masih merasakan belum puas dan cukup untuk menampung kehidupan mereka.

Kenapa?

Mereka tidak meletakkan Allah itu yang paling utama. Mereka menganggap segala rezeki yang diperoleh itu adalah hasil usaha mereka sendiri semata-mata.

Kisah BELUM DAPAT HIDAYAH ini juga memaparkan bagaimana si anak telah ditampar hingga berdarah kerana si ayah ditegur sebagai ahli neraka kerana tidak menunaikan solat fardu dan menjalani ibadah puasa di bulan Ramadan. Memang perlakuan si anak yang menasihati si ayah itu agak keterlaluan dan menimbulkan kemarahan si ayah. Namun begitu, dari sudut sisi yang lain pula, kenapa si anak sanggup melakukan demikian walaupun dia tahu perbuatan itu akan membuatkan si ayah akan melenting kemarahan.

Kenapa?

Si anak tadi tidak sanggup melihat si ayah terus bergelumang dengan dosa dan sayangkan si ayah agar menuruti segala perintah Allah sebagai mana dia pelajari di sekolah.

Mungkin cara si anak tadi kurang tepat. Kalau diletakkan diri kita sendiri pun, jika anak menegur kita dengan agak keras begitu, ia akan menimbulkan situasi yang kurang selesa. Tambahan pula jika keegoan sebagai ayah itu amat tinggi.

Persoalan pula ialah kenapa harus kita biarkan si anak sanggup menegur kita dengan sedemikian. Siapa yang harus menegur dan siapa harus ditegur? Maka kita muhasabah diri agar setiap amanah Allah SWT itu dapat dijalankan dengan sebaik-baiknya. Insya-Allah!

Jika tidak tahu. Ia bukan satu alasan. Cari dan bongkarlah ilmu Allah itu di dalam kitab atau buku yang banyak dijual di kedai-kedai buku. Kita juga boleh mengikuti pengajian di masjid atau surau. Dan paling mudah kita melayari blog atau laman web berkaitan. Pastikan kita merujuk juga kepada ahli agama sebelum kita berpegang kepada sesuatu hukum yang diambil di alam siber. Bimbang ia terpesong daripada ajaran sebenar.

Wallahualam.

* Peringatan buat diri penulis.