Akhirnya bergelar JUARA...

Posted: Friday, December 31, 2010 by WZWY in Labels:
0






















Minggu ini Kejohanan Bolasepak AFF Suzuki masih hangat diperkatakan, Masing-masing hebat menjadi pengulas atau pengkritik sukan bolasepak. Pelbagai pendapat atau andaian dibuat. Ada suara-suara nakal berpendapat selepas ini jurulatih dan pemain akan dapat sebidang tanah serta pelbagai imbuhan lain lagi.
Nikmat Juara.

Tahniah buat pasukan Malaysia.

Pernah tak saudara menjadi JUARA dalam apa jua pertandingan?
atau

Pernah tak saudara melatih pasukan atau individu hingga mereka bergelar juara?

Ia satu situasi yang paling bahagia pada masa itu setelah perancangan, latihan dan strategi menjadi dan membuahkan hasil. Kejayaan pasukan Malaysia dilihat sebagai permulaan terbaik untuk pasukan negara terus mencipta kegemilangan sukan bolasepak di negara kita. Ia tidak lagi dianggap pasukan belasahan.
Paling sukar pula ialah kekalkan kejuaraan. 

Apa yang saya belajar ialah kita perlu PERCAYA bahawa kita mampu lakukan sesuatu yang kita mahu laksanakan. Jika rasa PERCAYA ini tiada, tidak mustahil kita akan menuju ke pintu KEGAGALAN.

Apa yang dikesalkan.

KESAL dan MARAH apabila gelagat kedua--dua pasukan yang tidak berdisiplin dan hilang nilai moral masing-masing. Saling tuduh menuduh dan boleh menjejaskan hubungan baik rakyat di kedua-dua negara.

Isu LASER hangat diperbincangkan. Kedegilan segelintir penonton menyebabkan pasukan Malaysia dikatakan 'dibantu' untuk cipta kemenangan.

PALING dikesalkan ialah apabila nama negara MALAYSIA ini dipermainkan. Di mana ada rasa tanggungjawab dan kesedaran hidup serumpun. MALAYSIA ditukarkan kepada MALINGSIA. Maling bermaksud PENCURI ( pada pengetahuan saya ). Siapakah pencuri di sini?

Adakah jutaan rakyat Indonesia di negara ini bersetuju?

Bila IMAN hilang dalam diri menyebabkan seseorang itu sanggup lakukan apa sahaja demi sebiji BOLA.

Harapan saya agar barisan pimpinan negara lakukan sesuatu agar perkara ini tidak berulang lagi. Jangan kerana bola, maruah negara tercemar begitu sahaja. Di mana letaknya air muka kita sebagai rakyat di negara berdaulat ini?

Lakukan sesuatu.

Ke PWTC dengan Kereta Lipan

Posted: Monday, December 27, 2010 by WZWY in Labels:
0

Pada 26hb Disember 2010 berkesempatan bawa isteri dan 4 Hero ke Pesta Buku Kanak-Kanak Kuala Lumpur di PWTC. Memang sudah dirancang jadual ke sana. 

Pengalaman pertama anak-anak.
 
Anak-anak begitu teruja apabila hari ini perjalanan tidak seperti biasa apabila pertama kali ke Kuala Lumpur menggunakan perkhidmatan awam iaitu Komuter. Ditemani rakan sekerja En. Tariq.

Alhamdulillah perjalanan lancar dengan bayaran tambang sebanyak RM6.40 dari Stesen Sg. Buloh ke Stesen Putra. Masa 15 minit dikira cukup pantas bagi satu perjalanan ke Kuala Lumpur daripada Sg. Buloh. Kalau guna kereta rasanya lebih lama lagi.

Tiba di PWTC pun masih awal lagi sekitar pukul 10.32 pagi. Pengunjung pun masih kurang. Jadi senang untuk atur langkah. Apatah lagi dengan pelbagai kerenah anak-anak. Ia sesuatu yang tidak normal jika mereka diam tanpa ada sesuatu yang mereka lakukan.


Novel baru. 

TIGA buah novel sempat dibeli pada kali ini iaitu Novel Sejarah Islam karya Pak Latip iaitu Hijrah : Permulaan Sebuah Kegemilangan, novel Maria hasil karya novelis Turki iaitu Emine Syenlikogiu dan novel Wasilah Cinta Weera, hasil tulisan Rose Harissa. Isteri pula dengan beberapa buah buku masakan dan anak-anak dengan buku-buku komik serta alat permainan. 


Tidak selesa?

Senario biasa sebagaimana Pesta Buku Antarabangsa KL apabila beberapa buah 'booth' yang agak agresif memperkenalkan prosuk masing-masing. Bagi saya ia suatu situasi biasa dan terpulang kepada kita sama ada untuk layan atau sebaliknya. Cuma ada rakan yang mengadu kurang selesa dengan suasana demikian dan dikatakan mengganggu kosenterasi untuk memilih bahan bacaan sesuai.


Intai antara nampak.

Saya sempat mengunjungi dua buah 'booth' yang menjual produk GISB termasuklah dua buah novel saya iaitu Impian Juara dan Ops Menjejak Pencuri. Rasa bangga juga apabila melihat ada pengunjung cilik yang berminat dan membawa pulang novel tersebut. Novel Ops Menjejak Pencuri mencatat jualan memberansangkan sepanjang dua bulan lepas. Saya melihat pihak GISB semakin giat memperkenalkan buku-buku dan novel-novel terbitan mereka. Novel Ops Menjejak Pencuri pun dimasuk senarai dalam PILIHAN POPULAR kedai buku POPULAR.

Salah Tren.


"Kenapa kosong saja tren ni?" Saya bertanya.


Tariq pandang ke gerabak depan. “Ya lah! Kosong."


Saya pun naik hairan. "Mungkin berhenti rehat."

Kebetulan selepas itu pemandu KTM Komuter lalu di situ dan memaklumkan Batu Caves stesen terakhir. Kalau mahu ke Sg. Buloh kena naik Tren Rawang. 

"Nampaknya kita salah tren. Kena pergi semula ke stesen Putra," bisik saya.

"Tidak apalah, pengalaman naik Komuter," kata Tariq.

 
Semangat Membara.

Satu perkara menjadi motivasi diri apabila mengunjungi pesta buku sama ada di Kuala Lumpur dan di luar Lembah Klang ialah semangat untuk menulis membuak-buak dalam diri. Apatah lagi apabila melihat hasil karya sebelum ini berada di atas rak. Keinginan untuk melihat hasil karya sendiri berderet di atas rak sebagaimana novel-novel Pak Latip. Kebetulan sempat berjumpa dengan Pak Latip dan minta autograf. Rasa tidak sabar menanti novel ketiga akan berada di pasaran awal tahun depan.

Satu perkara lagi yang saya boleh dikongsikan ialah SEMANGAT MEMBARA perlu ada dalam diri masing-masing. Saya suka kongsikan langkah-langkah yang saya amalkan dalam proses mencipta keazaman membara iaitu :

1) MENETAPKAN MATLAMAT

2) MENGHASILKAN KEAZAMAN MEMBARA

3) PERANCANGAN

4) BERTINDAK

5) PELIHARALAH KEAZAMAN MEMBARA ANDA AGAR IA KEKAL HIDUP

Ini semua saya pelajari daripada buku tulisan Dr. Asrul Zamani iaitu Keazaman Membara. Di samping itu pembacaan buku-buku dan novel-novel dapat meningkatkan semangat untuk saya menulis.

"Di mana kita berada sekarang dan di mana kita akan berada esok harus ditentukan dengan menggunakan perasaan kita, kerana ia tahu arah mana yang seharusnya kita ambil."

- Dr. Asrul Zamani

Daripada Aisyah r.ha., Rasulullah S.A.W bersabda, maksudnya :

"Bahawa Allah mencintai seseorang yang apabila ia mengerjakan sesuatu kerja, ia laksanakan dengan cemerlang."

* sempat juga mengadap kartunis Dwen untuk dilukis muka temban ini. :))

SEBUTLAH UFFIN BUKAN UPIN?

Posted: Friday, December 24, 2010 by WZWY in Labels: ,
0

"Bila kita nak pergi Karnival Upin & Ipin?"

Anak-anak sudah bising apabila menjelang petang saya masih tidak bersiap untuk keluar. Tapi mereka akhirnya teruskan aktiviti kayuh basikal di taman permainan selepas saya katakan, pagi esok kita ke sana.

Karnival Upin & Ipin sedang rancak berlansung di SACC Mall Shah Alam bermula 24hb - 28hb Disember 2010. Kebetulan saya dimaklumkan bahawa produk terbitan Galeri Ilmu Sdn Bhd juga ada dijual di sana di 'booth' MPH.

Kejutan Di Kotak Email

Cuma apa yang mengejutkan saya ialah apabila menerima email seperti di bawah ini, saya tidak pasti bagaimana mereka kaji dan lakukan siasatan atau seumpamanya. Cuma apa yang katakan kepada pengirimnya selagi pihak penerbitan tidak melanggar apa-apa batas syariat dan undand-undang negara maka siri animasi ini masih boleh ditonton oleh kanak-kanak.

Saya sertakan kandungan email berkenaan :

*** SEBELUM TU SAYA AHMAD SAIFUL MOHON MAAF JIKA INI BERLAKU KEPADA PEMINAT
SIRI INI DAN JANGAN CEPAT MELATAH..ISU INI BELUM LAGI DIKETENGAHKAN LAGITAPI
INSYALLAH SEMUA INI ADALAH QADA DAN QADAR ALLAH YANG MENENTUKAN DAN BUKAN
KEBETULAN ATAU TAK DISENGAJAKAN...***

*** AKU DAPAT PON SECARA TAK SENGAJA DARI WEB KONSPIRASI YAHUDI ***


Sebutlah Uffin bukan Upin sebab Upin dalam bahasa Aramaic bermaksud “Aku
benci Rasul.”
Sebutlah Ariffin bukan Ipin sebab Ipin dalam bahasa Syriac bermaksud “ Aku
suka Israel.”
Ini diburukkan lagi oleh penggunaan huruf “U” pada baju Upin dan “I” pada
baju Ipin.
“U” bermaksud “USA”
“I” bermaksud “Israel”

Terbuktilah bahawa Upin & Ipin juga merupakan agenda tersembunyi Yahudi
dalam melemahkan akidah umat Islam. Mereka menggunakan Upin & Ipin sebagai
jarum halus terbaru setelah mereka gagal dalam misi Pokemon, Doraemon,
Digimon dan Mamula Moon.

LAGI SATU :

Baru-baru ini Syarikat Apple telah melancarkan iPhone 4g. Diharap ikhwah dan
akhawat semua dapat sama2 memboikot iPhone 4g kerana ia sebenarnya adalah
agenda yahudi. ‘i’ pada perkataan iPhone sebenarnya merujuk kepada ‘Israel’.
4g pula bermaksud “god, gold, glory and girl”. kalu kamu benar2 cintakan
Allah dan rasul, sila sebarkan kepada semua umat Islam kalau tidak solat
kamu tidak sah selama 40 hari 40 malam.


ANDA MENILAIKAN ADAKAH BETUL ATAU TIDAK..

***JADI KEPADA SESIAPA YANG BOLEH BONGKAR LAGI SILAKAN,KITA KONGSIKAN BERSAMA***

"DAN SESUNGGUHNYA HANYA ALLAH YANG LEBIH MENGETAHUI".

Sekarang apa pandangan tuan/puan?



Jalan-Jalan Jap...

Posted: Thursday, December 23, 2010 by WZWY in Labels:
0

Cuti sekolah masih berbaki lebih kurang 10 hari lagi. Ini pun perancangan yang kelam kelibut, apabila kata putus dibuat sehari sebelum bertolak ke Melaka.

Walaupun masa perjalanan dari Shah Alam ke Melaka sekitar satu jam setengah. Ruang masa pula tidak sesuai.

Selesai 'booking' hotel melalui talian, saya maklumkan kepada isteri bahawa 'confirm' ke Melaka esok. Nasib baik masih ada 4 lagi bilik keluarga yang kosong di Hotel Seri Malaysia.

Suasana di Melaka pada musim cuti sekolah cukup meriah sekali. Lagi pun Melaka adalah sebuah negeri bersejarah dan aktiviti pelancongannya juga begitu aktif sekali. Lokasi pertama berdasarkan permintaan 4 hero ialah ke Melaka Wonderland. Cuaca pun agak panas. Kulit yang sawo matang ini pun sudah 'bersalin' kulit. Tiket masuk pula ialah dewasa RM30 dan kanak-kanak RM25. Peluang diambil sepenuhnya oleh 'tauke' sempena cuti sekolah. Adatlah orang berniaga. Tempatnya pun kira 'okey' dan sesuai untuk seisi keluarga. Mungkin pihak pengurusan boleh fikirkan agar lebih banyak tempat untuk kanak-kanak dan kawasan berteduh yang lebih baik lagi.

"Kita 'check-in' dahulu dan lepas itu kita sambung semula," cadang saya kepada ahli-ahli.
Semua tidak bantah dan setuju.

Masa dua hari memang tidak cukup. Kalau pusing-pusing sekitar Ayer Keroh, bolehlah. Lokasi tetap ialah ke Zoo Melaka dan sepetang di sana. Hero-hero pun mengadu lenguh kaki.  Tapi bila ada peluang tunggang kuda, masing-masing gembira dan mahu naik lagi. Tiba waktu malam pula sebelum balik hotel, makan malam dulu di Banda Hilir.

Hari kedua tidak banyak lokasi dilawati kerana ada temu janji dengan rakan lama untuk ke Sijangkang. Kami hanya sempat singgah di Taman Mini Malaysia dan Mini Asean. Seingat saya pernah kunjungi lokasi ini sekitar tahun 1994 bersama-sama rakan kuliah maktab dulu. Cuma sekarang suasana di sini agak menyedihkan kerana kurang penyelenggaraan. Ada rumah yang sudah rosak dan papan tidak berganti baru. Harapan agar tempat ini akan diselia dengan lebih baik lagi. Sayang sekali jika dibiarkan begitu sahaja.

Lokasi terakhir sebelum pulang ke Shah Alam ialah ke Melacca Botanical Garden. Hero-hero pun teruja mahu naik kereta elektrik (Buggy Ride). Anak sulung dan kedua berkeras mahu tunggang sendiri motor elektrik. Tapi tidak dibenarkan kerana belum 'cukup umur.' Kecewa sungguh mereka. Mahu atau tidak sewa kereta dengan empat tempat duduk dengan kadar bayaran RM35 untuk tempoh 30 minit tawaf taman ini. Kalau tunggang motor dengan dua tempat duduk kadar sewa ialah RM18 sahaja. 

Cuaca pun terang. Jam pun sudah menunjukkan pukul 1.50 petang. Kiranya sudah terlajak 50 minit daripada jadual asal.

Walaupun masa yang agak singkat. Percutian di Melaka memang menyeronokkan khususnya untuk anak-anak. Cuma perlukan lebih masa lagi untuk lawati tempat-tempat bersejarah pula. Insya-Allah dilain ketika pula. Tempat penginapan di Hotel Seri Malaysia pun berbaloi dengan bayaran dikenakan. 

Ingatkan mahu menulis.

Tapi....

Baru mula dua ayat, mata pun buka tutup buka tutup...lama-lama tutup 'netbook'.





Mr. Activationist ke Mr. Passivationist?

Posted: Monday, December 20, 2010 by WZWY in Labels:
0

Dua tiga hari ini apa yang berlegar-legar dalam pemikiran saya ialah tentang apa yang saya baca berkenaan Mr. Activationist dan Mr. Passivationist.

Siapakah Mr. Activationist?

Orang yang berjaya dan aktif.

Siapakah pula Mr. Passivationist?

Orang yang sekadar 'cukup makan'.

Jadi, saya harus membuat pilihan untuk menyertai golongan manusia bersifat Mr. Activationist atau Mr. Passivationist.

Jika ditanya kepada sesiapa pun, pasti jawapannya ialah Mr. Activationist. Tetapi sejauh manakah apa yang kita mahukan itu terlaksana selari dengan apa yang kita lakukan.

Mr. Activationist didorong oleh usaha yang konkrit dan bertindak bagi mencapai sesuatu sasaran yang ditetapkan. Golongan ini juga memastikan idea dan rancangannya direalisasikan.

Manakala Mr. Passivationist pula suka bertangguh hingga dia 'membuktikan' kepada dirinya sendiri yang dia tidak patut ataupun tidak mampu mencapai sasaran itu. Golongan ini suka bertangguh hingga sudah terlambat bagi dia melakukannya.

Perbezaan dua golongan ini memang jelas. Misalnya, apabila mahu membeli sesuatu keperluan  di sebuah pasaraya. Mr. Activationist merancang keperluan apa yang mahu dibeli dan terus menuju ke pasaraya berkenaan. Mr. Passivationist juga merancang tetapi menangguhkannya pada masa yang lain. Dan banyak lagi contoh-contoh lain yang boleh kita ambil dan dijadikan iktibar atau yang sudah berlaku disepanjang hidup kita selama ini.

Suka bertangguh.

Salah satu perkara yang pernah berlaku kepada saya ialah apabila menangguhkan penulisan manuskrip ketiga saya dahulu. Ia menyebabkan jadual kerja bertindih dan mengabaikan beberapa perkara lain yang perlu dilakukan juga. Walaupun ada sebab tertentu, saya sepatutnya menyusun semula dan mengikuti jadual ditetapkan. 

Bengkel Penulisan Tahap 3 Bersama Puan Maria Kajiwa

Salah satu perkara yang saya TIDAK BOLEH tangguh ialah hadiri mana-mana bengkel penulisan yang sudah dirancang.

"Knowledge Is Power".

Alhamdulillah, bengkel yang diadakan pada 19hb Disember 2010 bertempat di UNIKEB, Bangi dan disertai 9 rakan penulisan lain berjaya dilaksanakan dengan jayanya.

Boleh dikatakan, Puan Maria Kajiwa banyak mempengaruhi cara atau perancangan untuk memulakan penulisan manuskrip. Walaupun masih belum mencapai tahap membanggakan, komitmen beliau amat tinggi dan saya benar-benar hargainya.

Kali ini beliau berkongsi tentang ESTETIKA, STRUKTUR PERENGGAN, BEDAH KARYA dan BRAINSTORMING B876. Ia cukup membuat saya teruja dan membangkitkan lagi semangat untuk belajar dan menulis dengan lebih baik lagi.

Secara ringkasnya ESTETIKA ialah bagaimana penulis mahu hidupkan suasana latar atau budaya setempat itu dengan cara berbeza dan menyebabkan pembaca lebih ingin tahu. cari keunikannya.

"You can't be a good writer if you can't write a good paragraph"

Bab Struktur Perenggan ini agak rumit dan bukan mudah untuk mempelajarinya dalam jangka masa singkat. Latihan dan pengalaman menulis akan membuatkan seseorang itu mahir dan selesa dengan penulisan struktur perenggan yang betul.

Terima kasih kepada Puan MK dan rakan-rakan seperjuangan yang tidak pernah kenal erti putus asa. Usaha perlu dilakukan berterusan jika mahu menggenggam sebuah kejayaan. Tiada orang lain dapat bantu kita selain diri sendiri disertakan DOA kepada Yang Maha Esa.

Saya seorang Mr. Activationist?

Buktikan....Buktikan....Buktikan....

9.17am
Shah Alam


Bukan HOBI tapi KERJA

Posted: Thursday, December 16, 2010 by WZWY in Labels:
0

Dua tiga hari yang lepas sempat berjumpa dengan Tuan Zakaria Sungib, Editor Kanan GISB. Apabila berjumpa, saya tidak lepaskan peluang untuk minta pandangan dan tunjuk ajar beliau.


Kebetulan pada masa itu beliau tunjukkan hasil karya terbaru Saudara Hilal Asyraf dan Novelis Muda GISB, Nurina Izzati. Tahniah buat mereka berdua terutama sekali Adik Nurina Izzati yang baru berusia 13 tahun ( kalau tidak silap saya ) sudah mampu menghasilkan novel pertamanya. Berbanding saya, ketika berusia lewat 30an baru mula menulis. Cabaran buat saya juga untuk terus menghasilkan karya-karya yang berkualiti dan digemari oleh pembaca. Ia bukan kerja mudah atau sekelip mata sahaja.


Gunakan MATLAMAT bagi membangunkan diri.
Itulah pegangan saya apabila mula menceburi dunia penulisan ini. Apabila ditunjukkan jalan oleh Tuan Zakaria Sungib pada April 2009 yang lalu, saya tidak pandang belakang untuk terus mengutip seberapa banyak ILMU berkaitan sebagai bekalan mengharungi kehidupan sebagai seorang NOVELIS.

MATLAMAT adalah SATU ketika itu...HASILKAN SATU NOVEL SEBELUM DISEMBER 2009. Alhamdulillah, ia jadi kenyataan dengan izin Allah SWT apabila Impian Juara berada di rak kedai-kedai buku pada Disember 2009.

Sekarang MATLAMAT saya makin TINGGI...mahu hasilkan DUA buah novel pada bulan Disember 2010 ini. Satu sudah terlaksana apabila sudah serahkan Manuskrip Impian Juara 2 pada 10 Disember 2010 kepada Editor Tuan Amir Hamzah.


Sekarang sedang menulis sebuah manuskrip lagi iaitu Siri Kedua Adib Adibah:Penyiasat Cilik.


"Ini adalah projek terbaru saya."


Tuan Zakaria meneliti rangka babak ke babak siri kedua dan bertanya." Bila nak mula tulis."


Saya menjawab," Sekarang."
 

Walaupun sekarang bertarung dengan musim peperiksaan OUM. Nampaknya saya kena bahagikan masa agar tidak masuk dewan peperiksaan dengan 'kepala kosong'. Harap-harap dapat jawab dengan tenang.


Tiada ALASAN jika mahukan KEJAYAAN
Walau sesibuk mana sekalipun, saya perlu siapkan juga Manuskrip Adib Adibah Siri Kedua ini sebelum tarikh akhir. Saya mahu pastikan novel ini berada di booth Galeri Ilmu pada PBAKL 2011 nanti. Itu MATLAMAT saya.

Saya tidak boleh berikan apa-apa ALASAN kecuali kehendak Yang Maha Esa.

Alasan menjadikan saya LEMAH dan TIDAK BERSEMANGAT.

Walaupun begitu segala perkara rutin harian perlu dilaksanakan juga tanpa kompromi. Tanggungjawab sedia ada jangan diabaikan. Kerja tetap kerja. 

Menulis bukan hanya sekadar HOBI...tetapi KERJA dan perlu dilakukan dengan cara yang TERBAIK. 

Saudara juga ada IMPIAN...laksanakan dengan MATLAMAT yang JELAS.
Wallahualam....

11.02am Cafe Annur Subang Permai.



Bakal Muncul Sekuel Impian Juara

Posted: Monday, December 13, 2010 by WZWY in Labels:
0

"Alhamdulillah," bisik saya apabila manuskrip terbaru sekuel IMPIAN JUARA akhirnya dapat diserahkan sendiri kepada pihak GISB pada 10 Disember 2010 yang lalu.

Penulisan manuskrip ini antara paling lama ditulis berbanding dua manuskrip sebelumnya. Banyak perkara berlaku yang menyebabkan penulisan manuskrip ini sering terganggu dan memaksa saya peramkannya beberapa kali. Manuskrip ini  juga adalah yang paling tebal ditulis. Mungkin apabila cerita sudah sampai penghujung, idea pun datang silih berganti.

Insya-Allah, sekuel IJ ini akan akan berada di booth GISB pada PBAKL 2011 nanti. Semoga dipermudahkan usaha ini.

Secara ringkasnya, kisah Impian Juara 2 sedikit berlainan dengan Impian Juara apabila watak berdepan dengan konflik berbeza dan memerlukan kekuatan emosi untuk atasinya. Kemunculan watak baru iaitu Adam Lee mungkin akan menambah perisa novel ini nanti.

***

Ahli pasukan As-Syabab masih lagi sibuk menerima ucapan tahniah daripada guru-guru lain. Sesungguhnya kejayaan mereka pada tahun ini amat bermakna sekali. Tahun ini merupakan tahun terakhir sebelum Cikgu Nordin bersara wajib pada awal bulan Oktober nanti. Oleh sebab itu, beliau tidak jemu-jemu memberi galakan kepada semua guru dan murid agar bersungguh-sungguh dan mencipta kejayaan.

“Imran.” Satu suara memanggilnya di belakang. Imran berpaling ke belakang. Nora tercegat di belakangnya dan tersenyum.

“Tahniah. Awak memang hebat.” Imran tersenggih mendengar pujian Nora. Walaupun sikap Nora sebelum ini amat menjegilkan Imran.

“Terima kasih. Saya gembira awak dan rakan sekelas lain datang beri sokongan.” Imran tidak sangka Nora dan rakan sekelas lain sanggup datang beri sokongan kepada pasukan As-Syabab.

“Kami sekadar beri sokongan untuk pasukan sekolah kita,” balas Nora pula.

“Saya juga mahu ucapkan tahniah sekali lagi.” Imran kehairanan. Dahinya berkerut.
“Tahniah apa lagi?” Tanya Imran penuh tanda tanya.

“Awak sengaja sembunyikan daripada kami ke?” Imran semakin hairan dan matanya mengecil memikirkan rahsia apa yang disembunyikannya.

“Aidi pun sama. Diam sahaja.” Nora terus berteka-teki. Imran gelisah apabila nama Aidi pula dikaitkan. Walaupun mereka rakan sekelas, namun dia jarang-jarang berbual dengan Aidi. Lagi pun Aidi lebih suka menyendiri daripada bercampur dengan rakan sekelas yang lain.

“Apa maksud awak?” Imran bertanya inginkan kepastian daripada Nora.

            Imran terkejut dan tidak percaya dengan apa yang didengarnya. Dia beberapa kali mengorek kedua-dua belah telinganya. Dia tidak pasti sama ada berita yang disampaikan oleh Nora itu satu kebenaran atau sebaliknya. Dia kaku seketika. Jantungnya dirasakan berhenti berdegup. Amarah menyelebungi dirinya ketika ini. Namun Imran menyembunyikan perasaan sebenar di dalam hatinya. Dia hanya mampu tersenyum kelat apabila ditegur guru dan rakan-rakan datang mengucapkan tahniah.

            “Betulkah cerita ini?”

***


Saya amat mengharapkan Novel Tarbiah Awal Remaja ini dapat dimanafaatkan oleh semua pembaca novel saya sebagaimana novel-novel terdahulu. Jika ada teguran dan komentar ikhlas boleh dihantar ke kotak email saya di wanzayu@gmail.com. Semoga saya dapat pertingkatkan lagi kemahiran dan hasil penulisan untuk novel-novel seterusnya. Terkini saya sedang merangka Siri Kedua Adib Adibah Penyiasat Cilik. Insya-Allah dapat disiapkan mengikut jadual.

Terima kasih.