Janganlah Membenci Suatu Kesalahan

Posted: Monday, December 26, 2011 by WZWY in Labels:
0

HATI MANA YANG TIDAK KECEWA apabila berdepan dengan seseorang yang melakukan kesalahan terhadap kita. Contoh, pasangan suami isteri berdepan krisis keluarga apabila kecurangannya dapat dihidu oleh isteri. Segala SMS telah dibaca oleh isteri. Kecewa dan marah hingga bawa diri. Tenangkan fikiran. Suami datang pujuk tetapi tidak diendahkan. Lama kelamaan isteri dapat terima semula selepas si suami berjanji tidak ulangi lagi kesilapannya. Alhamdulillah, rumah tangga dapat diselamatkan.

Bagaimana pula yang gagal selesaikan kemelut hubungan tersebut?

Maka mereka memilih jalan mudah iaitu perpisahan. Dan bukan suatu perkara mudah kerana banyak perkara yang perlu diselesaikan. Anak-anak, harta benda, dan sebagainya. Maka mereka tinggal berasingan mencari kebahagiaan masing-masing. Adakah itu penyelesaian terbaik mereka?

Janganlah membenci suatu kesilapan

Saya pernah buat silap. Pada isteri, anak-anak, adik-beradik, rakan-rakan dan juga pada ibu dan ayah tercinta. Dan begitu juga dengan anda. Kita tidak pernah lari daripada melakukan kesilapan sama ada disedari atau sebaliknya.

Kesilapan atau kesalahan yang kita pernah lakukan itu bukan bermakna satu pengakhiran dan berputus asa. Sesungguhnya kesilapan itu dapat menjadi platform yang mempertemukan kita dengan kebenaran. Kesalahan juga boleh menjadi proses yang efektif dalam mempelajari dan meraih sesuatu yang positif.

Mustahil jika kita pernah berjumpa dengan orang yang tidak pernah lakukan kesalahan atau kesilapan. Mungkin semalam atau sebentar tadi kita telah lakukan kesalahan dengan sedar atau tanpa sedar. Dan kita tidak tahu bahawa ada seseorang yang marahkan kita. Mereka ada sebab tersendiri. Jika dimaklumkan, maka kita tentu akan mohon maaf dan janji tidak ulangi. Contoh, sebentar tadi ada seseorang menyapa kita di sebuah kedai buku. Oleh kerana, asyik dengan membaca sebuah buku, kita tidak perasan dan berlalu begitu sahaja. Selepas itu terima SMS, "Awak sombong sekarang ya?" Ia dihantar oleh seorang rakan lama. Selepas itu barulah kita tersedar dan mohon maaf dan ajak rakan lama tadi minum teh di sebuah restoran berhampiran. Kita bukan sombong, tetapi keadaan pada masa itu membuatkan kita berada dalam situasi begitu.

Situasi itu tadi membuatkan kita lebih berhati-hati. Ini bermaksud bahawa jika orang yang tidak pernah lakukan kesalahan, tidak akan dapat benar-benar menghargai nilai sebuah kebenaran.

Contoh lain, katakan seorang rakan berjanji untuk keluar minum di sebuah restoran. Rakan tadi menunggu sampai satu jam tetapi kita tidak muncul-muncul. Dia telefon dan SMS tetapi kita tidak sedar. Hingga keesokkan harinya, dia berjumpa dan marahkan kita kerana mungkir janji. Kemudian, baru kita teringat bahawa kita memang berjanji untuk keluar minum semalam. Dan kemudian barulah kita ceritakan bahawa kita tertidur di atas sofa di depan televisyen dan tersedar pada pukul lima pagi. Kita mohon maaf dan belanja dia makan tengah hari. Nasib rakan boleh terima dan hubungan jernih kembali.

Jika seseorang itu pernah lakukan dosa-dosa besar. Bukanlah bermakna tiada jalan langsung untuk kita berubah. Pertama sekali perlulah bertaubat bersungguh-sungguh. Minta doa  dan keampunan daripada Allah SWT. Kemudian dekatkan diri pada-Nya. Lakukan solat sunat selain ibadah wajib. Jangan sesekali terjebak atau menghampiri dosa-dosa lampau. Teruskan bermujahadah dan sentiasa berzikir menyebut nama Allah SWT. Perbanyakkan sedekah dan menjalinkan hubungan baik dengan orang-orang yang soleh. Insya-Allah dosa-dosa kita akan diampun oleh Tuhan sebelum Dia menjemput kita menemui-Nya.

Kesimpulannya, selepas ini jangan marah jika anak-anak, pasangan, rakan atau sesiapa sahaja melakukan kesilapan. Ia adalah satu proses pembelajaran. Sama-sama perbetulkan kesilapan itu. Marah dan herdik bukan penyelesaian terbaik. Walaupun sudah jadi tabiat manusia akan terkeluar juga kata-kata menyakitkan hati. Bukan kata orang lain, kadang-kadang itu berlaku pada diri saya sendiri. Maka kita sama-sama dekatkan diri pada-Nya.  Berubah ke arah yang lebih baik. Insya-Allah kita akan diredhai dan diberkati.

Yakin dan pasti
Kerana Allah Maha Pengasih dan Maha Penyayang

MUJAHADAH SEORANG ISTERI SOLEHAH

Posted: Sunday, December 11, 2011 by WZWY in Labels:
0

Malam ini tidak sebagaimana malam-malam sebelum. Pengalaman seorang rakan persekolahan membuatkan fikiran dan minda saya 'terjaga'. Begitu kerdilnya saya dalam harungi kehidupan serba mencabar ini. Di manakah hilangnya rasa tanggungjawab sebagai seorang hamba Allah, anak, suami, ayah, abang, guru, sahabat, ahli masyarakat dan seumpamanya.

Saya terus menitip entri ini khusus buat wanita bergelar isteri. Isteri solehah yang sentiasa mendambakan ketaatan kepada suami tercinta. Di samping terus beribadah kepada Allah SWT.

Sesungguhnya kehidupan sebuah rumah tangga tidak sunyi dengan pelbagai pengalaman pahit manis yang dirasai. Mustahil dalam sesebuah rumah tangga hidup dalam keadaan sentiasa aman bahagia tanpa ada sedikit pun pengalaman yang menduga keimanan kepada Allah SWT dan ketaatan kepada pasangan. Pasti akan mengangguk setuju, bahawa mereka juga alami pelbagai onak duri sebuah perkahwinan.

Dalam usaha menjadi isteri solehah, sudah pasti pelbagai proses dan pengorbanan yang perlu dilakukan. Salah satu ialah mengikis sifat-sifat mazmumah yang sudah sekian lama bersarang dalam diri. Oleh sebab itu, dalam menuju ke arah menjadi wanita dan isteri solehah, Allah telah mengutuskan seorang suami yang akan menjadi penyebab bagi membongkarkan sifat-sifat mazmumah yang ada dalam diri masing-masing. Sebab, setiap hari isteri yang sentiasa menjalankan kewajipan mengharungi suka duka dan pahit maung perkahwinan. Akibatnya, segala sifat-sifat mazmumah dalam diri terserlah. Sifat pemarah, pendendam, gelojoh, dan sebagainya.

Satu perkara perlu ingat

Mungkin seseorang isteri yang menghiasi hidup mereka dengan sifat sabar dan redha apabila mendapat sesuatu perkara yang disukai, tetapi belum tentu boleh berbuat begitu apabila setiap kehendaknya dicabar. Begitu juga seorang isteri boleh mentaati suami yang bergaji lebih rendah sehingga kedudukan kewangannya pula dicabar. Maka ingatlah bahawa seorang isteri perlu melatih diri bermujahadah demi mencapai sifat-sifat mahmudah dan seterusnya menjadi isteri yang solehah.

Mujahadah seorang isteri....

1) Bila isteri lebih dikenali dan berpangkat daripada suami, isteri perlu beradab sopan di depan suami. Isteri juga perlu buang sikap meninggi diri bagu membolehkan dia mentaati perintah suami pula. Ingatlah bahawa kedudukan suami itu lebih tinggi di sisi Allah SWT.

2) Bila isteri lebih bijak, seorang isteri masih perlu meminta nasihat daripada seorang suami walaupun dalam hal-hal kecil. Isteri elakkan membantah atau memperleceh setiap idea suami.

3) Bila isteri sering ditinggalkan, seorang isteri perlu perbanyakkan ibadah sunat dan sibukkan diri dengan kerja-kerja berfaedah. Kenangkan peristiwa Siti Hajar ditinggalkan oleh Nabi Ibrahim a.s. Sambutlah kepulangan suami dengan hati terbuka dan istimewa.

4) Bila suami yang mencuaikan perintah agama, seorang isteri perlu tunjukkan sikap yang baik dengan melayan kehendak suami tanpa melanggar syariat Islam. Sentiasa doakan agar Allah berikan hidayah kepada suami. Bacalah bahan bacaan agama dan dengarilah lagu-lagu ketuhanan dan  zikrullah. Pujuk suami supaya tunaikan solat dan ceritakan janji Allah SWT jika abaikan solat. Isteri juga perlu perhalusi akhlaknya jika berdepan dengan suami yang pemarah atau suka memukul isteri.

Insya-Allah perkongsian ini dapat berikan sesuatu kebaikan untuk semua. Tuan-tuan dan puan-puan seorang yang hebat dan cemerlang. Buktikan kita mampu laksanakan setiap perintah Allah SWT tanpa ragu-ragu dan istiqamah. Nasihat ini paling utama untuk diri sendiri. Insya-Allah.

Akhiri dengan sepotong hadis Rasulullah SAW :

"Apabila seorang isteri meninggal dunia, dan suaminya redha ke atasnya, dia akan masuk syurga."

ERTI SEBUAH PERSAHABATAN

Posted: Thursday, December 8, 2011 by WZWY in Labels:
0

KOLAM MATA AFIQ BERGENANG. Belum pernah dia mengalirkan air mata sejak satu peristiwa besar berlaku dalam keluarganya sebelum ini. Dia tidak menduga dalam persoalan kerja dia harus menerima tamparan begini. Dia tidak pasti sama ada suatu gurauan atau menunjukkan keseriusan rakan sekerjanya.

Dia akui kesilapannya mematuhi jadual kerja di kilang milik bapa saudaranya. Namun begitu dia tidak pernah ambil kesempatan untuk ponteng atau 'mengular' walaupun kilang itu milik bapa saudaranya.

"Abang Long, ibu baru dikejarkan ke hospital dan dimasukkan ke wad."

"Kenapa?"

"Penyakit lama, darah tinggi."

Afiq terdiam seketika. Kerja masih banyak perlu dibereskan. Semua cuti dibekukan. Apa yang mampu dilakukannya.

Nasib baik ada ibu saudara dan sepupu yang prihatin. Mereka menjaga ibu semasa berada di wad dan ibu dibenarkan pulang setelah tiga hari tidur di katil hospital. Kebetulan seminggu selepas itu, pegawai dibenarkan bercuti. Pada saat itu, jadualnya bertindih antara tugasan di pejabat dan ibu yang baru keluar hospital. Salah seorang adik sudah pulang ke kampung. Ibu bertanyakan di mana Abang Long. Dia serba salah. Lantas dia mengadap Tuan Pengarah meminta kebenaran pulang ke kampung. Nasib dia baik apabila dibenarkan. Namun dia tidak mampu untuk balik menjenguk ibu 1-2 hari dan kembali semula ke ibu kota dalam waktu terdekat. Jarak 500KM bukannya dekat. Dia ambil keputusan bercuti tiga minggu dan akan balik semula ke pejabat dan bertugas sehingga penghujung tahun.

Kecewa dan bersalah

Afiq rasa kecewa dan bersalah apabila apabila rakan setugas persoalkan bagaimana dia boleh mendapat cuti tersebut. Lalu dipersoalkan kehalalan gaji dan amanah yang dipikulnya. Kenapa baru sekarang berfikir tentang kerja sebelum menerima jawatan di pejabat sebagai pengurus. Afiq tercengang seketika. Rakan yang dianggap saudara pantas mempersoalkan dirinya amanah atau sebalik. Afiq rasa sangat kecewa apabila bukan sekali tetapi berkali-kali dia disindir tentang tanggungjawab dan amanah. Dia sedar jadual kerja yang padat dan jarak kampung yang jauh menyebabkan waktu terbatas untuk ulang alik.

Tiba-tiba Afiq mengalirkan air mata kecewa dan bersalah kerana menyebabkan rakan sekerja menanggung kerjanya. Tapi dia juga kesal kerana bukan dia terus bercuti. Dia akan kembali dalam masa terdekat. Afiq juga mengimbaukan kembali kenangan bekerja dalam satu pasukan sebelum ini. Tiada masalah. Tiba waktu dia ada masalah, dan bukan selalu berpeluang balik kampung menjenguk ibu keseorangan. Dia dipersalahkan. Tiada rasa untuk bantu-membantu. Kerana ini hari dia, mungkin pada masa akan datang giliran dia pula membantu rakan sekerjanya. Semua itu percaturan Allah SWT.

Apa yang dia boleh lakukan sekarang. Dia mula sedar apa itu erti sebuah persahabatan. Erti sebuah pertemuan dan perpisahan. Mungkin rakannya juga ada masalah tersendiri. Dia berfikiran positif. Tapi hati kecil tetap rasa bersalah dan kecewa.

Apabila persoalan AMANAH dbangkitkan. Dia mula rawan. Apakah ini perlu dibangkitkan kerana kepulangannya menjengguk ibu di kampung. 

Afiq mula faham sekarang. Benarlah kata guru, " Kau akan kecewa jika menaruh pengharapan kepada sesama manusia. Oleh itu, menaruh haraplah kepada Allah kerana dia Maha Penyayang dan Maha Pemberi."

Tidak mengapa, dia mula tahu.
Tidak mengapa, dia mula sedar.
Erti sebuah persahabatan.
Wallahualam.

Tulis Novel Anda Pun Boleh!

Posted: Tuesday, December 6, 2011 by WZWY in Labels:
0

ENTRI KALI INI KHUSUS buat sahabat-sahabat yang berminat menceburi bidang penulisan novel. Dan saya percaya ramai akan mengatakan menulis sebuah novel itu sangat-sangat sukar sekali. 

"Saya nak tulis satu perenggan pun susah."

"Saya baca novel okey, kalau menulis memang tak mampu."

Ketika saya mula-mula mahu memasuki dunia penulisan dulu, jalan laluan saya dipermudahkan apabila berjumpa dan duduk berbincang dengan Tuan Haji Zakaria Sungib di sebuah restoran berdekatan Astana Karya yang menempatkan Galeri Ilmu Sdn Bhd di Kota Damansara.

Alhamdulillah. Sesungguhnya ia dipermudahkan oleh-Nya dalam usaha saya mengasah bakat penulisan yang tidak pernah saya lakukan sebelum ini kecuali di blog sahaja.

Di antara buku panduan penulisan terbaik

Apabila saya ditanya tentang penulisan manuskrip novel. Saya mencadangkan sebelum menulis sebuah manuskrip, sila baca terlebih dahulu buku tulisan Sifu penulisan saya iaitu Puan Maria Kajiwa (MK). Buku Tulis Novel Anda Pun Boleh adalah sebuah buku panduan penulisan novel yang terbaik dijadikan rujukan selain buku-buku panduan yang lain. Penerangan yang lengkap dan dipermudahkan oleh Puan Maria untuk kita memahami beberapa istilah dan juga teknik penulisan yang betul.

Sejujurnya saya sentiasa bawa buku ini apabila balik kampung atau ke luar daerah jika berkursus. Ia menjadi salah satu bahan bacaan wajib bagi mempertajamkan skil penulisan. Kadang kala sebagai manusia yang sentiasa alpa ini selalu lupa tentang beberapa perkara dan ia perlu sentiasa diulang baca berkali-kali.

Saya tiada apa-apa komisyen atau diberikan saguhati jika sahabat-sahabat membeli buku ini. Ia sebagai satu perkongsian untuk bakal penulis atau sudah pun bergelar penulis menambah ilmu pengetahuan. Tidak rugi untuk dimiliki.

Jika berminat, boleh lawati blog TULIS NOVEL
Wallahu alam..semoga perkongsian ini memberikan  sesuatu yang berguna. Insya-Allah.

Rehlah di Hutan Lipur Changkah 2 Setiu.

Posted: Sunday, December 4, 2011 by WZWY in Labels:
0

SETIAP KALI BALIK BERCUTI di Setiu, Hutan Lipur Changkah 2 menjadi destinasi wajib bagi kami sekeluarga.

Alhamdulillah, cuaca pun cerah dan orang pun tidaklah ramai pada waktu ini. 

Orang paling seronok ialah Ziyad, Zikry, Zali, Hijazi dan dua anak saudara (Ikram dan Najla) yang ikut serta.
Adik lelaki Joe dan dua adik ipar  (Mat & Aidi) juga tidak ketinggalan yang sudah tiba lebih awal lagi. 

Selain cuaca baik, air pun agak deras berbanding hari-hari biasa kerana masih lagi dalam musim tengkujuh yang melanda pantai timur sebelum ini. Air di sini pun agak dalam sedikit berbanding ketika kami berkunjung ke Riverside Janda Baik sebelum pula ke kampung tempoh hari.


Akvitiviti sebegini sangat dinantikan oleh 4 hero. Apatah lagi semasa perjalanan pulang ke kampung baru-baru ini mereka dijanjikan berenang di Bukit Gambang Resort, tetapi apabila melihat lautan manusia di sana. Saya terpaksa batalkan hasrat tersebut. 

Insya-Allah, sebelum pulang ke Shah Alam hujung minggu nanti. Ada rezeki, berkunjung lagi ke sini. Lokasi ini saya telah muatkan juga dalam Impian Juara 1.