Showing posts with label Cinta. Show all posts
Showing posts with label Cinta. Show all posts

Selagi Hayat Masih Ada

Posted: Friday, November 15, 2013 by WZWY in Labels: , ,
0

"Ingatlah, kita mencintai mereka bukan kerana mereka mencintai kita. Tetapi kerana perintah Allah agar mencintai mereka." Lelaki ini terduduk seketika memikirkan setiap patah ungkapan seorang pendakwah di corong radio di awal-awal pagi begini. 

Entah mengapa, hari-hari yang dilalui kini cukup memeritkan emosi dan sanubarinya. Sungguh ia sukar mengerti dengan apa yang berlaku. Segalanya sudah dilakukan dengan kadar kemampuannya. Mungkin benar, dia bukanlah seorang lelaki sempurna. Lelaki yang bergelar seorang suami dan ketua keluarga bukanlah mudah. Banyak yang ditanggung. Bukan hanya sekadar urusan duniawi semata-mata.

Sesungguhnya dia sedar, dia sedang diuji oleh Maha Esa. Diuji erti cinta dan erti sabar. Dan dia sentiasa pahatkan dalam diri bahawa hidup ini sangat singkat untuk membenci. Biar pun dalam jiwa raganya terselit rasa kecewa. Dia redha dengan kehendak-Nya. Mungkin ini balasan di atas segala kesilapannya yang lalu.

Sungguh dia mahu mendengar juga kata-kata manis daripada si dia di sisi. Namun tampak sukar dan mustahil buat ketika ini. Bila dia menoleh ke seberang, melihat pasangan bahagia bercerita. Dia mula tunduk sendiri. Semuanya sudah berlalu jauh. Jauh dan semakin menjauh meninggalkan dirinya yang sentiasa diulit rasa rindu sebuah kebahagiaan.

"Allah sedang menguji cintamu." Demikianlah nasihat seorang teman. Dan dia kembali melemah. Sesungguhnya dia masih bertahan dan bertahan. Dan entah bila kan berakhir. Dia menggeleng.

Sudah lama dia biarkan rasa cinta itu bersendiri. Tiada siapa yang mengerti apa yang dia rasa. Biarlah dia sendiri depani segala kemungkinannya. Dia mahu berubah yang lebih nyata. Mahu menjadi seorang yang terbaik. Harapan menggunung pastinya belum cukup untuk yakinkan si dia. Dan lelaki ini terus diberi layanan yang bukan sewajarnya. 

Akur.

Sesungguhnya satu perkara dipelajari bahawa rasa amarah itu adalah api dalam hati kita. Mahu dikawal dan dibendung dengan iman dan takwa. Kalau tidak, kelak bencana menimpa. Maka dilontar jauh-jauh walau sedikit rasa benci. Walaupun dia tahu, bahawa rasa dicintai itu hanya mimpi. Namun dia tidak lelah untuk terus berdoa dan berdoa pada Yang Esa.

Segalanya mungkin.

Selagi hayat masih ada. Dia akan berusaha. Walau kadang kala datang rasa hampa yang teramat. 

"Oh Tuhan! Kau sedang mengujiku erti cinta dan erti sabar. Aku redha segalanya. Aku akan lalui ranjau hidup ini selagi aku berdaya."

Berilah kemaafan.
Itulah yang terbaik.



Jangan Begitu...

Posted: Thursday, November 8, 2012 by WZWY in Labels: , ,
0

"Itulah, ibu suruh rajin-rajin belajar."

"Mengaji pun masih belum khatam lagi. Harap ayah kamu tahu nak anak saja. Tak boleh ajar mengaji."

Si ayah yang sedang memasak di dapur hanya diam sahaja. Hatinya terkesan dengan kata-kata isteri. Isterinya memang mahir dalam bidang al-Quran. Si ayah pula kebetulan seminggu dua ini sanggup ke dapur apabila melihat isteri yang kurang sihat. Nampaknya segala apa yang dilakukan selama ini bagaikan tidak dihargai. Bukan mudah untuk seorang suami masuk ke dapur walaupun jahil dalam masak-memasak. Sanggup pula cetak resepi di internet. 

Tapi.....dia berasa hampa. Setiap kali menasihati anak, dirinya dijadikan sandaran. Tanpa melihat segala kebaikan yang dilakukannya.

"Sungguh sukar, jika seseorang itu masih dibayangi hidup silam berbanding apa yang dilalui sekarang." Si suami merenung kembali saat-saat yang berlalu dahulu. Memang dia kurang memberi perhatian terhadap keluarga.

"Tidak mengapa. Lebih baik aku koreksi diri sendiri. Biarkan apa juga sangkaanya. Allah tahu apa yang aku fikir. Allah sahaja tahu apa yang aku lakukan sekarang," keluhan lemah si suami.

___________________________

Situasi yang bukan pelik dalam sesebuah rumah tangga. Tak kiralah di pihak isteri atau suami, kedua-duanya perlu ambil berat perkara ini. Jangan hanya melihat kekurangan pasangan tanpa menilai inci demi inci kebaikan pasangan.

"Cinta ialah kita banyak memberi". Nasihat guru.

Kebiasaan orang selalu mengomel dia tidak dapat itu, tidak dapat ini. Dia sepatut diberikan itu dan ini. Tanpa sedar apa pula yang dia telah berikan untuk pasangan. Sama ada berbentuk fizikal, mental atau emosi.

Kata-kata manis juga merupakan salah satu pemberian yang cukup mengesankan berbanding berwajah muram durja apabila berdepan dengan pasangan. Mungkin isteri merasakan dia mampu hidup berdikari dengan pendapatan yang ada, tetapi harus diingat bahawa sudah ramai para isteri kecundang dalam mengurus keluarga dan anak-anak apabila bersendirian. Memang ada yang sukses dan hidup lebih baik. Itu tidak dinafikan. Namun seramai mana miliki jiwa kental sebegitu.

Lebih molek saling hormat menghormati. Segala kekurangan ditampung dengan kelebihan yang kita miliki. Tambah baik hubungan agar ianya dirahmati Allah SWT. Bukannya terus diselubungi rasa aku di pihak yang benar.

Sedarlah...syaitan amat suka pasangan suami/isteri yang sentiasa bermasam muka. Mereka akan terus menghasut hingga hujung nyawa kita. Semakin jauh hubungan, semakin mereka bertepuk gembira.

Mahukah kita begitu?
Tewas dengan hasutan syaitan laknatullah.

Fikir-fikirkan. Tanya Iman.


Al-Faqir Wan Zayuhisham
Bantu aku, waktu aku jatuh.

WHO LOVES YOU?

Posted: Friday, July 1, 2011 by WZWY in Labels:
0

SUATU PERTANYAAN YANG memungkinkan jawapan yang berbeza-beza. Maka ia dilihat daripada siapa dan kenapa mereka menyayangi kita sepenuh jiwa raga. Sesuatu yang amat pahit untuk ditelan jika kita tidak pasti siapa yang benar-benar menyintai atau mengasihi kita. Nasihat guru, sebelum kita dicintai atau disayangi, kita perlu terlebih dahulu menyintai dan menyayangi. Mungkin ia ada kebenarannya yang kebanyakan kita alpa.

Masih ingat tentang kisah tragis kehidupan satu pasangan yang dikahwinkan tanpa ada rasa cinta. PUDARNYA CINTA CLEOPATRA, sebuah novelet hasil karya Habiburrahman El Shirazy. Ia mengisahkan watak utama yang terpaksa mengahwini Raihana atas permintaan ibunya. Dia amat menyayangi dan taat segala perintah ibu. Manakan mampu untuk menolak permintaan ibu untuk mengahwinkannya dengan calon isteri pilihan ibu. Tanpa rasa cinta dia mengahwini juga Raihana. Kehidupan pura-pura itu berterusan. 

Isteri Yang Taat

Walaupun Raihana seorang wanita solehah dan isteri yang baik tingkah lakunya, si suami ini tetap juga teringatkan kecantikan gadis-gadis Mesir. Maka dia hanya bersikap acuh tidak acuh dengan layanan istimewa isterinya. Walaupun begitu, Raihana tetap taat dan tidak sesekali mengabaikan tanggungjawabnya. Akhirnya Raihana disahkan hamil dan menggembirakan kedua ibu bapa mereka. Si suami tetap begitu juga. Terus berpura-pura.

Kisah Pak Agung

Pak Agung salah seorang pensyarah muda yang cemerlang. Kecerdasan dan kehebatannya membolehkan dia menyunting seorang puteri kesayangan ketuanya iaitu Judit Barton, seorang wanita yang sungguh jelita. Walaupun sebelum itu ia mahu dikahwinkan dengan wanita tempatan seorang hafizah Al-Quran. Pak Agung berjaya melanjutkan pelajaran di Amerika Syarikat dan mereka dikurniakan seorang anak. Ketika di Amerika, Pak Agung terpaksa menceraikan isteri yang jelita itu apabila isterinya ditangkap bersekedudukan dengan kekasihnya warga Amerika. Jiwa Pak Agung meronta. Pulang ke kampung halaman bagi menenangkan jiwa. Namun dia tidak mampu melawan kehendak hidup apabila terpaksa menjalani pemeriksaan psikologi. Begitulah kisah Pak Agung, mendewa-dewakan wanita Barat jelita berbanding calon pilihan keluarga.

Sedar

Si suami ini kemudiannya tersedar daripada lamunan. Bahawa Raihana adalah isteri yang sewajarnya dicintai dan dikasihi. Dia hanyut dengan dunia imaginasi sendiri. Insan yang ada dan dekat tidak dihiraukan. Mendambakan cinta yang tiada kepastian. Dia pulang ke rumah sebelum ke rumah mentua untuk bertemu isteri tercinta. Namun dia tersentak menemui puluhan surat cinta berwarna merah jambu di bawah katil. Sangkanya isteri sudah curang. Darah panas menggelegak.

Namun dia terduduk. Apabila membaca surat-surat cinta itu adalah luahan perasaan isterinya sendiri terhadapnya. Ungkapan batin Raihana amat menyentuh perasaannya. Raihana menulis bahawa dia amat menyintai suaminya.Dia sentiasa berdoa tanpa jemu agar suaminya menyanyangi dirinya. 

Di antara ungkapan doa Raihana ialah,

Ya Allah, inilah hamba-Mu yang kerdil penuh noda dan dosa kembali datang mengetuk pintu-Mu, melabuhkan derita jiwa ini kehadarat-Mu. Ya Allah, tujuh bulan sudah hamba-Mu yang lemah ini hamil penuh derita dan dalam kepayahan. Namun mengapa begitu tega suami hamba, ia tak mempedulikan hamba dan membiarkan hamba. Masih kurang apa rasa cinta hamba padanya. Masih kurang apa kesetiaan hamba padanya. Masih kurang apa baktiku padanya? Ya Allah, jika memang masih ada yang kurang, ilhamkanlah pada hamba-Mu yang dhaif ini cara berakhlak yang lebih mulia lagi pada suaminya.

Ungkapan doa ini masih lagi berbaki. Maka boleh baca dalam versi penuh di dalam novel berkenaan. Ia cukup hebat untuk tatapan semua. Maksudnya ia cukup terkesan.

Air mata si suami mengalir deras. Terus pulang mahu mendapatkan isteri dan anak sulungnya. 

"Mana Raihana Bu?"

Ibu mentua hanya menangis dan menangis. Aku terus bertanya apa sebenarnya yang terjadi.

"Isterimu, Raihana isterimu dan anakmu yang dikandungnya!"

"Apa yang dah berlaku padanya?"

"Dia telah tiada."

"Apa kata ibu?"

"Isterimu telah meninggal dunia, seminggu yang lalu. Dia terjatuh di bilik mandi lalu kami membawanya ke rumah sakit. Dia dan bayinya tidak selamat. Sebelum meninggal dunia dia berpesan supaya memintakan kemaafan kepadamu selama bersamamu. Dia meminta maaf kerana tidak mampu membuatmu bahagia. Dia meminta maaf kerana telah tidak sengaja membuatmu menderita. Dia meminta kamu meredhainya." Hatiku bergetar hebat.

"Ke...kenapa tidak memberitahuku?"

"Ketika Raihana di bawa ke rumah sakit, ibu telah mengutus seseorang menjemputmu di rumah sewamu, tetapi kamu tidak ada. Apabila dihubungi ke kampus, didapati kamu sedang mengikuti kursus di Jawa Barat. Kami tidak ingin mengganggumu. Apalagi Raihana berpesan agar jangan sampai kami mengganggu ketenangan mu selama kamu berkursus. Dan ketika Raihana meninggal dunia, kami berasa sangat sedih, kami dicengkam kesedihan tiada terkira. Jadi maafkanlah kami!"

Aku menangis tersedu-sedu. Hatiku sangat pilu. Jiwaku remuk. Ketika aku merasakan cinta yang membara pada Raihana, dia telah tiada. Ketika aku ingin menebus semua dosa yang kuperbuat padanya, ia telah meninggalkan aku. Ketika cintaku padanya sedang membuak-buak, rinduku padanya menggelegak-gelegak, dan aku ingin memuliakannya sepanjang hayatku, ternyata aku sudah terlambat. Dia telah tiada. Dia telah meninggalkan aku untuk selamanya tanpa memberikan aku kesempatan kepadaku untuk sekadar meminta maaf dan tersenyum padanya. Tuhan telah menghukumku dengan penyesalan dan rasa bersalah tidak terkira.

Ini merupakan sebahagian kisah menyayat hati seorang suami yang sedar tetapi sudah terlambat untuk membina istana bahagia apabila Allah terlebih dahulu menjemput isterinya ke sisi-Nya.

Hargailah pasangan kita. Sayangilah pasangan kita selagi mereka ada hayat dikandung badan. Selagi itu kita mampu untuk tertawa, tersenyum, berbicara, dan bergurau senda. Andai nanti dia dijemput Ilahi, kita akan sesal di sepanjang hayat. Begitu juga sebaliknya.

Ikutkan rasa hati marah, hati yang sakit, hati yang robek. Memang kita tidak akan mampu untuk memaafkan atau melupakan peristiwa lalu. Tetapi fikirkan setiap apa berlaku itu kehendak-Nya. Apa daya kita sebagai hamba-Nya. 

Adakah dengan rasa marah itu memungkinkan kita beralih arah? Adakah dengan pengalaman pahit lalu membuatkan cinta kita terus mati dan tidak boleh subur lagi? Lihat juga pada diri kita. Sejauhmanakah kita. Kita sebenarnya hamba yang sungguh kerdil. Sungguh kerdil.

Who Loves Me?

Hanya ALlah Maha Besar pemilik segala CINTA. Aku berserah pada-Nya. Aku tidak mampu untuk memaksa. Aku tidak mampu. Ia aku tidak mampu. Berserah dan Redha pada ketetapan-Nya. Memang aku berdosa dan hina sebagai hamba-Nya. Namun aku juga punyai hati nurani untuk terus berubah dan berubah menjadi insan lebih baik daripada semalam. Aku juga punyai perasaan. Aku juga tidak mampu untuk menahan dirimu daripada merindui yang lain. Rindu itu indah. Lebih indah merindui Maha Pencipta. 

"Cinta tidak menyedari kedalamanya, sampai ada saat perpisahan ." (Kahji Gibran)

Akhir kalam, peluang untuk saya bertanya tuan/puan pula,

WHO LOVES YOU?

Saat Yang Begini...? Tidak Mahu! Apa Daya Kita?

Posted: Thursday, June 9, 2011 by WZWY in Labels:
0

"Jika sanggup datang mesti sanggup pulang bertemu tidak jemu, berpisah tidak gelisah jika semuanya kerana ALLAH." 

Memang sukar untuk seseorang melupakan saat-saat indah bersama. Tanyalah kepada sesiapa pun termasuk diri sendiri. Adakah begitu mudah melupakan seseorang yang kita berikan sepenuh kepercayaan.

Dan sukar untuk menerima apa yang dikatakan 'suatu perpisahan'. Tidak rela lepaskan tangan. Tidak rela berjauhan. Tidak rela hilang di mata.

Sejauhmanakah kemampuan kita melawan TAKDIR yang Maha Kuasa? Kita hanya mampu TADBIR dan TAKDIR itu kekuasaan Allah semata. 

"Awak cuma buat alasan kerana ini takdir semata-mata. Katakan bahawa awak sudah tidak sayangkan saya."

"Bukan begitu. Ada beberapa perkara yang sukar diterangkan."

"Begitu mudah awak menyerah pada takdir."

Diam tiada jawapan.

"Banyak impian saya ingin capai bersama awak. Awak tahukan?"

Masih lagi diam.

"Maafkan saya. Jadikan impian awak itu hanya suatu mimpi."

"Inilah lelaki. Sukar untuk dipercaya."
"Saya fikirkan kebaikan bersama. Saya tidak mahu menjadi seorang yang zalim. Membina kebahagiaan di atas penderitaan orang lain."

"Kenapa sebelum ini tidak fikirkan itu semua?"

"Kerana saya sayangkan awak. Saya mahu impian itu menjadi satu realiti tetapi..."

"Tetapi apa?"

"Saya tidak boleh membohongi diri saya sendiri. Saya tidak sanggup biarkan mereka meratapi apa yang bakal kita bina. Sebelum ini saya ingatkan semua itu mudah. Kini saya sedar dengan apa yang berlaku, saya harus berkorban."

"Korbankan cinta kita?"

"Kalau itu yang terbaik dan diredhai-Nya."

"Awak sengaja permainkan saya?"

"Demi Allah bukan itu niat saya. Bukan begitu..."

"Habis itu, kenapa awak buat keputusan ini?"

"Kerana inilah jalan terbaik yang harus kita tempuhi. Saya banyak berdosa pada awak."

"Senang bagi awak."

"Zahirnya nampak senang dan mudah. Tapi dalam hati hanya Allah yang tahu. Begitu sukar keputusan ini dibuat. Bukan mudah."

"Baiklah. Kalau itu keputusan awak. Terserah. Doakan saya agar dapat lupakan awak buat semumur hidup saya."

"Jangan sampai begitu."

"Sesungguhnya jika ada pertemuan, itu dengan izin dan takdir-Nya. Sesungguhnya jika terus berpisah, itu adalah kehendak-Nya juga. Apalah daya dan mampu kita. Hanya Hamba di dunia sementara ini."


Usah sama sekali membenci kerana kebencian akan membakar diri sendiri bukan orang yang kita benci itu.

Memaafkan orang lain bererti memaafkan diri sendiri, hidup terlalu singkat untuk membenci, sucikanlah hati mencari ALLAH.

Memang sukar untuk kuputuskan keputusan ini, lagi sukar untuk memutuskan ikatan ini.

Inilah realiti kehidupan kita di muka bumi ini. Hidup hanya sementara tetapi masih ramai terus dilamun cintakan dunia semata-mata. Lupa penghujung kita di mana. Lupa siapa pencipta. Lupa untuk kenali diri. Lupa untuk mencari bekalan untuk dibawa di alam kekal selamanya. Perpisahan dan pertemuan adalah lumrah kehidupan. Mungkin ia perlu ditangisi tetapi jangan biarkan kita menangis untuk sepanjang hayat kita.Masih ada ruang untuk kita. Carilah ia....




MEMBINA RASA KEHAMBAAN

Posted: Saturday, June 4, 2011 by WZWY in Labels:
0

SEGALANYA MILIK ALLAH. SEGALANYA KETENTUAN-NYA. SEGALANYA KEKUASAAN-NYA.

Kita tidak dapat nafikan semua perkara yang berlaku adalah di bawah kekuasaan Allah. Suka atau sebaliknya, ia ada hikmah di sebaliknya.

Oleh sebab itu, di dalam diri kita perlu ada RASA KEHAMBAAN kepada-Nya.

Rasa Kehambaan ini ialah rasa yang perlu ada di dalam hati seseorang hamba Allah terhadap Tuhan-Nya. Antara rasa itu ialah rasa miskin, jahil, lemah, bersalah, hina dan lain-lain lagi. Inilah sebenarnya kekurangan kita. Atau sebenarnya kita tidak ambil tahu apakah yang perlu kita rasa di atas setiap berlaku. Apabila diuji dengan kesakitan, kemiskinan, cercaan misalnya, seseorang yang memiliki rasa kehambaan akan nampak segala-galanya itu datang dari Allah SWT. Firman Allah SWT yang bermaksud :

"Katakanlah : Tidak sekali-kali akan menimpa Kami sesuatu pun melainkan apa yang telah ditetapkan Allah bagi kami. Dialah Pelindung kami, dan ( dengan kepercayaan itu ) maka kepada Allah jualah hendaknya orang yang beriman bertawakal."
( Surah al-Taubah 9:51 )

CINTA TIDAK KESAMPAIAN

Memang ia sesuatu yang sukar apabila insan yang dicintai tidak dapat dimiliki. Walaupun semua orang tahu bahawa pemilik sebenar cinta ialah Allah SWT. Hakikat ini sukar untuk diterima apabila apa yang dihajati tidak kesampaian. Berapa ramai remaja yang bercinta 'bagai nak rak', tetapi akhirnya cinta mereka berkubur di pertengahan jalan. Paling menyedihkan selepas mereka bergaul melebihi batas-batas syariat yang dibenarkan. 

Kadang kala ujian rasa cinta itu hadir selepas bertahun-tahun kemudiannya. Dikala masing-masing sudah terikat dengan tanggungjawab sebagai suami atau isteri. Di zaman era teknologi dunia global masa kini. Laman-laman sosial menjadikan perhubungan di antara sesama manusia tiada batasan lagi. Tidak terikat sebagaimana menggunakan kecanggihan telefon atau telefon mudah alih. Dalam sekelip mata kita dapat melihat seseorang yang lama tidak berhubung itu di depan mata. 

Memang pahit apabila gagal untuk pertama kali. Dan ia bertambah derita apabila pertemuan kedua diakhiri dengan perpisahan juga. Begitu tidak adilkah perkara ini berlaku kepada kita? Itulah yang dikatakan oleh Imam Al-Ghazali bahawa cukuplah seseorang hamba dikatakan sudah memberontak kepada Tuhan-Nya apabila dia menukar kebiasaan-kebiasaan dalam hidupnya apabila diuji Allah dengan sesuatu yang tidak disukainya.

Jika tiada rasa kehambaan ini, kita boleh lupa siapa sebenarnya mengatur setiap langkah kehidupan kita. Biarkan cinta itu pergi dikala kita sudah ada tanggungjawab yang perlu ditunaikan. Ia memang sukar diterima tetapi harus dihadapi oleh seseorang yang menjalinkan semula cinta lama.

"Cintailah apa yang ada, jangan cintai apa yang tiada. Keluar daripada kenangan lampau. Hadapi kenyataan hari ini."

"Memang sukar melupakannya."

"Mana sukar melepaskan yang sekarang daripada melepaskan cinta lama?"

"Kedua-duanya sukar."

"Hadapilah sesuatu dengan ketenangan. Fikirkan buruk baik di atas segala dilakukan."

"Melepaskan seorang dengan melepaskan tiga atau lima orang. Mana yang harus dipilih?"

"Maksud awak?"
"Melepaskan 'kekasih lama' dengan melepaskan isteri dan anak-anak."

"Tentulah yang seorang, kerana di sana pun perlu melepaskan tiga atau lima orang juga. Mana mungkin menzalimi orang lain untuk kebahagiaan diri sendiri."
"Jadi awak sudah ada pilihan sekarang. Tidak semua yang kita inginkan boleh kita perolehi kesemuanya. Hanya insan tertentu yang mungkin mampu hadapi semua itu."

"Kenapa sebelum menjalinkan hubungan semula tidak fikirkan semua itu?"

"Entahlah. Mungkin kerana desakan nafsu rasa cinta yang membuak-buak. Dan.."

"Dan rasa kesepian?"

"Mungkin juga."

"Paling baik. Berterus terang dengan pasangan. Katakan yang sepatutnya. Jangan biarkan rasa sepi, rasa terasing itu berterusan. Bukan ini cara penyelesaiannya. Itulah yang sepatutnya dilakukan."


Ini adalah sebahagian contoh realiti yang berlaku dalam masyarakat. Ujian datang secara tiba-tiba, tanpa disedari. Jika tiada rasa keimanan dan kehambaan pada-Nya. Kita boleh hanyut dan mengabaikan tanggungjawab sepatutnya. Ini adalah ujian. Ujian kehidupan untuk menaik tarafkan tahap keimanan kita. Atau mungkin untuk menyedarkan kita.

Andai dipertemukan juga pada suatu hari nanti. Ia adalah ketentuan-Nya. Kita harus redha dan mengakui tiada sesuatu yang mustahil boleh berlaku dengan keizinan-Nya. Percayalah.

Cinta itu indah. Lebih indah lagi kita mencintai yang UTAMA iaitu ALLAH SWT. Kita hanyalah HAMBA PADA-NYA. MOHON PADA-NYA. RATAPI SEGALA KEDUKAAN PADA-NYA. PASTI KITA AKAN TENANG KERANA KETENANGAN ITU MILIK-NYA.


i'm so in love....

Posted: Friday, May 27, 2011 by WZWY in Labels: ,
0

Sukar untuk dinafikan bila perasaan cinta itu bersemi di dalam hati seseorang. Tidak kira sama ada ia benar atau sebaliknya...cinta tetap bersemadi di dalam jiwa.
 
Cintailah pada yang hak. 

Kerana CINTA manusia sanggup lakukan apa sahaja. Demi meraih hati orang yang dicintai. Walaupun tidak semua mampu hadapi pancaroba dalam bercinta.

CINTA tidak pernah buta. Hanya manusia yang BUTA menilai sebuah CINTA. Apabila CINTA tidak disertakan IMAN di dalam diri, maka terjadilah sesuatu yang dimungkari oleh Maha Kuasa. Tidak kira seseorang itu ALIM atau JAHIL hukum hakam agama. Apabila nafsu pengaruhi jiwa, maka segala pantang larang dirempuh jua. Demi sebuah dinamakan CINTA.

Aku cinta padamu...Aku sayang padamu...Aku rindui kamu...Setiap saat aku sebut namamu...Setiap detik aku merinduimu...Setiap kali jantung aku berdegup hanya keranamu...dan apa lagi ungkapan romantis yang segar di bibir sang pencinta. Itulah CINTA yang bertakhta di hati. Apa jua dilakukan pasangan ia kelihatan cantik belaka.

Sejauh manakah kebenaran ungkapan-ungkapan ini?

Adakah ia hanya mainan perasaan semata-mata?

CINTA tidak pelik. CINTA adalah anugerah dan tanggungjawab. CINTA juga tiada paksaan. Namun kita boleh mendoakan sebuah CINTA agar hadir. Kerana apa?

Kerana PEMILIK CINTA AGUNG adalah ALLAH SWT.

Pohon pada-Nya. Biar beribu kali sekali pun. Dia tidak pernah jemu untuk mendengar rintihan dan rayuanmu. 

Allahu Akbar...Sesungguhnya CINTA suci itu hanyalah pada-Mu.

Hingga kini
Aku masih di sini
Tetap menanti
Sebuah cinta yang tak pasti

Aku merayu pada-Mu
Aku merintih pada-Mu
Aku panjatkan doa pada-Mu

Agar CINTA itu tidak bisa hilang
Walau hakikatnya sudah pergi jauh

Mungkihkah sampai kiamat cinta ini pergi
Mungkinkah ada ruang untuk hadir di sisi
Segala yang mungkin aku tetap berdiri
Di sini
Menanti dan terus menanti
Hingga saat dijanji

Tapi yang pasti
Aku mencintai
KAMU

12.34am
Wad 8C
Hospital Sg. buloh