AKHLAK YANG BAIK UMPAMA EMAS..

Posted: Sunday, July 29, 2012 by WZWY in Labels:
0

Kata Imam Bukhari, " Akhlak yang baik adalah emas di hati orang-orang yang beriman. Ia penyeri kehidupan dan hiasan para Nabi dan Rasul. Oleh itu, peliharalah akhlak yang baik sebagai bekal mengadap Allah."

Saya yakin sudah ramai di antara kita sudah maklum bahawa AKHLAK adalah perkara penting selepas iman. Setiap daripada kita akan dinilai berdasarkan budi pekerti (akhlak). Jika baik akhlak kita, maka kita akan dianggap baik. Jika buruk pula akhlak kita meskipun melakukan kebajikan, tetap tidak akan dinilai.

Firman Allah SWT :

"Sesungguhnya engkau (wahai Muhammad) mempunyai akhlak yang sangat mulia." ( al-Qalam :4 )

Maka, kenapa kita tidak terjemahkan akhlak Rasulullah SAW itu ke dalam kehidupan kita. Kita jangan  beralah sebelum melaksanakannya. Sebagai contoh, mungkin kita bersemangat mempertahankan pandangan dan kepercayaan kita, namun begitu janganlah pula kita merendah-rendahkan pandangan orang lain. Setiap orang ada pandangan masing-masing. Jika kita merasakan pandangan rakan kita salah, kita cuba terangkan dengan penuh hikmah. Jika dia tidak terima. Kita kena hormati dan berdoa agar dia diberi kefahaman yang lebih baik. Tidak perlu kita meluahkan kata-kata yang boleh menyakitkan hati rakan kita. Inilah yang biasa berlaku ketika menulis status masing-masing di 'facebook'. Kadang kala apa yang ditulis itu disalah faham oleh orang lain. Oleh sebab itu, kita perlu berhati-hati walaupun dengan niat berdakwah.

Pesan guru saya mudah sahaja. "Apa-apa sahaja perkataan atau perlakuan yang menyakitkan hati kita, maka kita pun jangan lakukan perkara sama terhadap orang lain."

Akhir kalam, semoga kita dapat manfaat daripada pembacaan entri ini dan berdoa kita semua mendapat seberapa banyak pungutan pahala di bulan Ramadan ini. Insya-Allah.

SALAM RAMADAN

Posted: Monday, July 23, 2012 by WZWY in Labels:
0

KESIBUKAN SEMASA MEMBUATKAN blog ini tidak 'terusik'. Walaupun begitu, dalam suasana kita menyambut bulan Ramadan penuh berkat ini, saya mengucapkan SALAM RAMADAN buat semua teman-teman pengunjung blog ini.

Didoakan teman-teman pengunjung sentiasa sihat dan sabar mengharungi cabaran di bulan Ramadan ini. Nampaknya ruang solat di kebanyakan masjid dan surau penuh. Alhamdulillah. Kita tidak perlulah melihat rekod-rekod terdahulu.

"Ini seminggu awal sahaja. Lepas ni kosonglah surau ni."

Saya berpendapat, pandangan itu tidaklah perlu disuarakan. Lebih baik kita sama-sama berdoa agar ahli kariah kita terus subur rasa iman dan takwa, lantas mereka kekal berada dalam saf untuk sama-sama solat Isyak, solat sunat Terawih dan solat sunat Witir. Tidak kiralah solat sunat Terawih 8 rakaat atau 20 rakaat. Janji, kita konsisten dalam ibadah solat berjemaah ini.

Kuliah Subuh Ramadan

Ketika saya mengikuti satu kuliah Subuh pagi tadi ( 23 Julai 2012 ) di Surau Al-Ikhwan, penceramah menyebut tentang ibadah solat kita secara berjemaah ini bukan ADAT tetapi SYARIAT. Maksudnya, kita tetap konsisten untuk terus solat berjemaah di surau atau masjid apabila selesai menunaikan ibadah puasa di bulan Ramadan. Jangan hanya hadir ke surau pada bulan Ramadan sahaja. Selepas itu hilang entah ke mana. Sememangnya penceramah itu benar apabila menyentuh soal kehadiran ahli kariah pada waktu solat Subuh di surau pada sebelumnya agak berkurangan, walhal kuliah Subuh diadakan pada hari Sabtu. Ini adalah fenomena yang dianggap biasa di kebanyakan tempat. Namun begitu, sekali lagi saya katakan, ia perlu diperbetulkan semula. Tugas jawatankuasa masjid atau surau mengajak penduduk setempat mengimarahkan rumah Allah itu. Selebihnya terserahlah kepada Allah SWT, sama ada usaha-usaha yang dilaksanakan itu berhasil atau sebaliknya.

Akhir kata, kita sama-sama berjimat cermat semasa berbelanja di bulan mulia ini. Kawal nafsu agar tidak terpesona dengan pelbagai makanan yang dijual di bazar Ramadan. Paling penting biarlah ibadah puasa kali lebih tinggi darjatnya berbanding tahun-tahun sudah.

Wallahualam.

Jaga 'Air Muka' Orang

Posted: Wednesday, July 11, 2012 by WZWY in Labels:
0

Saya tersenyum sendirian apabila mengenangkan beberapa kisah di zaman sekolah menengah dahulu. Walaupun sudah lebih dua puluh tahun berlalu, ia masih segar dalam ingatan.

Seorang teman di asrama mengajak 'bertumbuk' apabila dikatakan saya menjatuhkan 'air muka'nya. Mungkin ada gurauan atau kata-kata yang tidak disengajakan telah membuatkan dirinya rasa malu. Dan satu perkara lagi, dia pantang kalau seseorang menyentuh kepalanya. Mungkin itu penyebab utama. Maklumlah pada masa itu, masing-masing dengan cara tersendiri. Nasib baik tidak berlaku pergaduhan selepas saya memohon maaf jika tersilap cakap atau terkasar bahasa. Kalau berlaku pergaduhan pun, pasti saya kalah..hehehe

Ada satu hadis sahih yang menyatakan, "Tidak sempurna iman seseorang itu sehingga dia mengasihi saudaranya sepertimana dia mengasihi dirinya sendiri."

Ini bukan suatu perkara yang boleh diambil mudah. Kalaulah ada benci di dalam hati terhadap seseorang, maka iman kita belum lagi sempurna. Apatah lagi, ia melibatkan ahli keluarga sendiri.

Semak diri. Adakah kita tergolong dalam kelompok tersebut.

Jika Ya. Maka kita terpaksa uruskan sesuatu agar perhubungan itu dapat dijernihkan semula. Kemudian itu kita berserahlah kepada Allah, sekiranya usaha ikhlas itu masih belum menemui titik penyelesaiannya. Bersangka baik dengan Allah SWT.

Jaga 'Air Muka'

Bab menjaga 'air muka' ini adalah sesuatu perkara yang cukup sensitif dan perlu diambil serius. Kadang kala kita tidak tersedar bahawa apa yang kita ucapkan atau perlakuan kita menyebabkan seseorang 'terasa hati' atau berasa malu. Ia mungkin berlaku dengan pantas tanpa kita sedari.

Tidak kiralah seseorang itu seorang majikan atau ketua, soal jaga 'air muka' ini perlu diberi perhatian. Seorang ketua tidak boleh sama sekali memarahi kakitangan mereka di depan khalayak ramai. Ini boleh menimbulkan rasa malu pada diri kakitangan tersebut. Ia akan memberi impak yang besar dan memungkinkan seseorang itu tertekan dan prestasi kerja yang semakin merudum. Apa salahnya, satu perbincangan dibuat dan pertemukan titik penyelesaian. Insya-Allah, ia akan memberikan kesan baik kepada organisasi.

Begitu juga semasa menegur ahli keluarga dan anak-anak. Tidak boleh dibuat secara terbuka dan menimbulkan rasa malu orang lain. Kalau kita menegur kesalahan seseorang secara hikmah, maka ia lebih baik lagi.

Betulkan?

Apa yang saya pelajari, jika kita sendiri benci atau tidak suka orang lain perlakukan kita begitu, maka kita juga jangan sesekali melakukannya terhadap orang lain. Kalau semua berpegang dengan prinsip yang sama, maka akan wujudlah suatu perhubungan yang mesra. Semoga entri ini memberi manfaat buat saya dan tuan-tuan. Insya-Allah.

***SELESAI***

PESTA BUKU SELANGOR 2012

Posted: Friday, July 6, 2012 by WZWY in Labels:
0

ALHAMDULILLAH. Ini adalah Pesta Buku Selangor ke-3 saya ke sana sebagai seorang penulis. Tanpa sedar saya sudah menghasilkan lima buah buku di sepanjang tiga tahun bergelar penulis.

Saya dan beberapa rakan penulis seperti Web Sutera dan Fathuri sudah seia sekata untuk ke sana pada hari Sabtu ini. Lebih kurang pukul 11.30 kami akan sampai ke sana. Insya-Allah.

Kebetulan pula pada hari Sabtu dan Ahad ini, ada juga program di Masjid Negeri, Shah Alam. Perancangan mahu menyertai kursus penulisan di sana, tetapi bertembung dengan jadual di sini pula.

Doakan lebih ramai pengunjung akan membanjiri SACC Convention Mall pada hari Sabtu dan Ahad ini. Lagi pun, pesta buku ini bakal melabuhkan tirainya pada 09 Julai nanti. Saya juga sudah dua kali ke sana pada minggu lepas, dan sempat juga membeli beberapa buah buku. Kebanyakan gerai jualan menawarkan harga diskaun menarik. Inilah peluang bagi semua pencinta ilmu untuk mendapatkan buku-buku dengan harga rendah.

Jumpa di sana. 

SUNNATULLAH DAN INAYATULLAH

Posted: Tuesday, July 3, 2012 by WZWY in Labels:
0

RESPON KEPADA ENTRI SAYA SEMALAM berkenaan pengalaman saya di Pesta Buku Shah Alam, satu perkara yang saya belajar ialah SUNNATULLAH dan INAYATULLAH.

Apa dia?

Sunnatullah adalah ketentuan-ketentuan Allah yang wujud dalam hukum alam di mana terjadinya sesuatu itu memerlukan sebab-akibat sehingga membuka peluang kepada ikhtiar manusia.

Contohnya, jika seorang pelari mahu menggondol pingat emas di dalam satu acara perlumbaan, dia perlu berlatih dengan tekun, jaga pemakanan, memastikan fizikal dan mental di tahap optimum dan sebagainya. Jika ia berjalan lancar, maka pelari tadi akan mengecapi kejayaan. Namun begitu, sehari sebelum acara bermula, pelari itu tergelincir di bilik air dan cedera. Maka, dia terpaksa lupakan hasrat untuk menyertai perlumbaan tersebut.

Oleh itu, selain faktor sunatullah, faktor inayatullah (pertolongan Allah) juga menentukan kejayaan seseorang. Segala yang mustahil bagi akal manusia boleh terjadi apabila pertolongan Allah datang. Sesungguhnya Allah Maha berkuasa.

Maka.

Selain berusaha menghasilkan sebuah karya yang bermutu dan digemari oleh pembaca, saya juga perlu memohon pertolongan Allah agar setiap karya yang dihasilkan itu dapat diterima dan dibeli oleh khalayak pembaca. Laksanakan segala suruhan-Nya. Dekatkan diri pada-Nya. Insya-Allah kita semua akan berada dilandasan kecemerlangan dunia dan akhirat.

Insya-Allah, pada entri akan datang saya akan berkongsi persiapan landasan dan kaedah memohon pertolongan Allah SWT.

PEGANG DAN BAWA TAK SEMESTINYA BELI

Posted: Monday, July 2, 2012 by WZWY in Labels:
0

Ketika di Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur dan sekarang yang sedang berlangsung iaitu Pesta Buku Selangor, saya lebih suka berada di booth Galeri Ilmu sebagai pemerhati dan pembantu. Sekali sekala saya akan bantu staf GISB.

Saya suka melihat gelagat para pembeli dari pelbagai peringkat umur ketika membelek buku-buku yang disusun rapi di atas meja dan rak. Dan daripada situ juga saya dapat mengetahui apa tabiat pembeli buku. Bukan sahaja mereka, malah ramai akan lakukan perkara sama.

Pertama, lihat siapa penulisnya.
Kedua, lihat pula muka depan buku (jika penulis yang tidak dikenali).
Ketiga, lihat pula kulit belakang.
Keempat, belek sikit dan lihat isi kandungan.
Kelima, lihat secara pantas kandungan buku.
Keenam, tengok harga buku dan kira harga selepas diskaun.
Ketujuh, pegang dulu buku jika berminat.
Kelapan, lihat pula buku-buku lain.
Kesembilan, kalau ada buku lain lebih sesuai, buku pertama tadi diletakkan semula. (lihat bajet).
Kesepuluh, bayar di kaunter.

Sepuluh langkah tadi tidak akan berlaku kepada para penulis tersohor seperti Ustaz Pahrol, Ustaz Hasrizal, Hilal Asyraf,Prof. Muhamad Kamil, Puan Roza, Puan Fatimah Syarha, dan ramai lagi yang telah hasilkan karya masing-masing di GISB.

Sepuluh langkah tadi berlaku kepada buku saya, SUAMI YANG TERUJI. Itulah hakikatnya dan saya akui kerana masih hijau lagi dalam dunia penulisan ini. Masing-masing mengerut dahi apabila membaca nama WAN ZAYUHISHAM WAN YUSOFF. 

"Saya ingatkan buku baharu Ustaz Pahrol." Kemudian kakak itu letakkan semula buku SUAMI YANG TERUJI. Nasiblah ada nama sifu Ustaz Pahrol di muka depan. Sekurang-kurangnya ia mahu ditatapi oleh para pengunjung.

Satu lagi peristiwa yang saya saksikan petang semalam ( 1 Julai 2012 ). Sepasang suami isteri singgah ke gerai GISB dan mengambil beberapa buah buku termasuk buku SUAMI YANG TERUJI. Saya hanya lihat sahaja tanpa perkenalkan diri itu buku tulisan saya. Jika sahabat saya iaitu Tuan Fathuri ada di sebelah, pasti dia minta saya terus ke pasangan tersebut. Tapi, apa yang saya mahu ialah memerhati gelagat pengunjung pada hari ini. Suami yang memilih buku SUAMI YANG TERUJI terus berikan pada isterinya. Mereka membelek-belek beberapa buah buku lain lagi. Kemudian apabila hampir dengan kaunter, si isteri terlihat buku Transformasi Ramadhan, hasil tulisan Ustaz Hasrizal. Lantas isteri mengambil buku tersebut dan berbicara dengan si suami. Si suami hanya angguk dan letakkan semula buku SUAMI YANG TERUJI dan menukarkan dengan buku TRANSFORMASI RAMADAN. Mungkin juga 'mood' Ramadan semakin dekat, maka buku itu lebih menjadi pilihan. Penulisnya pula seorang yang dikenali ramai. Maka sekali lagi, SUAMI YANG TERUJI terus berada di meja gerai GISB.

Ini tidak bermakna tiada yang membeli buku SUAMI YANG TERUJI. Masih ada yang tanpa banyak bicara terus ambil dan bayar di kaunter. Kemudian saya akan tanda tangan autograf. Ini merupakan satu cabaran buat saya untuk menghasilkan sesebuah buku yang lebih baik daripada apa yang dihasilkan sebelumnya. 

Masing-masing ada kekuatan tersendiri. Jika di GISB, buku-buku tulisan Ustaz Hasrizal, Hilal Asyraf, Prof. Muhamad Kamil dan Syed Alwi sentiasa menjadi pilihan pembaca. Mereka menjadi sebahagian penulis yang saya kagumi dan cuba untuk menulis sebaik mereka. 

Namun begitu, saya memang akui bahawa masih banyak ilmu yang harus saya kutip di sepanjang tiga tahun penglibatan saya dalam dunia penulisan novel dan buku tarbiah. Saya bersyukur ke hadarat Ilahi kerana memberikan saya ilham dan kekuatan untuk menulis. Proses penulisan sesebuah buku bukanlah mudah. Saya perlukan masa yang cukup dan keadaan diri saya yang bersedia untuk menulis.

Hari ini tidak sempat ke Pesta Buku Selangor. Insya-Allah, esok saya ke sana sekejap dan bawa sesuatu ke sana sebagai salah satu usaha promosi. Sebagai penulis baharu dan tidak dikenali, kena kerja kuat. :)

Wallahualam.