SELAMAT MENYAMBUT KEMERDEKAAN KE 55

Posted: Friday, August 31, 2012 by WZWY in Labels:
0

ALHAMDULILLAH KITA PANJATKAN PUJIAN KEHADARAT ILAHI DI ATAS KURNIAAN-NYA KEPADA KITA DI BUMI BERTUAH INI.

MERDEKA! MERDEKA! MERDEKA!
KALI KE 55.

Saya percaya bahawa sahabat-sahabat sudah banyak membaca di akhbar, laman sosial atau blog menceritakan erti kemerdekaan dan seumpamanya.

Apa yang penting kita berasa bangga menjadi rakyat Malaysia. Kita jaga sungguh-sungguh kemerdekaan ini. Jangan biarkan kita berputih di kemudian hari. Apa perlu kita buat?

Kita bermula dengan diri kita. 
Kita bermula dengan ahli keluarga kita. 
Kita bermula dengan saudara terdekat kita.

Bagaimana?

Peliharalah diri kita dengan mentaati perintah ALLAH. Insya-Allah, kita akan dirahmati dan hidup diberkati Allah SWT.

Kita berasa gerun melihat situasi generasi muda sekarang. Kita merasakan bahawa mereka hanyut dibuai arus kemajuan negara. Mereka lahir di zaman kesenangan dan kemudahan yang melimpah.

Jadi?

Kita kena mulakan dengan diri dan ahli keluarga kita agar tidak lalai dengan perintah Allah. Apa daya kita untuk menegur orang lain. Mungkin seorang dua, kita mampu. Nak salahkan orang ini, pihak itu dan seumpamanya. Tidak selesaikan masalah. Masa terus berjalan.

Hidupkan suasana ISLAM dalam keluarga kita.

Pesan ibu, JANGAN sesekali TINGGALKAN SOLAT. Ini adalah RAHSIA supaya kita berpegang teguh dengan syariat agama.

Merdekakan diri daripada belenggu hasutan SYAITAN LAKNATULLAH.

Imam Malik meriwayatkan, daripada Abu Hurairah, bahawa Rasulullah telah bersabda yang bermaksud : “Aku tinggalkan kepada kamu dua perkara, kamu tidak akan  sesat  selagi kamu berpegang teguh  dengan kedua-duanya ; Kitab Allah (al-Quran) dan Sunnah Rasulnya ».  Sekiranya seseorang muslim itu tidak menjadikan al-Quran dan Sunnah sebagai panduan dalam kehidupan, bermakna dia belum lagi merdeka dari sudut yang sebenarnya.

Wallahualam.


ABIL, SUAMI YANG HEBAT

Posted: Wednesday, August 29, 2012 by WZWY in Labels:
0

Jika di dalam buku terbaharu saya, SUAMI YANG TERUJI menceritakan kisah tragis rumah tangga apabila para isteri tidak mendapat layanan selayaknya, maka kali ini entri yang menyentuh perasaan kita.

ABIL, SUAMI YANG HEBAT

Sesungguhnya setiap sesuatu perkara yang berlaku itu adalah di dalam pengawasan dan kehendak Ilahi. Mungkin ini yang menimpa saudara Abil dan isteri. Esok-esok belum tentu lagi apakah ujian yang perlu kita hadapi pula. Bukan mendoakan, tetapi itulah hakikat sebuah kehidupan. Hidup kita untuk selesaikan masalah. Jangan gusar dan khuatir kerana kita masih ada Allah SWT. Sentiasa beramal soleh. Itulah yang seharusnya menjadi pegangan kita.

Kita sama-sama baca petikan yang saya salin daripada facebook.

SEREMBAN – “Jika tahun lalu saya menyambut Aidilfitri dengan linangan air mata, tapi kali ini saya akan menjadikan sambutan hari raya saya dan isteri sebagai yang paling meriah dalam kehidupan kami berdua,” kata Abil Fikri Ahmad, 44.

Abil berkata, Jun tahun lalu sememangnya amat menguji dirinya apabila isterinya, Fauziah Muhamad, 38, yang dikahwini sejak tiga tahun lalu disahkan lumpuh, selain saraf otaknya tidak lagi berfungsi selepas diserang penyakit asma.

Menurutnya, dia mengambil masa tiga bulan untuk menenangkan diri kerana sukar menerima kenyataan itu.

“Saya memang cukup tertekan ketika itu dan sambutan Ramadan dan Syawal tahun lalu saya raikan dengan rasa tertekan dan sedih.

“Tapi tempoh saya bersedih dan menangis sudah berlalu kerana dalam fikiran saya sekarang hanya mahu pastikan segala keperluan Fauziah disediakan secukupnya dan sempurna sekalipun dia kini hanya mampu terlantar di atas katil,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Taman Sri Puteh, Rasah, dekat sini.

Oleh kerana nasib menimpa isterinya, Abil mengambil keputusan berhenti kerja kerana nekad mahu menjaga isterinya sepenuh masa dengan sebaik mungkin kerana percaya inilah ujian anugerah daripada ALLAH yang menguji keagungan cintanya kepada isteri.

Kembali tabah, bersemangat

Menurut Abil, setelah setahun berlalu, dia kini tabah dan semakin bersemangat untuk menjaga isterinya dan berharap keajaiban akan muncul suatu hari nanti.

“Saya rindukan isteri yang dulu sebagai tempat bermanja, penghibur dan peneman hidup saya dari kesunyian tetapi kini dia sudah tidak mampu bergerak dan bercakap lagi.

“Setiap hari celik sahaja mata, saya akan perhatikan Fauziah dengan harapan dia akan sembuh, tapi saya percaya semuanya ketentuan ALLAH,” katanya.

Ketika ini, Abil hanya mengharapkan wang bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM300 sebulan serta bantuan ahli keluarga selain pernah menerima bantuan sebanyak RM500 daripada Baitulmal.

“Bantuan yang diterima saya gunakan untuk membiayai perbelanjaan perubatan isteri yang mencecah RM2,500 sebulan termasuk beberapa keperluan harian lain seperti bil elektrik dan air.

“Bagi mengurangkan beban tanggungan kos sara hidup dan ansuran pinjaman rumah, saya terpaksa menjual rumah baru dibeli di Kuala Lumpur.

Sutera kesukaan Fauziah

Sementara itu, untuk persia-pan Syawal kali ini, katanya, dia telah membelikan tiga helai kain sutera dan dua selendang untuk Fauziah.

Kata Abil, semasa sihatnya sememangnya setiap kali Syawal pilihan baju raya isterinya ialah baju kurung kain sutera.

“Kalau dulu saya tidak tahu pun jenis kain sutera ini kerana biasanya dia akan pilih sendiri dan saya hanya memberi pandangan sama ada pilihannya cantik atau tidak.

“Tapi sekarang saya perlu ambil tahu kerana ia kesukaan Fauziah dan kain tersebut saya akan pakaikannya ketika Syawal tahun ini,” katanya yang gembira menyambut Syawal bersama Fauziah,

Malah, katanya, bukan sahaja rumah dihias cantik, malah bilik isterinya juga dikemas rapi.

Abil berkata, walaupun isterinya tidak mampu bergerak, namun daripada sinar matanya seakan-akan memahami pengorbanan suami yang sanggup bersama ketika susah mahupun senang.

“Nikmat dunianya telah hilang. Jadi, saya sebagai suami akan pastikan dia dijaga paling terbaik. Tipu kalau saya kata tidak susah menjaga orang sakit, tapi bagi saya ini adalah amanah ALLAH.

“Ini Syawal kali kedua Fauziah terlantar, besar harapan dan doa saya agar Syawal tahun depan ada sinar baru buat kami berdua,” katanya.

Paling menarik setiap hari Abil akan mengambil masa mengemas kini laman blog yang mula dibuatnya sejak awal tahun lalu dengan harapan jika Fauziah pulih, dia sendiri akan membaca bagaimana kesusahan dan ketabahan seorang suami menjaga isterinya.

Orang ramai yang ingin menghulurkan bantuan boleh menghubungi Abil di talian 016-2634258 atau menyalurkan sumbangan menerusi bank CIMB di nombor akaun 0506-0040577-52-1.

Sumber: Sinar Harian


Liku-Liku Hidup

Posted: Monday, August 27, 2012 by WZWY in Labels:
0

Yang pasti setiap manusia yang hidup di muka bumi ini mahukan KEJAYAAN dan KESENANGAN.

Itu perkara yang normal. Dikatakan manusia itu tidak siuman jika tiada langsung keinginan untuk BERJAYA.

Yang pasti juga tidak semua memperoleh apa yang mereka mahukan. Betulkan?

Adakah sahabat-sahabat sudah peroleh semua yang dicita-citakan?

Pasti menggeleng. Ya, benar. Masih ada KEMAHUAN yang belum dicapai. Sampai bila? Entahlah, pastinya sudah ada perancangan untuk itu. Itu semua kerja Allah SWT. Kita hanya TADBIR kerana TAKDIR itu milik Allah jua.

Belum Kahwin

Sesetengah sahabat yang masih solo pastinya rimas dengan soalan, "Bila awak nak kahwin?" "Saya dengar awak belum kahwin, betulkah?" "Kenapa awak tak kahwin-kahwin lagi?" Dan banyak lagi versi soalan-soalan yang biasa ditanya. Dan jawapan selamat ialah "Insya-Allah."

Belum Ada Cahayamata

Kahwin sudah hampir dua tahun. Contoh. Namun begitu, Allah uji mereka masih belum peroleh cahayamata. Maka soalan-soalan cepumas pula, "Awak berdua sudah kahwinkan? Belum teringin timang anak lagi?" Kalaulah kita boleh memilih, pasti kita pilih yang terbaik, tetapi rezeki itu milik Allah sepenuhnya. Maka jawapan terbaik ialah, "Awak doa-doakan kami dapat cahayamata cepat-cepat." Sesungguhnya mendoakan orang lain itu juga satu perbuatan yang diberi ganjaran pahala. Insya-Allah.

Belum Beli Kereta

Dilema juga apabila belum memiliki kereta sendiri. Ke sana ke mari naik motor. Mudah dan menyenangkan. "Awak sudah kerja pun tak mampu beli kereta lagi?" Kalau boleh, esok juga nak beli kereta, tetapi ongkos  belum mampu lagi. Tengah kumpul duit kahwin dulu. Itu pula dilema bagi anak bujang. Jangan ingat orang bujang sahaja. Orang berkeluarga pun masih ada yang belum mampu beli kereta walaupun kereta terpakai. 

Bila beli kereta terpakai, masih belum selesai. "Tak kan tak mampu beli kereta baru. Awak berdua kerja." Ada lagi, "Awak tak takut kereta ni rosakkah? Baik beli kereta baru macam saya."

Ada lagi kes lain. "Tak kan kereta kecil ni sahaja? Belilah MPV yang lebih besar. Kan selesa." "Kenapa awak sanggup naik ramai-ramai kereta kecil ni?" Kalau ada rezeki, pastinya tiada pun seorang ayah atau suami atau isteri sanggup berhimpit-himpit dalam kereta kecil. Mereka ada masalah tersendiri. Anggap itu belum diizinkan Allah lagi. Doakan perancangan kewangan mereka sukses dan berjaya membeli yang lebih besar. Insya-Allah. Kadang kala kesilapan lepas membuatkan seseorang itu terpaksa menanggung akibatnya di kemudian hari.

Belum Beli Rumah

"Awak kan dah kerja lima tahun. Tak kan tak mampu beli rumah besar sikit?" "Awak masih menyewa?" "Tak kan nak tinggal di rumah flat ni. Belilah rumah teres." "Awak beli rumah teres di hujung dunia buat apa. Belilah dekat kawasan bandar." 

Apa lagi soalan atau keluhan orang terhadap kita? Itulah asam garam selagi kita manusia dan tinggal dalam kelompok manusia. Kalau nak selesai kes, tinggal berseorangan di hutan. Jika sangguplah.

Cita-Cita Tetap Ada

Selagi manusia itu bernafas walaupun dalam penjara atau di katil hospital, mereka akan mempunyai cita-cita atau matlamat hidup. Selagi belum terlaksana atau dizinkan Allah, janganlah kita berdiam diri. Musahabah diri. Dekatkan diri pada-Nya. Jangan hanya lihat pada usaha kita semata-mata. Tanya diri juga tentang hubungan kita dengan Allah SWT. Hanya Allah sahaja tempat kita mengadu. Allah jua yang memberikan kita rezeki.

Anggap Satu Dorongan

Setiap soalan atau keluhan orang lain harus dianggap sebagai dorongan. Biar pun telinga terasa 'panas', bersabarlah. Sesungguhnya Allah amat suka pada orang-orang yang sabar. Orang lain boleh berjaya, kita juga boleh lakukan. Orang lain juga manusia biasa tetapi mampu menjadi orang 'luar biasa'. Bagaimana? Mereka mempunyai keazaman membara yang membuak-buak. Kita juga boleh. Betulkan segala perancangan dan fokus pada matlamat. Insya-Allah, pada suatu hari nanti kita menggenggam kejayaan yang dipinta.

Ada Nasihat?

Nasihat untuk diri sendiri sebenarnya. Perhebatkan lagi hubungan kita dengan Allah SWT. Sesungguhnya Dia adalah pemberi rezeki. Beramal soleh dan sentiasa berdoa pada-Nya. Insya-Allah hasrat kita akan ditunaikan oleh-Nya. Yakin dan percaya. 

Tidak cukup dengan itu sahaja. Berusahalah dengan penuh kesungguhan. Rancang dan laksanakan perancangan itu. Perbaiki segala kelemahan diri. Jangan pula berputus asa di kala kesukaran singgah sebentar di pertengahan jalan usaha kita. Teruskan dan maju ke depan. Ayuh! Terus bersemangat kental hingga ke penghujungnya.

----------------------

Jika ada kemahuan. Insya-Allah, jaya.

REDA KETENTUAN-NYA

Posted: Friday, August 10, 2012 by WZWY in Labels:
1

Pesan guru, "Untuk rasa gembira dalam hidup, banyakkan memberi."

Walau sehebat mana ujian hidup yang dihadapi, ingatlah kita masih ada Allah SWT.

Jangan lupa.

Bagi sesiapa yang merasakan diri mereka berada dalam zon kekecewaan, kekusutan, kesedihan dan seumpamanya, ingatlah setiap perkara itu adalah di bawah pengawasan Allah SWT.

Mungkin orang lain tidak tahu apa yang kita alami. Dan kita pun tidak mahu orang lain tahu apa yang sedang kita hadapi. Biar orang melihat kita sedang hidup bahagia. Harapkan mereka berdoa kebahagian untuk kita, dan ia segera dimakbulkan Tuhan.

Jadi, apa yang mampu kita buat?

Memberi.

Berilah kasih sayang kita, walaupun ia tidak berbalas sebagaimana yang kita harapkan. Berilah khidmat dengan mengharapkan keredaan Allah SWT semata-mata. Berilah perhatian walaupun diri kita sendiri langsung tidak dihiraukan. Berilah senyuman walaupun seharian kita hanya memandang wajah muram. Berilah doa untuk mereka. Semoga mereka boleh berubah dan menerima diri kita seadanya.

Hidup perlu diteruskan. Walaupun begini yang sedang kita tempuhi. Anggap ia ranjau berliku itu ujian Tuhan di atas dosa-dosa kita. Walaupun bukan mudah untuk memujuk hati. Kita berusaha dan pasrah ketentuan-Nya.

Jalani hidup dengan rasa syukur, walaupun hati sudah lama tersungkur. Jangan begitu. Bangkitlah dan teruskan sisa hidup ini. Andai tiada sudah jalan penyelesaian. Berserahlah pada-Nya. Dia Maha Mengetahui.

Andai itu kemahuanmu.

Rabbana atina fidunya hasanah, wafil akhirati hasanah, waqina azabannar.

Hidup Memberi

Posted: Thursday, August 2, 2012 by WZWY in Labels:
0

"Jika kamu berbuat kebaikan, (maka faedah) kebaikan yang kamu lakukan adalah untuk diri kamu; dan jika kamu berbuat kejahatan, maka (kesannya yang buruk) berbalik kepada diri kamu juga."
[Al-Israa' 17: 7] 

Kadang kala sebagai manusia, kita akan berasa kecewa apabila kehadiran atau apa yang kita berikan tidak dihargai. Apatah lagi, tiada ucapan terima kasih diterima.

Pesan guru, " Jangan mengharapkan ucapan terima kasih daripada manusia, kerana mereka tidak tahu berterima kasih. Lakukanlah sesuatu itu kerana Allah, Insya-Allah hati kamu akan tenang."

Tugas kita memberi

Saya hanya memberi dengan apa yang saya miliki. Selebihnya memohon pada-Nya agar diberi kemudahan dalam setiap perkara yang dilaksanakan. Bersyukur dengan keizinan-Nya, dalam usia begini diberi peluang untuk berkarya. Sesungguhnya ia di luar kotak fikiran saya sebelum ini. Saya hanya menulis berdasarkan kemampuan yang dimiliki. Di samping itu terus berusaha mengasah bakat dan mempertingkatkan lagi ilmu penulisan.

Masih banyak kekurangan saya sebagai hamba-Nya
Masih banyak kekurangan saya sebagai penulis
Masih banyak kekurangan saya sebagai seorang pendidik
Masih banyak kekurangan saya sebagai pentadbir
Masih banyak kekurangan saya sebagai ketua keluarga
Masih banyak kekurangan saya sebagai seorang abang......

Kita memang banyak kekurangan, tetapi ia bukan suatu alasan untuk duduk diam merenung nasib semata-mata. Kita kena berusaha dan terus berusaha. Saya tidak mahu menjadi insan yang kehilangan tekad.

Berilah kerana Allah SWT.
Insya-Allah, jiwa tenang.

* Terima kasih banyak-banyak kepada semua pembaca SUAMI YANG TERUJI. Mohon maaf andai ia masih belum menepati selera pembacaan saudara-saudara. Saya berjanji akan terus belajar dan belajar. Tidak lupa buat semua pembaca cilik @ dewasa yang membaca novel-novel tarbiah saya. Semoga ada manfaat.