Janganlah Membenci Suatu Kesalahan

Posted: Monday, December 26, 2011 by WZWY in Labels:
0

HATI MANA YANG TIDAK KECEWA apabila berdepan dengan seseorang yang melakukan kesalahan terhadap kita. Contoh, pasangan suami isteri berdepan krisis keluarga apabila kecurangannya dapat dihidu oleh isteri. Segala SMS telah dibaca oleh isteri. Kecewa dan marah hingga bawa diri. Tenangkan fikiran. Suami datang pujuk tetapi tidak diendahkan. Lama kelamaan isteri dapat terima semula selepas si suami berjanji tidak ulangi lagi kesilapannya. Alhamdulillah, rumah tangga dapat diselamatkan.

Bagaimana pula yang gagal selesaikan kemelut hubungan tersebut?

Maka mereka memilih jalan mudah iaitu perpisahan. Dan bukan suatu perkara mudah kerana banyak perkara yang perlu diselesaikan. Anak-anak, harta benda, dan sebagainya. Maka mereka tinggal berasingan mencari kebahagiaan masing-masing. Adakah itu penyelesaian terbaik mereka?

Janganlah membenci suatu kesilapan

Saya pernah buat silap. Pada isteri, anak-anak, adik-beradik, rakan-rakan dan juga pada ibu dan ayah tercinta. Dan begitu juga dengan anda. Kita tidak pernah lari daripada melakukan kesilapan sama ada disedari atau sebaliknya.

Kesilapan atau kesalahan yang kita pernah lakukan itu bukan bermakna satu pengakhiran dan berputus asa. Sesungguhnya kesilapan itu dapat menjadi platform yang mempertemukan kita dengan kebenaran. Kesalahan juga boleh menjadi proses yang efektif dalam mempelajari dan meraih sesuatu yang positif.

Mustahil jika kita pernah berjumpa dengan orang yang tidak pernah lakukan kesalahan atau kesilapan. Mungkin semalam atau sebentar tadi kita telah lakukan kesalahan dengan sedar atau tanpa sedar. Dan kita tidak tahu bahawa ada seseorang yang marahkan kita. Mereka ada sebab tersendiri. Jika dimaklumkan, maka kita tentu akan mohon maaf dan janji tidak ulangi. Contoh, sebentar tadi ada seseorang menyapa kita di sebuah kedai buku. Oleh kerana, asyik dengan membaca sebuah buku, kita tidak perasan dan berlalu begitu sahaja. Selepas itu terima SMS, "Awak sombong sekarang ya?" Ia dihantar oleh seorang rakan lama. Selepas itu barulah kita tersedar dan mohon maaf dan ajak rakan lama tadi minum teh di sebuah restoran berhampiran. Kita bukan sombong, tetapi keadaan pada masa itu membuatkan kita berada dalam situasi begitu.

Situasi itu tadi membuatkan kita lebih berhati-hati. Ini bermaksud bahawa jika orang yang tidak pernah lakukan kesalahan, tidak akan dapat benar-benar menghargai nilai sebuah kebenaran.

Contoh lain, katakan seorang rakan berjanji untuk keluar minum di sebuah restoran. Rakan tadi menunggu sampai satu jam tetapi kita tidak muncul-muncul. Dia telefon dan SMS tetapi kita tidak sedar. Hingga keesokkan harinya, dia berjumpa dan marahkan kita kerana mungkir janji. Kemudian, baru kita teringat bahawa kita memang berjanji untuk keluar minum semalam. Dan kemudian barulah kita ceritakan bahawa kita tertidur di atas sofa di depan televisyen dan tersedar pada pukul lima pagi. Kita mohon maaf dan belanja dia makan tengah hari. Nasib rakan boleh terima dan hubungan jernih kembali.

Jika seseorang itu pernah lakukan dosa-dosa besar. Bukanlah bermakna tiada jalan langsung untuk kita berubah. Pertama sekali perlulah bertaubat bersungguh-sungguh. Minta doa  dan keampunan daripada Allah SWT. Kemudian dekatkan diri pada-Nya. Lakukan solat sunat selain ibadah wajib. Jangan sesekali terjebak atau menghampiri dosa-dosa lampau. Teruskan bermujahadah dan sentiasa berzikir menyebut nama Allah SWT. Perbanyakkan sedekah dan menjalinkan hubungan baik dengan orang-orang yang soleh. Insya-Allah dosa-dosa kita akan diampun oleh Tuhan sebelum Dia menjemput kita menemui-Nya.

Kesimpulannya, selepas ini jangan marah jika anak-anak, pasangan, rakan atau sesiapa sahaja melakukan kesilapan. Ia adalah satu proses pembelajaran. Sama-sama perbetulkan kesilapan itu. Marah dan herdik bukan penyelesaian terbaik. Walaupun sudah jadi tabiat manusia akan terkeluar juga kata-kata menyakitkan hati. Bukan kata orang lain, kadang-kadang itu berlaku pada diri saya sendiri. Maka kita sama-sama dekatkan diri pada-Nya.  Berubah ke arah yang lebih baik. Insya-Allah kita akan diredhai dan diberkati.

Yakin dan pasti
Kerana Allah Maha Pengasih dan Maha Penyayang

MUJAHADAH SEORANG ISTERI SOLEHAH

Posted: Sunday, December 11, 2011 by WZWY in Labels:
0

Malam ini tidak sebagaimana malam-malam sebelum. Pengalaman seorang rakan persekolahan membuatkan fikiran dan minda saya 'terjaga'. Begitu kerdilnya saya dalam harungi kehidupan serba mencabar ini. Di manakah hilangnya rasa tanggungjawab sebagai seorang hamba Allah, anak, suami, ayah, abang, guru, sahabat, ahli masyarakat dan seumpamanya.

Saya terus menitip entri ini khusus buat wanita bergelar isteri. Isteri solehah yang sentiasa mendambakan ketaatan kepada suami tercinta. Di samping terus beribadah kepada Allah SWT.

Sesungguhnya kehidupan sebuah rumah tangga tidak sunyi dengan pelbagai pengalaman pahit manis yang dirasai. Mustahil dalam sesebuah rumah tangga hidup dalam keadaan sentiasa aman bahagia tanpa ada sedikit pun pengalaman yang menduga keimanan kepada Allah SWT dan ketaatan kepada pasangan. Pasti akan mengangguk setuju, bahawa mereka juga alami pelbagai onak duri sebuah perkahwinan.

Dalam usaha menjadi isteri solehah, sudah pasti pelbagai proses dan pengorbanan yang perlu dilakukan. Salah satu ialah mengikis sifat-sifat mazmumah yang sudah sekian lama bersarang dalam diri. Oleh sebab itu, dalam menuju ke arah menjadi wanita dan isteri solehah, Allah telah mengutuskan seorang suami yang akan menjadi penyebab bagi membongkarkan sifat-sifat mazmumah yang ada dalam diri masing-masing. Sebab, setiap hari isteri yang sentiasa menjalankan kewajipan mengharungi suka duka dan pahit maung perkahwinan. Akibatnya, segala sifat-sifat mazmumah dalam diri terserlah. Sifat pemarah, pendendam, gelojoh, dan sebagainya.

Satu perkara perlu ingat

Mungkin seseorang isteri yang menghiasi hidup mereka dengan sifat sabar dan redha apabila mendapat sesuatu perkara yang disukai, tetapi belum tentu boleh berbuat begitu apabila setiap kehendaknya dicabar. Begitu juga seorang isteri boleh mentaati suami yang bergaji lebih rendah sehingga kedudukan kewangannya pula dicabar. Maka ingatlah bahawa seorang isteri perlu melatih diri bermujahadah demi mencapai sifat-sifat mahmudah dan seterusnya menjadi isteri yang solehah.

Mujahadah seorang isteri....

1) Bila isteri lebih dikenali dan berpangkat daripada suami, isteri perlu beradab sopan di depan suami. Isteri juga perlu buang sikap meninggi diri bagu membolehkan dia mentaati perintah suami pula. Ingatlah bahawa kedudukan suami itu lebih tinggi di sisi Allah SWT.

2) Bila isteri lebih bijak, seorang isteri masih perlu meminta nasihat daripada seorang suami walaupun dalam hal-hal kecil. Isteri elakkan membantah atau memperleceh setiap idea suami.

3) Bila isteri sering ditinggalkan, seorang isteri perlu perbanyakkan ibadah sunat dan sibukkan diri dengan kerja-kerja berfaedah. Kenangkan peristiwa Siti Hajar ditinggalkan oleh Nabi Ibrahim a.s. Sambutlah kepulangan suami dengan hati terbuka dan istimewa.

4) Bila suami yang mencuaikan perintah agama, seorang isteri perlu tunjukkan sikap yang baik dengan melayan kehendak suami tanpa melanggar syariat Islam. Sentiasa doakan agar Allah berikan hidayah kepada suami. Bacalah bahan bacaan agama dan dengarilah lagu-lagu ketuhanan dan  zikrullah. Pujuk suami supaya tunaikan solat dan ceritakan janji Allah SWT jika abaikan solat. Isteri juga perlu perhalusi akhlaknya jika berdepan dengan suami yang pemarah atau suka memukul isteri.

Insya-Allah perkongsian ini dapat berikan sesuatu kebaikan untuk semua. Tuan-tuan dan puan-puan seorang yang hebat dan cemerlang. Buktikan kita mampu laksanakan setiap perintah Allah SWT tanpa ragu-ragu dan istiqamah. Nasihat ini paling utama untuk diri sendiri. Insya-Allah.

Akhiri dengan sepotong hadis Rasulullah SAW :

"Apabila seorang isteri meninggal dunia, dan suaminya redha ke atasnya, dia akan masuk syurga."

ERTI SEBUAH PERSAHABATAN

Posted: Thursday, December 8, 2011 by WZWY in Labels:
0

KOLAM MATA AFIQ BERGENANG. Belum pernah dia mengalirkan air mata sejak satu peristiwa besar berlaku dalam keluarganya sebelum ini. Dia tidak menduga dalam persoalan kerja dia harus menerima tamparan begini. Dia tidak pasti sama ada suatu gurauan atau menunjukkan keseriusan rakan sekerjanya.

Dia akui kesilapannya mematuhi jadual kerja di kilang milik bapa saudaranya. Namun begitu dia tidak pernah ambil kesempatan untuk ponteng atau 'mengular' walaupun kilang itu milik bapa saudaranya.

"Abang Long, ibu baru dikejarkan ke hospital dan dimasukkan ke wad."

"Kenapa?"

"Penyakit lama, darah tinggi."

Afiq terdiam seketika. Kerja masih banyak perlu dibereskan. Semua cuti dibekukan. Apa yang mampu dilakukannya.

Nasib baik ada ibu saudara dan sepupu yang prihatin. Mereka menjaga ibu semasa berada di wad dan ibu dibenarkan pulang setelah tiga hari tidur di katil hospital. Kebetulan seminggu selepas itu, pegawai dibenarkan bercuti. Pada saat itu, jadualnya bertindih antara tugasan di pejabat dan ibu yang baru keluar hospital. Salah seorang adik sudah pulang ke kampung. Ibu bertanyakan di mana Abang Long. Dia serba salah. Lantas dia mengadap Tuan Pengarah meminta kebenaran pulang ke kampung. Nasib dia baik apabila dibenarkan. Namun dia tidak mampu untuk balik menjenguk ibu 1-2 hari dan kembali semula ke ibu kota dalam waktu terdekat. Jarak 500KM bukannya dekat. Dia ambil keputusan bercuti tiga minggu dan akan balik semula ke pejabat dan bertugas sehingga penghujung tahun.

Kecewa dan bersalah

Afiq rasa kecewa dan bersalah apabila apabila rakan setugas persoalkan bagaimana dia boleh mendapat cuti tersebut. Lalu dipersoalkan kehalalan gaji dan amanah yang dipikulnya. Kenapa baru sekarang berfikir tentang kerja sebelum menerima jawatan di pejabat sebagai pengurus. Afiq tercengang seketika. Rakan yang dianggap saudara pantas mempersoalkan dirinya amanah atau sebalik. Afiq rasa sangat kecewa apabila bukan sekali tetapi berkali-kali dia disindir tentang tanggungjawab dan amanah. Dia sedar jadual kerja yang padat dan jarak kampung yang jauh menyebabkan waktu terbatas untuk ulang alik.

Tiba-tiba Afiq mengalirkan air mata kecewa dan bersalah kerana menyebabkan rakan sekerja menanggung kerjanya. Tapi dia juga kesal kerana bukan dia terus bercuti. Dia akan kembali dalam masa terdekat. Afiq juga mengimbaukan kembali kenangan bekerja dalam satu pasukan sebelum ini. Tiada masalah. Tiba waktu dia ada masalah, dan bukan selalu berpeluang balik kampung menjenguk ibu keseorangan. Dia dipersalahkan. Tiada rasa untuk bantu-membantu. Kerana ini hari dia, mungkin pada masa akan datang giliran dia pula membantu rakan sekerjanya. Semua itu percaturan Allah SWT.

Apa yang dia boleh lakukan sekarang. Dia mula sedar apa itu erti sebuah persahabatan. Erti sebuah pertemuan dan perpisahan. Mungkin rakannya juga ada masalah tersendiri. Dia berfikiran positif. Tapi hati kecil tetap rasa bersalah dan kecewa.

Apabila persoalan AMANAH dbangkitkan. Dia mula rawan. Apakah ini perlu dibangkitkan kerana kepulangannya menjengguk ibu di kampung. 

Afiq mula faham sekarang. Benarlah kata guru, " Kau akan kecewa jika menaruh pengharapan kepada sesama manusia. Oleh itu, menaruh haraplah kepada Allah kerana dia Maha Penyayang dan Maha Pemberi."

Tidak mengapa, dia mula tahu.
Tidak mengapa, dia mula sedar.
Erti sebuah persahabatan.
Wallahualam.

Tulis Novel Anda Pun Boleh!

Posted: Tuesday, December 6, 2011 by WZWY in Labels:
0

ENTRI KALI INI KHUSUS buat sahabat-sahabat yang berminat menceburi bidang penulisan novel. Dan saya percaya ramai akan mengatakan menulis sebuah novel itu sangat-sangat sukar sekali. 

"Saya nak tulis satu perenggan pun susah."

"Saya baca novel okey, kalau menulis memang tak mampu."

Ketika saya mula-mula mahu memasuki dunia penulisan dulu, jalan laluan saya dipermudahkan apabila berjumpa dan duduk berbincang dengan Tuan Haji Zakaria Sungib di sebuah restoran berdekatan Astana Karya yang menempatkan Galeri Ilmu Sdn Bhd di Kota Damansara.

Alhamdulillah. Sesungguhnya ia dipermudahkan oleh-Nya dalam usaha saya mengasah bakat penulisan yang tidak pernah saya lakukan sebelum ini kecuali di blog sahaja.

Di antara buku panduan penulisan terbaik

Apabila saya ditanya tentang penulisan manuskrip novel. Saya mencadangkan sebelum menulis sebuah manuskrip, sila baca terlebih dahulu buku tulisan Sifu penulisan saya iaitu Puan Maria Kajiwa (MK). Buku Tulis Novel Anda Pun Boleh adalah sebuah buku panduan penulisan novel yang terbaik dijadikan rujukan selain buku-buku panduan yang lain. Penerangan yang lengkap dan dipermudahkan oleh Puan Maria untuk kita memahami beberapa istilah dan juga teknik penulisan yang betul.

Sejujurnya saya sentiasa bawa buku ini apabila balik kampung atau ke luar daerah jika berkursus. Ia menjadi salah satu bahan bacaan wajib bagi mempertajamkan skil penulisan. Kadang kala sebagai manusia yang sentiasa alpa ini selalu lupa tentang beberapa perkara dan ia perlu sentiasa diulang baca berkali-kali.

Saya tiada apa-apa komisyen atau diberikan saguhati jika sahabat-sahabat membeli buku ini. Ia sebagai satu perkongsian untuk bakal penulis atau sudah pun bergelar penulis menambah ilmu pengetahuan. Tidak rugi untuk dimiliki.

Jika berminat, boleh lawati blog TULIS NOVEL
Wallahu alam..semoga perkongsian ini memberikan  sesuatu yang berguna. Insya-Allah.

Rehlah di Hutan Lipur Changkah 2 Setiu.

Posted: Sunday, December 4, 2011 by WZWY in Labels:
0

SETIAP KALI BALIK BERCUTI di Setiu, Hutan Lipur Changkah 2 menjadi destinasi wajib bagi kami sekeluarga.

Alhamdulillah, cuaca pun cerah dan orang pun tidaklah ramai pada waktu ini. 

Orang paling seronok ialah Ziyad, Zikry, Zali, Hijazi dan dua anak saudara (Ikram dan Najla) yang ikut serta.
Adik lelaki Joe dan dua adik ipar  (Mat & Aidi) juga tidak ketinggalan yang sudah tiba lebih awal lagi. 

Selain cuaca baik, air pun agak deras berbanding hari-hari biasa kerana masih lagi dalam musim tengkujuh yang melanda pantai timur sebelum ini. Air di sini pun agak dalam sedikit berbanding ketika kami berkunjung ke Riverside Janda Baik sebelum pula ke kampung tempoh hari.


Akvitiviti sebegini sangat dinantikan oleh 4 hero. Apatah lagi semasa perjalanan pulang ke kampung baru-baru ini mereka dijanjikan berenang di Bukit Gambang Resort, tetapi apabila melihat lautan manusia di sana. Saya terpaksa batalkan hasrat tersebut. 

Insya-Allah, sebelum pulang ke Shah Alam hujung minggu nanti. Ada rezeki, berkunjung lagi ke sini. Lokasi ini saya telah muatkan juga dalam Impian Juara 1.

Mampukah Rentasi Ujian Hidup

Posted: Saturday, November 26, 2011 by WZWY in Labels:
0

REALITI KEHIDUPAN KITA tidak dapat lari daripada rules of life (sunatullah), manusia tidak mendapat semua yang diingininya. Tiada seorang pun manusia yang dapat mengelak daripada perkara yang tidak disenanginya. Ada sahaja perkara dibenci atau kurang disenangi dalam hidupnya. Hidup ini adalah ujian yang menimpa semua manusia. Ujian pula pelbagai seperti kedudukan, harta, kewangan, kesihatan dan lain-lain.

Firman Allah SWT :
Maksudnya :"Yang menciptakan mati dan hidup, untuk menguji kamu siapakah di antara kamu yang lebih baik amalnya; dan ia Maha Kuasa lagi Maha Pengampun." (Surah al-Mulk 67:2)

Salah percaturan pengurusan kewangan

Semua mahukan kesenangan dan kemewahan hidup. Salah satu visi hidup manusia ialah MEMILIKI KEMUDAHAN DAN KESELESAAN HIDUP. Menurut Islam pun tidak salah kita memenuhi kehendak-kehendak ini bermula di tingkat keperluan. Kita perlukan wang, rumah, kereta dan sebagainya.

Tapi itulah, tidak semua dirancang menjadi kenyataan. Salah seorang lelaki dulu bercita-cita besar dan menyertai pelbagai perniagaan dan pelaburan. Sebab apa? Mahukan kesenangan hidup walaupun sudah berjawatan tetap. Silapnya ialah dia menjadikan modal semua perniagaan dan pelaburan itu dengan cara mudah, BERHUTANG. Banyak jenis peniagaan dan pelaburan diceburi. Allah Maha Berkuasa, semua tidak memberikan hasil yang baik. 

Salah satu cabang diceburi sudah berikan hasil yang baik. Dia dikira agak berjaya dalam pengurusan perdagangan mata wang asing (FOREX), namun hukum Islam pula menjadi halangan untuk terus dia berkecimpung dalam peniagaan ini. Selepas itu, dirasakan peluang untuk dia terus menikmati kesenangan hidup sudah lenyap.

Haruskah lelaki itu berputus harap?

Jawapannya, ALLAH masih ada dan Maha Pemberi. Ini sebahagian UJIAN HIDUP.

Metafora Air Limau dan Luka Di Tangan

Dipetik daripada buku Mukmin Profesional. Air limau nipis diletakkan di atas tangan yang biasa, maka kita tidak akan berasa apa-apa. Sebaliknya, jika air limau itu dititiskan di atas tangan yang luka maka pedihnya terasa. Jadi air limau itu umpama UJIAN HIDUP. Manakala tangan luka tadi ialah hati yang sakit. Hati yang sakit ialah hati yang dipenuhi sifat-sifat mazmumah seperti takbur, dengki, marah, kecewa, putus asa, dendam, takut, cinta dunia, dan sebagainya.

Ujian hidup yang menimpa diri hakikatnya menimbulkan sahaja sifat mazmumah yang bersedia bersarang di dalam hati. Apabila diujia dengan cercaan manusia, timbullah rasa kecewa, marah, dendam dan seumpamanya. Oleh itu, ujian hidup hakikatnya hanya menyerlahkan sahaja realiti hati yang sudah tidak bahagia lama sebelum ia menimpa seseorang.

Tekanan demi tekanan

Sumber pendapatan terhad banyak mempengaruhi kehidupan manusia. Apatah lagi hidup di bandar-bandar besar. Memang ia menjadi topik hangat sesebuah keluarga. Tiada wang menyebabkan masing-masing bercerai berai. Silap tetap silap apabila ketua keluarga tiada sumber kukuh. Atau pun silap percaturan sebagaimana lelaki di atas tadi. Menyesal memang menyesal tapi haruskah terus dipersalahkan dan ditambah kekusutan yang ada?

Ini adalah UJIAN HIDUP dan kekesalan dan bertaubat itu suatu NIKMAT.

Ada juga yang berpendapat dengan rezeki terhad dan dikategorikan tiada kecukupan untuk menyara keluarga menyebabkan tersekatnya impian untuk memiliki anak yang ramai. Istilah ramai terserah pada pandangan individu. Biasalnya lebih daripada tiga atau lima orang. Terpulanglah. Saya petik daripada kolum soal jawab Dr. Zahazan.

Soalan:

APAKAH maksud rezeki dan adakah rezeki itu semata-mata harta benda dan wang ringgit? Ada orang yang cuba sedaya upaya untuk mencegah kehamilan kerana bimbang tidak mampu untuk memelihara anak dan takut rezeki kurang. Apa pandangan ustaz mengenai perkara ini?

Ros, Kedah.

Jawapan:

Alhamdulillah wassoalatu wassalam ‘ala rasulillah. Rezeki yang Allah kurniakan kepada kita bukanlah semata-mata harta atau benda yang dihasilkan di bumi saja. Rezeki juga berupa kesihatan, kekuatan tubuh, keterampilan atau gerak langkah dalam kehidupan. Mungkin anda pernah menyebut: “Saya tidak dapat memberi sumbangan kerana saya tiada wang.”

Sebenarnya menyumbang boleh dengan pelbagai cara seperti tenaga, ilmu pengetahuan dan lain-lain yang semuanya untuk kepentingan masyarakat. Allah SWT berfirman dalam surah al-Baqarah ayat 3 yang bermaksud: “Dan nafkahkanlah sebahagian rezeki yang Kami anugerahkan kepada mereka.” Maka erti rezeki pada ayat berkenaan iaitu segala apa yang dapat diambil manfaat oleh masyarakat.
Mengenai mencegah kehamilan, Allah SWT berfirman dalam surah al-Israk ayat 31 yang bermaksud: “Dan janganlah kamu membunuh anak-anak kamu kerana takutkan kepapaan. Kamilah yang memberikan rezeki kepada mereka dan kepada kamu…”.

Firman-Nya lagi dalam Surah al-An’aam ayat 151 bermaksud: “Dan hendaklah kamu berbuat baik kepada ibu bapa dan janganlah kamu membunuh anak kamu kerana kepapaan. (Sebenarnya) Kamilah memberi rezeki kepada kamu dan kepada mereka.” Apabila Allah mengurniakan anak, sebenarnya ada rezeki Allah tentukan untuk anak terbabit.

Namun ada manusia yang tidak inginkan anak dengan mencegah kehamilan dengan alasan tidak bersedia dari segi mental dan kewangan. Orang seperti ini biasanya takut hidup susah dan takut kekurangan makan kerana dibebani kehadiran bayi. Mereka tidak sedar dengan melakukannya akan menghalang rezeki mereka dan turut menahan rezeki anak.

Kita banyak melihat orang yang meninggal dunia lalu meninggalkan anak. Hari berganti hari dan zaman pun berubah. Ternyata, anak yatim terbabit mencapai kedudukan yang tinggi dan mencapai puncak kejayaan dalam masyarakat. Mungkin kalau keluar-ganya masih hidup, anak berkenaan tidak akan mencapai kejayaan seperti itu.

Justeru, biarlah takdir Allah berjalan seperti semestinya. Kerjakanlah apa yang lebih utama dan lebih bererti dalam kehidupan ini. Kenyataan membuktikan betapa ramai anak yang hidup dalam pemeliharaan bapanya, gagal sehingga ada yang menjadi penganggur dan meresahkan masyarakat. Sebenarnya urusan rezeki adalah urusan Allah.

Jadi, janganlah kita terlalu takut mengenai rezeki atau kurang makan sehingga sanggup mencegah kehamilan.

Sekiranya kita miskin, mengadulah kepada Allah seperti dalam sebuah hadis yang diriwayatkan Abu Daud daripada Ibnu Mas’ud RA, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: 

“Sesiapa yang tertimpa kemiskinan, kemudian dia mengadu kepada sesama manusia, maka tidak akan tertutuplah kemiskinan itu. Dan sesiapa yang mengadu kepada Allah, maka Allah akan memberinya rezeki baik dengan segera mahupun lambat.” Wallahua’lam

Di usia begini masih....

Posted: Thursday, November 24, 2011 by WZWY in Labels:
0

IMAM BAIHAQI dalam bukunya al-Hadiqah menyebut bahawa, "Tidak diragukan lagi, di atas muka bumi ini seluruh umat manusia sejati adalah seorang pedagang yang sedang bermusafir. Barang dagangannya adalah PERBUATAN BAIK DAN BURUK. Tujuan bermusafir ini pula ialah ke syurga abadi. Ia hanya diperuntukan kepada mana-mana pedagang yang mahu bekerja keras dan bukan untuk pedagang yang sebaliknya. Seseorang yang tidak bekerja keras melakukan kebaikan akan menderita dan berada dalam kerugian. Modal pedagang pula ialah umur, dan setiap detik dari waktu hidupnya adalah harta-harta yang mungkin dibelinya. Mungkin ia dibiarkan begitu sahaja."

Ini bermakna apabila umur sudah habis, seseorang pedagang itu perlu mengundurkan diri dari pasar perdagangan ini. Cukuplah sampai di situ sahaja. Dan kemudian akan tiba pula masa menghitung segala amalan kebaikan dan keburukan di pasar dagangan tadi (dunia). Dan bila tiba hari penentuan. Seseoran itu akan menuju ke pintu syurga atau neraka.

Cepatnya umur berlalu

Pejam celik,pejam celik. Waktu berlalu meninggalkan masa silam yang mustahil diketemui semula. 
 
Seorang lelaki sedang bersandar di kerusi simen. Di depannya sayup mata memandang lautan biru. Indah dan menyedarkan. Dia seakan tidak percaya. Dia keluarkan kad pengenalan yang dijaga elok di dalam dompet duit. Dia menggarukan kepala. Turun bagai debu-debu segala ibu kelumumur dari atas kepalanya. Usianya sudah menganjak ke angka 40an. Memang tidak terduga. Masa sepantas itu. 

Dia termenung sendirian, "Banyak manakah amalanku yang baik-baik selama ini?"
Dia tiada jawapan. Dikerjakan perintah Allah SWT lima waktu sehari semalam. Berpuasa sebulan di bulan Ramadan. Belum berkemampuan mengerjakan haji. Segala perkara berkaitan zakat sudah dilunaskan. Namun jiwa masih tiada ketenteraman. Kenapa?
Diperhitungkan segala amalan-amalannya. Memang agak jauh. 
 
"Masih jauh dengan pintu syurga abadi," desisnya sendirian.

"Biar Allah tentukan. Waktu masih belum terlewat. Bertaubat pada-Nya. Berubahlah ke arah kebaikan dan memperbanyakkan zikir dan amalan kebaikan." Satu suara muncul di saat-saat dia perlukan jawapannya.
 
"Di usia begini, masih tiada keseimbangan pintu rezeki dan pintu perbelanjaanku. Di usia begini anak-anak masih kecil dan perlukan perhatian dan kasih sayang. Di usia begini, hilang rasa dicintai dan dirindui. Semuanya menjadi satu bebanan  yang maha berat bagi diriku. Segala kemungkinan perlu diperhitungkan. Tiadakah kesempatan untukku perbetulkan segala kesilapan. Tapi tiada pengertian di atas segala apa dilakukan. Tiada ihsan lagi buat diriku. Semuanya menjadi kosong. Semuanya tiada erti lagi walaupun apa jua dilakukan kini. Baik sudah tidak dipandang. Hanya keburukan dan kekurangan juga menjadi ingatan dan luahannya. Apa lagi yang aku ada? Kosong dengan segala kesulitan ini."

Biarkanlah masa terus berlalu. Namun harus ingat bahawa isikan waktu yang ada itu dengan kebaikan dan amalan ikhlas kepada-Nya. Berdoa dan perbanyakkan amalan sunat. Berfikirlah dengan positif. Fikirkan yang baik-baik. Berbaik sangka. Dan hadapi segala kemungkinan yang sudah ditentukan oleh Allah SWT.

Allah Maha Penyayang dan Maha Pemberi.

Rehlah di Riverside Janda Baik

Posted: Sunday, November 20, 2011 by WZWY in Labels:
0

ALHAMDULILLAH WALAUPUN CUACA di sekitar Shah Alam hingga ke Selayang pada petang 20 November hujan agak lebat,kami dapat sampai di Riverside Kg. Janda Baik dengan selamat.
Suasana di Riverside juga tenang. Cuaca cerah dan semuanya berjalan lancar. Rombongan rehlah kami juga ditemani oleh keluarga Ustaz Mansurudin dan Kak Za yang bermastautin di Taman Koperasi Polis, Batu Caves. Mereka yang mengajak kami sertai rehlah pada hari ini. Kebetulan cuti hujung minggu.

Ziyad, Zikry, Zali dan Hijazi tidak sabar-sabar apabila dimaklumkan rancangan mandi-manda di Janda Baik. Ini sudah kali ketiga kami berkelah di sini. Fasiliti di sini pun semakin baik dan terurus. Perancangan akan datang pula, sewa bilik dan berbaque. Ini kena aturkan semula. Lihat jadual hujung-hujung tahun ini atau macam mana. Aktiviti ini juga amat baik untuk rehatkan minda dan fizikal. Lupakan seketika apa-apa yang mengganggu dalam fikiran dan kehidupan  seharian. Relaks!


Mencari penghujung bahagia atau bahagia di sepanjang kehidupan.

Posted: by WZWY in Labels:
0

HATI KIAN GELISAH. Berbagai usaha sudah diusahakan dan dilaksanakan. Tapi belum ketemui penghujung sebuah kebahagiaan. Namun dia masih tetap tegap di situ. Teruskan perjuangan hidup. Haruskah dia berterus terang. Jiwanya sedang sakit. Harapkan sebuah pengertian.

"Kenapa awak begini?"
"Saya kehilangan," jawabnya jujur.

"Hilang?" Dahi berkerut.
"Awak tidak faham."

"Awak terangkanlah dahulu," pujuk dengan lembut.

Belum ada rezeki

"Saya tiada duit sekarang. Dulu kalau saya kata tiada, sekurang-kurangnya akaun kecemasan saya berbaki lagi. Tapi kini, akaun kecemasan itu juga hampir licin. Saya sendiri takut untuk semak akaun sendiri. Pelikkan?" Dia menyoal pula.

"Apa awak buat sekarang?" Soalnya kembali.
"Bukan saya tidak berusaha, tapi masih belum ada rezeki. Saya solat dhuha walaupun tidaklah hari-hari." Tunduk hampa.

"Baguslah. Sekurang-kurang awak sudah berusaha. Insya-Allah, rezeki awak akan terbentang luas di depan mata." pujuk lagi.

"Entahlah. Ibu saya juga sedang sakit. Saya perlukan wang untuk biayainya."

"Awak sudah berkahwin?"

Angguk.

"Pintalah bantuan isterimu." Berikan satu cadangan.

Menggeleng.

Sukar Untuk Berterus-terang

Tenyata lelaki itu sukar untuk bersembang atau bercerita apa yang dia rasa. Apa yang dia pendam. Apa yang dia mahu. Memang sukar katanya. Dia sudah mencuba tetapi masih belum berhasil. Dia sekurang-kurangnya tidak mahu isterinya tahu, dia tiada wang walaupun untuk bersarapan.

"Kenapa? Bukankah hidup sebagai suami isteri perlu ada bantu-membantu?"

Menggeleng lagi.

Katanya. "Saya tahu awak tidak akan mengerti. Semua perbelanjaan harus saya tanggung sekarang. Walaupun masih ada bahagian isteri yang keluarkan belanja juga. Saya tersilap dulu. Kesannya hingga sekarang. Saya terpaksa tanggung sendiri."

Sambungnya lagi. "Saya tahu isteri saya kecewa kerana gagal tunaikan permintaannya. Nampak seperti saya berkira pasal duit atau dengan anak-anak. Tapi hakikatnya saya mahu bahagiakan keluarga, tapi kemampuan terbatas. Saya sering berdoa agar dilapangkan rezeki dan dikurniakan rezeki."

"Jangan sempitkan makna rezeki."

"Maksud awak?"

"Rezeki bukan hanya soal duit atau harta. Tapi kesihatan, kedamaian, kebahagiaan dan lain-lain juga rezeki."

Angguk. "Saya faham maksud awak. Tapi bila tiada wang, apa ertinya sebuah kebahagiaan jika isteri dan anak-anak kecewa dengan kita."

"Awak mahu bahagia?"

"Iya!"

Erti Bahagia.

"Erti bahagia ialah memiliki hati yang tenang dalam menghadapi apa jua ujian dalam kehidupan. Maksud firman Allah dalam surah al-Ra'ad, ayat 28 iaitu, Ketahuilah! Dengan zikrullah itu, tenang tenteramlah hati manusia."

"Entahlah tuan. Saya mahu hati tenang, tetapi ketenangan diragut apabila kocek saya kosong."

"Pintalah pada Maha Pemberi. Insya-Allah akan diberikan oleh-Nya. Jangan putus harap. Jangan cepat kecewa." Nasihat lagi.

"Jadi?"

"Berterus-teranglah pada isterimu agar dia faham situasimu itu. Dia bukanlah seorang yang zalimkan? Dan dia juga mungkin sudi membantu. Pantas bagaimana dia mahu bantu jika kamu terus berdiam begini?"

Diam.

"Baiklah. Sebelum kita berpisah petang ini, saya kongsikan kaedah mencari bahagia menurut Al-Quran yang diturunkan oleh guru saya."

Dia mengukir senyuman.

Pertama : Beriman dan beramal soleh. Janji Allah akan berikan kehidupan yang baik jika kita beramal soleh dan menurut perintah-Nya.

Kedua : Banyak mengingati Allah. Bukan sekadar pada waktu solat lima waktu sahaja. Dalam semua aktiviti seharian, biarlah kita sentiasa ingat Allah. Berzikirkan sentiasa. Berbanding cakap-cakap kosong.

Ketiga : Bersandar harap pada Allah. Jangan sesekali berharap selain Allah.

Keempat : Sentiasa mencari peluang berbuat baik. Ini adalah satu perkara yang kebanyakan manusia gagal laksanakan. Berbuat baik pada orang lain atau makhluk lain. Bersedekah atau mendamaikan di antara manusia.

Kelima : Jangan panjang angan-angan dan meratapi masa silam. Perkara ini harus diambil berat. Kata guru saya, "Fikir tetapi jangan khuatir." Jangan terlalu berangan-angan tentang perkara akan datang yang belum pasti. Sepatutnya apa yang kita laksanakan sekarang menjadi hala tuju pada masa depan.

Keenam : Lihatlah kelebihan diri berbanding kekurangan diri. Jangan fokuskan kelemahan kita selalu atau jangan fikir langsung tentang itu. Tumpu dan usahakan agar kelebihan diri kita lebih menonjol.

Ketujuh : Jangan harapkan terima kasih sesama manusia. Hanya Allah sahaja tempat kita berharap dan meminta. Manusia memang sukar berterima kasih. Jangan fikirkan sangat kebaikan yang sedikit kita lakukan. Kita redha dan harapkan balasan Allah.

Moga ada pencerahan dan manafaat. Nasihat untuk diri sendiri jua agar bertindak segera perbaiki apa kekurangan diri. Walaupun ia tampak sukar. Mohon kekuatan daripada Allah.

Rujukan : Mukmin Profesional. Ust. Pahrol.

MAJLIS PELANCARAN NOVEL OPS CONTENG

Posted: Thursday, November 17, 2011 by WZWY in Labels:
0

DIPANJATKAN KESYUKURAN KEPADA ALLAH SWT, di atas limpah kurnia-Nya buat kali keempat saya dapat melaksanakan pelancaran novel-novel tulisan saya. Dan kali ini ia agak berbeza kerana pelancaran disempurnakan oleh YDP PIBG, En. Bismimohar Abdullah. Biasanya disempurnakan oleh Guru Besar.

"Terima kasih di atas sokongan tuan."

Saya juga bersyukur kerana berada di bawah pimpinan dua Guru Besar yang sentiasa berikan sokongan di atas segala usaha-usaha penulisan saya. Kalau dulu Guru Besar SK Taman Medan, Cikgu Nordin sentiasa berikan galakan. Kali ini, saya di bawah pimpinan Puan Norhayati Bakri. Seorang Guru Besar yang sentiasa positif dan amat bertolak ansur dengan staf-staf SK PPR Lembah Subang. Alhamdulillah.

Pelancaran novel yang serba ringkas.

Kali ini saya tidak berikan sebarang ucapan. Sekadar meminta En. Bismimohar memotong riben 'bunting' pelancaran. Lagi pun saya tidak mahu mengambil masa lama dalam Majlis Hari Anugerah Kecemerlangan. Namun begitu, ia berikan kenangan bermakna kepada diri saya.

Kebetulan pada hari ini kami sibuk dengan satu program lain iaitu Majlis Penyampaian Agihan Bantuan Awal Persekolahan yang telah disempurnakan oleh Tuan Haji Karim, Timbalan Penyelaras DUN Kota Damansara. Seramaii 138 orang murid Tahun Enam menerima bantuan tersebut.

Harapan saya dengan OPS CONTENG

Novel kali ini diharapkan dapat teruskan lagi minat para pembaca novel-novel saya sebelum ini. Dan apa yang saya mahukan juga ialah bukan sekadar pujian tetapi teguran membina daripada para pembaca untuk mempertingkatkan mutu hasil karya seterusnya.

Terima kasih buat adik Hafiz Hakimi yang tinggal di Puncak Alam dan memiliki kesemua novel-novel tulisan saya. Semoga lebih ramai lagi pembaca cilik yang membaca novel-novel saya. Semoga nilai-nilai tarbiyah di dalamnya dapat diaplikasikan. Insya-Allah.

Siri Komik di Majalah ASUH

Insya-Allah, jika tiada aral saya bakal menulis komik di dalam majalah ASUH setiap bulan. Bukan  melukis komik ya. Hanya menulis skrip komik. Dan ia masih mengekalkan asas sebuah persahabatan dalam kehidupan seharian kita. Saya akan cuba berikan yang terbaik untuk para peminat majalah ASUH. Siri pertama sudah siap ditulis dan lukisannya sudah pun siap. Tunggu masa untuk muatkan di dalam majalah sahaja. Alhamdulillah.

Kali ini saya akan tampilkan beberapa watak baru bersesuaian dengan tajuk cadangan siri komik ini iaitu GENG 5A. Geng 5A ini ada visi dan misi yang perlu dilaksanakan. Namun begitu ia bukan mudah kerana ada sahaja halangan di depan mereka.

Nantikan keluaran majalah ASUH bulan Januari 2012 ini.

Akhir kalam, terima kasih buat En Bismimohar, barisan pentadbiran SK PPR Lembah Subang, guru-guru dan murid-murid semua. Dan tidak lupa kepada semua para pembaca hasil karya saya di luar sana. Begitu juga ucapan tahniah kepada para ibu bapa yang sudi menjadikan novel-novel saya sebagai bahan bacaan untuk anak-anak. Dan tidak lupa ucapan terima kasih kepada editor Puan Zulina dan seluruh tim GISB.

BELI ONLINE : OPS CONTENG

Posted: Monday, November 14, 2011 by WZWY in Labels:
0


BERITA BAIK UNTUK RAKAN-RAKAN YANG SENTIASA MENYOKONG PENGLIBATAN SAYA DALAM BERKARYA.
Saya baru mengambil stok OPS CONTENG dan novel-novel sebelum ini untuk dijual secara ONLINE. Jika sesiapa berminat, bolehlah hantar email kepada saya dan lihat di sebelah kiri blog ini cara-cara PEMBELIAN SECARA ONLINE.

Setiap buah buku ada DISKAUN 10% ( tidak termasuk kos penghantaran sebanyak RM3.00 di mana-mana sahaja di seluruh Malaysia ).

Harga Pasaran : RM10.00
Harga Diskaun : RM9.00



Setiap buah buku juga akan ditanda tangan oleh saya dan boleh nyatakan permintaan untuk menulis apa-apa ucapan kepada sesiapa sebagai tanda kenangan atau hadiah.


Terima kasih di atas sokongan tuan/puan/adik-adik semua.

OPS CONTENG SIAP DICETAK

Posted: Sunday, November 13, 2011 by WZWY in Labels:
1

ALHAMDULILLAH DENGAN LIMPAH kurnia-Nya, novel keempat saya akhirnya berada di tangan pada 9 November yang lalu.

Terima kasih buat semua tim Galeri Ilmu Sdn Bhd yang terlibat. Kerjasama dan idea tuan-tuan membuatkan novel ini lebih menarik lagi. Tidak lupa kepada  Puan Zulina Hassan, editor yang tak jemu-jemu membaca dan mengedit tulisan saya yang masih merangkak dalam bidang penulisan ini.

OPS CONTENG memberi seribu makna pada saya ditika pada bab terakhir saya bergelut untuk menyiapkannya di samping pelbagai perkara yang berlaku dalam kehidupan harian saya. Ia perlukan kekuatan dan ketahanan fizikal dan mental. Akhirnya berkat doa dan kesabaran, ia dapat juga disiapkan mengikut tempoh masa diberikan.
Penyiasatan di sekolah

Berbeza pada siri pertama Penyiasat Cilik : Adib Adibah pertama, Ops Menjejak Pencuri, kali ini pasangan kembar ini ditugaskan untuk menyiasat kejadian conteng yang berleluasa di SK Putera Alam. Sekolah yang menjadi tempat mereka belajar. Penyiasatan mereka dibantu oleh rakan terdekat iaitu Badshah, Fei Hung dan Yumni. Pelbagai usaha dilakukan oleh mereka. Cabaran pula datang bertimpa-timpa. Hanya kebijaksanaan, pemuafakatan dan kesabaran menjadi kunci kekuatan mereka.

Penyiasatan Adib Adibah kali ini pula dibantu oleh satu watak misteri. Watak yang tiba-tiba muncul membantu. Tanpa pengetahuan mereka siapakah identiti watak ini. Mr Selohom. Mr Selohom hadir ketika Adib Adibah hadapi kemelut dan kekeliruan dalam menyelesaikan kes conteng mereka. Siapakah Mr Selohom? Adakah ia musuh atau pun kawan?

Nilai Persahabatan

Adibah berdepan pula masalah hubungan dengan rakan baiknya Yumni. Kemenangan dalam pertandingan bercerita menyebabkan Yumni menjauhkan diri. Namnu begitu ada kisah di sebaliknya. Mengapa mereka berkonfrantasi sebegitu rupa. Walaupun tanpa kerelaan kedua-duanya. Kenapa?

Semoga OPS CONTENG ini mendapat sambutan baik sebagaimana novel-novel sebelum ini. Besar harapan agar segala apa yang terkandung di dalam novel ini dapat dimanafaatkan oleh khalayak pembaca. Insya-Allah.

Salam sayang buat semua pembaca OPS CONTENG.

Jika Aku Yang Bersalah

Posted: Sunday, November 6, 2011 by WZWY in Labels:
0

SUDAH MENJADI LUMRAH sifat manusia. Maksudnya saya, tuan-tuan dan orang lain lagi mungkin ada sifat salahkan orang lain dalam pelbagai hal. Mungkin bukanlah selalu, tetapi sesetengah situasi atau keadaan. Bila gagal sesuatu perkara kita salahkan si anu, kita salahkan masa, salahkan keadaan dan sebagainya. Pernahkah begitu?

Itulah helah bela diri. Tidak akui kelemahan diri, lantas menyalahkan orang atau perkara lain pula.

Perlukah kita yang katakan diri beriman dengan Allah SWT dan menyayangi Rasulullah SAW, tetapi masih ada walau sekelumit sifat salahkan orang lain atau mencari kesalahan orang lain semata-mata. Tidak bolehkah kita melihat dengan sudut pandangan positif pula. Kita perlu sedar, orang lain juga melihat diri kita. Kita pula tidak tahu apa pandangan mereka pada kita. Kita rasa diri kita semuanya betul dan hebat. Adakah begitu caranya?

Kisah Nabi Isa a.s

Satu kisah menarik yang boleh saya kongsikan apabila Nabi Isa a.s dan para pembantunya berjalan di sebuah padang pasir. Mereka terjumpa bangkai seekor anjing.

Salah seorang pembantu berkata, " Alangkah busuknya bangkai ini.."

"Lihatlah dagingnya yang reput dan berlendir," kata salah seorang pembantu Nabi Isa a.s.

Setiap orang melihat bangkai anjing itu dengan rasa jijik dan kotor. Nabi Isa a.s mendiamkan diri sahaja. Kemudian baginda berkata, " Alangkah putihnya gigi bangkai anjing ini.."

Semua pembantunya tersentak.

"Aku didik diriku untuk melihat kepada sesuatu yang baik walaupun pada bangkai seekor anjing. Apatah lagi pada benda-benda yang lain, pasti mudah bagiku melihat kebaikan daripadanya."

Kata-kata Nabi Isa a.s itu bagaikan mutiara berguguran dan memberikan petunjuk kepada para pembantunya dan diri kita sendiri tentunya.

Adakah kita melihat sedemikian?

Apa yang boleh kita belajar ialah Yang Pertama ialah OBJEK dan Yang Kedua pula ialah SUDUT PANDANGAN.

Maknanya bukan semua benda yang dilihat memberikan pandangan yang sama. Setiap orang punyai pandangan masing-masing. Daripada pandangan itulah lahir tanggapan, daripada tanggapan lahirnya pemikiran dan daripada pemikiran menjurus kepada tindakan. Justeru itu, untuk melahirkan  tindakan yang baik, kita perlu bermula dengan pandangan yang positif.

Bila kita melihat seseorang itu dengan pandangan NEGATIF, maka sudah tentu apa yang dilakukan oleh orang itu akan dilihat yang BURUK sahaja. Nauzubillah!

Walaupun pada kesalahan kecil sekali pun, bagi kita ia sudah cukup besar dan tidak boleh dimaafkan. Dan paling menyedihkan ialah segala kebaikan yang telah atau sedang dilakukan orang tersebut langsung tidak dipandang walau sebelah mata.

Siapakah kita? 

Dan terfikirkah kita, adakah diri kita ini begitu sempurna dan hebat? Patutnya kita juga muhasabah diri. Lihat apa yang mampu kita lakukan. Lihat apa pula kelemahan diri. Lihat juga siapa diri kita sebenarnya. Cermin diri kita pula, apakah yang aku lakukan selama ini disukai oleh orang lain?

Mohon maaf?

Bila kita melihat seseorang dengan sudut pandang negatif, maka untuk minta maaf daripadanya jauh sekali. Kenapa aku perlu minta maaf daripadanya? Siapa dia? Siapa aku untuk mengadap dirinya? Patutnya dia datang kepada aku. Maka syaitan akan bertepuk tangan amai-amai kupu-kupu. Kita sudah berjaya! Kita sudah berjaya!

Kita melihat seseorang itu pendosa. Maka kita juga pandang jijik padanya. Maka kita jauh sekali untuk melihat sesuatu yang positif pada diri orang sedemikian. Maka jauh sekali untuk hulurkan tangan persahabatan atau mohon maaf daripadanya. Perlukah begitu? Sesungguhnya Allah Maha Pengasih dan Maha Penyayang.

Itulah yang berlaku pada hari ini. Tidak kira ia hanya di antara rakan sekerja, sahabat handai, rakan sekampung, jiran tetangga, rakan laman sosial, adik beradik, sanak saudara dan suami isteri. Masing-masing ego dan berdabik dada. Akhirnya yang ketawa riang ialah para syaitan dan iblis yang menjadi duri dalm daging di sebalik perpecahan atau perceraian dalam sesebuah rumah tangga. Nauzubillah!

"Ya Allah! Sesungguhnya dalam hatiku ini dipenuhi sifat-sifat mazmumah. Lupa dan lalai dengan perintah-Mu. Ampunilah aku Ya Allah! Berikan aku kekuatan untuk hadapi segala ujian dan dugaan-Mu Ya Allah! Berikanlah aku waktu untuk terus memohon keampunan dan mendekatkan diri dengan-Mu Ya Allah! Berikanlah kebaikan dan kebahagiaan dalam diri buat insan-insan yang hampir denganku Ya Allah! Kau berikanlah mereka kelapangan hati dan petunjuk-Mu Ya Allah! Sesungguhnya aku tidak pasti selama mana keizinan-Mu untuk aku terus bertahan. Mohon di penghujung lorong kehidupan ini kebahagiaan. Rezeki yang melimpah. Ketenangan diri.Dan diakhirat nanti dikurniakan keampunan-Mu dan berada dalam syurga abadi-Mu."

Allah Memberi Sebelum Diminta

Posted: Saturday, November 5, 2011 by WZWY in Labels:
0

SESUNGGUHNYA KITA SEBAGAI MANUSIA ini sering lupa dan lalai. Begitulah hakikatnya walaupun ada kurang bersetuju. Kebanyakan manusia akan memberi setelah diminta. Betulkan?

"Kenapa tak minta dengan saya, kalau tak saya boleh bantu awak."

Itulah realiti kita sebagai manusia. Jangan tuding jari pada diri sendiri atau sesiapa sahaja. Itulah asal kejadian kita. Kita sering lalai dan leka.

Sifat Allah pula adalah sebaliknya. Dia memberi walaupun tanpa kita memintanya. Allah itu Maha penyayang dan Maha Pengasih. Kalaulah diminta dahulu barulah Dia memberi, rasanya kita belum tentu akan bernafas ketika ini atau entah apa berlaku kepada kita. Allah memberikan kita rezeki, perlindungan, kesihatan, dan segala-galanya. Andainya kita lupa meminta untuk bernafas pagi tadi, adakah kita bernyawa lagi bila menjelang tengah hari? Ini sebagai contoh bahawa kita sering lupa akan Allah berbanding leka dengan kehidupan di dunia ini.

Sejauhmanakah kita bersyukur?

Ramai di kalangan manusia hari ini begitu sombong dan ego dengan Allah. Sanggup hidup bergelumang dengan dosa. Allah telah larang kita berbuat kemungkaran tetapi ada juga yang degil dan mengulanginya sentiasa. 

Apa nak jadi? Di mana rasa kehambaan kita? Tidak takutkah kita dengan balasan NERAKA Allah? Atau kita ingat bahawa SYURGA dan NERAKA itu tidak wujud?

Allah memberikan kita nikmat berulang-ulang kali tanpa jemu. Bangun pagi kita bernafas seperti semalam. Kita juga diberikan kesihatan. Kita juga masih hidup aman tenteram. Bayangkan pula bila kita bangun pagi, suara kita hilang. Nikmat berkata-kata ditarik balik oleh Allah. Nikmat mendengar juga hilang. Apa yang mampu kita lakukan ketika itu. Saya percaya, kita bermohon pada Allah juga. Mohon keampunan dan dikembalikan nikmat-nikmat itu. Selama ini apa yang kita gunakan dengan kedua-dua nikmat itu?

Bersyukurkah aku?

Sesungguhnya fasa hidup kali ini cukup mencabar. Namun begitu Allah masih berikan kegembiraan dan nikmat-Nya. Sesungguh Dia Maha Penyayang. Hanya terpulang pada kita sahaja untuk mensyukurinya. Rasanya ramai di kalangan kita hadapi kemelut kehidupan yang begitu sulit buat masa ini. Nasihat diberikan pada saya juga sabar dalam bersabar.


Tapi cukup sukar hadapi hidup dengan hilang nikmat kasih sayang.

Tapi cukup sukar hidup dengan bergelumang dengan noda dan dosa pada Allah.

Tapi cukup sukar hidup masih dikelilingi hutang piutang.

Tapi cukup sukar hidup sekadar cukup-cukup makan.

Tapi cukup sukar hidup yang masih dikejar bayang-bayang dosa silam.


Bersyukur kerana diberikan kesedaran oleh Allah dalam kesempatan masih lagi bernyawa. Betapa ramai lagi belum sedar akan dirinya berdosa dan berterusan begitu sampai hujung nyawa. Bersyukurlah aku.

Kita perlukan perancangan semula jika sudah tersilap langkah pada awal-awalnya. Masalah biasa berlaku ialah dihimpit hutang silam. Hutang yang dulu menjanjikan suatu kemewahan hidup. Berapa ramai yang harapkan sesuatu lebih baik tetapi penghujungnya hanya kekecewaan? Itulah realiti yang perlu ditempuhi. Susun atur semula kehidupan. Tiada istilah terlewat. Mohon pada-Nya. Moga segala kesulitan ini menemui penghujungnya. Sinar bahagia pasti di hujung sana. Namun begitu perlulah diiringi dengan usaha, doa dan tawakal pada-Nya. Perancangan perlu bijak.

Semoga kesulitan-kesulitan ini berakhir.

Allah berikan kita memilih

Posted: Tuesday, November 1, 2011 by WZWY in Labels:
0

KALI INI ENTRI YANG AGAK 'SIMPLE' dan biasa-biasa sahaja. Al-maklumlah pada waktu ini, kebiasaannya orang sudah lelapkan mata. Hilangkan keletihan bekerja di siang hari. Bila kita renung semula kehidupan kita sekarang bagaikan robot bernyawa. Masa sudah ditetapkan dan apa yang perlu dibuat.

Bagi yang punyai kesedaran dan mampu selitkan sebahagian hidup dengan bekalan akhirat, bertuahlah dia. Dan bagi yang terus hanyut dan leka dengan nikmat dunia. Mereka tergolong ke dalam orang-orang yang rugi.
Manusia diberi pilihan. 

Semasa mahu berkahwin pun kita boleh memilih. Ada yang mahukan seorang yang bertakwa pada Allah. Ada mahu yang berharta. Ada mahu yang berjawatan tinggi dan sebagainya. Ikut selera atau iman masing-masing. Dan ada yang mengadu pula selepas mengharungi badai perkahwinan. "Saya tersalah pilih suami." atau "Saya tersalah pilih isteri."

Betulkah begitu?


Pilihan yang baik atau buruk bergantung pada diri seseorang itu. Ia juga disandarkan dengan ilmu dan takwa seseorang. Masing-masing bebas memilih. Tapi kena ingat bahawa Allah sudah tetapkan sempadan-sempadan yang tertentu.


Ada yang memilih untuk bebas. Dan mahukan ia untuk kedamaian dan ketenteraman hidup. Terpulang pada diri masing-masing. Walaupun begitu, fikirkan sejenak secara logik dan  dengan akal yang waras. Apa maksud bebas yang kita mahukan. Apa panduan kita?


Ada yang memilih untuk terus menghukum. Setiap apa dilakukan seseorang akan terus dijatuhi hukuman. Bergantung pada penilaian dirinya sendiri. Maka bermulalah setiap hukuman yang diberikan itu dikuasai hawa nafsu semata-mata. Nauzubillah!

Ada yang memilih untuk terus membenci. Maka apa yang dilakukan orang dibenci akan terus dikatakan salah dan tidak boleh dimaafkan. Maka di situlah letaknya sejauh mana keimanan seseorang. Adakah Rasulullah SAW membenci kepada Abu Suffian yang akhirnya mengakui kerasulan-Nya. Dan semua sudah tahu bagaimana tindakan Abu Suffian semasa hanyut dalam dunia kejahilan.


Kita ada macam-macam pilihan. Pilihlah yang terbaik. Jangan tersalah pilih.


Wallahualam.



Bila Jauh Daripada Maha Pemberi

Posted: Saturday, October 22, 2011 by WZWY in Labels:
2

Lelaki ini bersendirian lagi di sini. Insafi segala dosa yang dilakukannya. Dan muhasabah diri. Ini yang lebih baik baginya. Renung kembali apa yang pernah dilakukannya. Namun saat dia sedar akan segala masalah menimpanya, Dirasakannya ia sudah terlambat. Kata orang, "bila nasi sudah menjadi bubur." Dia akui segala kesilapan silamnya.

"Mahu senang dan kaya."
"Huhhh...apa aku ada sekarang?"

"Semuanya palsu belaka. Yang ada hanya hutang berganda-ganda. Gaji bulanan pun tidak mampu tampung perbelanjaan keluarga dan diri sendiri."
"Entahlah, kenapa aku begitu bodoh dahulu. Cepat sangat buat keputusan. Hutang sana, hutang sini. Alih-alih aku merana sekarang. Terima gaji bagai bagai tiada erti lagi. Habis semua bayar bil, belanja dapur, bayar yuran dan akhir sekali nak makan pun tak lepas."

Lelaki ini terus mengomel sendirian.

"Apa lagi perlu aku lakukan sekarang?"

"Aku sudah hilang punca sekarang, Ya Allah! Aku sudah cuba sedaya upaya. Kerja sana kerja sini, kejar sana kejar sini, namun aku masih tidak berdaya."

"Adakah aku sendirian begini? Tapi aku yakin masih ramai sepertiku. Hutang tidak pernah habis. Gali lubang sini, tutup lubang sana."

$$$$$$

Itulah lumrah kehidupan. Masalah kewangan sering mencengkam sebahagian besar individu. Pada mulanya mahu hidup senang, tetapi tersalah jangkaan dan akhirnya menanggung hutang yang tiada penghujungnya. Bila terima slip gaji, potongan lebih banyak daripada gaji bersih. Alahai, sedih hati apabila menatap slip gaji sebegitu. Namun apakan daya, jika sudah tersilap langkah.

Firman Allah SWT dalam sebuah hadis Qudsi yang bermaksud, "Aku mengangumi seorang mukmin. Bila beroleh nikmat, dia memuji Allah dan bersyukur. Bila diuji dengan kesusahan pun dia memuji Allah dan bersabar." (Riwayat Ahmad dan Abu Daud)

Jelas peringatan Allah SWT

Ayat di atas sudah terang lagi bersuluh bahawa hidup kita akan ada suka dan duka. Gembira dan sedih. Dan setiap daripada kita tidak dapat bersembunyi daripada menerima ujian dan dugaan Allah dalam pelbagai bentuk. Sama ada masalah kesihatan, masalah keluarga, masalah kewangan dan banyak lagi masalah berkaitan. Betulkan?

Orang mukmin sejati, apabila menerima kesusahan, dia akan merasakan bahawa Allah sedang mengujinya. Allah juga beri dia pahala kerana bersabar. Pahala sabar itu ialah 'bighairi hisab', tanpa dihitung-hitung. Kalau kebaikan biasa diberi ganjaran satu persepuluh atau paling-paling satu hingga tujuh ratus. Namun pahala sabar, Allah SWT mungkin balas dengan tujuh juta atau seisi langit dan bumi. Ia terserah kepada ketentuan Allah SWT.

Yang sudah biarkan berlalu

Kita lupakanlah apa yang sudah berlalu. Kita fokus ke depan. Apa yang perlu kita lakukan sekarang untuk atasi setiap permasalahan hidup kita. Rancang semula. Bincang semula dengan insan terdekat, isteri atau suami atau keluarga. Hutang tetap hutang, perlu dilunaskan pada setiap bulan. Banyak atau sikit, kita kena reda dengan perjanjian sebelumnya. Dan ingatlah bahawa setiap kejayaan akan datang adalah hasil daripada apa yang kita ciptakan sekarang. Maka janganlah berlengah.

"Ya Allah! Bukan mudah untuk atasi semua ini."

Memang begitu. Setiap masalah perlukan penyelesaian. Setiap masalah dengan dua keadaan iaitu persepsi kita terhadap masalah dan tindak balas kita hadapi masalah tersebut. Pertama sekali, jangan berkeluh kesah. Memikirkan kesilapan lampau. Dan ingat, jangan berputus asa. Putus asa ialah perasaan hilang harapan dan rasa buntu dalam menghadapi masalah. Kesannnya cukup buruk. Hindarilah ia sebaik-baiknya. Dan satu perkara lagi jangan lari daripada masalah. Ia tetap menjadi bayang-bayang hidup kita. Walau berjuta kilometer kita berlari, ia tetap menghampiri kita. Kita kena berdepan dan selesaikannya.

Harus bagaimana aku lakukan sekarang?

1) Kembali semula kepada Pemberi Rezeki

Kebanyakan manusia hari ini lupa bahawa setiap sen rezeki itu datang daripada Allah SWT. Mereka alpa dan kejar ke sana ke mari tanpa mempedulikan tanggungjawab kepada pemberi rezeki. Mereka ingat semua kekayaan atau hasil titik peluh itu adalah usahanya semata-mata. Apabila tiba ditimpa musibah, barulah dia teringat bahawa Allah SWT itu ada sebagai pemberi rezemki pada-Nya. Ketika itulah dia menadah tangan bermohon dilimpahi nikmat dan rezeki. Kita sama-sama muhasabah diri dan dekatkan diri pada-Nya. Berdoa dan bersujudlah pada-Nya. Paling afdhal ialah kita kuatkan semangat untuk berqiamullail. Solat malam adalah salah satu ibadah yang disukai dan digalakkan oleh Rasulullah SAW. Pada masa itu pintu gerbang doa terbuka luas. Allah Maha Mendengar dan Maha Mengasihi hamba-hamba-Nya.

Ubahlah cara hidup sekarang jika ia berlawanan dengan perintah Allah SWT. Hindarilah diri daripada terjebak melakukan maksiat atau dosa pada-Nya. Ubah gaya percakapan dan tingkah laku kerana Allah SWT. Elakkan diri mendekati tempat-tempat maksiat. Lihatlah pada diri, adakah layak untuk berada di syurga Allah SWT?

2) Banyakkan MEMBERI.

"Ramai orang yang gagal dalam hidup kerana lebih pentingkan bagaimana untuk mendapatkan sesuatu, berbanding bagaimana untuk memberikan sesuatu. Sedangkan mengikut kajian, orang yang berjaya dlaam hidup ialah orang yang banyak memberi." Ini adalah petikan tulisan guru saya Ustaz Pahrol Mohd Juoi dalam bukunya Mukmin Profesional.

Jadi jelas kepada kita bahawa konsep memberi itu perlu difahami dengan sebaik-baiknya. Rasulullah SAW sendiri adalah orang yang paling banyak memberi. Walaupun baginda bukanlah tergolong daripada orang yang kaya raya sebagaimana sahabat-sahabat lain.

Jadi ubah semula apa yang gagal kita laksanakan dulu. Banyakkan bersedekah. Insya-Allah setiap sen yang kta hulurkan, akan diberi ganjaran berlipat ganda oleh Allah SWT.

Mungkin kita akan perolehi rezeki yang tak disangka-sangka daripada Allah. Siapa tahu?

3) Fokus PENYELESAIAN dan BUKAN PERMASALAHAN

Kita positifkan diri. Lihat segala permasalahan itu dengan sudut pandang yang positif. Ia semuanya adalah ujian Allah SWT. Ada sebab kenapa kita 'terpaksa' hadapi itu semua. Semuanya dalam perancangan Allah SWT.

Ia bukan mudah. Saya pun tahu perkara itu. Dan saya juga hadapi masalah sebagai mana orang lain juga. Contoh masalah kita berkaitan WANG. Tiada kesimbangan dua pintu, iaitu pintu pendapatan dan pintu perbelanjaan. Maka kita gunakan apa kekuatan atau kelebihan yang kita ada. Gunakan ia sebagai pintu jalan keluar permasalahan kita. Jika saya, selama ini tidak sedar apa yang ada dalam diri. Maka dengan izin Allah SWT berikan petunjuk disaat saya buntu. Dunia penulisan menjadi salah satu sumber rezeki selain tugas utama menyampaikan dakwah kepada khalayak pembaca.

Mungkin juga boleh ikuti nasihat seorang penulis motivasi terkenal iaitu Dr. Rusly Abdullah Ph.D. Beliau mengatakan bahawa setiap perniagaan yang mahu diceburi tanpa memikirkan sangat modal. Eh! betulkah. Ya, betul. Dia risau melihat ramai orang sibuk pasal modal. Padahal segala apa yang ada pada masa itu dijadikan modal. Ciontohnya, mahu berniaga goreng pisang. Gunakan kelengkapan sedia ada buat permulaannya. Ambil apa-apa perkakasan di dapur. Gunakan sebagai modal untuk menggoreng pisang. Itu contoh mudah diberikan oleh beliau.

Kata Chef Li, "Kenapa kita tidak kaya? Jawabnya kerana kita tidak memperkayakan diri kita sendiri. Setiap hari kita berusaha dan bekerja untuk memperkayakan orang lain."

Itu adalah pandangannya. Jika tuan-tuan rasakan ia benar dan mampu lakukan. Maka laksanakan sekarang. Terjunlah ke dunia perniagaan yang halal dan patuhi syariat Islam.

Paling penting kita fokuskan apa masalah dalam diri dan sekeliling kita. Kemudian kita duduk seketika. Berbincang jika perlu. Apa masalah dan cara penyelesaian terbaik yang wajar kita lakukan. Jika perlu kurangkan perbelanjaan, kita lakukan sekarang. Jika perlu kerja lebih masa, kita kerja lebih masa tetapi tidak abaikan ibadah pada-Nya serta kasih sayang dalam keluarga.

Allahu akbar! Banyak perkara yang mampu kita fikir dan usahakan. Saya juga sedang laksanakan apa yang perlu walaupun ada saatnya saya juga buntu. Kembali pada-Nya.Mohon pada-Nya. Dekatkan diri pada-Nya. Insya-Allah ada lorong-lorong rezeki untuk kita.

(bersambung)