KIRA BAKI BANK MASA KITA

Posted: Saturday, September 29, 2012 by WZWY in Labels:
1

Saya sangat teruja membaca bab pertama buku yang baharu saya beli iaitu TEKNIK TERHEBAT BERESKAN KERJA, terbitan PTS Profesional Publishing Sdn. Bhd. Persoalan yang disentuh ialah berkenaan BANK MASA kita seharian.

Apa itu Bank Masa?

Sedar atau pun tidak pada setiap hari Allah SWT mengurniakan kita 86,400 saat. Perumpamaan yang boleh kita faham ialah apa yang bakal kita lakukan apabila pada setiap pagi akaun bank kita dikreditkan RM86,400. Dan ia perlu dihabiskan sebelum menjelang pukul 12.00 malam.

Apa yang boleh kita lakukan dengan duit itu?

1) Membeli-belah
2) Belanja kawan
3) Makan & minum
4) Beli itu ini dan apa lagi pada jumlah berkenaan.

Setiap sen yang kita gunakan itu adakah bermanfaat atau sebaliknya?

Jika kita GAGAL manfaatkan jumlah RM86.400 itu, ia akan ditarik balik dan tidak akan dikembalikan semula.

Terasa rugi?

Rugilah kalau kita hanya mampu gunakan RM20,000 contohnya. Maka baki selebihnya akan ditarik balik tanpa boleh dipindahkan untuk akaun keesokkan paginya pula.

Begitulah dengan masa yang diperuntukan kepada kita. 86,400 saat Allah kurniakan kepada seluruh makhluk-Nya. Orang berjaya sama sahaja masa dengan orang yang gagal, orang kaya pun tiada masa lebih berbanding orang miskin. Semua diberi kredit masa yang sama.

Soalnya?

Bagaimana kita menggunakan masa tersebut. Bagaimana kita menguruskan masa seharian kita.

Dalam surah Al-Asr pun Allah telah jelaskan kepentingan masa. Namun begitu, ramai pula orang Islam yang tidak ambil endah. Begitu juga dengan diri saya yang bergelut dengan pengurusan masa.

Maka.

Kita manfaatkan setiap saat masa yang kita ada. Jangan persiakan dengan kerja-kerja melalaikan. Buat kerja perlu diutamakan dahulu. Ibadah jangan lupa di samping kesibukan tugasan harian.

Kita akan lanjut pada perbincangan seterusnya. Insya-Allah.

Muhasabah Diri

Posted: Saturday, September 22, 2012 by WZWY in
0



Seorang lelaki terkilan apabila kesilapannya 10 tahun lepas masih lagi diungkit oleh rakan-rakan. Padahal dia sudah pun bertaubat dan memohon keampunan Allah SWT. Dia sedar apa yang dilakukan sebelum adalah salah dan memalukan dirinya sendiri. Tapi apa kan daya, manusia tidak akan pernah melupakan kejahatan berbanding beribu kebaikan yang dilakukan.
 
Seorang suami juga menderita emosi apabila kesilapan lampaunya terus diungkit oleh isteri. Dia berkali-kali mahu gagahkan semangat untuk terus membina kebahagiaan walaupun tampak sukar. Dia hanya mampu diam kerana tidak mahu keruhkan hubungan. Demi anak-anak. Setiap kesilapan akan terus dileteri dan ditinggalkan mesej istimewa. Dia merasakan setiap kebaikan dan perubahan diri sudah tidak dipandang baik oleh isterinya. Dia hanya mampu panjatkan doa pada Ilahi. Mohon diberikan kekuatan.

Dua kisah di atas bukanlah kisah luar biasa. Ia boleh berlaku kepada sesiapa sahaja. Apa yang mampu dilakukan selain bermohon pada-Nya. Kita kena akur setiap manusia tidak pernah lari daripada melakukan dosa. Siapa sahaja termasuk orang yang merasakan dirinya bersih dan suci kerana kagum dengan ibadah yang dilakukan saban waktu. Benarkah begitu?

Saya memperingatkan diri sendiri dan teman-teman. Sama-sama kita bermuhasabah diri. Lihat pada cermin. Lihat diri dengan mata hati. Siapakah kita. Jangan lupa, dalam surah Ali-Imran ayat 135, Allah memuji golongan yang sanggup kembali ke pangkal jalan. Biar pun dosa menimbun. Bertaubatlah. Pinta pada-Nya dengan hati penuh ikhlas. Insya-Allah, ia diperkenankan-Nya.

Bagaimana muhasabah diri?

1- Bertaubat pada-Nya. Mohon dan terus bermohon. Taubat nasuha. Taubat yang sungguh-sungguh dan tidak kembali mengulangi kesilapan lalu.

2- Berubah bukan sahaja dari segi perlakuan tetapi hati kena kuat untuk berubah. Bergaullah dengan orang-orang yang soleh. Dekatkan diri dengan tangga surau atau masjid. Apabila sentiasa bergaul dengan rakan-rakan yang baik, kita juga lama-kelamaan akan menjadi lebih baik.

3- Jadikan Al-Quran bacaan wajib pada setiap hari. Biarlah dalam keadaan merangkak-rangkak. Belajar dan terus berlajar daripada guru bertauliah. Baca selembar Al-Quran pada setiap hari adalah lebih baik sekali baca satu juzuk, kemudian lupa untuk belek semula Al-Quran selepas beberapa minggu atau bulan.

4- Sertai kelas-kelas pengajian yang banyak dianjurkan oleh masjid atau surau berdekatan. Lihat jadual ceramah mingguan mereka. Cuba sedaya upaya walaupun pada hari bekerja untuk hadirkan diri. Sediakan buku nota atau perakam. Duduk di depan sekali dan tekun mendengar kuliah yang disampaikan.

5- Banyakkan bahan bacaan dakwah. Beli buku agama, buku motivasi, novel dakwah dan seumpamanya. Dewasa ini banyak majalah yang dijual dan boleh dijadikan rujukan. Saya biasanyan akan cuba dapatkan majalah Q&A, Solusi, Anis, Al-Ustaz dan sebagainya untuk dijadikan rujukan. 

6- Lihat balik sama ada kita selalu berburuk sangka dengan orang lain atau sebaliknya. Adakah kita suka mencari kesalahan orang lain. Ubahlah semuanya dengan hati yang benar-benar ikhlas. Jahuhilah diri daripada sifat buruk sangka tersebut. Berbaik dengan semua orang.
 
Sebagai penutup, kisah seorang perempuan yang mengaku berzina di depan Rasulullah SAW boleh dijadikan renungan. Beliau menyesal dan bertaubat kepada Allah SWT. Rasulullah SAW pun menghukum beliau. Kemudian perempuan itu meninggal dunia. Nabi melaksanakan solat jenazah ke atas mayatnya. Saidina Umar Al-Khatab berasa pelik dan bertanyakan hal itu kepada Rasulullah.
 
"Dia sudah bertaubat dengan satu taubat. Andaikata diagihkan taubat itu kepada 70 orang ahli-ahli maksiat di Kota Madinah (orang munafik), pasti ia mencukupi bagi mereka." Hadis ini diriwayatkan oleh Imam Muslim.
 
Maka siapa kita? Sama-sama kita bermuhasabah diri dan janganlah anggap kita suci bersih berbanding orang lain dan anggap dosa orang lain itu tidak diampunkan oleh Allah SWT. Sama-sama kita perkemaskan diri. Insya-Allah semuanya dirahmati Allah SWT.



Kita Sentiasa Diuji

Posted: Monday, September 17, 2012 by WZWY in Labels:
0

"Bersabarlah, sesungguhnya Allah sentiasa bersama kita." Inilah ungkapa yang mampu menjadi azimat di sebalik setiap ujian yang menimpa diri.

Jangan bimbang.

Kenapa?

Janji Allah tidak menguji seseorang itu melainkan kesanggupan mereka yang menerima ujian tersebut.

Kita tidak berhak untuk bertanya kepada Allah di atas apa yang berlaku ke atas diri kita. Kenapa bukan dia? Kenapa bukan mereka dan sebagainya. Semua itu di bawah kekuasaan dan pengawasannya. Apa kemampuan kita? Kita hanya hamba-Nya. Jangan pula kita bersangka buruk di atas segala yang berlaku.

Saya sedang diuji oleh-Nya.
Tuan-tuan juga sedang diuji oleh-Nya.
Kita semua sedang diuji oleh-Nya dengan pelbagai cara.

Bertahanlah.

Berzikir dan bina kekuatan menghadapinya.

Saya adalah manusia yang berdosa. Sentiasa pohon keampunan-Nya. Tewas dengan hasutan iblis? Memang kita perlu sentiasa berwaspada. Dekatkan diri pada-Nya. Insya-Allah segala ujian yang datang itu mampu ditangani dengan iman dan takwa.

Allah s.w.t. berfirman "Orang-orang yang beriman itu akan menjadi tenteram hati mereka. Ingatlah dengan mengingati Allah itu hati akan menjadi tenteram" (Surah Ar-Rad:28)

Berdoalah pada Allah SWT.

Jangan sesekali berputus asa kerana setiap apa yang berlaku itu terselindung seribu hikmah yang mampu dirungkai dan difahami oleh kita. Yakinlah dengan ketentuan-Nya. 

AL-FATIHAH BUAT ALLAHYARHAM IMRAN YUSUF

Posted: Wednesday, September 12, 2012 by WZWY in Labels:
0

Saya tak nafikan bahawa saya berasa sangat sedih di atas kehilangan sahabat penulis Imran Yusuf ( Amrann Yunos ). Saya hanya berjumpa arwah ketika PBAKL dan secara online sahaja. 

Namun begitu, ia agak terkesan kerana kami pernah berjanji mahu bertukar-tukar hasil karya sebelum ini. Tidak sangka, ia tidak terlaksana. Semua itu ketentuan Ilahi.

Saya amat yakin keperibadian arwah disenangi oleh ramai rakan-rakan terutama yang terlibat secara langsung dengan arwah di PTS.

Semoga arwah tenang di sana dan berada di kalangan orang-orang beriman. Sesungguhnya kehilangan arwah amat dirasai oleh teman-teman seperjuangan.

Kita sama-sama doakan ketenangan arwah di alam sana yang mana suatu hari nanti kita pula pasti menyusul.

Al-Fatihah buat sahabat Imran Yusuf.

SYUKUR

Posted: Wednesday, September 5, 2012 by WZWY in Labels: ,
0

Tanggal 05 September 2012, saya dan dua orang guru telah mengambil keputusan untuk mengunjungi rumah beberapa orang calon UPSR yang gagal hadir ke sekolah.

Saban tahun itulah tugasan tambahan Setiausaha Peperiksaan dan Guru Penyelaras Tahun 6. Ziarah murid terutama mereka adalah calon UPSR. Bukan sekadar bertanya khabar, tetapi pihak sekolah mahu mengetahui apa masalah yang murid-murid itu hadapi sehingga gagal hadir ke sekolah dalam tempoh tertentu. Apa yang merisaukan pihak sekolah ialah jika ketidakhadiran mereka tanpa pengetahuan ibu bapa.

Pada hari ini, saya, Cikgu Safiza dan Cikgu Norafishah akan mengunjungi tiga buah buah rumah di blok A dan blok B, Taman Putra Damai, Lembah Subang. Rumah pertama yang kami kunjungi berada di aras 6, Blok A.

"Saya baru nak ke sekolah sekejap lagi."

"Kenapa puan?" Cikgu Safiza bertanya.

"Sebenarnya Hidayah (bukan nama sebenar) telah dimasukkan ke wad Hospital Sg. Buloh."

"Sakit apa?" Kami terkejut.

"Doktor kata apendiks. Kemungkinan dia perlu pembedahan," beritahu ibu itu tenang.

"Baiklah. Nanti kami akan maklumkan pada pihak PPD. Jika dia masih di hospital sehingga minggu depan, kemungkinan dia akan mengambil peperiksaan di wad."

"Oh! Begitu. Saya ingatkan dia tak dapat ambil periksa. Terima kasih banyak-banyak cikgu kerana sudi datang, " sayu  suara ibu itu.

*******

"Allahu Akbar!" Itulah lafaz yang terdetik di dalam hati apabila kami melangkah masuk ke dalam rumah murid kedua di blok B pula. Kami berada di aras 8. Lif di blok ini sudah lama rosak. Hanya untuk naik ke tingkat atas sahaja, Jika mahu turun, terpaksa menggunakan tangga.

"MInta maaf cikgu. Rumah kami macam ini." Ibu murid menyambut kedatangan kami.

Murid kami kali ini diberitahu sudah sakit selama beberapa hari. Kami dimaklumkan murid ini mengalami masalah pernafasan (pneumonia). Saya teringatkan dua anak saya pernah mengalami perkara sama sekitar tahun 2004 dahulu. Pada masa itu saya dan isteri tidur di wad kerana kedua-dua anak kami terpaksa di masukkan ke hospital pada masa yang sama.

Apa yang menarik perhatian saya ialah keadaan rumah ini yang agak dhaif. Saya yakin jika tuan-tuan yang belum pernah mengunjungi rumah flat PPR tidak dapat bayangkan keluasan rumah mereka. Dan agak menyedihkan apabila sesebuah rumah itu didiami lebih daripada lima orang. Namun begitu, itu sahaja kemampuan mereka. Terima dan reda.

Sebenarnya, ibu ini pernah mengunjungi saya di pejabat beberapa kali sebelum ini. Dia merupakan ibu tunggal, anak enam. Kesemua anak dijaga oleh beliau. Baru-baru ini dia juga telah menjalani pembedahan pangkal rahim. Dan sekarang dia tidak mampu bekerja. Sebelum ini bekerja di sebuah pasaraya terkemuka.

Bayangkan tiada sumber pendapatan. Sara enam anak. Nasib baik ada jiran yang sudi membantu.

"Petang ini saya kena hantar Dahlia (bukan nama sebenar murid) ke hospital."

"Siapa yang jaga anak-anak yang lain?" ( anak-anak lain masih kecil sekitar 2 tahun hingga 11 tahun ).

"Jika jiran tiada, saya terpaksa bawa mereka semua ke hospital." 

Saya melihat kesemua anak ibu ini demam dan batuk-batuk. Memang timbul rasa simpati dalam hati kami. Bila saya melihat keadaan di dalam rumah dan sepinggan maggi di atas lantai, saya teringat kata-kata ibu itu sebelum ini semasa kami berbual di pejabat sekolah.

"Biasanya bila saya tiada duit, saya akan masak maggi sahaja untuk anak-anak."

Allahu Akbar! Apa yang mampu saya katakan lagi. Kemampuan saya hanya terhad. Tidak mampu membantu selain memilih anak-anak ibu ini menerima bantuan sekolah yang disalurkan kepada keluarga yang layak.

Kami bertiga terpaksa menamatkan misi hari ini sebelum pukul 11 pagi kerana saya ada temujanji dengan pihak Maybank pula di sekolah. Satu projek besar pihak sekolah dengan pihak bank terkemuka ini pada penghujung bulan ini.

Apa yang saya pelajari hari ini?

Bersyukur.

Memang apabila saya memandang ke atas. Saya melihat diri saya yang lemah. Saya rasa rendah diri berbanding mereka.

Namun, hari ini.

Saya berasa tenang dan insaf dengan segala yang diterima. Sesungguhnya setiap manusia itu akan diuji oleh Allah SWT. Hidup kita memang untuk diuji.

Semoga perkongsian kisah benar ini mampu membuatkan kita rasa BERSYUKUR dengan rezeki yang kita terima selama ini.

Insya-Allah.

Jana Idea dengan KJ METHOD

Posted: Tuesday, September 4, 2012 by WZWY in Labels:
0

Apa itu KJ Method?

Kaedah KJ Method ini dikategori sebagai salah satu dalam tujuh kaedah pengurusan moden Jepun. Ia diperkenalkan sekitar tahun 1960-an oleh Kawakita Jiro. Kaedah KJ juga dikenali sebagai kaedah diagram afiniti.

Afiniti bermaksud tarikan yang sama oleh unsur-unsur yang sama. Kaedah KJ merupakan kaedah mengurus idea dan data dengan mengkategorikan unsur yang sama.

Memang sebelum ini saya pernah dengar KJ Method yang digunakan dalam penulisan buku. Walaupun begitu, saya masih keliru dan tidak pernah menggunakan kaedah ini untuk mengumpul idea atau bahan.

Pada 1 September 2012 yang lalu, sekali lagi saya diperkenalkan idea penulisan menggunakan KJ Method oleh Tuan Yusry. Alhamdulillah, saya semakin faham apa itu KJ Method. Beliau meminta saya mencari idea menggunakan kaedah ini dalam masa lima minit.

Hebat, kerana saya mampu mengumpul banyak bahan dan saya begitu teruja menggunakan kaedah ini bukan sahaja dalam penulisan, tetapi dalam urusan kerja dan lain-lain.

Bagaimana?

Apa yang mampu saya kongsikan ialah :

1) Sediakan kertas yang dipotong seperti kad kecil atau menggunakan kertas nota seperti dalam gambar di atas.

2) Tulis satu ISI dalam satu KAD. Contoh : Kita mahu mengumpul bahan tentang PELANCONGAN DI LANGKAWI. KIta tulis apa sahaja yang terlintas dalam fikiran berkaitan tajuk itu. Apa sahaja. Jangan pening-pening. Katakan tulis :

a) Bot
b) Lapangan Terbang
c) Laut
d) MInyak Gamat
e) Mahsuri
f)  Motosikal
g) Pulau-pulau
h) Hotel
i) Kereta Sewa
j) Chalet
k) Cenderamata
l) Aktiviti laut
m) Berenang
n) dan banyak lagi tentang pelancongan atau Pulau Langkawi.

3) Kita SUSUN semula semua IDEA atau ISI yang kita tulis itu ikut kategori. Contoh :

a) Kategori PENGANGKUTAN
b) Kategori PENGINAPAN
c) Kategori AKTIVITI LAUT
d) Kategori LOKASI MENARIK

Dan lain-lain lagi. Kemudian kategori ini boleh menjadi bab-bab dalam sesebuah buku, atau pun ia akan memudahkan kita untuk menguruskan satu percutian kita di Pulau Langkawi.

4) Membelah Buah Ceri. Ini bermaksud kita bermula dengan satu isi kita kupas dan kita kupas lagi dengan idea-idea baharu. Contoh : Pengangkutan --> Kereta Sewa --> Sewa di mana --> Berapa kos --> Macam mana nak dapatkan perkhidmatan ini dan apa sahaja berkaitan tajuk kecil ini.

Apa RAHSIA kaedah ini?

FOKUS. Kita akan lebih fokus dan mampu menjana beribu-ribu idea yang sebelum ini kita belum terfikir.

Apa yang menarik?

Jika saya mahu menulis dengan kaedah ini, saya boleh mulakan di mana-mana kad. Ia tidak terhad dan bebas nak mulakan di mana-mana shaja.

Jika tidak mahu gunakan kertas. Kita boleh menggunakan perisian 'word' di komputer. Ia mungkin lebih menarik. Semoga perkongsian kecil ini mampu membantu tuan-tuan menggunakan kaedah KJ ini. Insya-Allah.