Showing posts with label Umum. Show all posts
Showing posts with label Umum. Show all posts

Hadirmu Bererti Walau Seketika....Al-Fatihah.

Posted: Thursday, July 4, 2013 by WZWY in Labels: , ,
0

Inna Lillahi wa inna ilaihi raji'un....hati saya tersentak seketika apabila dengan izin-Nya saya membuka status FB Galeri Ilmu di telefon bimbit.

Jujurnya saya tidak mampu untuk meletakkan gambar di saat-saat akhir 'perpisahan' sifu@mentor penulisan saya Tn Hj Zakaria dengan jenazah anakanda kesayangan beliau, Nadia.

Kali terakhir saya bersua dengan arwah kira-kira dua minggu lepas apabila saya berkunjung ke pejabat GIMG dan mengajak Tn Hj Zakaria dan Ustaz Shahrul makan malam di sekitar Kota Damansara. Dia menolak dan lebih selesa bersendirian di dalam kereta. Begitulah sikap arwah sebelum ini, kurang bercakap dan lebih banyak menelaah buku di tangan.

Semalam rakan penulis saya, Tuan Web Sutera bertanyakan adakah kami setabah Tn Hj Zakaria apabila melihat ketenangan beliau dari awal beliau tiba di lokasi kemalangan hingga ke tanah perkuburan.

Memang sukar....

Apabila saya tiba di kamar jenazah di Hospital Sg Buloh pada hari kejadian, Tn Haji Zakaria tetap tenang. Apabila melihat isteri beliau dan anak-anak lain berendam air mata kedukaan, hati saya tersentuh. Dan itulah yang saya rasa pada 31 Mac 2003 yang lalu apabila ayahanda tercinta kembali ke rahmatullah.

Tenang di luar....tetapi di dalam....hanya Tuhan yang tahu. Bila bersendirian, ketika itulah memanjatkan doa kepada Ilahi dan diiringi deraian air mata.

Kesedihan....
Redha....
Pasrah....

Saya dan keluarga sentiasa mendoakan keluarga Sifu Tn Hj Zakaria terus tenang dan tabah. Sama-sama kita mendoakan arwah tenang di alam sana dan mendapat kerahmatan Allah SWT.

Kita pula bagaimana?

Takziah Tuan Sifu.

Kita teruskan agenda kita selanjutnya. 
Perjuangan masih panjang.


Allahu Akbar!


Shah Alam
04 Julai 2013


JEMPUTAN BICARA BUKU

Posted: Friday, December 28, 2012 by WZWY in Labels: , ,
0

PETANG SEMALAM ( 27 Disember 2012 ) saya telah dijemput hadir ke Galeri Ilmu Sdn Bhd untuk berkongsi pengalaman kerja dan dunia penulisan saya dengan kakitangan syarikat ini. Dengan izin Allah SWT, buku seterusnya juga bakal diterbitkan oleh syarikat penerbitan ini. Maka saya diminta berkongsi cerita dan pengalaman menulis buku ini dan juga dunia perguruan.
"Cikgu, anak saya okey?" merupakan buah tangan saya keenam dengan syarikat ini. Insya-Allah bakal diterbitkan pada bulan Mac 2013 nanti. Doakan dipermudahkan penerbitannya. Insya-Allah. 
Pelbagai cerita yang sempat saya kongsikan bermula dengan siapa saya sebelum terjun ke dunia penulisan ini dan seterusnya mencipta nama sebagai penulis sehingga sekarang. Sejujurnya saya berterima kasih kepada seluruh warga kerja syarikat ini yang sentiasa memberi sokongan dan dorongan untuk saya terus menulis terutama mentor saya, Tuan Haji Zakaria Sungib.
Dunia perguruan adalah  dunia yang sudah sebati dengan diri saya.Subhanallah, saya sudah 15 tahun berkhidmat sebagai guru dan memasuki tahun kedua sebagai Penolong Kanan Hal Ehwal Murid. Maka apabila diminta oleh pengacara majlis berkongsi cerita tentang pengalaman ini, ia membuatkan saya begitu teruja dan banyak perkara yang sempat dikongsi bersama. Kisah suka duka kehidupan sebagai guru. Kisah pengalaman berdepan dengan karenah ibu bapa dan murid-murid juga sempat saya kongsikan.

Sesungguhnya kelahiran buku motivasi "Cikgu, anak saya okey?" itu nanti cukup besar ertinya bagi diri saya. Saya amat berharap buku ini dapat dimanfaatkan oleh para pembaca terutama di kalangan rakan-rakan guru, pentadbir sekolah, pegawai pendidikan dan ibu bapa.
Saya juga bercadang untuk berkongsi lagi dunia perguruan ini dengan para pembaca. Sebenarnya masih banyak pengalaman saya dan rakan-rakan yang boleh dikongsi dan diambil iktibar oleh semua. Moga-moga perkongsian ikhlas ini mampu memberi sesuatu yang bernilai buat para pembaca yang bukan di kalangan warga pendidik.

"Jika mahu melihat apa yang kita dapat, maka lihatlah apa yang kita beri." Ungkapan ini saya telah ulang beberapa kali kepada guru-guru di sekolah. Ini kerana jika seseorang guru itu memberikan perhatian dan kasih sayang terhadap murid-murid, maka mereka akan kasih dan hormat kepada guru tersebut. Ini lebih baik berbanding bertindak secara kasar atau memalukan mereka.

Terima kasih sekali lagi buat seluruh warga Galeri Ilmu Sdn Bhd kerana sudi mengundang penulis kecil ini. Semoga perkongsian saya itu dapat memberikan sesuatu yang baik. Insya-Allah. Sebagai mana yang saya sebutkan semasa program tersebut, "Saya sudah menganggap diri saya sebahagian daripada warga kerja GISB yang selama ini banyak membantu dunia penulisan saya. Kira-kiranya saya ini staf bersekutu berada di luar pejabat."

Saya mendoakan agar GISB terus utuh dan kukuh dalam menerbitkan majalah, buku dan drama yang berkualiti. Walau apa pun cabaran, jika diharungi dengan bijaksana, ia akan memberikan pulangan dunia dan akhirat sebagaimana yang diharapkan. Insya-Allah.

Al-Faqir Wan Zayuhisham
Shah Alam.


AL-FATIHAH BUAT ALLAHYARHAM IMRAN YUSUF

Posted: Wednesday, September 12, 2012 by WZWY in Labels:
0

Saya tak nafikan bahawa saya berasa sangat sedih di atas kehilangan sahabat penulis Imran Yusuf ( Amrann Yunos ). Saya hanya berjumpa arwah ketika PBAKL dan secara online sahaja. 

Namun begitu, ia agak terkesan kerana kami pernah berjanji mahu bertukar-tukar hasil karya sebelum ini. Tidak sangka, ia tidak terlaksana. Semua itu ketentuan Ilahi.

Saya amat yakin keperibadian arwah disenangi oleh ramai rakan-rakan terutama yang terlibat secara langsung dengan arwah di PTS.

Semoga arwah tenang di sana dan berada di kalangan orang-orang beriman. Sesungguhnya kehilangan arwah amat dirasai oleh teman-teman seperjuangan.

Kita sama-sama doakan ketenangan arwah di alam sana yang mana suatu hari nanti kita pula pasti menyusul.

Al-Fatihah buat sahabat Imran Yusuf.

Jana Idea dengan KJ METHOD

Posted: Tuesday, September 4, 2012 by WZWY in Labels:
0

Apa itu KJ Method?

Kaedah KJ Method ini dikategori sebagai salah satu dalam tujuh kaedah pengurusan moden Jepun. Ia diperkenalkan sekitar tahun 1960-an oleh Kawakita Jiro. Kaedah KJ juga dikenali sebagai kaedah diagram afiniti.

Afiniti bermaksud tarikan yang sama oleh unsur-unsur yang sama. Kaedah KJ merupakan kaedah mengurus idea dan data dengan mengkategorikan unsur yang sama.

Memang sebelum ini saya pernah dengar KJ Method yang digunakan dalam penulisan buku. Walaupun begitu, saya masih keliru dan tidak pernah menggunakan kaedah ini untuk mengumpul idea atau bahan.

Pada 1 September 2012 yang lalu, sekali lagi saya diperkenalkan idea penulisan menggunakan KJ Method oleh Tuan Yusry. Alhamdulillah, saya semakin faham apa itu KJ Method. Beliau meminta saya mencari idea menggunakan kaedah ini dalam masa lima minit.

Hebat, kerana saya mampu mengumpul banyak bahan dan saya begitu teruja menggunakan kaedah ini bukan sahaja dalam penulisan, tetapi dalam urusan kerja dan lain-lain.

Bagaimana?

Apa yang mampu saya kongsikan ialah :

1) Sediakan kertas yang dipotong seperti kad kecil atau menggunakan kertas nota seperti dalam gambar di atas.

2) Tulis satu ISI dalam satu KAD. Contoh : Kita mahu mengumpul bahan tentang PELANCONGAN DI LANGKAWI. KIta tulis apa sahaja yang terlintas dalam fikiran berkaitan tajuk itu. Apa sahaja. Jangan pening-pening. Katakan tulis :

a) Bot
b) Lapangan Terbang
c) Laut
d) MInyak Gamat
e) Mahsuri
f)  Motosikal
g) Pulau-pulau
h) Hotel
i) Kereta Sewa
j) Chalet
k) Cenderamata
l) Aktiviti laut
m) Berenang
n) dan banyak lagi tentang pelancongan atau Pulau Langkawi.

3) Kita SUSUN semula semua IDEA atau ISI yang kita tulis itu ikut kategori. Contoh :

a) Kategori PENGANGKUTAN
b) Kategori PENGINAPAN
c) Kategori AKTIVITI LAUT
d) Kategori LOKASI MENARIK

Dan lain-lain lagi. Kemudian kategori ini boleh menjadi bab-bab dalam sesebuah buku, atau pun ia akan memudahkan kita untuk menguruskan satu percutian kita di Pulau Langkawi.

4) Membelah Buah Ceri. Ini bermaksud kita bermula dengan satu isi kita kupas dan kita kupas lagi dengan idea-idea baharu. Contoh : Pengangkutan --> Kereta Sewa --> Sewa di mana --> Berapa kos --> Macam mana nak dapatkan perkhidmatan ini dan apa sahaja berkaitan tajuk kecil ini.

Apa RAHSIA kaedah ini?

FOKUS. Kita akan lebih fokus dan mampu menjana beribu-ribu idea yang sebelum ini kita belum terfikir.

Apa yang menarik?

Jika saya mahu menulis dengan kaedah ini, saya boleh mulakan di mana-mana kad. Ia tidak terhad dan bebas nak mulakan di mana-mana shaja.

Jika tidak mahu gunakan kertas. Kita boleh menggunakan perisian 'word' di komputer. Ia mungkin lebih menarik. Semoga perkongsian kecil ini mampu membantu tuan-tuan menggunakan kaedah KJ ini. Insya-Allah.

SELAMAT MENYAMBUT KEMERDEKAAN KE 55

Posted: Friday, August 31, 2012 by WZWY in Labels:
0

ALHAMDULILLAH KITA PANJATKAN PUJIAN KEHADARAT ILAHI DI ATAS KURNIAAN-NYA KEPADA KITA DI BUMI BERTUAH INI.

MERDEKA! MERDEKA! MERDEKA!
KALI KE 55.

Saya percaya bahawa sahabat-sahabat sudah banyak membaca di akhbar, laman sosial atau blog menceritakan erti kemerdekaan dan seumpamanya.

Apa yang penting kita berasa bangga menjadi rakyat Malaysia. Kita jaga sungguh-sungguh kemerdekaan ini. Jangan biarkan kita berputih di kemudian hari. Apa perlu kita buat?

Kita bermula dengan diri kita. 
Kita bermula dengan ahli keluarga kita. 
Kita bermula dengan saudara terdekat kita.

Bagaimana?

Peliharalah diri kita dengan mentaati perintah ALLAH. Insya-Allah, kita akan dirahmati dan hidup diberkati Allah SWT.

Kita berasa gerun melihat situasi generasi muda sekarang. Kita merasakan bahawa mereka hanyut dibuai arus kemajuan negara. Mereka lahir di zaman kesenangan dan kemudahan yang melimpah.

Jadi?

Kita kena mulakan dengan diri dan ahli keluarga kita agar tidak lalai dengan perintah Allah. Apa daya kita untuk menegur orang lain. Mungkin seorang dua, kita mampu. Nak salahkan orang ini, pihak itu dan seumpamanya. Tidak selesaikan masalah. Masa terus berjalan.

Hidupkan suasana ISLAM dalam keluarga kita.

Pesan ibu, JANGAN sesekali TINGGALKAN SOLAT. Ini adalah RAHSIA supaya kita berpegang teguh dengan syariat agama.

Merdekakan diri daripada belenggu hasutan SYAITAN LAKNATULLAH.

Imam Malik meriwayatkan, daripada Abu Hurairah, bahawa Rasulullah telah bersabda yang bermaksud : “Aku tinggalkan kepada kamu dua perkara, kamu tidak akan  sesat  selagi kamu berpegang teguh  dengan kedua-duanya ; Kitab Allah (al-Quran) dan Sunnah Rasulnya ».  Sekiranya seseorang muslim itu tidak menjadikan al-Quran dan Sunnah sebagai panduan dalam kehidupan, bermakna dia belum lagi merdeka dari sudut yang sebenarnya.

Wallahualam.


MISI BESAR JPMPP 1

Posted: Saturday, June 16, 2012 by WZWY in Labels:
0

SYUKUR ALHAMDULILLAH. Hanya itu yang mampu saya ungkapkan apabila penjualan buku SUAMI YANG TERUJI sejak 15 Jun -16 Jun 2012 mendapat sambutan baik daripada ahli kariah Surau Al-Ikhwan, Taman Sandaran Permai, Surau Sunway Alam Suria dan Surau Cahaya SPK. Sasaran awal Jawatankuasa Pembinaan Masjid Puncak Perdana (JPMPP) ialah mengadakan jualan di surau-surau sekitar Seksyen U10, Shah Alam.

LOKASI 1 ( SURAU AL-IKHWAN ) : 15 Jun 2012 ( Usai solat Jumaat )

Sebelum khatib naik mimbar, pihak surau sudah menguar-uar tentang penjualan buku ini selepas solat Jumaat. Saya juga sudah siap dengan 'bunting' tentang promosi jualan buku SUAMI YANG TERUJI bagi mengisi tabung pembinaan Masjid Puncak Perdana. Pihak JPMPP sebelum ini sudah pun membeli 100 buah buku SUAMI YANG TERUJI  untuk tujuan kutipan sumbangan ini. Tugas saya pula selaku penulis dan setiausaha memastikan perancangan jawatankuasa berjalan lancar. Alhamdulillah, sebanyak 15 buah buku SUAMI YANG TERUJI sudah berpindah tangan ke pembaca baharu.

LOKASI 2 : SURAU SUNWAY ALAM SURIA : 16 Jun 2012 ( 7.00 pagi )

Di sini merupakan lokasi kedua sesi jualan amal JPMPP. Selepas selesai kuliah Subuh yang disampaikan oleh Ustaz Jaafarudin, saya dan Tuan Haji Aziz mula mengadakan jualan dan 18 buah buku SUAMI YANG TERUJI menemui pembaca baharu. 

LOKASI 3 : SURAU CAHAYA SPK : 16 Jun 2012 ( 12.00 tengah hari )

Lebih kurang pukul 9.40 pagi saya tiba di Surau Cahaya SPK. Penduduk sekitar telah dijemput untuk menghadiri Forum Israk Mikraj yang julung-julung kali diadakan di surau ini. Ustaz Amir Hezam selaku moderator dan ditemani dua ahli panel yang tidak asing lagi iaitu Ustaz Fauzi Mustafa dan Ustaz Hazlin Bahrin. Lebih kurang dua jam forum ini berlangsung dan tepat pukul 12.15 tengah hari saya dan Tuan Haji Aziz membuka kaunter jualan. Sebanyak 28 buah buku SUAMI YANG TERUJI telah berpindah tangan. Syukur ke hadarat Ilahi kerana beberapa individu yang menyumbang lebih dari harga ditawarkan.

Setakat ini sumbangan yang kami terima dengan menawarkan perkongsian ilmu buku SUAMI YANG TERUJI ini sudah masuk angka 65 buah termasuk 4 buah buku yang dijual sebelum ini semasa mesyuarat jawatankuasa.

Jazakallahu khairan di atas sumbangan para dermawan.

Misi ini akan diteruskan lagi pada minggu hadapan. Surau Al-Ikhwan akan menjadi lokasi wajib selepas solat Jumaat. Insya-Allah. Selepas ini kami merancang untuk singgah di masjid atau surau di kawasan berdekatan seperti di Kg.Budiman, Subang Permai, TTDI Jaya, Kg. Melayu Subang, dan lain-lain.

Minta saudara-saudara doakan usaha kami dipermudahkan-Nya. Amin.

* JIKA TUAN BERMINAT UNTUK MENJADI SALAH SEORANG PENYUMBANG DAN BERKONGSI DENGAN AHLI KARIAH DI TEMPAT TUAN SEMASA APA-APA PROGRAM DI SURAU, BOLEH HUBUNGI SAYA DI TALIAN 019-2989457 atau TN. HJ AZIZ (019-2626029).
* LOKASI SEKITAR LEMBAH KLANG.

DILEMA WANG PLASTIK

Posted: Wednesday, June 13, 2012 by WZWY in Labels:
0

Entri kali agak berlainan sekali. Kali ini saya cuba sampaikan sesuatu yang 'dekat' dengan kita.

Apa?

KAD KREDIT.

Kenapa?

Ramai dikalangan kita menggunakan kad kredit dalam urusan perbelanjaan harian terutama di stesen minyak. Saya juga lakukan perkara sama sebelum ini. Ia memang 'melegakan' apabila tangki petrol diisi penuh tanpa mengeluarkan wang poket. Benarkah?

Sedar atau tidak kita akan diperangkap dengan bayaran minima setiap bulan.

Bagaimana?

Kita lebih selesa membuat bayaran minima. Contohnya, hutang kad kredit kita ialah RM2000 dan akan membayar RM100 sahaja. Ini bermakna kita masih berhutang dengan bank pengeluar sebanyak RM1900+RM28.50 (caj faedah RM1900 x 1.5%) = RM1928.50.

Malangnya, keburukan membayar cara begini akan menyebabkan kita akan dikenakan caj faedah dan masa yang lebih lama akan diambil untuk menyelesaikan hutang tertunggak ini.

Akibatnya?

Bebanan hutang kita semakin banyak dalam jangka masa yang singkat. Buat masa ini, kebanyakan bank pengeluar mengenakan caj kewangan sebanyak 1.5% sebulan, pada kadar harian dan dikompaun secara bulanan.

Jadi kita perlu sedar bahawa dengan hanya membayar jumlah minima, kita akan mengambil masa yang lebih lama untuk menyelesaikan hutang kad kredit. Hutang pun akan lebih banyak terkumpul. Dengar kadar faedah yang tinggi, kita membayar lebih lagi kepada bank pengeluar jika dibandingkan dengan harga asal barangan atau perkhidmatan yang kita beli dahulu. Tidak muastahil jika kita membeli sebuah televisyen berharga RM1,500 akan meningkat kepada RM3,000 jika kita hanya membayar dengan bayaran minima sahaja. Mungkin kita tidka sedar, tetapi itulah keuntungan yang dijana oleh bank pengeluar.

Oleh itu, kita perlu berhati-hati menggunakan kad kredit kita. Keperluan mendesak sahaja perlu digunakan. Kalau setakat 'suka-suka', dinasihatkan agar jangan guna walaupun bernilai RM100.

Satu perkara lagi JANGAN guna kad kredit untuk mendapatkan pendahuluan wang tunai dari mesin ATM. Setiap kali kita mengeluarkan wang menggunakan kad kredit, kita menambahkan lagi bebanan pinjaman, ditambah dengan yuran pendahuluan wang tunai dan faedah harian yang tinggi.

Saya pernah berjumpa dengan seorang kaki tangan awam yang memiliki lebih lima kad kredit dan semua kad sudah digunakan secara maksima. Bayangkan sekeping kad kredit beliau yang mempunyai had limit RM5000 sudah meningkat hutangnya melebihi RM10000 kerana kegagalannya menjelaskan bayaran bulanan dalam tempoh yang agak lama.

Jadi, beringat-ingatlah. Jangan mudah terpedaya dengan pujuk rayu penjual agar menggunakan kad kredit anda. Kelak kita juga yang tanggung hutang kecuali keperluan terdesak dan mempunyai perancangan pembayaran yang baik.

Wallahualam.

 

Do You have a Facebook?

Posted: Saturday, October 8, 2011 by WZWY in Labels:
0

SEJAK PULANG DARI BERBENGKEL BERSAMA GALERI ILMU SDN BHD, jari jemari ini sungguh gatal untuk mengetuk papan kekunci. Semoga diberi ilham atau idea untuk terus berkarya. Berkongsi pengalaman dan cerita.

Apa yang ingin saya kongsikan pada entri kali ini ialah penggunaan FACEBOOK atau MUKA BUKU.

Saya di antara yang agak lewat mengenali apa itu Facebook. Dan rasanya tuan-tuan juga sudah maklum bahawa Facebook atau FB ini semakin popular dan kebanyakkannya ada memiliki akaun FB. Perdana Menteri Malaysia juga memiliki akaun FB untuk rakyat berkongsi cerita. Dan ramai lagi ahli politik, ahli akademik, ahli agama dan lain-lain lagi insan-insan hebat mempunyai akaun FB mereka.

Manafaatkanlah!

Saya menggunakan akaun FB  sebaik-baiknya seperti menyambung kembali silaturahim dengan rakan taulan lama dan baru. Masing-masing ada cerita tersendiri. Maklumat juga cepat untuk disampaikan. Begitu pantas sekali walaupun jarak beribu-ribu kilometer. Di samping itu apa yang menarik ialah kita dapat saling pesan memesan satu antara sama lain melalui status FB kita. Cukup hebat teknologi masa kini. Mungkin kita tidak pernah terfikir. Itulah kekuasaan Allah SWT yang memberi ilham.

Di antara perkara yang saya suka lakukan ialah menghubungi insan-insan hebat di luar sana. Bukan mudah untuk kita berhubung secara terus dengan orang-orang tertentu. Waktu harian yang cukup sibuk. Apatah lagi untuk memiliki nombor telefon mereka.
Ramai di kalangan penulis di luar sana yang saya sempat hubungi dan bertanyakan perkara-perkara yang menjadi kemusykilan. Selain itu minta pandangan atau pendapat mereka. Alhamdulillah, dapat respon yang baik. Dan saya belajar daripada situ juga. 

Mudah bukan?

Media promosi

Salah satu perkara menarik berkaitan FB ialah kita dapat mempromosikan apa jua barangan. Ia sudah diakui sebagai satu medium terbaik masa kini. Ramai di kalangan ahli perniagaan ONLINE atau OFFLINE yang menggunakan FB untuk memasarkan perniagaan mereka. Saya juga dapat mempromosikan hasil karya terbaru melalui status di FB. Ianya percuma. Cuma kita perlulah berpada-pada dan tidak menimbulkan sesuatu yang kurang senang rakan-rakan FB kita.

Membina Komuniti

Ia sesuatu yang mudah dilakukan. Wujudkan satu grup atau kumpulan yang sama aliran minat atau apa juga perkara. Contohnya grup penulis, mereka boleh berkomunikasi secara terus sesama mereka. Begitu juga grup sama jabatan atau pejabat. Masing-masing akan dapat maklumat dengan cepat dan tepat. Kebetulan saya dan pihak GISB sedang berusaha mahu wujudkan satu komuniti penulis dan bakal penulis menggunakan kemudahan FB.

Latih kemampuan menulis, mengeluarkan pendapat atau idea

Tanpa kita sedar, keaktifan kita menulis status di FB telah melatih kita untuk menjadi seorang penulis. Malah kita bertambah yakin dengan idea atau pendapat kita. Perkongsian idea dan maklumat ini sungguh membantu. Kalau tuan-tuan biasanya menjadi pemerhati, cubalah sekali luahkan pendapat sendiri. Lihat isu berkaitan dan luahkan berdasarkan kemampuan kita.

Peti Simpanan Foto

Kita juga dapat berkongsi pengalaman dan cerita melalui gambar atau foto yang dirakam. Dan ia menjadi suatu kenangan terindah kita. Cuma elakkan menaik turun gambar-gambar yang melanggar syariat Islam. Nanti satu dunia lihat dan kita pula dapat saham. Bukan untuk bermegah, tetapi ia memberi motivasi kepada diri sendiri. Contohnya, gambar semasa konvo atau sedang menerima anugerah atau hadiah.

Akhir kalam

Entri kali ini saya tidak akan menyentuh tentang keburukan penggunaan Facebook. Rasanya tuan-tuan sudah arif dan banyak maklumat yang mudah didapati di ruang maya ini. Jadi, kita sama-sama menjaga akhlak kita walaupun di ruang maya ini. Jangan salah gunakannya. Buatlah sesuatu yang memberi manafaat. Kita dianugerahkan akal dan ilmu. Pergunakanlah ia sebaik-baiknya. Wallahualam.

Sudah Tahu Tapi Buat Tak Tahu

Posted: Tuesday, September 20, 2011 by WZWY in Labels:
0

1 SYAWAL YANG LEPAS SAYA, ISTERI DAN SELURUH KAUM KELUARGA DIKEJUTKAN DENGAN BERITA YANG MENYEDIHKAN. KAMI KEHILANGAN SEORANG LAGI BAPA SAUDARA YANG TINGGAL DI BESUT IAITU WAN MOHAMAD ATAU LEBIH MESRA DIKENALI DENGAN PANGGILAN AYAH MAT.

Sesungguhnya pemergian allahyarham amat mengejutkan kami. Walaupun kami tahu beliau agak lama menderita dengan penyakit kencing manis atau diabetes. Penyakit ini juga dihidapi oleh arwah bapa mentua saya Allahyarham Wan Abdullah.

Di atas adalah dua contoh ahli keluarga saya yang menderita penyakit diabetes ini. Dan sesuatu yang tidak mengejutkan dilaporkan masyarakat Islam di negara kita direkodkan antara peratusan tertinggi di dunia bilangan individu yang penghidap diabetes. Dan saya percaya tuan-tuan juga takut dengan penyakit berbahaya ini. Begitu juga saya sendiri secara jujurnya. Persoalannya apakah langkah-langkah pencegahan yang diambil oleh kita?


Harga Gula Naik Lagi.

Rakyat di negara kita tidak peduli berapa harga gula semasa. Naik 50 sen atau 60 sen sekali pun, ia hanya 'bising' pada peringkat awal sahaja. Tuan-tuan boleh lihat senario harga barang naik di negara kita. Apa reaksi masyarakat?

Harga gula sahaja yang naik. Nafsu makan untuk memenuhi selera tekak tidak pernah insaf. Apa sahaja kemahuan hati dituruti. Pelbagai juadah kuih muih kebanyakannya manis dan melebihi kadar keperluan badan kita. Jadi, harga gula naik sekalipun ia tidak pernah menjejaskan kadar bilangan penghidap diabetes di negara kita.


Tabiat orang kita.


"Teh tarik satu."

"Roti kosong dua."

"Milo ais satu."

"Mamak! Kasi roti banjir satu. Kuah kari ikan."

Dialog di atas dirakamkan pada pukul 12.30 malam. Dan saban malam situasi sama berlaku di mana-mana kedai mamak di seluruh negara. Betul atau tidak? Angguk.

Wah! Hebat. Sebab itu rakyat Malaysia dikatakan ramai meninggal dunia kerana perut dan bukan peluru sebagaimana saudara kita di Palestin, Afghanistan dan lain-lain lagi.

Lepak. Minum-minum. Borak-borak adalah tradisi masyarakat kita tanpa mengira usia. Ya ka? hakikatnya begitulah. Saya sendiri terlibat sama. Mak Aih! Sekali sekala keluar minum teh atau kopi dengan rakan-rakan. Jadi, boleh lihat dengan jelas tabiat orang kiita terutama di bandar-bandar. Dan ada yang bawa anak-anak menjelang tengah malam untuk 'pekena' teh tarik dan roti canai.

Sedar atau tidak budaya ini menggalakkan penghidap baru diabetes di negara kita.
 

Apakah solusinya?


Kawal diri. Kuatkan semangat. Elakkan diri daripada menikmati apa-apa juadah berat sebelum masuk tidur. Lagi pun kita digalakkan makan malam sebelum masuk waktu maghrib. Sekitar pukul 6.30 petang - 7.30 malam sedang elok kita makan malam. Ia masih ada masalah kerana rutin jadual harian berbeza-beza. Masa itulah kebanyakan kita yang masih terperangkap di jalan raya. Jadi, fikirkan cara terbaik untuk kita dan keluarga. Pastikan elak makan malam di tengah malam.


Bersenam


Aktiviti ini yang agak kurang digemari oleh kebanyakan orang. Betulkah? Boleh tanya diri dan lihatlah di sekeliling kita. Saya sendiri pun selepas bulan Ramadan hingga kini masih belum menjejaki gelanggang tenis sebagaimana sebelumnya. Boleh 'joggin', apa salahnya. Inilah aktiviti yang kurang digemari. Padahal 'jogging' inilah salah satu aktiviti yang WAJIB dilakukan pada setiap minggu. Sekurang-kurangnya 2-3 hari seminggu. Kalau kita kira berapa kilogram makanan yang masuk dengan keluar. Pastinya ia tidak seimbang. Tambahan pula kita suka makanan berlemak dan manis. Jadi, marilah kita sayangi diri sendiri dengan bersenam walaupun sekejap.


Berat Badan Ideal
Bab ini memang saya salah seorang yang tewas. Maklumlah dengan ketinggian 170cm, saya mempunyai berat badan sekitar 90KG. Kalau ikut ukuran BMI, memang dikira berat badan berlebihan. Tuan-tuan pun sudah maklum perkara ini. Jaga berat badan untuk mengelakkan pelbagai jenis penyakit seperti diabetes dan penyakit jantung. Sukarnya untuk kita menahan nafsu makan terutama di hujung minggu yang memenuhi undangan rumah terbuka pada bulan Syawal ini. Masa itu segala pantang larang dilanggar bulat-bulat. Nak ke Tak Nak, kita perlu tekad mengawal berat badan. Cakap mudah. Memang betul!


Semak tanda-tanda kencing manis.


1) Sering dahaga dan sering minum air.
2) Sering ke tandas.
3) Terasa badan lemah.
4) Berat badan turun dengan cepat
5) Penglihatan semakin kabur.
6) Terasa pening kepala.



Sama-sama kita kawal makan dan pertingkatkan tahap kecergasan badan dengan bersenam. Salah satu aktiviti popular sekarang ialah mengayuh basikal. Tuan-tuan boleh cuba.

Wallahualam.


SEBUTLAH UFFIN BUKAN UPIN?

Posted: Friday, December 24, 2010 by WZWY in Labels: ,
0

"Bila kita nak pergi Karnival Upin & Ipin?"

Anak-anak sudah bising apabila menjelang petang saya masih tidak bersiap untuk keluar. Tapi mereka akhirnya teruskan aktiviti kayuh basikal di taman permainan selepas saya katakan, pagi esok kita ke sana.

Karnival Upin & Ipin sedang rancak berlansung di SACC Mall Shah Alam bermula 24hb - 28hb Disember 2010. Kebetulan saya dimaklumkan bahawa produk terbitan Galeri Ilmu Sdn Bhd juga ada dijual di sana di 'booth' MPH.

Kejutan Di Kotak Email

Cuma apa yang mengejutkan saya ialah apabila menerima email seperti di bawah ini, saya tidak pasti bagaimana mereka kaji dan lakukan siasatan atau seumpamanya. Cuma apa yang katakan kepada pengirimnya selagi pihak penerbitan tidak melanggar apa-apa batas syariat dan undand-undang negara maka siri animasi ini masih boleh ditonton oleh kanak-kanak.

Saya sertakan kandungan email berkenaan :

*** SEBELUM TU SAYA AHMAD SAIFUL MOHON MAAF JIKA INI BERLAKU KEPADA PEMINAT
SIRI INI DAN JANGAN CEPAT MELATAH..ISU INI BELUM LAGI DIKETENGAHKAN LAGITAPI
INSYALLAH SEMUA INI ADALAH QADA DAN QADAR ALLAH YANG MENENTUKAN DAN BUKAN
KEBETULAN ATAU TAK DISENGAJAKAN...***

*** AKU DAPAT PON SECARA TAK SENGAJA DARI WEB KONSPIRASI YAHUDI ***


Sebutlah Uffin bukan Upin sebab Upin dalam bahasa Aramaic bermaksud “Aku
benci Rasul.”
Sebutlah Ariffin bukan Ipin sebab Ipin dalam bahasa Syriac bermaksud “ Aku
suka Israel.”
Ini diburukkan lagi oleh penggunaan huruf “U” pada baju Upin dan “I” pada
baju Ipin.
“U” bermaksud “USA”
“I” bermaksud “Israel”

Terbuktilah bahawa Upin & Ipin juga merupakan agenda tersembunyi Yahudi
dalam melemahkan akidah umat Islam. Mereka menggunakan Upin & Ipin sebagai
jarum halus terbaru setelah mereka gagal dalam misi Pokemon, Doraemon,
Digimon dan Mamula Moon.

LAGI SATU :

Baru-baru ini Syarikat Apple telah melancarkan iPhone 4g. Diharap ikhwah dan
akhawat semua dapat sama2 memboikot iPhone 4g kerana ia sebenarnya adalah
agenda yahudi. ‘i’ pada perkataan iPhone sebenarnya merujuk kepada ‘Israel’.
4g pula bermaksud “god, gold, glory and girl”. kalu kamu benar2 cintakan
Allah dan rasul, sila sebarkan kepada semua umat Islam kalau tidak solat
kamu tidak sah selama 40 hari 40 malam.


ANDA MENILAIKAN ADAKAH BETUL ATAU TIDAK..

***JADI KEPADA SESIAPA YANG BOLEH BONGKAR LAGI SILAKAN,KITA KONGSIKAN BERSAMA***

"DAN SESUNGGUHNYA HANYA ALLAH YANG LEBIH MENGETAHUI".

Sekarang apa pandangan tuan/puan?