MINIT 109

Posted: Monday, June 13, 2011 by WZWY in Labels:
0

SEKALUNG TAHNIAH BUAT SEMUA PEMAIN DAN PENGURUSAN PASUKAN KEBANGGAAN TERENGGANU.


Kemenangan DRAMATIK. Itulah yang diperkatakan. Bagaimana semangat yang hampir luntur sebahagian pemain, pengurusan dan para penyokong di penghujung perlawanan bertukar kegembiraan.

Pastinya pemain pertahanan Kelantan iaitu Daudsu akan sukar melupakan detik kekecewaan pada malam perlawanan akhir tersebut. Dia pastinya disalahkan oleh para penyokong. Duri dalam daging pasukan Kelantan. Apa pun ia menjadi detik bersejarah buat pasukan Terengganu. Piala FA akhirnya di bawa Ke Kuala Terengganu.

SEMANGAT JUANG PERLU KE TITIK TERAKHIR

Apa yang ditunjukkan oleh barisan pemain pasukan Terengganu bukan sekadar sebuah kemenangan perlawanan akhir Piala FA 2011. Kita selaku penonton atau penyokong perlu mengambil iktibar melihat dari sudut berbeza.



Setiap apa yang kita lihat bergantung bagaimana kita melihat sesuatu perkara itu. Kalau kita melihat kemenangan pada malam tersebut hanya sekadar sebuah perlawanan bolasepak, maka kepuasan menonton akan kita perolehi.



Saya lebih suka melihat dari suatu sudut kehidupan kita mengejar impian hidup. Sebuah cita-cita. Tekad dan azam membara. Biarlah pada satu ketika kita bagaikan berada di penghujung kegagalan, selagi Allah belum mencabut nyawa daripada jasad, kita harus terus berusaha tanpa rasa jemu. Bukan mudah dan tiada apa yang mustahil. Siapa sahaja mampu lakukan. Tinggal hanya diri kita sendiri untuk menggapai sebuah kejayaan.

ANDAI PINTU GOL HILANG

Apa agaknya akan berlaku di Stadium Nasional Bukit Jalil jika kedua-dua pasukan kehilangan pintu gol masing-masing. Apa yang bakal dilakukan oleh penyerang sensasi Kelantan Mat Yo dan pemain berbahaya Terengganu Manaf Mamat dan Abd Hadi Yahya. Ke mana mereka harus tuju? Apakah matlamat penjaga gol pada masa itu? Apa pula tugasan penting pemain pertahanan? Apa pula peranan pemain tengah yang menjadi penyokong pemain penyerang mara ke pintu gol lawan.



Pastinya tiada apa yang mahu disorakkan oleh ribuan penyokong kedua-dua pasukan. Betulkan? Para pemain hanya menggelecek dan saling membuat hantaran antara satu sama lain. Tentu sekali ia membosankan. Bosan...Bosan....

Tanya diri pula. 

Apakah VISI dan MISI hidup aku selama ini. Apa yang kukejar hingga ke sini.?Apa yang kubawa sebagai bekalan? Apa yang aku mahu dalam hidup ini? Ke manakah destinasi yang aku bakal tuju di penghujung sebuah kehidupan ini?

Jawapan ada dalam diri masing-masing. Syaratnya kenali diri.

Jawab TIGA Persoalan Asas ini :

Dari Mana aku datang ? 

ALAM ROH & ALAM RAHIM

Untuk Apa?

Kita dilahirkan ke dunia ini.

Ke manakah pula destinasi kita?

ALAM BARZAKH KE ALAM MAHSYAR DAN DI PENGHUJUNGNYA......


DUA PINTU :-

PINTU SYURGA & PINTU NERAKA


Mahu ceramah lagi kah tuan?



Bukan ceramah. Sekadar ingatan bersama. Minat Bola tiada masalah. Tapi biarlah kita melihat bola itu bukan sekadar minat atau hobi atau peminat fanatik semata-mata. Lihat dengan mata hati dari sudut berbeza. Mungkin ada sesuatu yang istimewa bakal ditemui sebagai pengajaran hidup.



Apa ertinya sebuah perlawanan bolasepak tanpa Pintu Gol. Begitulah sia-sia hidup seseorang itu tanpa matlamat. Biarlah arah tuju hidup mendekatkan diri kepada Yang Maha Kuasa. Jika itu yang kita cari. Pasti dan yakin kebahagiaan hakiki akan ditemui.



Selamat Juang Pasukan Bolasepak Terengganu. Masih berbaki DUA Piala Lagi. Ayuh! Buktikan Terengganu Hebat!

Wallahualam.

Detik Kejayaan 

Saat Yang Begini...? Tidak Mahu! Apa Daya Kita?

Posted: Thursday, June 9, 2011 by WZWY in Labels:
0

"Jika sanggup datang mesti sanggup pulang bertemu tidak jemu, berpisah tidak gelisah jika semuanya kerana ALLAH." 

Memang sukar untuk seseorang melupakan saat-saat indah bersama. Tanyalah kepada sesiapa pun termasuk diri sendiri. Adakah begitu mudah melupakan seseorang yang kita berikan sepenuh kepercayaan.

Dan sukar untuk menerima apa yang dikatakan 'suatu perpisahan'. Tidak rela lepaskan tangan. Tidak rela berjauhan. Tidak rela hilang di mata.

Sejauhmanakah kemampuan kita melawan TAKDIR yang Maha Kuasa? Kita hanya mampu TADBIR dan TAKDIR itu kekuasaan Allah semata. 

"Awak cuma buat alasan kerana ini takdir semata-mata. Katakan bahawa awak sudah tidak sayangkan saya."

"Bukan begitu. Ada beberapa perkara yang sukar diterangkan."

"Begitu mudah awak menyerah pada takdir."

Diam tiada jawapan.

"Banyak impian saya ingin capai bersama awak. Awak tahukan?"

Masih lagi diam.

"Maafkan saya. Jadikan impian awak itu hanya suatu mimpi."

"Inilah lelaki. Sukar untuk dipercaya."
"Saya fikirkan kebaikan bersama. Saya tidak mahu menjadi seorang yang zalim. Membina kebahagiaan di atas penderitaan orang lain."

"Kenapa sebelum ini tidak fikirkan itu semua?"

"Kerana saya sayangkan awak. Saya mahu impian itu menjadi satu realiti tetapi..."

"Tetapi apa?"

"Saya tidak boleh membohongi diri saya sendiri. Saya tidak sanggup biarkan mereka meratapi apa yang bakal kita bina. Sebelum ini saya ingatkan semua itu mudah. Kini saya sedar dengan apa yang berlaku, saya harus berkorban."

"Korbankan cinta kita?"

"Kalau itu yang terbaik dan diredhai-Nya."

"Awak sengaja permainkan saya?"

"Demi Allah bukan itu niat saya. Bukan begitu..."

"Habis itu, kenapa awak buat keputusan ini?"

"Kerana inilah jalan terbaik yang harus kita tempuhi. Saya banyak berdosa pada awak."

"Senang bagi awak."

"Zahirnya nampak senang dan mudah. Tapi dalam hati hanya Allah yang tahu. Begitu sukar keputusan ini dibuat. Bukan mudah."

"Baiklah. Kalau itu keputusan awak. Terserah. Doakan saya agar dapat lupakan awak buat semumur hidup saya."

"Jangan sampai begitu."

"Sesungguhnya jika ada pertemuan, itu dengan izin dan takdir-Nya. Sesungguhnya jika terus berpisah, itu adalah kehendak-Nya juga. Apalah daya dan mampu kita. Hanya Hamba di dunia sementara ini."


Usah sama sekali membenci kerana kebencian akan membakar diri sendiri bukan orang yang kita benci itu.

Memaafkan orang lain bererti memaafkan diri sendiri, hidup terlalu singkat untuk membenci, sucikanlah hati mencari ALLAH.

Memang sukar untuk kuputuskan keputusan ini, lagi sukar untuk memutuskan ikatan ini.

Inilah realiti kehidupan kita di muka bumi ini. Hidup hanya sementara tetapi masih ramai terus dilamun cintakan dunia semata-mata. Lupa penghujung kita di mana. Lupa siapa pencipta. Lupa untuk kenali diri. Lupa untuk mencari bekalan untuk dibawa di alam kekal selamanya. Perpisahan dan pertemuan adalah lumrah kehidupan. Mungkin ia perlu ditangisi tetapi jangan biarkan kita menangis untuk sepanjang hayat kita.Masih ada ruang untuk kita. Carilah ia....




MEMBINA RASA KEHAMBAAN

Posted: Saturday, June 4, 2011 by WZWY in Labels:
0

SEGALANYA MILIK ALLAH. SEGALANYA KETENTUAN-NYA. SEGALANYA KEKUASAAN-NYA.

Kita tidak dapat nafikan semua perkara yang berlaku adalah di bawah kekuasaan Allah. Suka atau sebaliknya, ia ada hikmah di sebaliknya.

Oleh sebab itu, di dalam diri kita perlu ada RASA KEHAMBAAN kepada-Nya.

Rasa Kehambaan ini ialah rasa yang perlu ada di dalam hati seseorang hamba Allah terhadap Tuhan-Nya. Antara rasa itu ialah rasa miskin, jahil, lemah, bersalah, hina dan lain-lain lagi. Inilah sebenarnya kekurangan kita. Atau sebenarnya kita tidak ambil tahu apakah yang perlu kita rasa di atas setiap berlaku. Apabila diuji dengan kesakitan, kemiskinan, cercaan misalnya, seseorang yang memiliki rasa kehambaan akan nampak segala-galanya itu datang dari Allah SWT. Firman Allah SWT yang bermaksud :

"Katakanlah : Tidak sekali-kali akan menimpa Kami sesuatu pun melainkan apa yang telah ditetapkan Allah bagi kami. Dialah Pelindung kami, dan ( dengan kepercayaan itu ) maka kepada Allah jualah hendaknya orang yang beriman bertawakal."
( Surah al-Taubah 9:51 )

CINTA TIDAK KESAMPAIAN

Memang ia sesuatu yang sukar apabila insan yang dicintai tidak dapat dimiliki. Walaupun semua orang tahu bahawa pemilik sebenar cinta ialah Allah SWT. Hakikat ini sukar untuk diterima apabila apa yang dihajati tidak kesampaian. Berapa ramai remaja yang bercinta 'bagai nak rak', tetapi akhirnya cinta mereka berkubur di pertengahan jalan. Paling menyedihkan selepas mereka bergaul melebihi batas-batas syariat yang dibenarkan. 

Kadang kala ujian rasa cinta itu hadir selepas bertahun-tahun kemudiannya. Dikala masing-masing sudah terikat dengan tanggungjawab sebagai suami atau isteri. Di zaman era teknologi dunia global masa kini. Laman-laman sosial menjadikan perhubungan di antara sesama manusia tiada batasan lagi. Tidak terikat sebagaimana menggunakan kecanggihan telefon atau telefon mudah alih. Dalam sekelip mata kita dapat melihat seseorang yang lama tidak berhubung itu di depan mata. 

Memang pahit apabila gagal untuk pertama kali. Dan ia bertambah derita apabila pertemuan kedua diakhiri dengan perpisahan juga. Begitu tidak adilkah perkara ini berlaku kepada kita? Itulah yang dikatakan oleh Imam Al-Ghazali bahawa cukuplah seseorang hamba dikatakan sudah memberontak kepada Tuhan-Nya apabila dia menukar kebiasaan-kebiasaan dalam hidupnya apabila diuji Allah dengan sesuatu yang tidak disukainya.

Jika tiada rasa kehambaan ini, kita boleh lupa siapa sebenarnya mengatur setiap langkah kehidupan kita. Biarkan cinta itu pergi dikala kita sudah ada tanggungjawab yang perlu ditunaikan. Ia memang sukar diterima tetapi harus dihadapi oleh seseorang yang menjalinkan semula cinta lama.

"Cintailah apa yang ada, jangan cintai apa yang tiada. Keluar daripada kenangan lampau. Hadapi kenyataan hari ini."

"Memang sukar melupakannya."

"Mana sukar melepaskan yang sekarang daripada melepaskan cinta lama?"

"Kedua-duanya sukar."

"Hadapilah sesuatu dengan ketenangan. Fikirkan buruk baik di atas segala dilakukan."

"Melepaskan seorang dengan melepaskan tiga atau lima orang. Mana yang harus dipilih?"

"Maksud awak?"
"Melepaskan 'kekasih lama' dengan melepaskan isteri dan anak-anak."

"Tentulah yang seorang, kerana di sana pun perlu melepaskan tiga atau lima orang juga. Mana mungkin menzalimi orang lain untuk kebahagiaan diri sendiri."
"Jadi awak sudah ada pilihan sekarang. Tidak semua yang kita inginkan boleh kita perolehi kesemuanya. Hanya insan tertentu yang mungkin mampu hadapi semua itu."

"Kenapa sebelum menjalinkan hubungan semula tidak fikirkan semua itu?"

"Entahlah. Mungkin kerana desakan nafsu rasa cinta yang membuak-buak. Dan.."

"Dan rasa kesepian?"

"Mungkin juga."

"Paling baik. Berterus terang dengan pasangan. Katakan yang sepatutnya. Jangan biarkan rasa sepi, rasa terasing itu berterusan. Bukan ini cara penyelesaiannya. Itulah yang sepatutnya dilakukan."


Ini adalah sebahagian contoh realiti yang berlaku dalam masyarakat. Ujian datang secara tiba-tiba, tanpa disedari. Jika tiada rasa keimanan dan kehambaan pada-Nya. Kita boleh hanyut dan mengabaikan tanggungjawab sepatutnya. Ini adalah ujian. Ujian kehidupan untuk menaik tarafkan tahap keimanan kita. Atau mungkin untuk menyedarkan kita.

Andai dipertemukan juga pada suatu hari nanti. Ia adalah ketentuan-Nya. Kita harus redha dan mengakui tiada sesuatu yang mustahil boleh berlaku dengan keizinan-Nya. Percayalah.

Cinta itu indah. Lebih indah lagi kita mencintai yang UTAMA iaitu ALLAH SWT. Kita hanyalah HAMBA PADA-NYA. MOHON PADA-NYA. RATAPI SEGALA KEDUKAAN PADA-NYA. PASTI KITA AKAN TENANG KERANA KETENANGAN ITU MILIK-NYA.


DISCAJ JUGA AKHIRNYA

Posted: Friday, June 3, 2011 by WZWY in Labels:
0

ALHAMDULILLAH dengan keizinan-Nya, Zikry dibenarkan discaj lebih kurang pukul satu petang. Kalau dikira, kali ini tempoh paling lama dia 'menginap' di hospital.

Berkat doa sahabat-sahabat dan juga isteri yang sedang berada di Kota Madinah pada masa ini.
Dan sebagai mana biasa doktor akan tegaskan agar sentiasa memantau kesihatan Zikry. Saya sedar ia mungkin kesilapan daripada diri sendiri juga yang mengabaikan disiplin untuk Zikry makan ubat. Kali ini kena lebih bertegas lagi. Dan akan berikhtiar dengan cara lain juga. Insya-Allah. Kalau rakan-rakan ada alternatif perubatan cara tradisional atau kaedah Islam. Boleh dikongsikan dengan saya.

Dua 'inhaler' yang perlu saya pastikan Zikry gunakan pada masa ini. Flixotide perlu diberikan dua kali sedutan pada waktu pagi dan malam. Dan ventolin pula yang merupakan ubat pelega perlu diberikan setiap empat jam sebanyak enam kali sedutan. Pastikan juga dia diberi dua kali seduatan ventolin sebelum aktiviti luar/senaman. Wah! Nampaknya perlu diberi perhatian serius. Dan penyakit asma ini bukan perkara yang boleh diambil mudah. Dan ia merupakan ujian Allah SWT. Kita hanya berusaha sedaya yang mampu. Dia juga Maha Penyembuh.

HANDPHONE BARU

Dan bila balik rumah, perkara pertama yang diajukan oleh Zikry. "Ziyad ada 'handphone' sendiri. Zikry tak ada." Masa saya beli telefon bimbit Ziyad kerana pada masa itu isteri akan mengerjakan umrah. Jadi, tiada sesiapa di rumah. Dan saya pula perlu bergilir-gilir menjaga Zikry dan tiga hero lagi di rumah. Tapi oleh kerana abang dia dah 'provok' Zikry macam-macam. Maka petang semalam bawa mereka ke tingkat tiga Alam Sentral. Walaupun tidak mahal, janji ia telefon bimbit. Itu sudah cukup menggembirakannya. Bukan soal harga tetapi pemberian yang ikhlas dan semampu mungkin.

Syukur Alhamdulillah. Semoga hidup kita semua diberkati Allah SWT.