Showing posts with label Tarbiah. Show all posts
Showing posts with label Tarbiah. Show all posts

Selagi Hayat Masih Ada

Posted: Friday, November 15, 2013 by WZWY in Labels: , ,
0

"Ingatlah, kita mencintai mereka bukan kerana mereka mencintai kita. Tetapi kerana perintah Allah agar mencintai mereka." Lelaki ini terduduk seketika memikirkan setiap patah ungkapan seorang pendakwah di corong radio di awal-awal pagi begini. 

Entah mengapa, hari-hari yang dilalui kini cukup memeritkan emosi dan sanubarinya. Sungguh ia sukar mengerti dengan apa yang berlaku. Segalanya sudah dilakukan dengan kadar kemampuannya. Mungkin benar, dia bukanlah seorang lelaki sempurna. Lelaki yang bergelar seorang suami dan ketua keluarga bukanlah mudah. Banyak yang ditanggung. Bukan hanya sekadar urusan duniawi semata-mata.

Sesungguhnya dia sedar, dia sedang diuji oleh Maha Esa. Diuji erti cinta dan erti sabar. Dan dia sentiasa pahatkan dalam diri bahawa hidup ini sangat singkat untuk membenci. Biar pun dalam jiwa raganya terselit rasa kecewa. Dia redha dengan kehendak-Nya. Mungkin ini balasan di atas segala kesilapannya yang lalu.

Sungguh dia mahu mendengar juga kata-kata manis daripada si dia di sisi. Namun tampak sukar dan mustahil buat ketika ini. Bila dia menoleh ke seberang, melihat pasangan bahagia bercerita. Dia mula tunduk sendiri. Semuanya sudah berlalu jauh. Jauh dan semakin menjauh meninggalkan dirinya yang sentiasa diulit rasa rindu sebuah kebahagiaan.

"Allah sedang menguji cintamu." Demikianlah nasihat seorang teman. Dan dia kembali melemah. Sesungguhnya dia masih bertahan dan bertahan. Dan entah bila kan berakhir. Dia menggeleng.

Sudah lama dia biarkan rasa cinta itu bersendiri. Tiada siapa yang mengerti apa yang dia rasa. Biarlah dia sendiri depani segala kemungkinannya. Dia mahu berubah yang lebih nyata. Mahu menjadi seorang yang terbaik. Harapan menggunung pastinya belum cukup untuk yakinkan si dia. Dan lelaki ini terus diberi layanan yang bukan sewajarnya. 

Akur.

Sesungguhnya satu perkara dipelajari bahawa rasa amarah itu adalah api dalam hati kita. Mahu dikawal dan dibendung dengan iman dan takwa. Kalau tidak, kelak bencana menimpa. Maka dilontar jauh-jauh walau sedikit rasa benci. Walaupun dia tahu, bahawa rasa dicintai itu hanya mimpi. Namun dia tidak lelah untuk terus berdoa dan berdoa pada Yang Esa.

Segalanya mungkin.

Selagi hayat masih ada. Dia akan berusaha. Walau kadang kala datang rasa hampa yang teramat. 

"Oh Tuhan! Kau sedang mengujiku erti cinta dan erti sabar. Aku redha segalanya. Aku akan lalui ranjau hidup ini selagi aku berdaya."

Berilah kemaafan.
Itulah yang terbaik.



Marah

Posted: Sunday, July 28, 2013 by WZWY in Labels: ,
0

"Bukan mudah."

"Memang diakui ia bukan sesuatu yang mudah," tambah seorang sahabat bersetuju.

Sifat marah ini bukan perkara yang boleh diambil enteng oleh sesiapa sahaja. Tidak kira dia seorang lelaki atau wanita. Dewasa atau kanak-kanak.

Saya juga akui, saya hamba-Nya yang cukup lemah dan sering kali 'tergelincir' dalam menguasai amarah dalam diri. Moga Allah SWT tetapkan hati saya agar menjadi seorang yang diredai-Nya. Sungguh!

Tidak perlu salahkan orang lain. Lihatlah diri kita sendiri. Apa yang silap? Apa yang tidak kena lagi? Diri kita sendiri yang dapat rungkaikan andainya kita masih belum mampu menguasai sifat marah yang keterlaluan. Marah memang sifat manusia. Namun ia harus dikawal dengan sebaik-baiknya.

"Marah adalah salah satu anak panah syaitan. Oleh itu hindarilah marah, kerana ia mendatangkan rahmat dan dicintai Allah." Wasiat Imam Bukhari.

Abu Hurairah dan Said Al-Magburi meriwayatkan, "Ada seorang lelaki memarahi Saidina Abu Bakar. Ketika itu Rasulullah SAW duduk di sebelahnya. Nabi diam sahaja, begitu juga Saidina Abu Bakar."

Tidak lama kemudian lelaki itu terus memaki Abu Bakar. Dan tiba pula giliran Saidina Abu Bakar membalas makian tersebut. Rasulullah SAW terus bangun dan berlalu pergi. Abu Bakar berasa hairan dan terus mengekori Rasulullah SAW.

"Ya Rasulullah, pada kali pertama dia memaki saya, kamu diam. Ketika saya menjawab maki hamun itu, tiba-tiba kamu bangun lalu pergi," kata Saidina Abu Bakar minta kepastian.

Rasulullah SAW menjawab, "Sesungguhnya malaikat mengembalikan semua makian orang itu kepadanya ketika engkau diam. Tetapi engkau membalas makian itu, malaikat pergi dan syaitan pula masuk dan saya tidak suka duduk bersama syaitan."

Rasulullah SAW menambah lagi, "Allah akan memuliakan hamba-Nya ketika sedang dianiaya lalu memberikan kemaafan sambil mengharapkan keredaan Allah."

Kadang-kadang sifat marah ini membuatkan seseorang bertindak di luar batasan tanpa memikirkan risiko mendatang. Kalau tidak dikawal, maka ia akan memberi kesan yang buruk kepada diri sendiri dan orang lain.

Semoga Allah SWT mengampuni dosa-dosa saya dan juga tuan-tuan apabila gagal menguasai rasa amarah ini. Walaupun itu sifat kelemahan kita, jangan biarkan ia terus menguasai diri. Kelak kita juga yang merana sesal.

Allahu Akbar!

Sesal sungguh apabila keadaan reda. Orang yang kita marah pula terluka. Adakah dengan kemarahan melampau itu membuatkan setiap permasalahan itu selesai?

Tidak.

Masalah baru pula muncul.

Rasulullah SAW bersabda, "Awaslah kamu daripada sifat marah kerana marah itu menyalakan api dalam hati anak Adam. Maka sesiapa yang berasakan demikian ketika berdiri, hendaklah dia duduk. Dan jika dia duduk hendaklah dia berbaring."

Inilah antara nasihat yang diutarakan oleh Rasulullah SAW. Selain itu berwuduklah kerana ia akan membuatkan kita lebih tenang. Insya-Allah.

Ya Allah!
Ampunilah dosa-dosaku.
Peliharalah aku dari sifat marah ini.
Jangan biarkan hatiku menurut bisikan syaitan laknatullah.

Amin!


Hadirmu Bererti Walau Seketika....Al-Fatihah.

Posted: Thursday, July 4, 2013 by WZWY in Labels: , ,
0

Inna Lillahi wa inna ilaihi raji'un....hati saya tersentak seketika apabila dengan izin-Nya saya membuka status FB Galeri Ilmu di telefon bimbit.

Jujurnya saya tidak mampu untuk meletakkan gambar di saat-saat akhir 'perpisahan' sifu@mentor penulisan saya Tn Hj Zakaria dengan jenazah anakanda kesayangan beliau, Nadia.

Kali terakhir saya bersua dengan arwah kira-kira dua minggu lepas apabila saya berkunjung ke pejabat GIMG dan mengajak Tn Hj Zakaria dan Ustaz Shahrul makan malam di sekitar Kota Damansara. Dia menolak dan lebih selesa bersendirian di dalam kereta. Begitulah sikap arwah sebelum ini, kurang bercakap dan lebih banyak menelaah buku di tangan.

Semalam rakan penulis saya, Tuan Web Sutera bertanyakan adakah kami setabah Tn Hj Zakaria apabila melihat ketenangan beliau dari awal beliau tiba di lokasi kemalangan hingga ke tanah perkuburan.

Memang sukar....

Apabila saya tiba di kamar jenazah di Hospital Sg Buloh pada hari kejadian, Tn Haji Zakaria tetap tenang. Apabila melihat isteri beliau dan anak-anak lain berendam air mata kedukaan, hati saya tersentuh. Dan itulah yang saya rasa pada 31 Mac 2003 yang lalu apabila ayahanda tercinta kembali ke rahmatullah.

Tenang di luar....tetapi di dalam....hanya Tuhan yang tahu. Bila bersendirian, ketika itulah memanjatkan doa kepada Ilahi dan diiringi deraian air mata.

Kesedihan....
Redha....
Pasrah....

Saya dan keluarga sentiasa mendoakan keluarga Sifu Tn Hj Zakaria terus tenang dan tabah. Sama-sama kita mendoakan arwah tenang di alam sana dan mendapat kerahmatan Allah SWT.

Kita pula bagaimana?

Takziah Tuan Sifu.

Kita teruskan agenda kita selanjutnya. 
Perjuangan masih panjang.


Allahu Akbar!


Shah Alam
04 Julai 2013


Dia sentiasa bersama kita

Posted: Sunday, June 9, 2013 by WZWY in Labels: ,
0

ALHAMDULILLAH dengan keizinan-Nya kita masih lagi mampu menghirup udara segar di muka bumi ini. Entri kali ini saya cuba berkongsi dengan rakan pembaca tentang erti kebahagiaan dan kenikmatan anugerah Allah SWT. Kadang kala kita terleka dengan kenikmatan yang dikecapi sehinggalah kita terjaga apabila sedikit ujian-Nya menimpa diri kita.

Yakinlah, kita masih ada Dia yang mengurus setiap inci urusan di muka bumi ini. Janganlah kita mudah berputus asa dengan rahmat-Nya. Hindarilah diri daripada hasutan syaitan laknatullah.

Jagalah Allah, maka Allah akan pelihara kita. Moga-moga saya dan tuan-tuan sentiasa di bawah payung kerahmatan-Nya.

Percayalah....

Allah sentiasa bersama kita.

Cikgu, Anak Saya OKEY?

Posted: Friday, March 8, 2013 by WZWY in Labels: , , ,
0

TANPA SEDAR apa yang berlaku di sekeliling kita mampu berikan sesuatu yang bermakna. Soalnya, bagaimana kita melihat setiap kejadian atau peristiwa berkenaan.

Itulah yang saya kongsikan bersama rakan sejawat apabila bercerita tentang penghasilan buku ini. Kebetulan di kaunter depan dua wanita sedang menulis aduan berkenaan anak mereka.

"Salah satu bab di dalam buku ini berkaitan anak-anak mereka," beritahu saya.

"Oh, ya ka?"

"Kes anak mereka masih lagi belum ada kata putus. Nampaknya, banyak lagi kerja yang perlu saya bereskan."

Pesan guru saya, "Apa yang kamu lihat, itu yang kamu akan dapat," cukup memberi kesan kepada saya. Apabila saya melihat sesuatu kes murid dengan rasa simpati dan empati, maka jalan penyelesaiannya dipermudahkan oleh Allah SWT. Yakinlah, setiap sesuatu itu bukan berlaku begitu sahaja. Pasti ada sesuatu yang Allah SWT mahu tunjukkan kepada kita. Besar atau kecil bukan persoalannya, apa yang penting bagaimana kita laksana penyelesaiannya.

Buku yang diberi judul "Cikgu, Anak Saya Okey?" merupakan buah tangan terbaharu dari hasil karya saya yang masih 'mentah' dalam dunia penulisan ini. Apa yang penting ialah saya mahu sampaikan sesuatu kepada khalayak pembaca buku. Memang pada awalnya saya hanya berangan-angan untuk menulis berkaitan dunia yang saya ceburi selama 17 tahun ini.

"Cikgu tulis sesuatu yang orang lain tidak boleh tulis," beritahu Tuan Haji Zakaria di suatu petang di sebuah restoran.

"Maksud tuan?"

"Tulis sesuatu perkara berkaitan dunia perguruan atau di sekolah."

Pada sebelah malam, minda saya tidak boleh duduk diam. Saya terus menconteng peta minda di papan putih di bilik kerja saya. Banyak idea yang terhasil, tetapi masih belum ada ketetapan apa yang perlu saya jadikan kertas cadangan buku terbaharu. 

Akhirnya, selepas beberapa ketika, Allah SWT memberikan ilham untuk menulis konsep sebagaimana yang dihasilkan di dalam buku ini. Walaupun saya memaparkan isu-isu yang boleh dikatakan berat, tetapi saya mahu ia disampaikan dengan cara yang sederhana dan mudah difahami oleh semua lapisan khalayak pembaca.

Buku ini mengandungi 20 bab yang saya rasa boleh memberikan manfaat kepada para pembaca. Insya-Allah, pelaburan tuan-tuan berbaloi dengan apa yang tuan-tuan perolehi.

Bab 1   : Abai Solat
Bab 2   : Anak Saya Kena Pukul
Bab 3   : Aurat Itu Urusan Saya
Bab 4   : Bangun Lambat
Bab 5   : Cikgu, Anak Saya Okey?
Bab 6   : Cinta Mencintai?
Bab 7   : Dahagakan Kasih Seorang Ayah
Bab 8   : Ibu Prihatin
Bab 9   : Jumpa Pakar
Bab 10  : Kelas Tak Aktif
Bab 11  : Kerana Laman Sosial
Bab 12  : Lagi-Lagi Dia Dibuli
Bab 13  : Mata Lebam
Bab 14  : Program Guru Penyayang
Bab 15  : Sekolah Dan PIBG
Bab 16  : Sukan vs Akademik
Bab 17  : Tak Minat Belajar
Bab 18  : Tidak Siap Kerja Sekolah
Bab 19  : Terlepas Cakap
Bab 20  : Tiada Duit Belanja

Saya juga bersyukur kerana banyak dibantu oleh tim Galeri Ilmu Sdn Bhd dalam menyiapkan buku ini. Tidak lupa di atas testimoni dua sahabat penulis saya iaitu, Tuan Syed Alwi Alatas dan Ustaz Ruzain Syukur Mansor.

__________________________

Catatan yang berani dan sangat ikhlas; lahir daripada hati sanubari seorang pendidik ... .Terima kasih Cikgu Wan Zayu kerana mendedahkan coretan pelbagai rasa dunia pendidikanuntuk dikongsi massa. Adakalanya konfl ik itu sebenarnya pembuka jalan untuk solusidengan cara Islami yang sangat menarik. Karya yang tidak rugi untuk dibaca.

RUZAIN SYUKUR BIN MANSOR
Penolong Pengarah, Bahagian Pendidikan Islam, Kementerian Pelajaran Malaysia
___________________________

Harapan saya tinggi menggunung agar buku ini dapat disebar luaskan ke seluruh pelusuk tanah air. Ini bermakna kalau boleh 400,000 lebih guru di bawah Kementerian Pelajaran Malaysia dan lain-lain sekurang-kurangnya memegang atau membaca sepintas lalu buku ini walaupun tidak memilikinya. Namun begitu, adalah lebih baik buku ini dimiliki dan dijadikan bahan bacaan bagi menambah pengetahuan yang sedia ada.

Buku ini sebenarnya bukan hanya khusus buat para guru semata-mata. Saya juga tuju khas buat semua para ibu bapa agar memiliki dan membaca buku ini sebagai pedoman. Dan kalau boleh para pegawai pendidikan di peringkat kementerian, jabatan pelajaran dan pejabat pelajaran daerah juga dapat memberi ruang kepada diri sendiri untuk membaca buku ini. Semoga ia memberi manfaat. Insya-Allah.

Akhir kalam, saya berdoa agar perkongsian yang sedikit ini dapat dihayati bersama oleh semua pembaca buku ini. Bukan dengan niat mengajar tuan-tuan, tetapi ia suatu perkongsian berguna untuk diri saya sendiri dan para pembaca sekalian.

Sekian, terima kasih.

Yang Faqir
Wan Zayuhisham Wan Yusoff
25 Rabiulakhir 1434H.
Shah Alam.



Jangan Bunuh Dirimu Dengan Kesedihan

Posted: Saturday, February 23, 2013 by WZWY in Labels: ,
0

Mu'afi Bin Sulaiman pernah berjalan dengan para sahabatnya. Sahabtnya menoleh kepadanya dengan wajah yang masam. Dia berkata, "Hari ini sangat sejuk."

Mu'afi berkata, "Apakah sekarang kamu merasa hangat?"

"Belum."

Mua'fi menyambung, "Apa yang kamu dapat dengan mengatakan sejuk? Jika engkau membaca tasbih, tentu ia lebih baik bagimu."

Apa kaitan kisah di atas dengan entri kali ini?

Sebentar.

Kita lanjut kisah kedua ya.

Saya memetik sebuah kisah di dalam buku hasil tulisan Dr. Muhammad Bin Abdurrahman al-Arifi. Dia menceritakan kisah pelajar beliau iaitu Sa'ad. Selama seminggu Sa'ad tidak menghadiri kuliah. Lalu Dr. Muhammad berjumpa dengan Sa'ad.

"Kenapa wahai Sa'ad?"

Sa'ad menoleh, "Tiada apa-apa. Aku hanya sibuk sedikit akhir-akhir ini."

Dr. Muhammad melihat wajah suram Sa'ad, "Apa khabar kamu?"

"Sebenarnya anak aku sakit. Ulu hatinya sudah rosak. Beberapa hari lalu, darahnya terkena racun dan tiba-tiba kelmarin racunnya sudah sampai ke otak."

Dr. Muhammad terus berkata, "Laa haula walaa quawwata illa billah. Bersabarlah. Semoga Allah menyembuh penyakit anakmu. Jika nanti ada sesuatu, berdoalah agar orang tuamu memberikan syafaat kepadamu pada hari kiamat."

"Apa, memberi syafaat?" Sa'ad bertanya kehairanan.

Kemudian Sa'ad menyambung, "Anak aku bukan kecil lagi, umurnya sudah 17 tahun."

"AKu berdoa agar semoga Allah menyembuhkan penyakit anakmu dan memberkati saudara-saudaranya."

Sa'ad menundukkan kepala. "Wahai sheikh, dia tiada punyai saudara. Dia satu-satunya anak aku dan sedang sakit sekarang."

Jiwa Sa'ad pada waktu ini lemah sekali.

"Sa'ad, beginilah, janganlah kamu membunuh dirimu dengan kesedihan. Tidak akan menimpa kita kecuali apa yang telah dituliskan Allah kepada kita."

Kemudian Dr. Muhammad berlalu meninggalakan Sa'ad yang masih membantu di situ. Bermuhasabah diri.

Jadi, apa yang ingin saya nasihatkan diri sendiri dan tuan-tuan ialah kita pastinya sudah, sedang atau akan menerima apa-apa jua ujian daripada-Nya. Apa bentuk dan cara, wallahu alam. Di luar batasan kemampuan akal kita.

Apa yang pasti ialah saya dan tuan-tuan jangan sesekali 'membunuh diri' kita dengan kesedihan kerana ia tidak sekali meringankan musibah yang menimpa. Dan apa yang perlu kita buat ialah dikala menerima cubaan daripada-Nya ialah berusaha mendekatkan diri dengan-Nya Mungkin selama ini kita lalai dengan tanggungjawab sebenar kita. Kita alpa untuk menunaikan segala perintah-Nya dengan kaedah terbaik. Kita hanya laksanakan tanpa menyerahkan jiwa raga yang sepatutnya.

Kalau pun solat, kita sengala melewat-lewatkan.
Kala berbual, kita banyak menceritakan keburukan orang lain.
Kala diberi nikmat, kita lalai dan tidak bersyukur.
Kala ditimpa musibah, kita hanya tahu mengeluh dan merungut.

Tidakkah kita melihat seseorang yang lebih sukar hidupnya berbanding diri kita, tetapi mampu tersenyum dan hidup bahagia di samping keluarga. Maka lihatlah di sekeliling kita. Apa yang kita saksikan dengan anugerah penglihatan anugerah-Nya ini?

Maka, kita teruskan nikmat hidup ini dengan menjadi hamba-Nya yang diredai. Andai terasa lemah dan gagal kuasai diri. 

'Pause' sebentar dan ingatkan Dia.

Moga Allah reda.


Al-Faqir Wan Zayuhisham

#Janganlah mengeluh kerana tanpa sedar kita telah perbaharui kesedihan.

Sukarnya...berterima kasih.

Posted: Tuesday, February 12, 2013 by WZWY in Labels: ,
0

Kata-kata hukama, "Sekiranya kita mengharapkan ucapan terima kasih daripada manusia nescaya kita akan menjadi orang yang sakit jiwa."

Maka, saya semakin mengerti bahawa apa jua yang kita laksanakan itu jangan bergantung harap ia akan diberi penghargaan sebagaimana yang kita mahukan.

Lakukan sahaja tanggungjawab kita dengan sebaik-baiknya. Selebihnya terpulanglah kepada pengadilan Allah SWT semata-mata.

Mungkin kita merasakan bahawa kita telah laksanakan tugasan kita dengan cemerlang. Kita juga mampu tersenyum apabila menerima pelbagai pujian rakan sekerja di atas usaha-usaha kita selama ini. Kita juga mengharapkan sedikit penghargaan daripada pihak atasan. Namun begitu, selepas usaha-usaha kita itu tidak dihargai, malah dianggap ia sesuatu yang biasa-biasa sahaja oleh pihak atasan. Maka apa reaksi kita?

Pastinya kecewa. 

Segala harapan selama ini musnah begitu sahaja.

Kita akan bertukar menjadi pekerja biasa-biasa sahaja.

Kenapa?

Kita terlalu mengharapkan penghargaan manusia. 

Namun begitu, itulah lumrah kita sebagai manusia. Jangan khuatir. Lama-kelamaan kita akan mampu menerima hakikat dan belajar menjadi manusia yang lebih cekal.

Walaupun ia bukan sesuatu yang mudah, saya dan tuan-tuan harus terima setiap penilaian orang lain terhadap kita dengan dada yang terbuka. Biar pun berapa peratus markah penilaian kerja kita diberikan, kita masih tersenyum kerana kita sudah lakukan yang termampu kita laksanakan. Dan yang paling penting ialah penilaian dari Maha Kuasa itu yang kita harap-harapkan.

Cara terbaik ialah apabila kecewa dengan penilaian manusia, kita bermuhasabah diri. Kenali diri sendiri dengan sebaik-baiknya. Lihat dengan kaca mata positif. Insya-Allah, kita akan merasa lebih tenang berbanding sebelumnya.

Maka, marilah kita sama-sama bersandar kepada Allah semata-mata. Dengan cara ini kita akan memiliki jiwa yang kental dan tidak mudah berputus asa. Percayalah, ini adalah keputusan terbaik yang kita perlu lakukan. 

Percayalah diriku....Allah itu Maha Adil.

Mudahnya Buka Aib Orang

Posted: Saturday, December 29, 2012 by WZWY in Labels: ,
0

KADANG KALA KEMUDAHAN yang dinikmati hari ini merupakan satu ancaman besar kepada kita.

Ancaman apa?

Dosa.

Saya tidak nafikan segala kemudahan itu akan memberikan banyak ganjaran pahala apabila digunakan dengan cara yang betul.

Dalam masa satu hingga dua saat sahaja, rakan kita di seluruh dunia dapat mengetahui setiap apa yang kita lakukan pada masa itu. Ia bukan lagi sesuatu yang pelik. Kanak-kanak berusia empat hingga lima tahun pun sudah mengerti apa itu kemudahan internet terutama facebook dan twitter.

Saya ingin berkongsi satu hadis Rasulullah SAW iaitu, Daripada Ibnu Umar R.huma bahawasanya Rasulullah SAW bersabda, “Orang Islam itu adalah saudara kepada seorang Islam yang lain, tidak boleh dia menzaliminya atau membiarkannya dizalimi. Sesiapa yang memenuhi hajat saudaranya nescaya Allah akan memenuhi hajatnya dan sesiapa menolong seorang Islam lain untuk melepaskan daripada satu kesusahan nescaya Allah akan melepaskannya daripada kesusahan dan penderitaannya dihari kiamat. Sesiapa yang menutup keaiban seseorang Islam nescaya Allah akan menutup keaibannya di hari kiamat”.

Hadis ini cukup jelas meminta kita yang mengaku beriman dengan Allah SWT agar tidak menzalimi orang lain terutama orang-orang yang dekat dengan kita. Andainya masih juga mahu melakukan juga, tanya diri sama ada aku ini benar-benar menuruti sunnah Rasulullah SAW atau sekadar tahu sahaja tentang hukum tetapi ingkar dalam melaksanakannya.

Misalnya dalam soal berkaitan rumahtangga atau keluarga, kadang kala saya tertanya-tanya untuk apa diuar-uarkan keburukan atau kejahilan orang lain berbanding diri kita. Adakah kita mahu pengiktirafan atau dikatakan berada di sebelah pihak yang benar? Tidak memadaikah terus berdepan dan menceritakan perkara sebenar dengan pasangan atau ahli keluarga terbabit? Berbincang dengan penuh hikmah. Kenapa perlu dihebahkan seantero dunia bahawa si anu bin si anu ini begitu, begini dan sebagainya. Kalau pun kita benar, orang yang berpendidikan agama akan melihat betapa rendahnya akhlak kita sebagai seorang muslim. Betapa hati kita sememangnya gelap dan ditokok tambah oleh ransangan daripada syaitan laknatullah untuk menyebut-nyebut kesalahan atau kekurangan orang lain.

Pada pandangan saya yang daif ini, kita terdorong melihat keaiban orang sehingga terlupa melihat keaiban dan kekurangan diri sendiri. Bak kata pepatah, "Kuman di seberang lautan nampak, tapi gajah di depan mata tak kelihatan."

Pesan guru, "Lihatlah kekurangan diri sendiri supaya dengan cara itu kita dapat memperbaiki kelemahan diri kita."

Kalau benar kita mahu menguar-uarkan kita adalah seorang Islam sejati, maka biasakan diri melihat keburukan diri kita bukannya keburukan orang lain. Dalam Islam ada digariskan sikap positif yang perlu dihayati dalam hubungan sesama manusia, apatah lagi hubungan suami isteri, adik-beradik dan sebagainya. Lihatlah satu kebaikan yang ada pada diri seseorang, meskipun ada banyak kejahatan yang ada pada dirinya. Apabila melihat diri kita pula, lihatlah kejahatan yang ada pada diri kita walaupun kita pernah melakukan kebaikan. Hanya dengan cara ini kita mampu menyekat bisikan syaitan yang sentiasa mahu memerangkap kita untuk terjerumus sama ke dalam api neraka. Nauzubillah.

Semoga perkongsian daripada insan yang serba kekurangan ini mampu menyedarkan kita tentang segala kelemahan diri dan seterusnya kemaskini semula iman kita.

Wallahualam.

Al-Faqir Wan Zayuhisham
Shah Alam.



Saf Semakin Kurang?

Posted: Tuesday, December 25, 2012 by WZWY in Labels:
0

“Mahukah kalian aku tunjukkan atas sesuatu yang mana Allah akan menghapuskan dosa dengannya dan terangkat beberapa darjat? Mereka menjawab: Ya wahai Rasulullah”. 

Baginda bersabda:

“Sempurnakanlah wuduk pada saat cuaca sangat dingin, perbanyakkanlah melangkah menuju masjid, dan menunggu selepas solat.  Demikianlah itu bagi kalian pertalian.” (Hadis riwayat Muslim).

Apa lagi kelebihan solat berjemaah?

Orang yang keluar menuju masjid dalam keadaan berwuduk untuk mengerjakan solat berjemaah akan mendapat pahala seperti orang yang mengerjakan haji dan juga dianggap melakukan solat daripada permulaanc perjalanannya hingga dia kembali ke rumahnya.  Ini sebagaimana sabda Rasulullah daripada Abu Umamah yang bermaksud:

“Barang siapa keluar dari rumahnya dalam keadaan suci (berwuduk) menuju solat wajib (dengan berjemaah) maka pahalanya seperti pahala orang yang mengerjakan haji dengan memakai ihram.” (Hadis riwayat Imam Abu Dawud) 

( Terima kasih : http://mutiaraislam.wordpress.com ) 

 Senario hari ini.
  
Nampaknya ganjaran 27 kali ganda belum cukup untuk membuatkan sebahagian manusia untuk memijak tangga masjid atau surau. Kalau kita saksikan sendiri di kawasan sekitar atau di mana-mana sahaja, jumlah saf di masjid/surau itu tidak sepadan dengan jumlah penduduk di kawasan tersebut. Tuan-tuan setuju?

Itulah hakikatnya apa yang berlaku di dalam masyarakat kita yang dilimpahi nikmat oleh-Nya. 

Kenapa ia boleh berlaku?

Ini berkait rapat dengan IMAN dan TAKWA seseorang. Semakin nipis keimanan kepada Allah, semakin jauh mereka dengan rumah Allah. Mereka akan hadir tatkala diwaktu hidup dalam keadaan sukar. Sedar atau tidak NIKMAT itu adalah UJIAN daripada-Nya.

Peringatan ini saya tuju khas buat diri sendiri. Agar jangan leka dengan kenikmatan yang dikecapi selama ini, lantas membuatkan kita lupa jalan ke rumah-Nya.

Sungguh sombong kita. Sungguh dhaif kita. Sungguh malu kita. Bermohon sentiasa diberikan NIKMAT hidup, tetapi LUPA untuk menghadiri SOLAT BERJEMAAH sebagaimana dituntut oleh Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW. Mungkin perkataan LUPA itu lebih sesuai dengan MALAS.

Apakah hukum solat berjemaah?

Mengenai hukum mengerjakan solat fardu secara berjemaah ini, antara pendapat yang termasyhur ialah daripada Imam Nawawi. Menurut beliau, solat berjemaah pada lima waktu yang fardu (selain solat Jumaat) hukumnya adalah fardu kifayah, yang mana diwajibkan bagi individu lelaki yang berakal, telah baligh, bermukim, mempunyai pakaian menutup aurat dan tidak uzur syarii. Hukum fardu kifayah ini bermaksud apabila ada sekumpulan orang di sesebuah mukim atau kampung mendirikan solat berjemaah di masjid atau surau, maka gugurlah dosa atas orang-orang di situ yang tidak menunaikan solat berjemaah. Namun jika tidak ada seorang pun di dalam mukim atau kampung tersebut yang menunaikan solat berjemaah, maka semua penduduk di situ mendapat dosa.

Mulai saat tuan-tuan membaca entri ini, marilah kita saling berpesan-pesan agar tuntutan ini dipatuhi tanpa mengira saat kita hidup senang atau sukar. Hidupkan syiar Islam di negara bertuah ini. Moga kita semua dilimpahi rahmat dan nikmat.

Mohon maaf andai ingatan ini membuatkan tuan-tuan tidak senang dengan penulisan saya kali ini. Peringatan ini buat diri saya sendiri. Jangan leka dan hanyut. Hari-hari kita mendengar teman-teman atau sesiapa sahaja dijemput pulang menemui-Nya.

Jadi...apa persediaan kita?

Wallahualam.

Al-Faqir Wan Zayuhisham
Shah Alam.

 

MEREKA YANG BERTAUBAT

Posted: Thursday, November 29, 2012 by WZWY in Labels: ,
0

ALHAMDULILLAH dengan izin-Nya masih lagi diberi nikmat hidup oleh Allah SWT. Hari ini masuk hari kedua berada di salah sebuah hotel di Kuala Lumpur untuk menyiapkan satu tugas khas yang diamanahkan oleh Bahagian Pendidikan Islam, Kementerian Pelajaran Malaysia.

Entri kali ini saya ingin berkongsi projek terbaharu selepas manuskrip CIKGU, ANAK SAYA OK? sudah berada di tangan editor. Aktiviti penulisan diteruskan di samping tugasan rasmi yang perlu disiapkan dengan seberapa segera.

Sebenarnya kertas cadangan manuskrip MEREKA YANG BERTAUBAT sudah diluluskan sebelum manuskrip CIKGU, ANAK SAYA OK?. Cuma pada masa itu idea mencurah-curah untuk siapkan CIKGU, ANAK SAYA OK? menyebabkan manuskrip ini disorok buat sementara waktu. 

Kali ini cerita tentang apa?

TAUBAT. Saya percaya ramai di kalangan kita sentiasa memohon keampunan daripada Allah SWT. Nabi Muhammad SAW yang maksum pun sentiasa memohon keampunan pada setiap hari, apatah lagi kita yang tidak sunyi dari melakukan dosa. Manuskrip ini diharapkan dapat menyedarkan saya dan para pembaca tentang kasih sayang Allah SWT yang sentiasa melimpah ruah untuk kita sebagai hamba-Nya. Sesungguhnya walau sebanyak mana dosa yang kita lakukan, Allah SWT sentiasa mengampuninya dengan syarat kita benar-benar mahu kembali kepada-Nya.

Sedikit perkongsian.

PENGENALAN

Pesan guru saya, “Perbaiki hubungan dengan Allah, maka hubungan kita dengan manusia akan menjadi baik.” Apakah rahsia yang terselindung daripada ungkapan tersebut? Sebenarnya inilah kunci kekuatan atau kejayaan manusia dalam kehidupan di dunia ini. Tanpa sedar, kita berusaha memenangi hati seseorang, bekerja siang malam untuk mencapai target kehidupan yang lebih baik dan berbagai-bagai-bagai lagi impian kita. Dalam kesibukan itu kita lupa tentang pemilik diri kita yang serba daif ini. Kita lupa segala teguran dan ancaman-Nya supaya kita jangan lalai dan hidup di dunia ini sebagai khalifah yang sebenar-benarnya. Semoga kisah benar di dalam bab ini boleh dijadikan iktibar kita bersama.

KISAH TAUBAT

HASHIM AKUR KESILAPANNYA MASA LALU. Hashim sedar segala apa yang dilakukan sebelum ini membuatkan kehidupannya kini dilanda badai yang sukar dia dan isteri hadapi. Hashim tidak mampu untuk berpatah semula ke garis permulaan setiap apa yang berlaku. Dia hanya mampu teruskan kehidupan sekarang dan lupakan masa silam. Namun begitu, ia bukan semudah disangka. Kesempitan hidup kini membuatkan hubungan dingin dia dan isteri. Hashim mampu melahirkan kekesalannya. Apakan daya, semua yang berlaku itu adalah kesilapannya sendiri. Bagaimana mungkin dia mahu mulakan semula sedangkan isterinya sudah berpatah arang. Sukar terima kenyataan yang ditempuhi sekarang.
            “Saya sudah tidak tahan dengan hidup kita sekarang,” ujar Wani yang menahan sebak. Entah kenapa emosi Wani agak terganggu sejak akhir-akhir ini. Dia akur Hashim sudah banyak berubah. Namun apa yang diharapkan masih belum cukup untuk melupakan apa yang telah berlaku.
            “Bersabarlah. Ini mungkin ujian Allah. Abang sedar selama ini saya hanya kejar bayang-bayang semata-mata,” jelas Hashim melipat semula slip gaji yang ditunjukkan oleh isterinya sebentar tadi.
            “Bagaimana mungkin selepas 10 tahun bekerja, gaji abang semakin sedikit. Macam mana nak tanggung saya dan anak-anak?” Tanya Wani lagi kecewa dengan perbuatan suaminya yang suka berhutang.
            “Abang sedang usahakan agar kehidupan kita lebih baik. Tapi buat masa ini belum berhasil,” pujuk Hashim lagi. Dia sedar kelalaiannya menguruskan kewangan diri menyebabkan dia terperangkap dengan pelbagai tawaran pelaburan dahulu. Kekayaan yang dikejar tetapi kesempitan hidup pula yang datang.
            “Sampai bila harus saya tunggu. Selama 13 tahun saya berkorban untuk keluarga. Selama itu juga jiwa saya terseksa dengan abang,” jelas Wani lagi.
            “Habis itu, apa yang mampu abang buat sekarang kalau Wani tidak faham situasi abang sekarang?” Hashim mula meninggikan suara. Dia semakin tertekan. Gaji yang diterima setiap bulan tidak mampu menampung kehidupan mereka sekeluarga. Bayaran bil elektrik, bil air, bil telefon dan bayaran rumah semuanya tertunggak. Itu belum dikira bil kad kredit yang sudah lama disekat oleh pihak bank. Ditambah pula leteran isteri setiap kali mereka berada di rumah. Fikirannya semakin kusut. Apa lagi yang harus dilakukan lagi. Kerja-kerja di sekolah juga semakin menimbun. Tugas guru kelas dan guru Tahun Enam yang bakal menduduki peperiksaan UPSR semakin membebankan dirinya ketika ini.
            Hashim merenung wajah kedua-dua anaknya yang sedang lena dibuai mimpi indah. Fareez dan Fairoz belum mengerti apa itu kehidupan. Fareez sedang belajar di darjah empat dan Fairoz pula di darjah satu. Mereka bersekolah di sekolah yang sama tempat dia mengajar. Sekolah Kebangsaan Taman Puteri, Shah Alam. Manakala isterinya pula berjawatan penolong pengurus di sebuah syarikat swasta berpangkalan di Bandar Diraja Klang. Jika dibandingkan dengan pendapatannya, jauh ketinggalan dengan jumlah pendapatan Wani yang saban tahun menerima kenaikan gaji yang lumayan.
            “Saya rasa lebih baik awak lepaskan saya.” Tiba-tiba Hashim gagal mengawal perasannya. Keegoannya benar-benar teruji. Dia menangis. Tidak mampu menyusun kata apabila isterinya tekad membuat keputusan.
            “Sabar! Kita masih mampu ubah semua ini,” pujuk Hashim lagi. Masih mengharapkan sinar bahagia hubungan mereka. Masih cuba bertahan.
            “Rasanya sudah terlambat,” tegas Wani pula.
            “Jangan emosi,” pujuk Hashim tidak berputus asa.
            “Saya tahu, abang tak sanggup lepaskan saya kerana tidak mampu untuk hidup berdikari sendiri. Abang mengharapkan pemberian saya selama ini,” Hashim terus tersentak. Bagaikan batu besar yang jatuh dari puncak bukit menghempas dirinya ke tanah. Statusnya sebagai seorang suami tercabar. Mana hendak dia letakkan air muka ini lagi. Wani semakin bertegas untuk ambil jalan perpisahan.
            “Baiklah!”

****
            Kini Hashim bersendirian. Hidup bagaikan tiada erti. Dia terpaksa memilih jalan yang dipinta oleh isterinya. Dia rela hati keluar dari rumah yang mereka  beli bersama lima tahun yang lalu. Hidup bersendirian setelah 13 tahun berkeluarga bukan sesuatu yang mudah. Dia terpaksa menyewa di sebuah rumah flat tujuh belas tingkat. Dia berada di tingkat lima. Dua tiga orang rakan bujang ajak tinggal bersama. Dia menolak kerana fikirkan pada setiap hujung minggu dia mahu bawa kedua-dua anaknya tinggal bersama. Habiskan hujung minggu bersama anak-anak.
Wani pula teruskan hidup bersama kedua-dua anak mereka. Kedua-dua anaknya dipindahkan ke sekolah berhampiran tempat kerjanya. Wani sedar selama ini banyak bersabar dengan kerenah suaminya. Namun begitu, ada juga kekesalan dalam dirinya. Dia tahu bahawa selama ini dia juga banyak berdosa dengan suaminya. Setiap malam dia akan ber’chatting’ dengan rakan laman sosial yang bukan muhrim. Dia menceritakan semua perkara dalam rumah tangganya tanpa batas. Dia juga berkongsi cerita dengan rakan sepejabat tentang segala keburukan Hashim selama ini. Dia tidak pasti selama ini Hashim sedar atau sebaliknya. Dia mengharapkan Hashim tidak tahu bahawa segala keburukannya diketahui oleh kebanyakan rakan sepejabat dan rakan laman sosial.
“Aku tahu selama ini dia burukkan aku,” luah Hashim kepada teman rapatnya, Suffian.
“Apa maksud kamu?”
“Wani tidak sedar aku pernah membuka laman sosialnya dan menyalin setiap apa yang dia bualkan dengan  rakan ‘chatting’. Dia juga dedahkan keaiban aku selama ini. Aku tahu aku bersalah membuatkan dia menderita, tetapi adakah sepatutnya dia lakukan begitu terhadap aku?” Hashim lahirkan kekesalannya.
“Entahlah Hashim. Setahu aku, kamu berdua masih lagi sah sebagai suami isteri. Cuma kamu berdua tinggal berasingan buat masa ini. Dan aku yakin kamu berdua akan bersatu kembali nanti,” kata Suffian memujuk agar Hashim bertenang.
“Entahlah!” Hashim menggeleng.
“Apa yang kamu lakukan padanya sebelum ini? Aku pun hairan bagaimana dia sanggup untuk berpisah,” tanya Suffian yang selama ini tidak suka mencampuri urusan peribadi rakan baiknya. Kali ini dia terpaksa ketahui apa sebab musabab perkara itu berlaku.
“Aku tak mampu sediakan nafkah zahir untuknya. Aku gagal berikan sejumlah wang pada setiap bulan. Dan dia anggap aku jadikan dia hamba. Buat kerja rumah dan sebagainya. Dia anggap selama ini dia tidak dihargai. Bukan sebentuk cincin, malah seutas rantai gelang pun aku tak pernah belikan untuk dia,” luah Hashim sugul.
“Kerja-kerja rumah macam mana?”
“Itu aku ada bantu juga, cuma aku ada masalah kewangan. Tidak mampu berikan kebahagiaan kepadanya,” balas Hashim.
“Kebahagiaan bukan terletak pada wang ringgit,” nasihat Suffian.
“Memang betul, tetapi kalau selalu kesempitan wang dan tidak mampu berikan sebagaimana orang lain mampu lakukan. Bagaimana? Setiap bulan cukup-cukup untuk tampung hidup aku dan sedikit barangan dapur,” kata Hashim lagi.
“Memang benar. Aku tak nafikan semua orang perlukan duit untuk hidup. Aku rasa kau perlu uruskan semula struktur kewangan semula. Mungkin ini dapat membantu kau buat masa ini,” cadang Suffian.
“Cakap memang mudah. Hutang aku semakin bertambah. Bil semakin tertunggak. Apa yang mampu aku buat lagi?” Tanya Hashim minta pandangan.
“Orang lain pun ada yang macam kau. Gaji bersih pun tak padan dengan gaji kasar. Hutang bank sana, hutang koperasi sini. Aku pun ada berhutang dengan sebuah bank,” kata Suffian sebagai menenangkan hati sahabatnya.
“Kau lain. Masa itu kau pinjam buat beli tanah. Sekurang-kurangnya kau ada aset sekarang. Tapi aku, apa yang ada? Tulang empat kerat inilah yang tinggal.” Suffian ketawa geli hati dengan kata-kata Hashim.
“Sabarlah Hashim. Kita fikirkan jalan terbaik,” balas Suffian.
“Bagaimana?”
****
            Sebaik sahaja usai solat sunat sunat  ba’diyyah Maghrib, Ustaz Shukri  duduk di kerusi yang disediakan di depan para jemaah. Hashim mengambil tempat di barisan depan sekali. Dia semakin rajin turun ke surau yang berada berhampiran blok A yang didudukinya. Dia bersyukur AJK surau flat perumahan ini aktif menganjurkan kuliah maghrib. Selama ini Hashim leka dengan kesibukan dunia semata-mata. Akhirnya tiada apa yang dia peroleh selain kegagalan mempertahankan keutuhan rumah tangganya. Walaupun masih belum secara rasmi berpisah, hidupnya kini tidak ubah sudah berpisah kerana masing-masing bawa haluan sendiri.
            “Malam ini saya cuba selongkari suatu isu yang sentiasa bermain di dalam kotak fikiran kita,” ujar Ustaz Shukri memulakan kuliah maghrib.
            Para jemaah diam dan masing-masing keluarkan buku catatan. Hashim hanya menggunakan telefon bimbit untuk mencatat setiap pengajaran di surau tersebut.
            “Saya cuba perjelaskan langkah-langkah untuk tambahkan rezeki kita di dunia ini. Saya bukan nak ajak para jemaah melabur,” kata Ustaz Shukri tersenyum.
            Para jemaah juga tersenyum dengan gurauan Ustaz Shukri.
            “Langkah pertama ialah luaskan pengertian tentang rezeki. Maksud saya ialah erti rezeki itu bukan hanya melibatkan wang semata-mata. Kesihatan, ilmu, keselamatan, masa lapang dan seumpamanya juga bentuk rezeki anugerah Allah SWT,” sambung Ustaz Shukri lagi. Hashim terpana seketika. Selama ini dia membuat pinjaman untuk melabur dalam pelbagai perniagaan. Namun semuanya temui kegagalan. Dia juga jauh dengan kehidupan sebenar yang dituntut oleh Islam. Dia selalu melewat-lewatkan solat. Kononnya sibuk berdiskusi dengan rakan perniagaan. Pulang lewat jauh malam dan bangun lewat pada hujung minggu hingga terbabas waktu solat Subuh.
            “Langkah kedua ialah sambungkan silaturahim. Bukan sahaja berbaik-baik dengan ahli keluarga dan kawan-kawan tetapi juga dengan sesiapa yang memutuskan silaturahim dengan kita. Itu lebih utama. Dan langkah ketiga ialah banyakan memberi. Maksudnya kita jangan kedekut untuk bersedekah atau menyumbangkan tenaga untuk kemaslahatan umum. Contohnya, kalau tidak mampu dengan kewangan, datang ke surau ini bersihkan kawasan sekitar dan sebagainya,” kata Ustaz Shukri dengan penuh ketenangan membuatkan para jemaah terpesona pada setiap rangkap ungkapannya.
            “Subahanallah,” terpacul kalimah suci di bibir Hashim sebaik sahaja Ustaz Shukri memberitahu langkah terakhir ialah bersyukur dengan segala nikmat yang diberikan oleh Allah SWT. Kita perlu bersyukur kerana ia akan memberikan ketenangan dan menambahkan rezeki.
            Hashim benar-benar insaf dengan apa yang dilakukan selama ini. Kegagalannya mendidik diri dan ahli keluarga menepati ciri-ciri keluarga yang diredai Allah membuatkan dirinya berasa sangat kerdil. Walau apa pun dia tidak perlu sesali apa yang sudah berlaku. Dia perlu mara terus ke depan. Perbaiki semula hubungan dengan Allah. Dan kemudian menyusul pula hubungan baik dengan isteri pula.
            Dia sedar apa yang dilakukan isteri selama ini berpunca daripada dirinya sendiri. Gagal membentuk keperibadian isteri menepati ciri-ciri isteri solehah yang diimpikan oleh semua para suami. Dia tidak harus menyalahkan isterinya semata-mata. Dia adalah ketua keluarga dan seterusnya memimpin isteri dan anak-anak.
            “Ya Allah! Ampuni segala dosa-dosaku selama ini. Jangan Kau palingkan hatiku ini setelah Kau berikan hidayah ini terhadap-Mu. Aku bermohon keampunan daripada-Mu Ya Allah!”
            Tekad Hashim kini mahu kembalikan keharmonian keluarga yang dibina selama ini. Lupakan episod silam. Tempuhi kehidupan seterusnya dengan penuh keimanan dan ketakwaan kepada Maha Esa.

****TAMAT****

Setiap bab dibahagikan EMPAT bahagian iaitu :

1) KISAH TAUBAT
2) MUHASABAH DIRI
3) INFO TAUBAT
4) KISAH TELADAN 

Semoga manuskrip ini dapat diselesaikan dengan lancar. Mohon tuan-tuan yang budiman doakan saya ya?

Wassalam.

Al-Faqir Wan Zayuhisham
Regency Hotel KL