Eh! Dah masuk waktu.

Posted: Saturday, July 24, 2010 by WZWY in Labels:
0

Waktu cepat berlalu tanpa kita sedar. Ia sungguh pantas dan jauh meninggalkan kita jika terleka. Sebahagian besar umat Islam masa kini dikatakan leka dan asyik maksyuk dengan kehidupan duniawi semata-mata. Urusan ukhrawi semakin dipinggirkan. Benarkah begitu? 

Tepuk dada tanya IMAN!

Waktu mempunyai karakter tersendiri yang harus difahami oleh setiap manusia.

"Boleh abang terangkan karakter waktu ?"

"Insya-Allah."

"Pertama, waktu ini adalah cepat berlalu."

"Ia berlalu bagai angin lalu tanpa kita sedari. Contohnya dikatakan waktu kita gembira, ia berlalu dengan pantas tanpa sempat menoleh kiri dan kanan. Apabila tiba waktu bermuram durja, hari yang dilalui bagaikan jarum jam terhenti. Pada hakikatnya ia tidak begitu dan hanyalah mainan perasaan kita sahaja. Waktu berlalu setiap hari adalah tetap sama."

"Betullah bang, saya juga alami perkara yang sama."

"Contoh paling mudah ialah apabila seseorang lakukan perkara sama pada setiap hari. Pagi hingga petang pergi kerja. Bila tiba waktu malam keluar minum dan bersukaria dengan rakan-rakan. Sedar tidak sedar usia sudah menjangkau 30an atau 40an atau pun 50an."

"Bila ditanya, apa yang telah tuan lakukan sepanjang hidup 35 tahun ini?"

Mereka tergaru-garu dan hanya menjawab."Entahlah."

"Sungguh malang bagi seseorang manusia diberi cukup sifat dan kesihatan yang baik tetapi leka dan tidak pernah berusaha mendekati ilmu-ilmu Allah sebagai bekalan ke akhirat."

Firman Allah s.w.di dalam Surah Al-Nazi'at , ayat 46 bermaksud :" (Sangatlah dahsyatnya huru-hara hari itu, sehingga orang-orang yang bersalah merasa ) pada masa melihatnya: Seolah-olah mereka tidak tinggal di dunia melainkan sekadar satu petang atau paginya sahaja."

"Bang, karakter kedua macam mana?"

"Kedua, setiap masa yang telah berlalu tidak akan kembali lagi."

"Memang betul bang. Saya pun rasa menyesal apabila terkenangkan apa yang telah dilakukan 4-5 tahun lepas."

"Kita tidak perlu sesali. Mungkin itu baik untuk kita sebagai peringatan hari ini."

"Abang ingin kongsikan ungkapan oleh Hassan al-Basri :"Tiadalah suatu hari yang memancarkan sinar fajarnya melainkan diseru:"Wahai anak Adam! Akulah kejadian yang baharu, aku menjadi saksi ke atas amalanmu. Maka ambillah bekalan daripadaku; sesungguhnya apabila aku berlalu pergi, aku tidak akan kembali lagi sehingga hari Kiamat."

"Subhanallah, bang. Cukup terkesan."

"Jika hari ini kita banyak melakukan kerja sia-sia. Tinggalkanlah ia. Sayangilah waktu yang diruangkan oleh Allah kepada kita. Buatlah sesuatu bermanafaat untuk agama, diri, keluarga dan masyarakat."

"Kalau asyik borak sahaja macam mana?"

"Kalau borak memberi kebaikan tidak mengapa. Jangan ia sebuah sesi umpat-mengumpat."

Senyum sinis. "Terkena lagi."

"Karakter ketiga pula ialah waktu itu suatu perkara yang amat atau tinggi nilainya."

"Oleh itu, peliharalah ia dengan sebaik-baiknya. Kita tidak pasti apa bakal menanti pada esok hari atau lusa atau tahun depan sekali pun."

"Dikatakan bahawa Ibnu Mas'ud Radiallahu'anhu mengatakan:" Aku tidak menyesali akan sesuatu lebih dari sesalanku pada suatu hari yang terbenamnya matahari sedangkan ajalku semakin mengurang tetapi amalanku tidak bertambah."

"Renung-renungkan."

"Bang,mendalam sungguh maksudnya."

"Jadi, jika kita mahu keberkatan di dalam kehidupan seharian. Kita perlu mengikut cara pengurusan waktu harian menurut kacamata Islam sepenuhnya."

"Contoh pengurusan waktu harian muslim?"

" Pertama, kita bangun awal pagi dan kerjakan solat Subuh berjemaah. Kedua, melakukan solat sunat Dhuha. Ketiga, bekerja dengan penuh tanggungjawab. Keempat, dirikan solat dengan berjemaah. Kelima, basahi lidah dengan zikir-zikir. Keenam, tidak melewatkan tidur kerana ingin bangun awal pada keesokkan hari. Ketujuh, mendirikan qiamullail. Kelapan, sentiasa ingatkan Allah."

"Mungkin ada lagi yang saya tidak sebut di sini. Tapi ini adalah yang terbaik untuk kita amalkan."


"Boleh tahan juga, amalan-amalannya."

"Itulah yang sebaik-baiknya dan berusaha melakukannya."

"Terima kasih bang. Insya-Allah kita bersua lagi."

"Sama-sama. Kita berusaha berubah atau berhijrah."

"Insya-Allah."

Jika ada sebarang kesalahan atau kelemahan di pihak saya. Mohon ditegur untuk kebaikan semua. Insya-Allah. Semoga Allah redha.
Hari ini usiaku bertambah lagi.Teruskan usaha mencapai matlamat hidup. 
Terima kasih dan moga rahmati kalian Saudara Zamari (rakan TADIKA ) & Saifuddin (Rakan SMAS).Kongsi cerita di Al-Rafi Bistro.

Hanya Doa?

Posted: Wednesday, July 21, 2010 by WZWY in Labels:
0

Allah berfirman di dalam Surah al-Mukmin, ayat 60 bermaksud :" Berdoalah kepada-Ku, nescaya akan Kuperkenankan bagimu. Sesungguhnya orang-orang yang menyombongkan diri dari menyembah-Ku[1326] akan masuk neraka Jahannam dalam keadaan hina dina."

[1326]. Yang dimaksud dengan menyembah-Ku di sini ialah berdoa kepada-Ku.

"Dan apabila hamba-hamba-Ku bertanya kepadamu tentang Aku, maka sesungguhnya Aku dekat. Aku mengabulkan permohonan orang yang berdoa apabila ia berdoa kepada-Ku, maka hendaklah mereka itu memenuhi-Ku, dan hendaklah mereka beriman kepada-Ku, agar mereka selalu berada dalam kebenaran." (Q.s. al-Baqarah: 186).

"Bagaimana kita mahu mencari idea?" Soal Saudara Ramlee Awang Murshid kepada para peserta Bengkel Motivasi Menulis Novel yang diadakan baru-baru ini. Saya merupakan salah seorang peserta menjawab, " pengalaman hidup."

"Betul, tapi ia di peringkat kedua." beritahu Saudara Ramlee.

" Buat sisnopsis," jawab salah seorang peserta.

"Betul, tapi ia di peringkat kedua."

"Membaca," jawab salah seorang peserta lagi.

"Betul, tapi ia di peringkat kedua." Saudara Ramlee mengulangi jawapan yang sama.

Saudara Ramlee memberi sedikit petunjuk tentang akal yang dianugerahkan kepada setiap manusia.

Saya cuba menjawab lagi, "Allah."

Saudara Ramlee membalas,"Ya, Allah yang memberikan ilham atau idea kepada kita."

"Jika alam ini milik Allah, kita milik Allah, idea ini milik Allah, jadi kenapa kita tidak minta kepada-Nya?" Semua peserta mengangguk faham.

"Setiap kali selepas solat kita pohon pada-Nya. Sujud pada-Nya dan memohon agar dipermudahkan segala urusan kita." Di antara kata-kata  beliau yang boleh saya ingat.

"Jadi, inilah rahsia kejayaan novel-novel seperti Mandatori, Bagai Puteri, Hatiku Di Harajuku dan lain-lain.Hmmm...hebat, itulah ILHAM dari Allah untuk sesiapa yang memohon." 

***
Setiap daripada kita sudah banyak kali diberitahu atau terbaca atau terlihat kalimah " Doa itu senjata mukmin." Tapi berapa ramai yang mempraktikkannya di dalam kehidupan seharian.

"Itulah kesan apabila jarang-jarang berjumpa Allah."

"Maksud tuan?"

"Jarang solat atau tidak solat atau pun solat di dalam keadaan tidak bersedia."

"Islam mendidik kita sejak dari bangun tidur hingga masuk waktu tidur dengan doa."

"Betul."

"Ada juga yang berdoa tetapi tidak tahu apa yang mereka lakukan. Tanpa disengajakan mereka lupa kekuatan doa yang sesungguhnya merupakan Senjata Rahsia para Nabi dan ibadah tertinggi yang paling dicintai Allah."

"Jadi apa perlu kita buat?"

"Sentiasa berdoa dan memohon keredhaan-Nya pada setiap masa."

"Contoh?"

"Apa jua yang kita lakukan pada setiap hari secara rutin atau tidak, kita mulakan dengan basmalah dan berdoa. Contohnya sebelum hidupkan enjin motor atau kereta baca doa naik kenderaan, semoga Allah bagi keselamatan dan ketenangan di jalan raya. Tidaklah kita asyik 'tension' apabila tersangkut dengan kesesakan trafik."

"Lagi?"

"Tak faham lagi?"

Tersenyum sinis.

"Mahu dengar satu kisah?"

"Alhamdulillah, silakan."

"Pada suatu ketika tentera Islam yang diketuai Khalid Al-Walid di dalam situasi perit kehausan apabila punca air telah dikuasai oleh tentera Parsi. Mereka sengaja membiarkan tentera Islam kehausan tanpa melancarkan apa-apa serangan.Tiba-tiba Ibnu Abas mencadangkan agar mereka memohon kepada Allah SWT dan dipersetujui oleh Khalid Al-Walid. Mereka pun sama-sama solat hajat dan berdoa supaya diturunkan hujan. Ibnu Abas berdoa : Wahai Tuhan yang Maha Pemurah, turunkanlah hujan kerana kami perlukan air. Kamulah Yang Maha Kuasa dan kepada-Mu juga tempat kami meminta pertolongan. Doa Ibnu Abas telah diaminkan oleh 20,000 orang tentera Islam. Tidak lama kemudian, awan mendung berarak di dada langit. Cuaca yang panas tiba-tiba menjadi redup. Kemudian hujan turun dengan lebatnya dan menggembirakan seluruh tentera Islam."

"Subhanallah."

"Contoh lain yang paling dekat ialah semasa hantar anak sekolah diringilah mereka dengan doa agar mereka dipemudahkan untuk belajar dan diberi keselamatan ke atas mereka."

"Masalahnya tidak hafal doa,"

"Hafal doa?"

Angguk.

"Berdoa bererti kita ingin mencurahkan fikiran dan perasaan kita tentang kehidupan ini kepada-Nya. Walau di dalam apa jua bahasa. Inti doa ialah kita ingin berhubungan dengan Allah SWT."
"Saya faham."

"Lambat atau cepat permohonan kita, hanya Allah Maha Mengetahui yang terbaik buat kita."

"Doa juga harus sejalan dengan keperluan kita dan bukannya untuk memuaskan hawa nafsu sahaja."

Kita mulakan sekarang. Berdoalah pada Yang Maha Esa.

Insya-Allah. Diperkenankan. 

Amin!

Dialog Diam

Posted: Tuesday, July 20, 2010 by WZWY in Labels:
1

"Lebih baik diam daripada berkata-kata perkara yang tidak bermanafaat."

"Aku risau kalau banyak bercakap akan mendatangkan dosa pula."

"Bila berkumpul ramai-ramai satu meja, perkara yang tidak dapat dielakkan ialah mengumpat."

"Kalau diam, dikatakan pula kita sombong."

"Di antara tanggapan orang dengan dosa mengumpat, mana kamu pilih?"

"Ermmm."

"Mana ada orang tidak mengumpat sekarang ini?"

"Betulkah?"

"Tak percayalah."

"Tidak salah kita berkumpul ramai-ramai bercerita, tetapi masing-masing perlu faham batas-batas yang tidak boleh dilanggar."

"Macam mana nak buat?"

"Soalan popular tu!"

"Dua perkataan sahaja. INGAT ALLAH."

"Kadang-kadang itu, terlepas pandang juga."

Tersenyum sendirian.

"Itulah, baik diam jika  topik perbualan sudah bertukar."

"Nanti orang kata kita sombong."

"Minta izin keluar dan buat kerja lain."

"Bukan semudah itu."

"Sesungguh syaitan dan iblis amat suka apabila umat manusia nampak sukar untuk kerjakan sesuatu kebaikan."

"Susah juga kita mahu elakkan perkara ini sekarang."

"Saya setuju dan tidak bersetuju." 

Dahi berkerut kehairanan.

"Jika kita tidak mahu, walau dengan apa cara pun kita akan berusaha hindarinya."

"Mahu dengar satu kisah."

"Nak!"

" Diriwayatkan oleh Abu Ummah al-Bahili, diakhirat seorang terkejut besar apabila melihat catatan amalan kebaikan yang tidak pernah dilakukannya didunia. Maka, dia berkata kepada Allah "Wahai Tuhan ku, dari manakah datangnya kebaikan yang banyak ini, sedangkan aku tidak pernah melakukannya".Maka Allah menjawab :"Semua itu kebaikan (pahala) orang yang mengumpat engkau tanpa engkau ketahui".Sebaliknya, jika pahala orang yang mengumpat tidak ada lagi untuk diberikan kepada orang yang diumpat, maka dosa orang yang diumpat akan dipindahkan kepada orang yang mengumpat. Inilah dikatakan orang muflis diakhirat nanti."

"Ni kita cerita pasal diam atau dosa mengumpat?"

"Kedua-duanya saling berkait rapat."

"Tapi jangan lupa, diam tidak bermaksud tidak mengumpat."

"Huhh..macam mana pula?"

"Guna pena atau tekan kekunci komputer atau komputer riba."

"Maksudnya dengan menulis?"

"Sekarang kan semua sudah ada blog,akaun facebook, twitter dan lain-lain laman sosial lagi."

"Jadi, itu pun kena diam jugalah ya?"

"Jangan diam."

"Aik..tadi suruh diam."

"Biasanya dengan tulisan seseorang itu lebih berani, maka tuliskan sesuatu yang baik dan mendorong agar seseorang itu INGAT ALLAH."

"Terima kasih."

"Sama-sama. Semoga Allah redha."

Bengkel Motivasi Menulis Novel

Posted: Monday, July 19, 2010 by WZWY in Labels:
0

Alhamdulillah, akhirnya dapat juga berguru walaupun di dalam jangka masa yang singkat dengan Novelis Thriller Tersohor Saudara Ramlee Awang Mursid (RAM) pada 18 Julai 2010 yang bertempat di Kompleks Belia Dan Kebudayaan Selangor, Shah Alam.

Tempoh masa dua jam setengah berlalu dengan pantas dan padat dengan ilmu penulisan dan pengalaman Saudara RAM yang boleh dijadikan pedoman kepada para peserta bengkel.

Doa, Zakat Dan Syukur adalah pegangan dan amalan beliau di sepanjang meniti kejayaan sebagai seorang novelis yang telah menghasilkan 20 buah novel. Beliau juga menegaskan setiap individu ada kehebatan masing-masing. Oleh itu, ia menjadi kewajipan kita untuk mengenali diri kita sendiri dan seterusnya meletuskan kehebatan yang sudah lama wujud di dalam diri seseorang.

*********

Sepanjang saya menyertai pelbagai bengkel penulisan novel dan penulisan non-fiksyen, kebanyakannya akan menyentuh soal diri penulis. Pelajari teknik dan gaya penulisan adalah suatu kemestian tetapi perkara yang perlu diberi keutamaan terlebih dahulu ialah kenali diri kita sendiri.

Sebelum saya menyertai dunia penulisan pada Mei 2009 yang lalu, apa yang tergambar di dalam fikiran saya ialah jika mahu menulis, kita perlu belajar menulis semata-mata. Rupa-rupanya di dalam apa jua bidang yang kita ceburi, asas kejayaan ialah DIRI KITA SENDIRI. Begitu juga sebelum itu, saya terlibat dengan urus niaga mata wang secara online. Bill William yang merupakan pengasas Teknik Chaos menegaskan jika ingin berjaya sebagai seorang 'forex trader', seseorang itu perlu kenali diri dan mempunyai kekuatan dalaman.

Akhir kalam, terima kasih kepada pihak urusetia KEMUDI yang menganjurkan bengkel ini dan semoga diberi kekuatan untuk menyertai bengkel-bengkel akan datang. Sejujurnya saya bangga dengan apa yang telah dilakukan dan pencapaian yang dikecapi oleh Saudara RAM. Semoga beliau terus diilhamkan idea-idea baharu dan segar untuk hasilkan karya-karya yang lebih hebat.

Pesta Buku Negeri Sembilan 2010

Posted: Tuesday, July 13, 2010 by WZWY in Labels:
0

Alhamdulillah, pada 10 Julai 2010 yang lepas berkesempatan ke Pesta Buku Negeri Sembilan bagi mengisi slot Bicara Buku bersama-sama novelis Ummu Hani Abu Hassan.