Di saat buntu idea

Posted: Sunday, September 29, 2013 by WZWY in Labels: ,
0

"Apa nak tulis?"

"Nak bermula di mana?"

Persoalan demi persoalan muncul apabila menghadapi saat buntu idea. Dan ia bukan sesuatu yang pelik. Ia adalah situasi normal yang dihadapi oleh sesiapa sahaja terutama para penulis. Jadi, apa yang perlu saya lakukan? Saya yakin di internet banyak panduan yang boleh didapati apabila berdepan situasi 'kering idea' atau 'buntu idea'. Berdasarkan pengalaman sendiri, beberapa perkara yang saya lakukan iaitu :

1) Lupakan seketika manuskrip tersebut. Rehatkan minda. Lakukan aktiviti lain yang bukan berkaitan penulisan. Namun begitu, langkah ini bergantung keadaan semasa juga.

2) Membaca Al-Quran adalah terapi terbaik untuk menenangkan minda yang kusut.

3) Solat sunat juga merupakan langkah terbaik. Memang ia memberikan kita ketenangan dan jangan terkejut apabila sebaik sahaja salam kedua. Kita mula dihujani idea-idea baharu.

4) Merangka idea-idea penulisan akan datang. Ini juga biasa saya lakukan dengan menggunakan peta minda. Apabila menggunakan peta minda, saya mudah melontarkan sebarang idea yang berkaitan atau sebaliknya. Kita bukan perlukan kesempurnaan pada waktu ini. Sebarang idea adalah bernilai. Ini agak berlawanan dengan cara pertama di atas, tetapi ia bukan satu kesalahan kerana pada satu-satu ketika kaedah keempat ini berkesan.

5) Salah satu cara lain yang saya lakukan ialah membaca majalah, buku atau novel penulis lain. Kaedah ini juga dapat memberikan kita input baharu dan boleh disesuaikan dengan penulisan sendiri.

6) Menonton filem pendek yang memberi inspirasi dan muhasabah diri juga kaedah yang saya sarankan kepada sesiapa yang mahu mencubanya.

7) Menonton rancangan televisyen yang boleh bantu percambahan idea dan ilmu. Contoh, apabila menonton siri penyiasatan CSI atau filem, saya suka melihat plot cerita dan meneka pengakhiran sesebuah cerita tersebut.

8) Menulis status di facebook dan di blog seperti entri ini.

9) Telefon ibu di kampung.

10) Menziarahi ahli keluarga dan sahabat-sahabat juga mampu memberikan ketenangan fikiran. Betul ke? Boleh cuba jika belum buat lagi.

11) Panjatkan doa pada Maha Pemberi.

Semoga perkongsian ini mampu memberikan sesuatu yang berguna buat tuan-tuan.


Wassalam.

BENAR, AKU BUKAN YANG SEMPURNA

Posted: Tuesday, September 3, 2013 by WZWY in
0

TIDAK TERLINTAS DI HATIKU untuk berada dalam situasi begini. Dan benar,aku bukan yang sempurna sebagaimana impian besarmu. Tapi yakinlah, aku juga mahu sebagaimana yang lain mahu hidup dalam serba mencukupi.
               
                Miliki rumah impian.
                Miliki kereta impian.
                Miliki kerjaya yang memungkinkan kesenangan.


Memang benar, aku bukan yang sempurna kerana sentiasa menyakiti hatimu. Mana mungkin, kau mahu menyayangiku setelah apa yang dilalui sebelum ini.
                
                Sungguh! Aku merasakan begitu.
                Dan ia lahir dari lubuk hatiku yang paling dalam.


Segala kesilapan dan kekhilafan aku sebelum ini ku ratapi. Tidak terduga ia terkesan hingga kini dan belum tentu di mana penghujungnya. Lantas bagaimana harus ku putarkan masa andai ini sudah menjadi ketentuan-Nya. Bukan hasrat mahu berdalih, tetapi inilah hakikat yang harus ku lalui. Segala yang ku lalui dulu bukanlah sebagaimana aku mahukan.

                Benar, aku hanya mengikut rasa.
                Benar, aku hanya mengikut darah mudaku semata-mata.
                Benar, aku hanya hidup dalam duniaku sendiri.
                Tanpa...menyedari segala tanggungjawab yang harus ku                               galas.


Kini, aku belajar tentang hidup.               
Kini, aku belajar tentang tanggungjawab.
Kini, aku belajar tentang sabar.
Kini, aku belajar tentang syukur.
Kini, aku belajar tentang cinta.


Namun jiwa aku tersentap
Pabila segala-galanya diungkit dan diungkit berkali-kali.

Bagaikan aku tak layak berada di pintu syurga-Nya.
Bagaikan aku tak layak menerima peluang kedua.
Bagaikan aku satu-satunya manusia paling berdosa di muka bumi ini.


Benarlah, aku bukan sempurna sebagaimana kau impikan. Putera raja yang datang memberikan kebahagiaan dan mahligai yang indah. Memang inilah diriku kini. Hidup dengan palitan dosa-dosa silam. Walaupun ku yakin bahawa,

Tuhan itu Maha Penyayang
Tuhan itu Maha Mengasihani
Tuhan itu Maha Pemberi
Tuhan itu Maha Mengetahui
Segala isi hatiku....sesal dan bertaubat pada-Nya.


Haruskah aku terus dihukum begini. 
Haruskan aku dilayan sebegini.

Walaupun pada saat ini, aku cuba memberikan segala terdaya.
Demi sebuah kebahagiaan.
Kebahagiaan yang diimpikan oleh semua.


Hanya masa yang memisahkan antaranya...
Antara usaha dan kejayaan yang bakal dikecapi.


Benar, aku bukan yang sempurna.
Benar, aku bukan yang terbaik.
Namun, benar aku mahu berubah dan membahagiakan kita semua.

Selagi aku bernyawa.    
Selagi aku diizinkan-Nya berada di alam fana ini.



Percayalah.
Benar, aku juga mahu sempurna.