Bersiaran di IKIM.fm

Posted: Friday, May 17, 2013 by WZWY in
0

ALHAMDULILLAH dengan izin Allah SWT, sekali lagi saya ke konti IKIM.fm. Kali pertama sekitar bulan Disember 2010 saya menjejak kaki ke sana untuk mempromosikan novel sulung saya, Impian Juara.

Saya yakin dan percaya setiap sesuatu perkara yang berlaku itu ada hikmahnya. Begitu juga apabila dimaklumkan dua hari sebelum tarikh rakaman segmen Duniaku Buku, saya sahut cabaran itu kerana ia jatuh pada 'hari istimewa' para guru di seluruh negara. Oleh sebab itu, kerana kesuntukan waktu saya 'angkut' sama empat hero kesayangan saya ke bangunan IKIM dengan berpakaian sekolah. Terima kasih kepada Tuan Haji Zakaria yang sudi menumpangkan kami ke sana.

Semoga perkongsian saya kali ini dapat memberi manfaat buat semua pendengar terutama rakan-rakan pembaca yang sudah memiliki buku ini. Terima kasih daun keladi.

Secara jujurnya saya bukanlah pakar berbicara apatah lagi berkeudara di corong radio. Apa yang mampu saya sebut dan ingat, itulah yang saya mampu kongsikan dengan semua rakan pendengar IKIM.fm. 

Sekali imbas cita-cita saya supaya buku ini dimiliki lebih 400,000 para guru dilihat seperti sebuah misi mustahil. Namun begitu, saya perlu yakin dengan segala ketentuan-Nya. Selain usaha dan perancangan rapi, doa sentiasa dipanjatkan kepada-Nya agar buku ini dapat diterima dan dimanfaatkan oleh semua pihak.

Yakinlah dengan segala ketentuan-Nya.


bermula dari sebuah imaginasi...

Posted: Saturday, May 11, 2013 by WZWY in Labels: , ,
0

" Apa yang kini sudah nyata dahulunya sekadar imaginasi." - William Blake.

SATU perkara yang biasa ditanya ialah bagaimana mahu menulis sebuah cerita atau sebuah novel?

Apa yang saya belajar dan tahu ialah sebuah cerita itu bermula daripada sebuah imaginasi. Semakin banyak kita berimaginasi, semakin berkembanglah imaginasi kita. Dan seterusnya, kita mempunyai banyak pilihan idea untuk kita menulis.

Jangan risau...dalam penulisan kreatif ini, kita bebas untuk mengembangkan daya imaginasi kita. Tulislah apa sahaja perkara yang terlintas di fikiran. namun begitu, sebagai orang Islam kita mesti bertanggungjawab di atas setiap patah perkataan yang kita tulis. Elakkan menulis perkara-perkara yang berlawanan dengan syariat atau apa sahaja perkara yang menyentuh sensitiviti orang lain.

Pada peringkat awal pengembangan imaginasi, kita tulis apa sahaja terlintas di atas kertas kosong atau buku nota. Saya telah membiasakan diri bergerak ke mana-mana dengan diselit sebuah buku nota kecil di dalam poket. Apa sahaja ilham yang diberikan oleh Allah SWT, saya akan cepat-cepat tulis.

Jangan terlalu mengharapkan kesempurnaan di peringkat awal atau ketika menulis draf awal. Jangan fikirkan lagi tentang tatabahasa, gaya bahasa dan seumpamanya. Kita tulis sahaja atau dengan erti kata lain kita conteng apa sahaja idea yang datang.

Kata seorang penulis barat yang tersohor, Gene Fowler mengatakan "Menulis itu mudah; Apa yang perlu anda buat hanyalah duduk dan renungkan sekeping kertas kosong sehingga titisan darah terbentuk di dahi anda."

Novel-novel dan buku-buku saya juga bermula dari sebuah imaginasi yang kemudiannya digarap menjadi sebuah 'proposal' dan akhirnya disiapkan sebuah manuskrip yang diterima oleh syarikat penerbitan. Dan saya yakin tuan-tuan yang berminat menjadi seorang penulis, tentunya sudah sarat dengan pelbagai idea dan imaginasi. Doa saya agar tuan sukses dan seterusnya manuskrip tuan diterima oleh syarikat penerbit. Insya-Allah.

Jadi, bebaskan imaginasi kita. 
Kongsilah pengalaman hidup atau yang dekat dengan kita sebagai modal awal manuskrip pertama kita.

Yang Faqir,
Wan Zayuhisham Wan Yusoff
Shah Alam.