Ada Yang Lebih Penting Lagi

Posted: Saturday, May 19, 2012 by WZWY in Labels:
0

KEBANYAKAN MANUSIA pada hari ini amat tekun mencari rezeki. Keluar pagi dan pulang malam. Di pejabat atau di tempat kerja sentiasa mendapat pujian kerana memberikan perkhidmatan cemerlang.

Ada juga sesetengah manusia yang terlalu leka mencari harta dan wang ringgit sehingga mengabaikan tanggungjawab utama sebagai hamba Allah SWT. Sanggup bersekang mata mengumpul wang tetapi dalam masa yang sama dahi tidak pernah menyentuh sejadah.

Pendek kata, manusia lebih mengutamakan keindahan dan kemanisan dunia semata-mata. Padahal sudah sedar bahawa suatu hari nanti semuanya akan dibawa ke padang Mahsyar untuk dibicarakan.

Sebenarnya ada yang lebih penting selain bekerja siang malam atau pun terpaksa mengejar waktu untuk menyiapkan projek perniagaan.

Apa dia?

Ibadah lahir dan dan ibadah batin.

Dalam Islam ada ibadah lahir dan ada batinnya. Ada orang Islam, amalan dan ibadah lahirnya sukses. Dia berjaya solat, puasa, tunaikan zakat, mengerjakan haji, menutup aurat dan sebagainya. Namun begitu, dalam pada itu masih ramai umat Islam gagal dalam melaksanakan ibadah lahir mereka. Mereka cuai menunaikan solat atau melambat-lambatkan solat, tidak berpuasa dan seumapamanya.


Muhasabah buat diri saya sendiri.

Amalan dan ibadah kita bukan setakat melaksanakan sahaja. Kalau kita hanya laksanakan ibadah lahir sahaja, belum ada apa-apa makna lagi jika abaikan ibadah batinnya. Ia diibaratkan buah, amalan dan lahiriah itu hanyalah kulitnya sahaja. Kita belum mendapat isinya walhal nilai buah itu terletak kepada kemanisan isinya.

Dalam erti kata lain setiap ibadah yang kita lakukan ada ROH IBADAH. Roh dalam ibadah solat di antara lain ialah khusyuk. Roh dalam ibadah puasa ialah mendidik nafsu, menyuci dan mengembalikan fitrah kita kepada keadaan asal semula jadinya suci dan murni. Roh dalam ibadah zakat ialah mengorbankan perasaan cinta kepada harta dan mata benda dunia dan menggantikannya dengan cinta kepada Allah dan kepada manusia yang fakir miskin.


Maka kita sama-sama semak sama ada segala ibadah kita itu dapat mendidik HATI kita dekat dengan-Nya atau sebaliknya. Dapatkan kita mengekang hawa nafsu kita untuk melakukan dosa. Mampukah kita membersih hati dari segala sifat-sifat mazmumah dan diganti dengan sifat-sifat mahmudah.


Kita sama-sama semak dan perbaiki diri. Insya-Allah.
Selamat bercuti di hujung minggu.
Apa perancangan hari ini?

Indahnya Bahasa

Posted: Wednesday, May 16, 2012 by WZWY in Labels:
0

Satu perkara yang perlu diberi perhatian ialah kata-kata kita terhadap seseorang sama ada bercakap berdepan, melalui telefon, chatting di laman sosial atau SMS. Mungkin kita berniat baik, tetapi cara nada suara atau pemilihan kata-kata yang boleh mengguriskan perasaan orang lain perlu dielakkan.

Sifirnya mudah sahaja. Kalau kita rasa sakit sakit hati bila orang berkata demikian kepada kita. Orang lain pun sama juga. Nampak mudahkan?

Kita mungkin meminta pertolongan seseorang atau pasangan. Permulaan ayat sudah cantik. Sebagai contoh :

"Abang tolong beli apa-apa buah-buahan bila balik nanti. Tak kan hari-hari nak makan roti kering sahaja. Boringlah."

Apa perasaan saudara bila membaca petikan ayat demikian atau telinga mendengar ayat demikian?

Kenapa tidak, "Abang tolong singgah beli apa-apa buah nanti. Rasa mengidam durianlah."

Suami pun tersenyum bila membaca ayat SMS ini.

Perkara ini perlu diberi perhatian kerana kita ini manusia yang yang akal,nafsu dan perasaan. Jika kita marah, orang pun sama juga. Ingat itu sahaja.

Namun begitulah, kita sebagai manusia ada kelemahan masing-masing. Biar belajar hingga menara gading sekali pun dengan berkelulusan apa-apa bidang sekali pun, jika akhlak percakapan tidak dijaga. Maka kita tidak akan dihormati oleh sesiapa pun. Mungkin kita rasa orang takut atau hormat kita. Mungkin kerana tidak mahu ia menjadi isu pergaduhan. Maka sama-sama  jaga hati dan perasaan pasangan atau rakan-rakan.

Biar hamba undur diri dahulu.
Insan masih mahu belajar.


 

Caj Bateri

Posted: Tuesday, May 15, 2012 by WZWY in Labels:
0

14 MEI 2012 ( 3.45 PM )

PETANG INI saya mengajak sahabat, sifu penulisan, motivator dan mentor penulisan saya Tuan Haji Zakaria makan roti Arab di salah sebuah restoran berhampiran GISB.

Kami sentiasa keluar minum dan sembang berkaitan dunia penulisan. Masih banyak perkara perlu saya belajar dan terus belajar.

Apabila saya merasakan 'bateri' saya semakin melemah. Saya biasanya berjumpa beliau untuk 'caj' balik agar idea saya kembali segar dengan izin Allah SWT.

Petang ini beliau mencadangkan agar saya menulis sebuah buku yang tidak boleh ditulis oleh orang yang bukan guru. Saya masih berfikir apa idea atau konsep yang sesuai. Alhamdulillah, dalam berbincang beberapa idea telah terbit dan boleh dimurnikan lagi. 

Itulah, dunia penulisan bagi saya agak unik dan berbeza mengikut kemampuan seseorang. Adakala saya boleh menulis dengan lancar berada di sebuah restoran yang para pelangganya lalu lalang. Adakala saya perlukan ruang waktu atau lokasi yang sunyi untuk hayati penulisan tersebut. 

Satu perkara ialah saya suka berjumpa rakan penulis atau sesiapa yang terlibat dalan dunia penulisan untuk percambahan ilmu dan idea-idea baharu. Sekurang-kurangnya apabila 2-3 orang penulis berkumpul, ia dapat memberi manfaat bersama.

Insya-Allah, diberi kekuatan untuk menulis proposal terbaharu, "Cikgu, Anak Saya O.K?".

Wallahualam.

Terima Kasih Ma....

Posted: Sunday, May 13, 2012 by WZWY in Labels:
0

SENTIASA DOAKAN BONDA TERCINTA Zaharah Mohamad agar terus dilimpahi kerahmatan Ilahi. Tidak pernah tertinggal walau satu hari untuk mendoakan kerahmatan buat bonda dan arwah ayahanda. Begitulah yang diajar kepada kita agar sentiasa mendoakan kesejahteraan mereka.

Insya-Allah hujung minggu depan tiba giliran saya pula membawa bonda tinggal bersama-sama keluarga saya. Begitulah rutin kini, bonda akan bergilir-gilir berada di rumah adik-beradik kami seramai empat orang yang  kebetulan sama-sama merantau di bumi Selangor. Adik lelaki nombor lima pula bekerja di Pontian, Johor. Adik bongsu masih mengikuti pengajian kejuruteraan di Universiti Kebangsaan Malaysia.

Alhamdulillah dengan didikan arwah ayahanda Wan Yusoff dan bonda, kami enam adik-beradik berjaya sampai ke menara gading. Syukur di atas nikmat rezeki Allah SWT ke atas keluarga kami. Walaupun saya agak terlewat berbanding empat adik yang lain, akhirnya tercapai juga.

Scott Imulsion

Salah satu perkara rutin yang saya dipaksa lakukan pada setiap pagi sebelum ke sekolah dahulu ialah minum Scott Ilmulsion. Kalau dahulu ia tiada perisa oren sebagaimana sekarang. Memang saya kena tutup hidung setiap kali minum minyak ikan ini. Tapi itulah, kata bonda ia baik untuk kesihatan. 

Terima kasih banyak-banyak Ma di atas pengorbanan tiada henti-henti untuk membesarkan saya dan lima adik yang lain.

Saya bercita-cita untuk bersama-sama bonda tercinta ke Tanah Suci. walaupun Ma pernah mengerjakan ibadah haji. Insya-Allah ia terlaksana. Mohon pada Ilahi agar hasrat ini diperkenankan-Nya. Semoga ilham terus mencurah-curah untuk dizahirkan ke atas kertas putih.

Terima kasih Ma. Moga terus dirahmati Allah SWT.

SESI BEDAH BUKU

Posted: by WZWY in Labels:
0

ALHAMDULILLAH! Dengan izin Ilahi segmen 'Bedah Buku' SUAMI YANG TERUJI berjaya dilaksanakan di SK PPR Lembah Subang. Namun begitu, saya sesuaikan dengan audiens yang merupakan para pendidik dan sentiasa berdepan dengan karenah murid-murid.

Tempoh masa 50 minit sudah memadai buat saya melaksanakan sesi tersebut. Audiens juga beri perhatian yang sewajarnya. Maklumlah kisah-kisah yang disampai pun itu dekat dengan diri masing-masing.

Apa yang saya harapkan dalam tempoh masa itu, audiens dapat mengutip sebanyak mana maklumat yang disampaikan. Kemudian diterjemahkan pula dalam kehidupan masing-masing. Insya-Allah!
 
Satu perkara yang saya belajar hasil pembentangan tersebut ialah perancangan kita dalam melaksanakan sesuatu tugasan diamanahkan. Walaupun audiens itu merupakan guru-guru di bawah pentadbiran saya, saya perlu laksanakan sebaik mungkin agar mereka faham dan jelas dengan apa isu yang mahu saya sampaikan. Moga ia membantu mempertingkatkan juga prestasi kerja mereka.
 
Apa yang saya lihat ialah para guru yang berpotensi boleh merudum prestasi apabila dilanda badai masalah peribadi mereka. Sesiapa sahaja akan alami perkara yang sama. Jika pincang salah satu perkara dalam kehidupan kita, maka yang lain turut terjejas.
 
Contohnya, apabila seseorang itu menghadapi kemelut perhubungan dengan pasangan mereka, maka ia sedikit sebanyak mengganggu tumpuan apabila berada di pejabat. Itulah namanya manusia. Ada hati dan perasaan. Maka, pembentangan tersebut meruapakan salah satu usaha saya merungkai permasalahan seumpama itu.
 
Mohon undur diri. Wassalam.


BERUBAH: MULAKAN DENGAN DIRI SENDIRI

Posted: Friday, May 11, 2012 by WZWY in Labels:
0

INSYA-ALLAH JIKA DIIZINKAN-NYA, pada  12 Mei 2012, saya diamanahkan untuk mengisi slot kerohanian dalam Kursus Latihan Dalam Perkhidmatan (LDP) SK PPR Lembah Subang.

Pada awalnya, tercari-cari tajuk atau isu yang sesuai. Kemudian saya mengambil keputusan untuk melaksanakan sesi 'bedah buku' SUAMI YANG TERUJI. Ia akan disesuaikan keperluan semasa audien.

Di antara perkongsian saya ialah :

Semua orang impikan KEBAHAGIAAN termasuk diri saya sendiri. Setiap orang juga ada IMPIAN yang mahu dicapai. Namun begitu tidak semua bernasib baik dalam mengecapi kebahagiaan khususnya dalam menempuh dunia rumah tangga. Inilah yang cuba saya kongsikan dengan para pembaca dalam buku SUAMI YANG TERUJI.

Secara ringkasnya, di antara syarat utama yang perlu kita laksanakan jika mahukan kebahagiaan ialah BERUBAH. Kita mulakan dengan diri kita terlebih dahulu untuk berubah. Pesan guru, "Jangan marah jika orang lain tidak berubah seperti yang kita harapkan kerana kita sendiri tidak berubah seperti yang kita inginkan."

Nampak mudah sahajakan?

Kita berubah menjadi seorang suami yang diharapkan oleh seorang isteri. Begitu juga isteri melakukan perkara yang sama. Kemudian kita berilah peluang, hulurkan kemaafan, berilah dorongan dan doakan agar si dia juga turut berubah. Sikap menyalahkan orang lain membuatkan masalah tidak pernah selesai. Buang segala ego dalam diri. Dikatakan orang ego sukar memberi. Dia hanya mahu menerima. Maka kita mulakan dengan diri kita untuk BERUBAH.

Contoh :

1) Sebelum ini sukar bertanya khabar, ubah dengan bertanya khabar.
2) Sebelum ini pemarah, ubah diri agar sentiasa bersabar dan beristighfar.
3) Sebelum ini tidak tepati masa, ubah untuk menepati masa.
4) Sebelum ini lambat solat, ubah bila masuk waktu, cepat-cepat tunaikan solat.
4) Sebelum ini solat bersendirian, ubah dengan solat berjemaah di rumah.
5) Sebelum ini sukar ke surau/masjid, ubah kepada setiap hari solat di surau/masjid.

Sekadar perkongsian. Semoga Allah reda.

KEMATIAN BUKAN PENGAKHIRAN

Posted: Tuesday, May 8, 2012 by WZWY in Labels:
0

05 MEI 2012 KETIKA saya sedang mengadakan promosi buku di gerai Galeri Ilmu, saya dikejutkan satu SMS rakan memaklumkan kami telah kehilangan seorang rakan baik semasa di kolej dahulu, Allahyarham Hisyam Asmawi.

Terkedu seketika.

Diusia 39 tahun arwah yang cukup dikenali di kalangan kami salah seorang peminat seni lukis dan akhirnya berjaya menggapai cita-cita beliau sebagai seorang artis seni lukis yang cukup dihormati telah kembali kerahmatullah.

Di sebelah ini adalah salah satu lukisan arwah yang saya ambil dari laman FB yang masih terus 'dijaga' oleh isteri arwah.

Kematian Bukan Pengakhiran

Sesuatu kematian itu adalah permulaan pada satu kehidupan baharu yang tidak akan mati-mati lagi. Kembara manusia akan diteruskan lagi ke alam barzakh, sebelum menyambung perjalanan ke alam akhirat bagi menentukan seseorang itu berada di syurga atau di neraka. Nauzubillah. Alam barzakh ini hanya sebagai fasa transit sahaja.

Mati itu hanyalah satu proses transisi manusia dari alam dunia menuju alam barzakh. Ia melalui proses sama sebagaimana manusia dari alam roh ke alam dunia. Apabila kita dicabut nyawa, maka ia merupaka suatu proses jiwa (roh) meninggalkan jasad.

Sesungguhnya kehilangan Hisyam Asmawi cukup terkesan di hati rakan-rakan. 

"Arwah mati dengan tiba-tiba."

Namun hakikatnya ia sudah termaktub dalam aturan Allah SWT. Kita pula akan tiba waktunya. Entah bila. Moga-moga roh arwah Hisyam Asmawi akan berada di kalangan orang-orang beriman. Insya-Allah. 

Tugas kita yang masih hidup di dunia fana ini ialah persiapkan bekalan untuk ke sana juga suatu hari nanti.

Muhasabah diri.

Giliran kita pula nanti.