Bengkel Realiti Penulisan Islami di Masjid Al-Ghufran TTDI KL

Posted: Monday, October 3, 2011 by WZWY in Labels:
3

ALHAMDULILLAH, SYUKUR KE HADARAT ILAHI kerana di atas limpah kurnia-Nya, saya berpeluang untuk menyertai satu lagi bengkel penulisan. Seingat saya, ini merupakan bengkel penulisan kedua dalam genre Penulisan Non-Fiksyen. Sebelum ini bersama Ustaz Pahrol Mohd Juoi.

Bengkel Realiti Penulisan Islami
Tajuk bengkel penulisan ini juga cukup gah dan rasa berdebar-debar. Kenapa? Mahu menjadikan penulisan Islami ini suatu realiti. Seramai 21 orang peserta dari seluruh pelusuk semenanjung Malaysia. Itulah kesungguhan dan minat bakal penulis Galeri Ilmu Sdn Bhd. Masing-masing bersemangat waja. Lihat suasana ini sudah cukup membakar semangat saya untuk terus berkarya. Apatah lagi penulisan non-fiksyen ini agak asing bagi diri saya.

Saya begitu teruja apabila melihat barisan peserta seperti Ustaz Amaluddin, Ustaz Mohd Syukri ( penceramah bebas dan penasihat agama istana di negeri kelahiran saya ), Tn Hj Nik Roskiman (Pengarah Radio IKIM) dan peserta-peserta lain lagi. Kebanyakannya masih belum menulis tetapi mempunyai keazaman untuk menulis. Tahniah dan syabas.
Bengkel yang mengambil masa selama 2 hari 1 malam ini cukup bermakna sekali. Para penceramah jemputan juga hebat-hebat belaka. Tidak lupa mentor atau sifu penulisan saya, Tuan Haji Zakaria Sungib. Saya anggap dia sebagai seorang abang yang sentiasa tidak lupa memberi nasihat dan tunjuk ajar. Semoga Allah memberkati beliau sekeluarga. Dia jugalah yang bertanggungjawab membawa saya ke dunia penulisan ini. Tidak sangka, semasa di sekolah menengah dahulu, saya dilantik sebagai Timbalan Ketua Editor dan seterusnya Ketua Editor majalah sekolah. Akhirnya selepas hampir 20 tahun kemudiannya saya terjun ke bidang ini. Perancangan Allah siapa yang tahu.

Saya tidak akan lupa segala nasihat dan tunjuk ajar para penceramah bengkel kali ini iaitu sifu penulisan saya juga Ustaz Pahrol Mohd Juoi, Cikgu Abu Hassan Morad (Pengarah Urusan GISB ), Tuan Syed Alwi Al-Atas (Penulis 20 buah buku yang berasal dari Jakarta) dan Tuan Hizamnuddin (dikenali sebagai Web Sutera dan seorahg pembaca buku tegar dan juga penulis).

Proposal baru diterima

Satu perkara di luar jangkaan saya ialah idea 'proposal' menulis sebuah buku Tarbiah Rohani kekeluargaan diterima oleh barisan juri untuk diketengahkan. Memang saya telah merangka idea ini seminggu sebelumnya. Tajuk pun datang secara sepintas lalu. Konsep pun datang lintasan idea daripada Allah SWT. Namun saya amat menaruh harapan besar, manuskrip yang bakal ditulis ini dapat dilaksanakan dengan sebaik mungkin. Dan yang pasti ia gabungan ilmu penulisan novel dan penulisan non-fiksyen. Apatah lagi surat tawaran itu disampaikan sendiri oleh Pengarah Urusan GISB, Cikgu Abu Hassan Morad. Insya-Allah saya akan laksanakan tanggungjawab ini dan pastikan buku ini akan berada di rak 'booth' GISB pada Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2012 nanti. Insya-Allah.

Ops Conteng

Novel Adib Adibah Penyiasat Cilik akan menemui para pembaca dalam sebulan akan datang. Insya-Allah. Saya amat berharap ia juga dapat diterima baik sebagaimana novel-novel sebelum ini. Ia merupakan siri kedua dan akan menyusul pula nanti siri ketiga. Saya jangka akan memulakan penulisannya pada Januari 2012 nanti.

Novel Ops Conteng ini juga sangat bererti bagi saya kerana semasa menulisnya, idea yang cukup terbatas pada masa itu. Pelbagai perkara berlaku dan hanya kekuatan yang dianugerahkan oleh Allah SWT sahaja menjadi 'dahan' untuk saya terus berpaut. Syukur.

Mungkin ada mempersoalkan kenapa warna kulit kali ini warna 'pink'.

Saya tiada jawapan kerana itu adalah kehendak pihak penerbit sendiri. Mereka lebih arif dan saya cuma mahukan kulit buku kali ini biarlah berbeza daripada sebelumnya. Biarlah lebih ceria dan menarik perhatian pembaca terutama kumpulan sasaran. Bagaimana penerimaan mereka nanti. Wallahualam. Saya serahkan pada Allah SWT. Paling penting mesej dalam novel ini dapat dibaca, dihayati dan diamalkan oleh khalayak pembaca. Insya-Allah.

Akhir kalam, selamat maju jaya buat semua para peserta Bengkel Realiti Penulisan Islami GISB. Masih ingat lagi gelagat Saudara Fathuri ketika membentang 'proposal' beliau dengan penuh dramatik. Saya yakin selain TUJUH penerima surat tawaran awal menulis manuskrip, mereka juga akan berusaha bersungguh-sungguh untuk menjadikan dunia penulisan ini sebagai dunia baru yang bakal diteroka.

3 Komentar:

  1. Alhamdulillah. Tahniah, Tuan Zayu Hisyam. Jom kita berlumba :-)

  1. Amaluddin says:

    Tahniah cikgu Zayu. Sama-sama kita berkarya kerana Allah SWT.

  1. zulinahassan says:

    Tahniah, teruskan perjuangan