MUKMIN PROFESIONAL : CELIK MATA HATI

Posted: Saturday, May 28, 2011 by WZWY in Labels:
0

Umar Ibn al-Aziz pernah berkata, "Manusia diciptakan untuk selama-lamanya." Mengapa Umar berkata begitu? Ini kerana apabila manusia telah diciptakan buat kali pertama, dirinya akan terus 'hidup' dan mengembara daripada satu alam ke satu alam. Kembara ini hanya akan berakhir sama ada di SYURGA atau di NERAKA. Di perhentian terakhir itulah manusia akan hidup berkekalan sama ada dengan dilimpahi nikmat atau mendapat azab buat selama-lamanya.

"Sebelum tiba di titik pengakhiran itu, manusia akan terus mengembara."
***
Ya, TAHU dan SEDAR adalah dua perkara yang sangat berbeza. Tahu letaknya di akal - dicapai dengan memiliki ilmu dan pengajaran. Manakala kesedaran letaknya di hati - dengan memiliki penghayatan dan pendidikan. Ini menjelaskan mengapa ada remaja yang mencapai kelulusan A1 dalam mata pelajaran agama Islam tetapi tidak mengerjakan solat.

Ertinya dia TAHU tentang rukun, sah, batalnya solat tetapi TIDAK SEDAR akan kepentingan, kebaikan dan tanggungjawab mengerjakannya. Tahu hanya dipermukaan yakni baru bersifat teori. Sedangkan sedar adalah lebih mendalam dan menggerakkan perilaku.
***

DUA petikan di atas adalah diambil daripada sebuah buku yang tidak ternilai kelebihannya berbanding harga ditawarkan. Buku ini merupakan SATU MODUL yang cukup berguna untuk dijadikan panduan hidup. Buku ini dikarang oleh salah seorang guru penulisan saya iaitu Tuan Pahrol Mohd Juoi, satu nama yang tidak asing lagi dalam dunia penulisan di negara kita. Beliau bukan sahaja guru penulisan tapi banyak memberi bimbingan dan nasihat kepada saya agar menjadi insan yang lebih baik daripada semalam. Hasil tulisan dan kata-kata beliau banyak mempengaruhi kehidupan saya. Insya-Allah.

Sebelum buku ini diterbitkan, beliau ada menunjukkan kepada kami ( semasa kursus penulisan bersama Galeri Ilmu Sdn Bhd ) pada tahun lepas manuskrip MUKMIN PROFESIONAL ini. Sememangnya ia sebuah buku yang mempunyai kelainan cara penyampaian dan olahannya. 

TUJUH LANGKAH MEMPERKASAKAN DIRI

Di dalam Buku MUKMIN PROFESIONAL ini kita didedahkan dengan TUJUH langkah bagi memperkasakan diri dan dijadikan asas kekuatan kehidupan pada masa kini. Mahu atau tidak, dunia sekarang bergerak pantas. Pelbagai cabaran yang perlu ditempuh. Pelbagai ragam manusia. Pelbagai rencah kehidupan yang kita tidak terfikir sebelumnya. Cabaran-cabaran ini perlukan satu TONIK yang mampu menangkis segala perkara yang boleh melemahkan keimanan kita kepada Allah SWT.

Saya kongsikan langkah-langkah tersebut. Selebihnya tuan-tuan perlu dapatkan buku ini di kedai-kedai buku berhampiran.

1) Langkah 1 : Hidayah - Petunjuk Hidup
2) Langkah 2 : (Pertama) : Ibadah - Tujuan Hidup 1
3) Langkah 2 : (Kedua) : Ibadah - Tujuan Hidup 2
4) Langkah 3 : Syariat - Jalan Hidup
5) Langkah 4 : Solat - Bekalan Hidup
6) Langkah 5 : Zikir - Pendorong Hidup
7) Langkah 6 : Dosa - Penghalang Hidup
8) Langkah 7 : Mati - Pengakhiran Hidup

Sebelum itu di bahagian pertama buku ini kita akan didedahkan tentang apa itu MUKMIN PROFESIONAL. Apa yang diperlukan untuk menjadi Mukmin Profesional. Kaedah melahirkan Mukmin Profesional dan pelbagai ilmu untuk dijadikan bekalan kita. Insya-Allah.

Saya bukanlah ahli Stormreaders untuk mempromosi dan menjual buku ini. Ia lahir dari hati saya yang menjadikan buku ini salah satu rujukan saya. Dan saya amat yakin tuan-tuan juga akan mendapat manafaat daripadanya. Ia boleh dijadikan koleksi di rak buku di rumah. Dan ia bukan sekadar koleksi semata-mata. Jadikan ia bahan bacaan berterusan. Kesilapan kebanyakan daripada kita atau saya sendiri pun ialah beli buku berkilo-kilo beratnya. Selepas itu tidak pernah dibelek-belek lagi. Maka segala ilmu pengetahuan di dalamnya tidak dapat diaplikasikan sepenuhnya dalam kehidupan kita. 

Moga kita semua dapat manafaat. Ada banyak lagi buku dan novel yang boleh saya kongsikan dengan tuan-tuan. Semoga dipermudahkan. Insya-Allah.

0 Komentar: