Selamat Tahun Baru 2014

Posted: Saturday, January 4, 2014 by WZWY in Labels: , ,
0

Pernah dengar, "Kita hanya mampu merancang, tetapi Allah yang menentukan."

Memang benar ungkapan tersebut apabila terkena batang hidung sendiri. 

Kalau ikutkan perancangan, pada tahun 2013 saya perlu menyiapkan dua buah manuskrip.

Pertama, novel Impian Juara 3 dan yang kedua pula ialah sebuah buku dalam kategori tarbiah rohani berkaitan taubat.

Tapi...apa nak dikatakan lagi apabila saya hanya mampu siapkan manuskrip novel sahaja. Nampaknya penulisan manuskrip 'taubat' itu ditangguhkan lagi buat kali kedua. Bayangkan 'proposal' buku ini sudah diluluskan oleh pihak penerbit dua tahun yang lalu, saya pula punyai waktu terbatas untuk menyiapkannya.

Jadi, apa langkah seterusnya?

1) Ubahsuai semula cadangan penulisan manuskrip mengikut situasi semasa.

2) Perlu tetapkan semula tarikh akhir serahan manuskrip.

3) Rancang kerja penulisan mengikut jadual.

4) Tingkatkan pengetahuan berkaitan isu yang mahu ditulis.

Dan sekarang saya sudah mulakan penulisan manuskrip ini sedikit demi sedikit mengikut bab baharu. Soal ia akan diterima pihak penerbit atau sebaliknya bukanlah satu isu bagi saya. Saya hanya menulis apa yang saya rasa mampu tulis dan membantu para pembaca mendapat manfaat hasil pembacaan mereka.

Selain itu, saya juga memikirkan isu-isu baharu yang bakal saya tulis dikemudian hari. Bila ia akan ditulis bukan satu isu. Apa yang penting setiap idea yang masuk ke dalam kepala perlu dicatat secepat mungkin. Mana tahu, ia  menjadi satu idea besar dan mendapat perhatian khalayak pembaca.

Dan ia bukan suatu yang mustahil. Betulkan?

Apa yang saya mahu lagi dalam dunia penulisan ini?

Soalan ini selalu saya tanya pada diri saya. Selain daripada perkongsian pengalaman dan mendidik para pembaca serta diri sendiri, saya juga punyai impian agar setiap buku saya mampu dijual melebihi paras 10,000 hingga 20,00 naskhah. Saya juga perlu realistik dengan kemampuan saya juga. Angka 10,000 itu sudah cukup banyak bagi saya.

Sibuk dengan tugas rasmi, bila nak menulis?

Semua ini terpulang bagaimana saya mampu menguruskan masa harian saya. Kalau ia diuruskan dengan baik dan menggunakan kaedah yang betul, ia bukan suatu yang pelik jika saya mampu menulis lebih daripada sebuah buku setahun.

Apa azam tahun baru?

Saya mahu projek buku cerita bergambar saya mampu menarik perhatian pihak luar negara apabila ia dibawa oleh pihak Kota Buku ke pesta buku di luar negara pada tahun ini. Selain itu, saya juga mahu hasilkan sekurang-kurangnya dua buah buku.

Akhir kata, apabila saya sudah ceburi bidang ini, saya perlu laksanakan amanah ini dengan sungguh-sungguh tanpa jemu. Jangan mudah mengalah dengan sebarang cabaran.

Insya-Allah!

SELAMAT TAHUN BARU 2014


0 Komentar: