bermula dari sebuah imaginasi...

Posted: Saturday, May 11, 2013 by WZWY in Labels: , ,
0

" Apa yang kini sudah nyata dahulunya sekadar imaginasi." - William Blake.

SATU perkara yang biasa ditanya ialah bagaimana mahu menulis sebuah cerita atau sebuah novel?

Apa yang saya belajar dan tahu ialah sebuah cerita itu bermula daripada sebuah imaginasi. Semakin banyak kita berimaginasi, semakin berkembanglah imaginasi kita. Dan seterusnya, kita mempunyai banyak pilihan idea untuk kita menulis.

Jangan risau...dalam penulisan kreatif ini, kita bebas untuk mengembangkan daya imaginasi kita. Tulislah apa sahaja perkara yang terlintas di fikiran. namun begitu, sebagai orang Islam kita mesti bertanggungjawab di atas setiap patah perkataan yang kita tulis. Elakkan menulis perkara-perkara yang berlawanan dengan syariat atau apa sahaja perkara yang menyentuh sensitiviti orang lain.

Pada peringkat awal pengembangan imaginasi, kita tulis apa sahaja terlintas di atas kertas kosong atau buku nota. Saya telah membiasakan diri bergerak ke mana-mana dengan diselit sebuah buku nota kecil di dalam poket. Apa sahaja ilham yang diberikan oleh Allah SWT, saya akan cepat-cepat tulis.

Jangan terlalu mengharapkan kesempurnaan di peringkat awal atau ketika menulis draf awal. Jangan fikirkan lagi tentang tatabahasa, gaya bahasa dan seumpamanya. Kita tulis sahaja atau dengan erti kata lain kita conteng apa sahaja idea yang datang.

Kata seorang penulis barat yang tersohor, Gene Fowler mengatakan "Menulis itu mudah; Apa yang perlu anda buat hanyalah duduk dan renungkan sekeping kertas kosong sehingga titisan darah terbentuk di dahi anda."

Novel-novel dan buku-buku saya juga bermula dari sebuah imaginasi yang kemudiannya digarap menjadi sebuah 'proposal' dan akhirnya disiapkan sebuah manuskrip yang diterima oleh syarikat penerbitan. Dan saya yakin tuan-tuan yang berminat menjadi seorang penulis, tentunya sudah sarat dengan pelbagai idea dan imaginasi. Doa saya agar tuan sukses dan seterusnya manuskrip tuan diterima oleh syarikat penerbit. Insya-Allah.

Jadi, bebaskan imaginasi kita. 
Kongsilah pengalaman hidup atau yang dekat dengan kita sebagai modal awal manuskrip pertama kita.

Yang Faqir,
Wan Zayuhisham Wan Yusoff
Shah Alam.




PBAKL 2013.

Posted: Monday, April 29, 2013 by WZWY in
0

ALHAMDULILLAH dengan izin-Nya saya masih diberi ruang dan peluang berada di Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2013 buat kesekian kalinya sebagai pembaca dan penulis. PBAKL ini boleh diibaratkan sebagai program kemuncak para penerbit dan penulis memasarkan produk masing-masing.

Pada tahun ini doa saya dimakbulkan Tuhan apabila buku motivasi kedua saya 'Cikgu, Anak Saya Okey?' sempat diterbitkan sebelum PBAKL ini berlangsung. Saya juga memperoleh bonus apabila pihak Galeri Ilmu Media Group (GIMG) bersetuju menerbitkan siri komik Geng 5A yang sebelum ini disiarkan di dalam majalah ASUH sejak Januari 2012.

PBAKL kali ini juga begitu meriah sekali apabila ramai penulis datang dan mempromosikan hasil karya masing-masing. Syukur kerana masih diberi nikmat ilham untuk terus berkarya.

Seperti biasa rakan penulis akrab saya di GIMG seperti Tuan WebSutera dan Tuan Syed Alwi akan hadir ke PBAKL ini bagi memeriahkan lagi gerai GIMG yang tidak putus-putus dikunjungi orang ramai yang pencinta buku. Memang tidak dinafikan aura Prof. Kamil, Puan Roza, Tuan Syed Alwi, Ustaz Pahrol, Ustaz Hasrizal serta penulis muda Tuan Hilal Asyraf begitu kuat sekali seiring nama besar GIMG dalam dunia penerbitan buku dewasa ini. Buku-buku hasil karya mereka sering menjadi 'buruan' pencinta buku. Doakan saya juga sebagai 'penulis kecil' ini mampu berada searas dengan nama-nama besar ini suatu hari nanti.

Walaupun kita dalam 'mood' PRU 13, namun ia bukan suatu alasan bagi penggiat dan pencinta buku untuk terus memeriahkan lagi suasana PBAKL kali ini. Semua penerbit dan pengedar buku telah memasang strategi masing-masing terutama menurunkan harga buku sehingga 30%.

Jom! PBAKL masih lagi berlangsung sehingga 5 Mei 2013.

Selamat membeli belah di sana.

Wassalam.


Promo Buku Cikgu, Anak Saya Okey? & Suami Yang Teruji

Posted: Tuesday, April 9, 2013 by WZWY in
0


Syukur, Tahniah dan Terima Kasih

Posted: Thursday, April 4, 2013 by WZWY in
0

ALHAMDULILLAH dan SYUKUR di atas segala nikmat-Nya. Sesungguhnya penerbitan buku CIKGU, ANAK SAYA OKEY? ini amat bermakna bagi saya. Proses penulisannya juga agak lancar dan tidak perlukan tempoh masa lama berbanding buku sebelumnya, SUAMI YANG TERUJI.

Kenapa?

Buku ini adalah berkaitan bidang yang saya harungi sejak akhir tahun 1994 hingga sekarang.

Syukur kerana diberi ilham dan sokongan daripada pelbagai pihak dalam menyiapkan manuskrip dan seterusnya berjaya diterbitkan dengan rupa sebegini.

Sebagai penulis saya menjalankan amanah menyiapkan manuskrip dengan sebaik mungkin dan ia bukan sesuatu yang mudah, tetapi itulah tugas seorang penulis. Dan satu pihak lagi yang kurang disedari oleh ramai orang ialah barisan tim yang menjadikan sesebuah buku itu menarik, sedap dibaca, terpesona dan seumpamanya.

Sesungguhnya saya amat bersyukur ke hadarat Ilahi kerana dipertemukan dengan tim yang hebat dalam merealisasikan impian saya sebagai seorang penulis sejak novel pertama saya yang diterbitkan pada tahun 2010. Bermula Impian Juara, Impian Juara 2, Ops Menjejak Pencuri dan Ops Conteng.

Bagi buku CIKGU, ANAK SAYA OKEY?, saya mengucapkan jutaan terima kasih dan setinggi-tinggi penghargaan buat Pengarah Urusan GISB, Cikgu Abu Hassan Morad, Tuan Haji Azmin, mentor saya Tuan Haji Zakaria Sungib dan seterusnya kepada tim hebat ini :

1) Editor Perolehan : Cikpuan Suraiya Pauzi
2) Editor : Cikpuan Zuraidah Shueef
3) Penyunting :  Cikpuan Norhayati Ab. Samad
4) Pruf : Cikpuan Norzilah Mat Saad@Ibrahim
5) Konsep Reka Bentuk : Tuan Haji Badrul Hisham Shari (Pakcik Bad)
6) Reka Bentuk Kulit : Tuan Mislan Samsuri
7) Reka Letak : Cikpuan Siti Hajar Yusof.

Seterusnya ucapan terima kasih buat semua tim promosi dan semua warga GISB. Semoga Allah SWT merahmati tuan-tuan. Insya-Allah.

Akhir sekali buat ahli keluarga, rakan-rakan dan tuan-tuan yang menjadikan buku-buku hasil tulisan saya sebagai salah satu bahan bacaan tuan-tuan. Ampun maaf sekiranya ada kelemahan dalam penulisan saya. Memang saya yakin, saya masih lagi dalam proses belajar dan terus belajar. Oleh itu, saya tidak dapat elak apa-apa kekurangan dalam penghasilan buku-buku saya itu.

Terima kasih buat semua. Semoga Allah SWT merahmati tuan-tuan dan cikpuan-cipuan semua. Amin.

Yang Faqir
Wan Zayuhisham
Shah Alam.

Cikgu, Anak Saya OKEY?

Posted: Friday, March 8, 2013 by WZWY in Labels: , , ,
0

TANPA SEDAR apa yang berlaku di sekeliling kita mampu berikan sesuatu yang bermakna. Soalnya, bagaimana kita melihat setiap kejadian atau peristiwa berkenaan.

Itulah yang saya kongsikan bersama rakan sejawat apabila bercerita tentang penghasilan buku ini. Kebetulan di kaunter depan dua wanita sedang menulis aduan berkenaan anak mereka.

"Salah satu bab di dalam buku ini berkaitan anak-anak mereka," beritahu saya.

"Oh, ya ka?"

"Kes anak mereka masih lagi belum ada kata putus. Nampaknya, banyak lagi kerja yang perlu saya bereskan."

Pesan guru saya, "Apa yang kamu lihat, itu yang kamu akan dapat," cukup memberi kesan kepada saya. Apabila saya melihat sesuatu kes murid dengan rasa simpati dan empati, maka jalan penyelesaiannya dipermudahkan oleh Allah SWT. Yakinlah, setiap sesuatu itu bukan berlaku begitu sahaja. Pasti ada sesuatu yang Allah SWT mahu tunjukkan kepada kita. Besar atau kecil bukan persoalannya, apa yang penting bagaimana kita laksana penyelesaiannya.

Buku yang diberi judul "Cikgu, Anak Saya Okey?" merupakan buah tangan terbaharu dari hasil karya saya yang masih 'mentah' dalam dunia penulisan ini. Apa yang penting ialah saya mahu sampaikan sesuatu kepada khalayak pembaca buku. Memang pada awalnya saya hanya berangan-angan untuk menulis berkaitan dunia yang saya ceburi selama 17 tahun ini.

"Cikgu tulis sesuatu yang orang lain tidak boleh tulis," beritahu Tuan Haji Zakaria di suatu petang di sebuah restoran.

"Maksud tuan?"

"Tulis sesuatu perkara berkaitan dunia perguruan atau di sekolah."

Pada sebelah malam, minda saya tidak boleh duduk diam. Saya terus menconteng peta minda di papan putih di bilik kerja saya. Banyak idea yang terhasil, tetapi masih belum ada ketetapan apa yang perlu saya jadikan kertas cadangan buku terbaharu. 

Akhirnya, selepas beberapa ketika, Allah SWT memberikan ilham untuk menulis konsep sebagaimana yang dihasilkan di dalam buku ini. Walaupun saya memaparkan isu-isu yang boleh dikatakan berat, tetapi saya mahu ia disampaikan dengan cara yang sederhana dan mudah difahami oleh semua lapisan khalayak pembaca.

Buku ini mengandungi 20 bab yang saya rasa boleh memberikan manfaat kepada para pembaca. Insya-Allah, pelaburan tuan-tuan berbaloi dengan apa yang tuan-tuan perolehi.

Bab 1   : Abai Solat
Bab 2   : Anak Saya Kena Pukul
Bab 3   : Aurat Itu Urusan Saya
Bab 4   : Bangun Lambat
Bab 5   : Cikgu, Anak Saya Okey?
Bab 6   : Cinta Mencintai?
Bab 7   : Dahagakan Kasih Seorang Ayah
Bab 8   : Ibu Prihatin
Bab 9   : Jumpa Pakar
Bab 10  : Kelas Tak Aktif
Bab 11  : Kerana Laman Sosial
Bab 12  : Lagi-Lagi Dia Dibuli
Bab 13  : Mata Lebam
Bab 14  : Program Guru Penyayang
Bab 15  : Sekolah Dan PIBG
Bab 16  : Sukan vs Akademik
Bab 17  : Tak Minat Belajar
Bab 18  : Tidak Siap Kerja Sekolah
Bab 19  : Terlepas Cakap
Bab 20  : Tiada Duit Belanja

Saya juga bersyukur kerana banyak dibantu oleh tim Galeri Ilmu Sdn Bhd dalam menyiapkan buku ini. Tidak lupa di atas testimoni dua sahabat penulis saya iaitu, Tuan Syed Alwi Alatas dan Ustaz Ruzain Syukur Mansor.

__________________________

Catatan yang berani dan sangat ikhlas; lahir daripada hati sanubari seorang pendidik ... .Terima kasih Cikgu Wan Zayu kerana mendedahkan coretan pelbagai rasa dunia pendidikanuntuk dikongsi massa. Adakalanya konfl ik itu sebenarnya pembuka jalan untuk solusidengan cara Islami yang sangat menarik. Karya yang tidak rugi untuk dibaca.

RUZAIN SYUKUR BIN MANSOR
Penolong Pengarah, Bahagian Pendidikan Islam, Kementerian Pelajaran Malaysia
___________________________

Harapan saya tinggi menggunung agar buku ini dapat disebar luaskan ke seluruh pelusuk tanah air. Ini bermakna kalau boleh 400,000 lebih guru di bawah Kementerian Pelajaran Malaysia dan lain-lain sekurang-kurangnya memegang atau membaca sepintas lalu buku ini walaupun tidak memilikinya. Namun begitu, adalah lebih baik buku ini dimiliki dan dijadikan bahan bacaan bagi menambah pengetahuan yang sedia ada.

Buku ini sebenarnya bukan hanya khusus buat para guru semata-mata. Saya juga tuju khas buat semua para ibu bapa agar memiliki dan membaca buku ini sebagai pedoman. Dan kalau boleh para pegawai pendidikan di peringkat kementerian, jabatan pelajaran dan pejabat pelajaran daerah juga dapat memberi ruang kepada diri sendiri untuk membaca buku ini. Semoga ia memberi manfaat. Insya-Allah.

Akhir kalam, saya berdoa agar perkongsian yang sedikit ini dapat dihayati bersama oleh semua pembaca buku ini. Bukan dengan niat mengajar tuan-tuan, tetapi ia suatu perkongsian berguna untuk diri saya sendiri dan para pembaca sekalian.

Sekian, terima kasih.

Yang Faqir
Wan Zayuhisham Wan Yusoff
25 Rabiulakhir 1434H.
Shah Alam.



Jangan Bunuh Dirimu Dengan Kesedihan

Posted: Saturday, February 23, 2013 by WZWY in Labels: ,
0

Mu'afi Bin Sulaiman pernah berjalan dengan para sahabatnya. Sahabtnya menoleh kepadanya dengan wajah yang masam. Dia berkata, "Hari ini sangat sejuk."

Mu'afi berkata, "Apakah sekarang kamu merasa hangat?"

"Belum."

Mua'fi menyambung, "Apa yang kamu dapat dengan mengatakan sejuk? Jika engkau membaca tasbih, tentu ia lebih baik bagimu."

Apa kaitan kisah di atas dengan entri kali ini?

Sebentar.

Kita lanjut kisah kedua ya.

Saya memetik sebuah kisah di dalam buku hasil tulisan Dr. Muhammad Bin Abdurrahman al-Arifi. Dia menceritakan kisah pelajar beliau iaitu Sa'ad. Selama seminggu Sa'ad tidak menghadiri kuliah. Lalu Dr. Muhammad berjumpa dengan Sa'ad.

"Kenapa wahai Sa'ad?"

Sa'ad menoleh, "Tiada apa-apa. Aku hanya sibuk sedikit akhir-akhir ini."

Dr. Muhammad melihat wajah suram Sa'ad, "Apa khabar kamu?"

"Sebenarnya anak aku sakit. Ulu hatinya sudah rosak. Beberapa hari lalu, darahnya terkena racun dan tiba-tiba kelmarin racunnya sudah sampai ke otak."

Dr. Muhammad terus berkata, "Laa haula walaa quawwata illa billah. Bersabarlah. Semoga Allah menyembuh penyakit anakmu. Jika nanti ada sesuatu, berdoalah agar orang tuamu memberikan syafaat kepadamu pada hari kiamat."

"Apa, memberi syafaat?" Sa'ad bertanya kehairanan.

Kemudian Sa'ad menyambung, "Anak aku bukan kecil lagi, umurnya sudah 17 tahun."

"AKu berdoa agar semoga Allah menyembuhkan penyakit anakmu dan memberkati saudara-saudaranya."

Sa'ad menundukkan kepala. "Wahai sheikh, dia tiada punyai saudara. Dia satu-satunya anak aku dan sedang sakit sekarang."

Jiwa Sa'ad pada waktu ini lemah sekali.

"Sa'ad, beginilah, janganlah kamu membunuh dirimu dengan kesedihan. Tidak akan menimpa kita kecuali apa yang telah dituliskan Allah kepada kita."

Kemudian Dr. Muhammad berlalu meninggalakan Sa'ad yang masih membantu di situ. Bermuhasabah diri.

Jadi, apa yang ingin saya nasihatkan diri sendiri dan tuan-tuan ialah kita pastinya sudah, sedang atau akan menerima apa-apa jua ujian daripada-Nya. Apa bentuk dan cara, wallahu alam. Di luar batasan kemampuan akal kita.

Apa yang pasti ialah saya dan tuan-tuan jangan sesekali 'membunuh diri' kita dengan kesedihan kerana ia tidak sekali meringankan musibah yang menimpa. Dan apa yang perlu kita buat ialah dikala menerima cubaan daripada-Nya ialah berusaha mendekatkan diri dengan-Nya Mungkin selama ini kita lalai dengan tanggungjawab sebenar kita. Kita alpa untuk menunaikan segala perintah-Nya dengan kaedah terbaik. Kita hanya laksanakan tanpa menyerahkan jiwa raga yang sepatutnya.

Kalau pun solat, kita sengala melewat-lewatkan.
Kala berbual, kita banyak menceritakan keburukan orang lain.
Kala diberi nikmat, kita lalai dan tidak bersyukur.
Kala ditimpa musibah, kita hanya tahu mengeluh dan merungut.

Tidakkah kita melihat seseorang yang lebih sukar hidupnya berbanding diri kita, tetapi mampu tersenyum dan hidup bahagia di samping keluarga. Maka lihatlah di sekeliling kita. Apa yang kita saksikan dengan anugerah penglihatan anugerah-Nya ini?

Maka, kita teruskan nikmat hidup ini dengan menjadi hamba-Nya yang diredai. Andai terasa lemah dan gagal kuasai diri. 

'Pause' sebentar dan ingatkan Dia.

Moga Allah reda.


Al-Faqir Wan Zayuhisham

#Janganlah mengeluh kerana tanpa sedar kita telah perbaharui kesedihan.

Sukarnya...berterima kasih.

Posted: Tuesday, February 12, 2013 by WZWY in Labels: ,
0

Kata-kata hukama, "Sekiranya kita mengharapkan ucapan terima kasih daripada manusia nescaya kita akan menjadi orang yang sakit jiwa."

Maka, saya semakin mengerti bahawa apa jua yang kita laksanakan itu jangan bergantung harap ia akan diberi penghargaan sebagaimana yang kita mahukan.

Lakukan sahaja tanggungjawab kita dengan sebaik-baiknya. Selebihnya terpulanglah kepada pengadilan Allah SWT semata-mata.

Mungkin kita merasakan bahawa kita telah laksanakan tugasan kita dengan cemerlang. Kita juga mampu tersenyum apabila menerima pelbagai pujian rakan sekerja di atas usaha-usaha kita selama ini. Kita juga mengharapkan sedikit penghargaan daripada pihak atasan. Namun begitu, selepas usaha-usaha kita itu tidak dihargai, malah dianggap ia sesuatu yang biasa-biasa sahaja oleh pihak atasan. Maka apa reaksi kita?

Pastinya kecewa. 

Segala harapan selama ini musnah begitu sahaja.

Kita akan bertukar menjadi pekerja biasa-biasa sahaja.

Kenapa?

Kita terlalu mengharapkan penghargaan manusia. 

Namun begitu, itulah lumrah kita sebagai manusia. Jangan khuatir. Lama-kelamaan kita akan mampu menerima hakikat dan belajar menjadi manusia yang lebih cekal.

Walaupun ia bukan sesuatu yang mudah, saya dan tuan-tuan harus terima setiap penilaian orang lain terhadap kita dengan dada yang terbuka. Biar pun berapa peratus markah penilaian kerja kita diberikan, kita masih tersenyum kerana kita sudah lakukan yang termampu kita laksanakan. Dan yang paling penting ialah penilaian dari Maha Kuasa itu yang kita harap-harapkan.

Cara terbaik ialah apabila kecewa dengan penilaian manusia, kita bermuhasabah diri. Kenali diri sendiri dengan sebaik-baiknya. Lihat dengan kaca mata positif. Insya-Allah, kita akan merasa lebih tenang berbanding sebelumnya.

Maka, marilah kita sama-sama bersandar kepada Allah semata-mata. Dengan cara ini kita akan memiliki jiwa yang kental dan tidak mudah berputus asa. Percayalah, ini adalah keputusan terbaik yang kita perlu lakukan. 

Percayalah diriku....Allah itu Maha Adil.