UJIAN RAMADAN 1432H

Posted: Wednesday, August 17, 2011 by WZWY in Labels:
0

HARI INI SUDAH masuk hari kesembilan Zikry berada di Wad 8C Hospital Sungai Buloh. kerana penyakit Asma. Ini bermakna saya sudah lebih seminggu makan tidur di wad ini. Isteri pula akan datang melawat selepas waktu kerja. Kemudian bergegas pula pulang untuk mengambil tiga lagi anak di tadika dan nurseri. Begitulah rutin kami di bulan Ramadhan ini sejak Zikry dimasukkan ke hospital sejak 8 Ogos yang lalu.

STATUS TERKINI
Keadaan Zikry agak bertambah baik, namun perkembangan kesihatannya agak perlahan. Itulah yang merisaukan para doktor di sini. Dia agak lambat memberi rerpon dengan ubat-ubat yang diberikan berbanding pesakit lain. Masuk 2-3 hari sudah dibenarkan keluar. Kali ini merupakan tempoh masa berada di katil hospital yang lebih lama berbanding sebelum ini. Rekod lepas pada bulan akhir Mei 2011 ialah 9 hari. Kali ini sudah masuk 9 hari tetapi tiada tanda-tanda doktor membenarkan Zikry pulang pada hari ini. Doa-doa agar petang ini dapatlah khabar gembira. Saya tidak akan mendesak sehingga Zikry benar-benar bersedia untuk keluar wad. Baru sekejap tadi doktor maklumkan ubat antibiotik kena teruskan selama 10 hari. Ikutkan kata doktor ia sudah diberikan pada hari ke-6 Zikry di sini.  Jadi, masih belum pasti bilakah dia dibenarkan pulang. Ini bermakna saya kena lanjutkan lagi tempoh tidur, berbuka dan bersahur di sini. Nasib baik hospital ini menyediakan fasiliti yang baik dan suasana yang menyenangkan dan tenang.

BERDOA

Saya dan isteri hanya mampu berdoa agar ujian Ramadan kali ini dapat berakhir secepat mungkin. Zikry kembali sihat dan kembali ke sekolah. Insya-Allah.


DEKAT TAPI JAUH

Posted: Monday, August 15, 2011 by WZWY in Labels:
0

"Dunia semakin mengecil sekarang," kata seorang sahabat.

"Awak rujuk kajian siapa?" Tidak puas hati bertanya.
"Tidak perlu dikaji-kaji. Buat penat sahaja," jawab selamba.

"Kenapa?"

"Kemajuan teknologi yang mengecilkan dunia ini. Dulu jika mahu balik kampung, kita perlu ambil sehingga sehari suntuk. Tapi kini dengan kapal terbang, dalam masa satu jam sahaja, kita sudah sampai."

"Ohh..begitu. Saya faham. Begitu juga apabila kita mahu berhubung dengan seseorang yang berada ribuan kilometer jauhnya, kita dapat berhubung dengan sekelip mata sahaja."

"Ya, betul."

Begitulah kemajuan dunia masa kini. Hinggakan kadang kala kita terleka bahawa kemajuan ini menjarakkan perhubungan sesama kita.

"Bagaimana?"

Semua itu terpulang kepada diri masing-masing menguruskan masa. Kanak-kanak lebih suka duduk di depan komputer dan televisyen berbanding berkejaran di lama rumah. Berbeza dengan apa yang dilalui oleh saya ketika dahulu. Mungkin juga tuan-tuan pun maklum hal ini. 

Hilangnya kemesraan di alam realiti berbanding di alam maya.

"Bagaimana pula?"

Apabila masing-masing sibuk melayan tetamu-tetamu di laman sosial, maka tidak dihiraukan insan terdekat. Sibuk katakan. Senyum sendirian. Ketawa sendirian. Asyik masyuk di dunia maya. Rasanya lebih tenteram berbanding alam realiti.  Bagaimana perasaan mereka yang terdekat apabila melihat kita lebih pentingkan perasaan rakan 'chatting' semata-mata.

"Entahlah, dunia akhir zaman." Teman mengeluh.

"Bukan begitu."

"Habis itu, bagaimana?"

"Hmmm."
Inilah harga perlu dibayar dengan kemajuan diterima.

Alam maya dipenuhi dengan jutaan manusia dengan pelbagai ragam dan budaya. Jika salah pilih teman, buruk padahnya. Berapa ramai yang pada mulanya merasakan dunia ini ana yang punya, akhirnya menangis tanpa lagu. Kecewa. Rupa-rupanya intan yang ditemui itu rupanya kaca yang melukakan.

Ramai pula gadis-gadis muslim tanpa segan menayangkan aurat masing-masing kepada jutaan manusia di laman sosial  atau blog. Tanpa segan silu. Bermegah dengan kecantikan diri. Hidung kembang kempis apabila dipuji. Perasan atau tiada perasaan bersalah?

Harus bagaimana?

Kita harus bijak membahagikan masa untuk berada di alam maya dan juga di alam realiti penuh makna ini. Lihat kiri kanan apa yang berlaku. Jangan pula bila masanya, kita akan menyesal apabila orang-orang terdekat semakin menjauh dan tidak hiraukan kehadiran kita di samping mereka. Mereka juga ada perasaan.

Sungguh sukar untuk berubah jika putaran masa harian dipenuhi dengan dunia maya semata-mata. Jika tidak dapat masuk ke laman sosial untuk satu malam, boleh demam. Masya-Allah. Kerdilnya kita.

Jangan terlalu TAKSUB dengan dunia internet semata-mata. Jengok juga jiran sebelah. Lihatlah juga masyarakat sekeliling. Kunjungi surau terdekat. Bergaul dengan masyarakat. Jangan pula waktu terdesak baru dicari siapa imam, siapa bilal, siapa ketua kampung.

Tapi...laman sosial juga banyak disulami tazkirah dan nasihat
Memang tidak dinafikan itu semua. Memang betul. 100% sokong. Ia tidak salah dan seharusnya kita juga menulis status yang berkenaan. Kata-kata nasihat, ungkapan ucapan para ulama, hadis-hadis nabi dan juga firman Allah SWT.

Walaupun MATLAMAT itu betul dan baik untuk komuniti alam siber ini, kita harus juga pandang dalam sisi orang terdekat. Apa yang mereka rasa jika kita hanya sibuk dengan urusan di depan skrin semata-mata. Kalau kerja pejabat sekali pun, apabila di rumah ia juga perlu ditimbang tara agar tidak menimbulkan suasana kurang enak di kalangan orang terdekat.

Masing-masing perlu muhasabah diri. Begitu juga diri saya yang banyak kealpaan dan kekurangan ini. Sama-sama berubah untuk kebaikan.

Wallahualam.

DISKUSI SEBELUM RAMADHAN

Posted: Monday, August 1, 2011 by WZWY in Labels:
0

BISMILLAHIRAHMANIRAHIM. Alhamdulillah pada 31 Julai 2011, jadual pertemuan dengan guru penulisan saya berjalan sebagaimana dirancang sejak dua hari lepas.

RESTORAN RASA MAS SUNGAI BULOH
Tuan Haji Zakaria Sungib bukan asing lagi dalam dunia penulisan buku dan majalah. Sudah lama berkecimpung dalam dunia penulisan. Berbanding saya yang masih hijau. Seingat saya, pada bulan April 2009 beliau telah mengajak saya menyertai dunia penulisan ini bersama Galeri Ilmu Sdn Bhd. Walhal sebelum ini saya langsung tiada asas penulisan. Berdasarkan ilmu cetek pada sesi kelas pengajian pertama pada bulan Mei 2009, saya memberanikan diri menulis sebuah manuskrip dan akhirnya berjaya dibukukan. Impian Juara.

Kami berjumpa dan berdiskusi ilmu di Restoran Rasa Mas Sungai Buloh. Lebih kurang dua jam lima belas minit kami berdiskusi. Kebetulan pula restoran ini tidak putus-putus dikunjungi para pelanggan. Mungkin sarapan terakhir sebelum berpuasa pada esok hari.

PROJEK BARU

Syukur pada pertemuan ini banyak idea baru dihasilkan. Walaupun pada awalnya saya nampak sukar memikirkan projek baru ini, tetapi dengan bimbingan Tuan Haji Zakaria, Alhamdulilah saya semakin jelas dan nampak hala tuju projek terbaru ini. Apatah lagi projek ini bukan penulisan novel, maka saya perlu lebih banyak belajar dan terus belajar. 

Walaupun pada asalnya idea ini saya hanya lakar pada sehelai kertas dan tidak harapkan sesuatu yang hebat untuk dihasilkan. Namun pertemuan ringkas ini banyak memberikan impak besar dan cabaran untuk saya tunaikan. Insya-Allah, apabila ia menjadi kenyataan, maka saya akan war-warkan di ruang kecil ini. Doakan.

CADANGAN 'COVER' NOVEL

Satu perkara yang kami bincangkan ialah 'cover' novel novel-novel terbitan Galeri Ilmu sebelum ini terutama bagi kategori Awal Remaja. Saya mencadangkan sesuatu yang lain bagi novel terbaru saya yang sedang disunting. Insya-Allah bakal diterbitkan pada bulan September nanti. Tuan Haji Zakaria memberikan respon positif dan akan dibincangkan dengan pihak atasan. Semoga idea baru kurniaan Allah ini dapat direalisasikan pada 'cover' novel siri kedua penyiasat cilik: Adib Adibah.

NILAI TARBIYAH DALAM NOVEL
Satu perkara yang perbincangkan juga, pihak Galeri Ilmu Sdn Bhd (GISB ) akan cuba menjelaskan semula kriteria karya fiksyen Islami kepada novelis dan bakal novelis GISB. Di antara  kriteria yang menjadi tunjang kekuatan karya fiksyen Islami GISB ialah :

1) Dominasi Watak Tarbawi 

a) Watak yang diangkat menjadi watak utama di dalam karya Islami adalah watak yang dapat menjadi ikutan. Watak yang secara fitrahnya disenangi pembaca. Watak yang menampilkan dakwah lisanul hal ( melalui perbuatan ) mahu pun lisanul maqal ( melalui kata-kata ).

b) Watak yang berhubung dengan Tuhan- watak yang ada daya tahan dengan ujian Allah. Watak ini juga bukan watak anti-syariah.

c) Watak yang menyerlahkan keindahan Islam- watak yang faham Islam atau berkembang ke arah itu. Sifat lapang dada dan pemaaf lebih ditonjolkan.

d) Tidak mengangkat watak negatif sebagai watak dominan.


2) Dominasi Dialog Membina


a) Dialog sopan, berakhlak dan bernilai tarbiyah


b) Tiada dialog negatif melampau.


3) Babak dan Aksi Terkawal.


a) Babak dan aksi positif lebih dominan


b) Perilaku buruk/jahat tidak ditonjolkan sangat.


c) Selari dengan syariah.


d) Diselitkan akhlak dan adab Islam


4) Penceritaan Latar Menjana Imaginasi Positif.


- Penceritaan latar yang terkawal dan tidak berlebih-lebihan menceritakan yang negatif. Tiada gambaran jelas tempat maksiat seperti di disko dan lain-lain.


5) Memberi Kefahaman Islam Dan Menyerlah Keindahan Islam.


- Intellectual discourse' berorientasikan Islam.Ini dipengaruhi matlamat penulis dalam menghasilkan karyanya.


6) Natijah Yang Baik


- Memberi impak positif dan sentuhannya mengesankan hati dan akal.


Ini adalah sebahagian perkongsian untuk pembaca dan bakal-bakal novelis GISB. Insya-Allah pihak GISB mengawal karya-karya mereka daripada bercanggah dengan syariat Islam.