Dugaan Hidup Itu Pasti

Posted: Wednesday, January 18, 2012 by WZWY in Labels:
0

ALLAH SENTIASA MENDUGA KITA. Menguji sejauhmanakah kekuatan iman dan takwa hamba-hamba-Nya. JIka kita lemah, kita akan tersungkur. Jika kita kuat, kita akan mengecapi kebahagiaan dan kenikmatan hidup yang tidak kita sangka-sangkakan. Percayalah dengan ketentuan-Nya.

Kita harus yakin bahawa Allah akan sentiasa menguji kita dengan kadar keimanan kita sendiri. Lihatlah bagaimana seorang rasul apabila menerima ujian Allah berbanding diri kita yang kerdil ini.

Dugaan yang kita tempuhi itu sudah semestinya dapat menjadikan hati kita semakin kuat, penuh keyakinan serta menghasilkan keimanan, kesabaran dan melemahkan hawa nafsu. Janji Allah sebagaimana termaktub dalam Surah Ibrahim, ayat 7 bermaksud :"Sesungguhnya jika kamu bersyukur pasti Kami akan menambahkan (nikmat) kepadamu." Setiap apa yang berlaku itu ada hikmahnya. Allah itu Maha Mengetahui. Redha dan pasrah selain terus berusaha memperbaiki hubungan dengan Allah SWT.

Realiti kehidupan

Kita sering berkeluh-kesah dengan pelbagai masalah menimpa. Celik sahaja mata, otak sudah berputar berfikir dengan 1001 perkara atau masalah yang harus diselesaikan. Orang bujang dengan masalah orang bujang. Orang berkeluarga dengan masalah tersendiri. Orang pencen pun masih tidak sunyi dengan ujian-ujian hidup.
- Orang yang masih menyewa berfikir untuk membeli sebuah rumah.
- Orang yang sudah beli rumah berfikir untuk membeli rumah yang lebih besar.
- Orang yang menganggur berfikir untuk mendapatkan apa-apa pekerjaan.
- Orang sudah berkerja berfikir untuk meningkatkan pendapatan bulanan.
- Orang yang bujang berfikir untuk menyimpan duit persediaan berkahwin.
- Orang yang berkahwin berfikir untuk menyimpan persediaan menimang cahaya mata.
- Orang yang memandu kereta kecil berfikir untuk membeli kereta lebih besar.
- Orang yang sudah ada kereta besar berfikir untuk membeli kereta besar yang lebih hebat 
   dan terkini.

Di manakah kedudukan kita sekarang? Mungkin sedang berkeluh-kesah dengan kehidupan seharian. 

- Gaji tidak cukup.
- Rumah kecil.
- Perbelanjaan meningkat.
- Tiada simpanan.
- Hubungan dingin suami isteri.
- Suasana kerja membosankan.
- Dan lain-lain lagi.

Firman Allah :

"Jika Allah menimpakan suatu kemudaratan kepadamu, maka tidak ada yang dapat menghilangkannya kecuali Dia. Dan jika Allah mengkehendaki kebaikan bagi kamu, maka tidak ada yang dapat menolak kurniaan-Nya. Dia memberikan kebaikan itu kepada siapa yang dikehendaki-Nya di antara hamba-hamba-Nya yang lain dan Dialah Yang Maha Pengampun lagi Maha Penyayang." (Surah Yunus : 107)

Memang sukar untuk diluah atau dlafazkan tentang apa yang kita alami. Tidak semua memahami apa yang kita tempuhi. Penyesalan itu baik tetapi lagi baik kita berusaha bertindak menyelesaikan permasalahan yang dihadapi itu dengan penuh hikmah. Mungkin ada langkah terbaik yang belum kita temui. Di samping berserah dan bertawakal pada-Nya, kita berusaha untuk mengatasi setiap permasalahan dihadapi. Berdoa pada-Nya. Sesungguhnya Dia Maha Pemberi. Insya-Allah.

0 Komentar: