Selesa

Posted: Tuesday, May 29, 2012 by WZWY in Labels:
0

TANGGAL 28 MEI 2012, Wan Nur Faqihah (belum daftarkan nama di JPN) dibenarkan keluar dari wad Hospital Umra, Shah Alam.

Alhamdulillah, sepanjang isteri dan anak berada di sini, kami dilayan dengan penuh mesra dan selesa.

Beberapa perkara perlu dipersiapkan jika tuan/puan mahu bersalin di sini ialah :

1) Sediakan ongkos yang lebih daripada pakej ditawarkan kerana akan ada caj-caj tambahan jika ibu atau bayi memerlukan khidmat tambahan. Contoh kami hanya dimaklumkan bayaran sekitar RM3500-RM3800 (bersalin secara pembedahan). Oleh kerana anak perlukan rawatan tambahan dan isteri pula perlu tambahan darah, maka caj meningkat kepada RM4474.

2) Jika suami/ahli keluarga yang akan menemani isteri di wad, sila bawa 'kerusi malas/tambahan'. 

3)  Sila bawa makanan sendiri.

Selain itu juga walaupun kita rasa kita sudah merancang bersalin di hospital swasta yang menyediakan pakar dan pelbagai kemudahan, jangan lupa untuk terus solat sunat dan berdoa pada Yang Maha Esa agar dipermudahkan segala urusan kita. Jangan hairan kerana masih terdapat kes-kes luar jangka di hospital swasta yang menyediakan segala kepakaran mereka masih gagal melawan takdir Ilahi dan terpaksa dirujuk kepada hospital kerajaan.

Isteri saya juga sebelum ini diminta rujuk dengan hospital kerajaan kerana mengalami darah rendah. Dan kami juga sudah dua kali ke Hospital Sg Buloh. Tidak adil jika kita mahu bandingkan keselesaan dan kemudahan perkhidmatan di kedua-dua hospital ini. Tapi secara jujurnya, hospital kerajaan sudah membuat banyak perubahan dan selesa kecuali di beberapa kawasan yang padat penduduk seperti di Hospital Ampuan Rahimah Klang.

Selesa di alam sana

Kita semua mahukan keselesaan dan perkhidmatan yang cemerlang. Maka kita perlukan sedikit pengorbanan wang ringgit. Begitu juga jika kita ingin selesa berada di alam barzakh dan alam akhirat dan memasuki syurga Allah. Kita perlukan pengorbanan dan bersabar. Iman dak takwa menjadi syarat utama untuk memperoleh 'keselesaan' di alam sana. Oleh kerana, di dunia kita nampak dengan mata kasar, maka kita sanggup berbelanja besar. Berbeza pula dengan janji Allah di alam akhirat di sana seperti tidak diendahkan dan masih leka dengan keindahan dunia. Muhasabah untuk diri saya dan tuan/puan.

Rasulullah bersabda, "Berseru seorang penyeru ( di alam syurga ) bahawa kamu akan selalu sihat dan tidak akan sakit selama-lamanya, akan hidup tidak akan mati selama-lamanya, akan muda dan tidak akan tua selama-lamanya, akan berasa senang (gembira) tidak sudah atau bosan selama-lamanya." (Riwayat Muslim).

Nah, apa lagi? Inilah janji Allah SWT.

Tapi..itulah hakikatnya ramai manusia yang masih lagi tanpa segan silu melanggar hukum Allah. Anggap dunia adalah segala-galanya. Ada harta tetapi dibelanjakan secara boros dan ke arah yang tidak diredai Allah.

Satu lagi sabda Rasulullah SAW, " Allah menciptakan 100 rahmat, satu rahmat dibahagikan kepada seluruh isi dunia ini, sedangkan 99 bahagian lagi dibahagikan di akhirat (iaitu di syurga)." (Riwayat Muslim)

Allahu akbar! Kerdilnya apa yang saya rasa sekarang. Saya mengejar satu bahagian daripada pagi ke malam. Dan begitulah kehidupan manusia sekarang mengejar dan terus mengejar kebahagiaan dunia. namun hakikatnya, ia hanya satu bahagian sahaja. Alangkah cantiknya, jika kita kejar akhirat dan dunia ikut sekali di belakangnya.

Semua ini kerana kita mahu selesa. Maka hiduplah untuk akhirat.
Insyallah.

Mohon undur diri.

0 Komentar: