KISAH PELAMPUNG AIR TANGKI

Posted: Monday, December 17, 2012 by WZWY in Labels: ,
0

Kali ini entri agak berbeza sedikit kerana pagi tadi masalah air tangki melimpah di bilik air selesai. Apa kaitan masalah air tangki melimpah dengan entri kali ini?

Ini hanya sebagai perkongsian sahaja. Tiada niat lain. Masalah air tangki melimpah sudah masuk hari kedua kerana tukang yang dijadualkan tiba pada sebelah petang tidak timbul-timbul. 

Niat saya mahu membaiki dengan tulang empat kerat ini sahaja. Bila diukur dengan tangga yang saya ada dengan ketinggian siling, saya kena batalkan niat kerana mungkin bawa mudarat nanti. Mana tahu, beringat sebelum kena. Bukan apa, saya sudah dapat agak punca kerosakan pelampung air yang menyebabkan air tangki melimpah tanpa kawalan. Lagi pun harga pelampung ini sekitar RM20-RM30 sahaja. Itu pun kira yang berkualiti dan diakui tahan lama.

Lebih kurang pukul 11 pagi, tukang yang merupakan ahli kariah pun muncul. Alhamdulillah. Apabila selesai saya pun bertanyakan kos tukar pelampung baharu.

"Ini barang baik. RM90 sahaja."

Saya kebetulan memegang duit RM50 sahaja ketika berada di depan pintu pagar rumah. Saya pun panggil isteri supaya tambah lagi RM40. Secara jujur dalam hati saya, "Wah!Mahal juga. Ingatkan sekitar RM50 termasuk upah."

Dalam hati masa itu syaitan datang menggoda. Macam-macam saya fikirkan. "Ingatkan panggil ahli kariah, boleh dapat murah. Nampaknya sama sahaja atau lebih mahal."

Tidak lama kemudian. Hati mulai tenang. Beristighfar. Saya tidak boleh bersangka buruk. Mungkin itu upah yang sesuai dengan kepakaran yang dia ada. Kalau tidak, kenapa saya tidak tukarkan sendiri sahaja.

Semua ini juga ketentuan Ilahi. Rezeki hari ini memang sudah ditetapkan untuk dia. Dan ujian ini pula memang sudah diatur baik oleh-Nya. Maka tidak perlu merungut dan membanding-bandingkan harga lagi. Lagi pun saya membuat pembayaran bukan kerana tukar barang sahaja, tetapi kemahiran yang dia miliki. Maka, berapa banyak kos pun kita kena hulur kerana itulah bayaran kemahiran yang mereka miliki.

Setiap yang berlaku walaupun kehilangan wang sebanyak lima puluh sen pun, itu di bawah kekuasaan-Nya. Siapa kita untuk pertikaikannya. Maka, sebagai kesimpulannya, kita harus melihat dengan kaca mata positif dan baik sangka. Setiap ujian itu ada sebab musababnya. Selain berusaha gigih, kita jangan lupa Allah SWT itu Maha Pemberi Rezeki. Pohonlah pada-Nya.

___________________________
al-Faqir Wan Zayuhisham
Shah Alam.



0 Komentar: