Ke manakah hala tuju mereka?

Posted: Friday, June 26, 2009 by WZWY in Labels:
0

Sampai bila kita harus membiarkan generasi muda ini yang masih di alam persekolahan terlibat dengan gejala sosial yang tidak bermoral?

Dimana silapnya? Pihak ibu bapa menuding jari kepada pihak sekolah yang gagal membentuk anak-anak menjadi insan yang mulia.

Pihak sekolah pula menyalahkan ibu bapa yang tidak mengawal anak-anak mereka semasa beada di rumah dan tiada penerapan nilai agama di rumah.

Pada pandangan saya sebagai seorang pendidik. Kedua-dua belah pihak harus bekerjasama dan bertanggungjawab dalam membentuk murid-murid ini menjadi insan yang bertaqwa kepada Allah SWT. Walaupun ia satu tugas yang cukup besar dan mencabar, kita wajib melakukan sesuatu. Sanggupkah kita melihat mereka hanyut dalam dunia mereka yang penuh dengan kegiatan yang tidak bermoral.

Merokok, menonton video lucah, seks bebas, mencuri dan lain-lain lagi yang tidak pernah terfikir untuk mereka lakukan sudah menjadi satu kebiasaan dan kemegahan. Paling menyedihkan apabila melibatkan murid-murid Islam tanpa pengetahuan ibu bapa atau sebaliknya.

Penghasilan buku-buku atau novel-novel Islami yang menjadi trend pihak penerbit masa kini diharap dapat memberi impak yang positif. Di harapkan penerbitan bahan bacaan ini bukan hanya mementingkan nilai komersial semata-mata tetapi yang lebih penting tugas ialah membentuk generasi muda ini ke arah cintakan Islam.

Peranan ibu bapa amat penting dalam mendidik anak-anak dalam suasana keluarga muslim. Solat berjemaah dan bacaan Al Quran mestilah menjadi jadual wajib ketika di rumah. Apatah lagi anak-anak yang sedang meningkat remaja.

Pengalaman penulis yang berhadapan dengan murid-murid pada setiap hari ialah kebanyakan mereka gagal menunaikan ibadah solat lima waktu. Sungguh menyedihkan apabila usia mencecah 12 tahun tapi masih terkial-kial untuk membaca lafaz niat solat. Tugas guru ialah menyampaikan ilmu mengikut sukatan yang disediakan di samping penambahan ilmu yang lain. Dan tugas ibu bapa ialah membimbing anak-anak mereka melaksanakan apa yang mereka belajar dan seterusnya memastikan mereka patuh dengan ajaran Islam.

Berapa ramai ibu bapa yang datang menjenguk ke sekolah untuk bertanya khabar dan berkenalan dengan guru yang mengajar anak-anak mereka? Berapa ramai ibu bapa yang datang ke sekolah semata-mata membuat komplen apabila anak-anak mereka didenda atau dimarahi guru? Cuba tanya diri ibu bapa, adakah mereka tahu apa yang anak mereka belajar pada hari ini, esok atau lusa? Begitu juga dengan pihak sekolah, wajib menjalankan amanah yang diberikan dengan sebaik-baiknya. Oleh itu, jika ada kesinambungan tugas guru dan ibu bapa, insyallah masalah gejala sosial dikalangan pelajar akan dapat diatasi dan dikurangkan.

0 Komentar: