God is our "CEO"

Posted: Friday, September 11, 2009 by WZWY in Labels:
0

God is our "CEO",saya meminjam petikan Ustaz Pahrol dalam tulisan beliau dalam majalah SOLUSI keluaran terbaru. Tulisan beliau amat menyentuh kalbu dan sewajarnya rakan-rakan membacanya tentang antara tujuan dan keperluan hidup, mana satu lebih penting?


Kita sebagai hamba Allah perlu ada tujuan hidup.Mengapa? Beliau menulis bahawa sebenarnya hubungan antara tujuan hidup dengan keperluan hidup umpama galah dengan buah. Galah penting kerana dengan galah kita mengait buah. Tetapi tentulah buah lebih penting kerana yang hendak kita makan ialah buah bukan galah.


Oleh itu, setiap masa semasa kita hirup udara segar di muka bumi ini dipenuhi dengan ibadah. "Tidak Kami kujadikan jin dan manusia melainkan untuk beribadah kepada-Ku." (Surah al-Dhariyat 51:56). Tujuan kita hidup tidak boleh lari daripada beribadah kepada Allah. Dalam apa jua kita lakukan, kita sentiasa mengingati Allah.


Sering kali kita mendengar pandangan salah bahawa ibadah hanya melibatkan perkara berkaitan ibadah solat, puasa, haji dan sebagainya sahaja tanpa menyedari dalam Islam mengikut para ulama, ibadah pada dasarnya dibahagi kepada tiga bahagian iaitu ibadah asas (Fardhu Ain), ibadah sunat dan ibadah umum.


Secara ringkasnya ibadah asas ialah kita mempelajari,memahami,meyakini dan mengamalkan rukun islam dan rukun iman. Ia membentuk hubungan langsung antara seorang hamba dengan Tuhannya-hablunminallah. Ibadah sunat pula mengerjakan amalan-amalan sunat seperti solat sunat, puasa sunat,berzikir dan sebagainya. Walaupun ia sunat tapi amat membantu kita menampung sebarang kekurangan dalam ibadah asas. Dan akhir sekali ibadah umum iaitu seluruh perlakuan, tindakan dan aktiviti selain daripada ibadah asas dan sunat. Ia merangkumi pekerjaan kita sehari-hari,tugas kita sebagai ayah, anak, ibu atau ahli masyarakat.


Sebenarnya banyak perkara lagi boleh disentuh dalam perkara ini. Apa yang ingin ditekankan di sini ialah seluruh kehidupan kita adalah ibadah. Jika semua menitik beratkan perkara ini, saya percaya saudara-saudara juga bersetuju di negara kita tidak akan ada lagi kegiatan-kegiatan jenayah atau pun penyalahgunaan kuasa dan sewaktu dengannya. Masalah utama apabila Islam hanya dilihat dari skop kecil sahaja tanpa menghiraukan apa yang diarah dan dilarang oleh Allah s.w.t secara keseluruhannya.
Wallahualam!

0 Komentar: