Apa Nak Jadi Pemegang Stereng?

Posted: Sunday, September 27, 2009 by WZWY in Labels:
0


Salam Aidilfitri. Maaf Zahir Batin. Ketika ini isu atau cerita semasa di musim perayaan ialah Ops Sikap. Bila fikir-fikir...kenapa pihak berkuasa melaksanakan Ops Sikap? Apa kurangnya kemudahan pengangkutan atau jalan raya di Malaysia ini?

Jalan raya atau kenderaan di negara kita tiada masalah sebesar masalah SIKAP segelintir atau sebahagian atau hampir 100% atau mengikut penilaian masing-masing tentang pemandu-pemandu di negara ini. Maka wujudlah Ops Sikap saban tahun menjanjikan kadar penurunan kes kemalangan atau kehilangan nyawa di jalan raya. Tapi mengikut statistik semasa, kadar kemalangan dan kematian meningkat pada tahun ini.

Apa yang dilalui oleh saya semasa balik kampung dengan aliran trafik yang sememangnya biasa pada musim perayaan ialah cukup mengejutkan. Entah apa dikejar atau dikejar sesiapa pun entahlah apabila kenderaan dipecut laju tanpa mengira amaran had laju atau pun di jalan selekoh atau pun dengan deretan kenderaan di depan.

Kenapa nak laju? Apa matlamat memandu laju? Adakah takut sampai lewat ke kampung? Sedar atau tidak bila seseorang pemandu memandu laju dan sibuk untuk memotong saja, emosi dan pemikirannya akan sentiasa dalam keadaan 'stress'. Pantang kenderaannya dipintas oleh pemandu lain. Maka dia sibuk untuk mengejar dan memintas balik. Adakah ia ingin dijadikan bahan cerita di kampung bahawa kereta dia laju atau semua kereta berjenama mahal habis dipotongnya dan tinggal bau asap sahaja.

Hairan bin Ajaib apabila pemandu tanpa mengira usia apabila memegang stereng sahaja, maka berubah tingkah laku dan perangai. Hilang rasa sabar dan tolak ansur. Lesen D yang dipakai sejak bertahun-tahun bagaikan sudah memegang lesen memandu jentera F1. Tunjuk hebat dan gagah tapi silap percaturan maka berakhir dengan sitausi memilukan. Semoga kita semua dilindungi Allah daripada segala sikap negatif di jalan raya dan selamat sejahtera semasa pemanduan.

Wassalam...

0 Komentar: