BELAJAR DARIPADA IMPIAN JUARA 1&2

Posted: Monday, May 23, 2011 by WZWY in Labels:
0

"Orang yang berhenti TIDAK akan menang dan orang yang menang tidak akan BERHENTI."

"ISLAM telah melakukan satu revolusi jiwa yang paling hebat dalam sejarah kemanusiaan." - Dr. Hamka

Watak utama IMPIAN JUARA dan IMPIAN JUARA 2 ialah IMRAN adalah mewakili sebilangan murid yang mempunyai semangat juang yang tinggi untuk mencipta kejayaan. Berjaya dalam bidang akademik dan ko-kurikulum. Begitulah harapan saya agar lebih ramai 'IMRAN' yang lahir di kalangan murid-murid sekolah khususnya khalayak pembaca IMPIAN JUARA.

BAGAIMANA SIKAP KITA?

Menurut Profesor Dr. Thomas Barry, kecemerlangan seseorang ditentukan oleh faktor-faktor ILMU, KEMAHIRAN, MAKLUMAT dan SIKAP. Walau bagaimanapun SIKAP merupakan faktor yang paling dominan.

Kajian mereka menunjukkan, sikap menyumbang 93% kejayaan berbanding ilmu, maklumat dan kemahiran yang hanya 7% sahaja. Kenapa SIKAP begitu dominan sekali? SIKAP yang betul, seseorang itu akan berusaha menambahkan kekurangan ilmu, maklumat dan kemahiran yang mereka miliki. Tetapi sekiranya SIKAP tidak betul, maka ilmu, maklumat dan kemahiran tinggii macam mana sekalipun tidak berguna.

Semak semula bagaimana SIKAP kita terhadap pelajaran,pekerjaan, pergaulan dan sebagainya. Adakah ia baik atau sebaliknya. Kita tentu ada jawapannya.

Contoh mudah ialah perbandingan murid yang mempunyai otak bergeliga atau pintar tetapi malas, tidak berdisiplin, tidak konsisten akan ketinggalan dalam pelajaran berbanding murid-murid biasa yang sentiasa berusaha gigih untuk meningkatkan pencapaian akademik mereka.

Begitulah yang berlaku pada watak IMRAN. Seorang murid Tahun Enam yang cerdas dan hebat dalam permainan pingpong. Pada suatu ketika apabila dirinya kecewa dengan  sikap ayah dan ibu menyebabkan dia mengambil keputusan untuk berhenti bermain pingpong dan meninggalkan rakan sepasukannya. Tindakan ini menyebabkan Hijazi, Ziyad, Ikmal dan Zali hilang semangat. Kemudian hadir seorang guru baru iaitu Ustaz Zikry meniupkan semula semangat juang ke dalam diri Imran. Akhirnya Imran kembali bersikap positif dan kembali semula ke dalam pasukan pingpong sekolah.

 APA YANG DIHARAPKAN MELALUI  NOVEL IMPIAN JUARA 1 & 2

Saya amat mengharapkan agar khalayak pembaca kedua-dua buah novel ini dapat sesuatu yang boleh dibawa ke dalam kehidupan seharian. Di antaranya ialah :
1) Yakin Terhadap Diri Sendiri

Keyakinan bukan datang secara tiba-tiba. Sekurang-kurangnya pembaca dapat manafaat daripada watak Imran yang yakin terhadap diri sendiri untuk meraih kejayaan ketika menewaskan David Tan dan Darren Liu. Imran merupakan seorang murid yang memanafaatkan kelebihan yang ada pada dirinya.

2) Mampu Melihat Positif Terhadap Orang Lain

Dalam IMPIAN JUARA 2, saya memperkenalkan watak baru iaitu ADAM LEE. Beliau merupakan bekas pemain yang mewakili Negeri Selangor. Adam Lee sanggup membantu Imran sewaktu beliau dalam dilema selepas dihalau dari pusat latihan oleh Mr. Gan. Imran kagum dengan semangat yang ada di dalam diri Adam Lee walaupun pada ketika itu Adam Lee juga berdepan dengan masalah keluarganya. Mereka yang bersifat positif sentiasa sayangkan orang lain hasil melihat kelebihan-kelebihan yang ada pada orang tersebut. "What you see, is what you get."

3) Dapat Melihat Peluang Dalam Setiap Keadaan

Peluang selalunya datang di celah-celah kesusahan yang kita hadapi. Tidak dijangka. Itu semua kehendak Allah SWT yang Maha Berkuasa. Peluang terhasil dari sikap positif. Peluang bukan dinanti tetapi dicari. Apabila Imran dihalau dari pusat latihan, beliau berpindah ke rumah ayahnya, En. Ismail. Pada masa itu, apabila ibunya memberitahu bahawa dia mengenali jiran mereka yang boleh melatih Imran bermain pingpong, dia terus mengambil peluang terhidang untuk berguru dengan Adam Lee. Akhirnya Imran berjaya melaksanakan misinya.

4) Fokus Pada Penyelesaian Bukan Permasalahan

Individu yang positif menggunakan masa dan tumpuan mereka kepada penyelesaian, bukan permasalahan. Setiap daripada kita boleh melihat masalah yang berlaku pada setiap hari. Walau bagaimanapun orang berjaya hanya melihat jalan penyelesaiannya. Orang yang positif tidak akan merungut dengan masalah dihadapi, mereka pantas mencari bagaimana menyelesaikan masalah yang dihadapi. Itulah yang dididik oleh Adam Lee kepada Imran apabila menghadapi masalah dengan 'coach' Mr. Gan dan datuknya, Pak Harun. Para pembaca akan dapat mengetahui kesudahannya apabila membaca IMPIAN JUARA 2 nanti.

5) Keghairahan Untuk Memberi

Orang yang bersikap positif akan sentiasa suka MEMBERI berbanding orang bersikap negatif yang suka MENDAPAT. Orang yang memberi menduduki tingkat terbaik dalam kehidupan berdasarkan sabda Rasulullah SAW. Daripada Jabir bin Abdullah bahawa Rasulullah SAW pernah bersabda maksudnya : "Sebaik-baik manusia ialah manusia yang memberi manafaat kepada orang lain." Salah satu cara terbaik ialah kita sentiasa memberi sesuatu kepada orang lain berdasarkan kemampuan yang kita miliki. Begitulah yang berlaku kepada Ustaz Zikry yang banyak memberi dorongan kepada pasukan pingpong. Sikap memberi Adam Lee terhadap Imran. Segala ilmu permainan pingpong dicurahkan secukupnya kepada Imran. Imran juga banyak membantu rakan sepasukan untuk meningkatkan permainan mereka.

Semoga Allah SWT redha. Diharapkan kedua-dua novel tarbiah awal remaja ini dapat membantu khalayak pembaca memperolehi sesuatu yang bermanafaat. Saya masih lagi baru dalam bidang penulisan ini, maka sudah tentu banyak perkara yang masih perlu dipelajari. Ilmu itu cukup luas dan perlu dicari. Sukar atau senang bergantung bagaimana kita berusaha mempelajarinya.

Salam sayang buat semua pembaca blog tidak seberapa ini.
Wallahualam.


0 Komentar: