SUAMI YANG TERUJI

Posted: Saturday, March 31, 2012 by WZWY in Labels:
0

ALHAMDULILLAH DENGAN KEIZINAN-NYA...Buku Tarbiah Rohani sulung saya akan diterbitkan pada hujung bulan April ini. Insya-Allah. Pihak saya dan GISB sedang membuat semakan terakhir manuskrip SUAMI YANG TERUJI. Judul awal manuskrip ini yang saya cadang ialah SUAMI YANG BERDOSA. Namun begitu, saya dan pihak GISB bersetuju menerima cadangan Tuan Pahrol M. Juoi menukar judul berkenaan. Akui bahawa judul sesebuah buku juga memainkan peranan penting. Apa pun tajuk, saya amat mengharapkan kelahiran buku ini dapat memberi manfaat kepada seberapa ramai pembaca di luar sana. Sama-sama membina sebuah keluarga yang diredai-Nya. Insya-Allah.

Buat masa ini pihak GISB masih lagi belum menetapkan kulit buku yang sesuai. Sebelum ini sudah ada empat cadangan diberikan, tetapi pihak atasan belum berpuas hati dan perlu difikirkan lagi kulit buku yang lebih sesuai dan menarik.

Idea manuskrip ini lahir sebelum saya menyertai satu kursus penulisan anjuran GISB pada bulan Oktober tahun lalu. Setiap peserta diminta menyediakan satu proposal untuk dibentang dan kemungkinan besar boleh diterbitkan. Dengan izin Allah SWT, proposal saya di antara beberapa proposal lain yang diterima untuk diterbitkan pada tahun ini sempena Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2012.

SUAMI YANG TERUJI bukan satu penulisan manuskrip yang biasa saya tulis sebelum ini. Penulisannya bukan sekadar mengetuk butang-butang huruf di 'keyboard' komputer riba saya. Ia lahir dari jiwa dan naluri saya sendiri. Manuskrip ini sebenarnya untuk mendidik diri saya sendiri menjadi manusia yang lebih baik. Kemudian diharapkan para pembaca dapat manfaat daripada buku ini. Insya-Allah.

Konsep penulisan buku ini mungkin berlainan daripada buku-buku Tarbiah Rohani terbitan GISB sebelum ini. Saya membahagikan bab-bab kepada LIMA bahagian.

1) Pengenalan
2) Coretan Hidup
3) Muhasabah Diri
4) Peringatan Allah SWT dan Rasulullah SAW
5) Suami Idaman Wanita

Saya cuba adunkan penulisan non-fiksyen dalam penulisan buku setebal lebih kurang 330 muka surat ini. Coretan Hidup adalah 20 kisah keluarga ( kisah benar berdasarkan pengalaman penulis, perkongsian sahabat-sahabat, pemerhatian dan pembacaan penulis ). Kisah-kisah yang dipaparkan diharapkan menjadi iktibar para pembaca dan paling utama kepada diri saya sendiri.

Saya kongsikan tajuk DUA PULUH BAB di dalam buku ini :

1- Cinta Beralih Arah
2- Beban Tak Tertanggung
3- Janji Manismu
4- Tulang Sudah Reput
5- Anak Manja
6- Belum Dapat Hidayah
7- Sibuk 24 Jam
8- Masih Bujang Senang
9- Sikap Ambil Mudah
10- Subuh Oh Subuh
11- Ikut Cakap Saya
12- Pasrah
13- Sayang Salmah
14- Cemburu Sayang
15- Dengar Cakap Orang
16- Aku Mahu Kaya
17- Ini Hobi Saya
18- Kerana Terpaksa
19- Cinta Muka Buku
20- Demi Cinta Bibik

Insya-Allah, para pembaca bebas mahu memulakan pembacaan dari mana-mana bab. Setiap bab dimulakan dengan permasalahan yang biasa berlaku dalam rumah tangga dengan gaya penulisan saya sendiri. Kemudian diikuti segmen Muhasabah Diri berdasarkan kisah tersebut. Kita sama-sama renung dan ambil pengajaran. Kemudian kita lihat apa peringatan atau amaran daripada Allah SWT dan juga Rasulullah SAW. Akhir sekali, penulis cuba kongsikan tips-tips pilihan menjadi suami idaman. Walaupun penulis sendiri sedang bermujahadah untuk ke arah itu juga. Kita sama-sama berubah ke arah yang lebih baik dari semalam. Jangan gusar kerana setiap hamba-Nya akan diberi pilihan dan ruang untuk bertaubat dan berubah.

Istimewa buku ini juga kerana permintaan saya supaya guru penulisan saya, Tuan Pahrol menitipkan kata pengantar terlaksana. Syukur kerana ia dipermudahkan oleh-Nya walaupun beliau terpaksa membahagikan masa yang begitu padat menanti beliau di sepanjang minggu. Semoga beliau terus diberikan kerahmatan oleh-Nya. Beliau banyak membimbing saya menjadi manusia yang lebih baik. Jazakallahu khairan di atas segala ilmu dan nasihat tuan.

Salah seorang guru penulisan saya yang banyak memberi nasihat dan membantu penulisan manuskrip ini ialah Tuan Haji Zakaria Sungib. Terima kasih banyak-banyak di atas cadangan dan teguran tuan.

Insya-Allah apabila kaver buku siap, saya akan paparkan  di blog ini berserta satu bab sebagai episod pengenalan buku tarbiah rohani sulung ini. Insya-Allah, saya juga sedang menulis sebuah lagi mansukrip Tarbiah Rohani untuk diterbitkan pada tahun ini. Insya-Allah. Doakan.

0 Komentar: