BAB 1 CINTA BERALIH ARAH

Posted: Sunday, April 15, 2012 by WZWY in Labels:
0

DENGAN IZIN ALLAH SWT 'COVER' buku SUAMI YANG TERUJI SUDAH siap dan bakal dicetak pada bila-bila masa sebaik sahaja pihak editor selesai membuat semakan akhir sebelum dihantar ke kilang percetakan.


Terima kasih buat semua warga penerbitan GISB yang bertungkus lumus dalam penerbitan buku ini. Tuan Haji Wan Azmin, Tuan Haji Zakaria, Puan Suraiya dan lain-lain.


Sebagaimana saya janjikan dalam entri terdahulu bahawa saya akan muatkan di sini sebahagian yang terkandung di dalam Bab 1 buku ini.


BAB 1 CINTA BERALIH ARAH


"Esok pasti ada tetapi esok belum pasti untuk kita. Beringat-ingatlah untuk menghadapi hari esok yang pasti akan datang."


HIDUP ini ada pasang surutnya. Hidup ini umpama roda. Ada ketika kita di atas dan ada kala kita akan berada di bawah. Persoalannya, adakah kita bersedia atau sebaliknya menghadapi sebarang kemungkinan dalam hidup ini. Persediaan perlu ada untuk dijadikan bekalan. Begitulah kehidupan pasangan suami isteri. Bila badai gelora melanda, ia akan menguji sejauh manakah tahap keutuhan kasih sayang mereka. Itu semua adalah kehendak Allah SWT terhadap hamba-hamba-Nya.


CORETAN HIDUP


RAHIMAH TIDAK MENDUGA bahawa perkara ini akan berlaku ke atas dirinya juga. Dia seboleh-bolehnya menidakkan perkara itu. Namun kata hatinya berat untuk percaya. Selama lapan belas tahun dia mencurahkan sepenuh kasih sayang terhadap suaminya, Saidin. Tanpa rasa penat atau lelah beliau menjaga, mengasuh dan mendidik tujuh orang cahaya mata mereka. Sejak berpindah ke Flat Perumahan Rakyat dua tahun lepas, kehidupan mereka agak bahagia walaupun hidup dalam serba kekurangan. Namun kini semuanya sudah berlalu.


"Memang benarlah apa yang saya dengar?" Rahimah tanpa berselindung terus bertanyakan pada suaminya.


"Kalau ya pun, biarkan saya duduk dahulu." Saidin meletakkan topi keledar di atas almari kasut dan menapak ke ruang tamu.


"Awakkan tahu bahawa kita sudah ada anak yang besar-besar belaka. Awak tidak malukah dengan mereka?" Saidin mendiamkan diri saha tanpa menoleh ke arah isterinya.


"Abang dengar tak apa yang Imah tanya?" Rahimah mula meninggikan suara. Rasa marah menguasai diri apabila semua soalannya tiada jawapan daripada mulut suaminya.


"Boleh tak awak diam dan siapkan makan tengah hari saya?" Saidin mula bersuara tanpa mengendahkan api kemarah suaminya.


"Saya tiada 'mood' masak hari ini," balas Rahimah masam mencuka.


"Baiklah, saya turun bawah makan di gerai Wak Kasjo." Saidin meletakkan akhbar mingguan di atas meja.


Rahimah hanya mampu memerhati langkah suaminya. Keluar tanpa bicara. Tanpa dipaksa, kolam matanya bergenang buat kesekian kalinya. Kesal dengan sikap suaminya. Seakan-akan lupa segala jasa dan pengorbanannya. memang sejak akhir-akhir ini kesihatannya terganggu. Doktor telah mengesahkan dia mengidap asma yang kronik. Dia perlukan rawatan berkala dan berterusan.


"Kenapa sekarang?" Tanya Rahimah pada dirinya.


************
Rahimah perlu buat perhitungan sekarang. Hatinya semakin resah sejak seminggu yang lepas. Saidin semakin jarang pulang awal. Ada sahaja alasan diberikan. Kerja sebagai pemandu lori menyebabkan dia tiada alasan menidakkan setaip alasan suaminya. Petang semalam hatinya semakin pedih.

"Memang saya lihat dengan dua biji mata inilah," kata Kak Miah.

"Awak betul-betul nampakkah? Mungkin orang lain," bela Hajjah Hamidah pula.

"Betul, saya memang cam rupanya! Si Saidin yang pegang tangan perempuan muda itu," balas Kak Miah bersungguh-sungguh. Hati Rahimah terasa pedih sekali apabila Kak Miah menunjukkan bagaimana suaminya memegang tangan wanta lain di sebuah pasar raya petang semalam.

Rahimah menangis lagi. " Saya sudah tidak tahan puan hajjah."

"Sabarlah Imah. Ini semua ujian Allah," pujuk Hajjah Hamidah.

"Maafkah saya Imah. Saya bukan bermaksud untuk buat awak sedih. Saya hanya rasa kecewa dengan sikap Saidin. Umur dia hampir lima puluh. Awak pula sudah empat puluh lebih. Masih lagi gatal dengan perempuan muda," terang Kak Miah, rasa bersalah apabila sahabatnya mula mengalirka  air mata.

"Tidak apa. Bukan salah awak. Saya cuma kecewa kenapa dia sanggup buat begini. Dia tak mampu untuk beristeri lain. Perbelanjaan di rumah ini pun tidak cukup. Belanja anak-anak sekolah lagi." Rahimah meluahkan rasa terbuku di hati.

Hajjah Hamidah menepuk-nepuk bahu Rahimah. "Rahimah jangan lupa, Allah telah sebut dalam Al-Quran yang bermaksud, "Dan bersabarlah terhadap apa yang menimpamu. Sesungguhnya yang demikian itu termasuk hal-hal diwajibkan."

"Memang saya bersabar, tetapi sampai bila?"

"Kuatkan semangat Imah," pujuk Kak Miah pula.

Tangisan Rahimah semakin reda. Namun hatinya masih lagi berbekas rasa kecewa yang begitu mendalam sekali.

*****


Rahimah terkejut apabila suaminya menunjukkan foto seorang gadis muda. Gadis berambut separas bahu. Hanya Tuhan yang tahu bagaima perasaannya ketika ini. Sungguh berat duagaan ini. Sungguh berat ujian ini.

"Gadis inikah yang mampu membahagiakan abang? Suara Rahimah tersekat-sekat.

"Ya betul," jawab Saidin penuh yakin.

"Kenapa dia?"

"Saya rasa kecewa apabila awak sudah tidak hiraukan saya sekarang. Awak juga selalu sakit. Saya perlukan seseorang yang dapat melayan saya," balas Saidin tenang.

"Jadi, kerana itulah awak sanggup bercinta dengan gadis itu? Adakah awak fikir tentang apa yang saya  telah lakukan untuk keluarga kita? Adakah selama ini saya abaikan abang dan anak-anak?" Soalan demi soalan Rahimah ajukan pada suaminya.

Saidin hanya diam. Dia mati kata-kata. Dia tahu isterinya sudah banyak berkorban untuk keluarga ini.

"Saya tidak sangka abang mudah........(terus sambung bacaan saudara di buku SYT).

MUHASABAH DIRI

Inilah sebahagian kisah duka seorang suri rumah yang mendambakan cinta pada seorang lelaki bergelar suami. Usia sesbuah perkahwinan belum boleh dijadikan kayu ukur untuk mengatakan apabila usia perkahwinan sudah melepasi angka 10 tahun maka ia berada di zon selamat. Paling penting ialah sejauh manakah suami isteri itu bertahan dengan segala ujian hidup. Pesan guru saya, yang paling penting ialah sepasang suami isteri itu mempunyai satu matlamat menajdikan rumah tangga mereka sebagai "Rumahku Syurgaku" dan bukan sebaliknya. Namun begitu, jika sudah habis segala ikhtiar untuk mengembalikan kebahagiaan dan pasangan masih bertegas untuk berpisah, terserahlah pada Allah SWT jika itu yang terbaik.

Dewasa ini krisis rumah tangga di kalangan masyarakat Islam semakin menjadi-jadi. Jumlah perceraian semakin meningkat dan ia amat membimbangkan. pelbagai faktor yang menyebabkan angka itu terus meningkat seperti masalah Saidin dan Rahimah tadi. Cinta siber di laman sosial, pendapatan tidak menampung perbelanjaan, hutang dan masalah komunikasi adalah di antara masalah-masalah yang banyak berlaku. Paling jelas ialah apabila sesebuah keluarga tiada nilai-nilai Islam di dalamnya, maka hubungan antara keluarga juga bermasalah................(teruskan pembacaan di dalam buku SYT)

SUAMI IDAMAN WANITA

Suami Yang Bertakwa Kepada Allah SWT

Apabila ditanya kepada bakal-bakal isteri, "Suami yang bagaimana menjadi pilihan saudari-saudari?"

"Saya mahukan suami saya orang yang taat perintah Allah."

Bangun seorang lagi.

"Saya mahukan seorang suami yang mampu membimbing saya ke jalan Allah."

Bangun lagi seorang gadis manis.

"Saya mahukan seorang suami yang mampu mendidik saya dan anak-anak mendekatkan diri kepada Allah."

Wah, cukup hebat kemahuan mereka. Dan itulah ciri pertama seorang lelaki yang menjadi idaman setiap wanita. Saudara bersetuju? Pasti anggukan kepala. Saya amat yakin itulah kemahuan masing-masing. Sejauh manakah pilihan itu betul, ia terpulang kepada setiap wanita pula. Sama ada ketakwaan kepada Allah menjadi syarat utama atau pun melihat dari segi rupa paras, keluarga atau pekerjaan seseorang lelaki itu.

Walau bagaimanapun tidak dinafikan bahawa TAKWA adalah ciri utama yang sepatutnya menjadi syarat utama pemilihan bakal suami. Setiap rumah tangga yang dibina atas dasar ketakwaan kepada Allah pastinya akan menemui kebahagiaan. Ini berdasarkan firman Allah SWT yang bermaksud : " Wahai orang-orang yang beriman, bertakwalah kamu kepada Allah dengan sebenar-benar takwa dan janganlah sekali-kali kamu mati melainkan dalam keadaan Islam." (Ali-Imran 3:102)

Jadi apakah yang dimaksudkan dengan suami yang bertakwa? Adakah cukup sekadar menunaikan solat lima waktu, berpuasa di bulan Ramadan atau berbuat baik kepada para isteri?

Persoalan di atas mudah sahaja......(teruskan bacaan di dalam buku SYT)

Semoga buku ini dapat memberi manfaat buat kita semua. Insya-Allah!

0 Komentar: