KALI KEDUA

Posted: Tuesday, April 19, 2011 by WZWY in Labels:
0

Kali ini merupakan PBAKL kedua saya selepas menghasilkan novel awal remaja pertama pada tahun 2010 yang lalu.

Kali ini saya hadir sekali lagi ke gerai Galeri Ilmu Sdn Bhd di Ruang Legar PWTC (A-14) untuk sama-sama mempromosikan novel awal remaja ketiga saya iaitu Impian Juara 2.
Masih ingat lagi pada tahun lepas, salah seorang bapa bertanyakan Impian Juara ini akan ada sambungan ke?

Masa itu saya hanya mampu menyebut, "Insya-Allah. akan terbit tahun depan." Jadi nampaknya impian itu terlaksana dengan keizinan Allah SWT. Syukur.

Pada PBAKL 2010 di depan saya hanya ada sebuah sahaja novel tulisan saya. Tapi kali ini ada TIGA buah novel tulisan saya iaitu IMPIAN JUARA, OPS MENJEJAK PENCURI dan IMPIAN JUARA 2. Syukur Alhamdulillah!

Kalau ikutkan pada perancangan awal, saya mahu menulis DUA buah novel untuk PBAKL kali ini, tetapi Allah Maha Berkuasa hanya mengizinkan SATU sahaja kerana kesibukan tugas rasmi dan proses penulisan IMPIAN JUARA 2 memerlukan perubahan manuskrip. Walau bagaimanapun saya berpuas hati kerana masih ada lagi karya terbaru pada tahun 2011 ini. Insya-Allah, saya sedang merancang untuk menulis SIRI PENYIASATAN CILIK ADIB ADIBAH dengan kes terbaru pula.

Berdasarkan jadual promosi IMPIAN JUARA 2 ini, pihak GISB sudah merencanakan agar saya berada di gerai pada 23 April 2011 (Sabtu). Insya-Allah saya akan berada di sana pada pukul 2.00 petang hingga 3.00 petang. Semoga ia dipermudahkan-Nya.

Saya amat berharap agar IMPIAN JUARA 2 ini dapat diterima baik oleh pembaca. Semoga apa yang disampaikan dalam novel ini dapat memberi kebaikan untuk semua.

Saya menjangkakan PBAKL pada tahun ini akan mencatatkan jumlah pengunjung yang lebih ramai berbanding tahun lepas. Insya-Allah. Lagi pun industri penerbitan buku di negara kita juga semakin berkembang pesat. Ramai yang tidak sabar-sabar untuk memiliki buku-buku terbaru dengan harga promosi yang istimewa. Begitu juga di Galeri Ilmu Sdn Bhd tidak ketinggalan menawarkan potongan 20%. Diharapkan jualan GISB pada tahun ini juga meningkat.

Di PBAKL 2011 ini juga saya amat berharap dapat berjumpa dengan lebih ramai rakan penulis dan bertukar-tukar pandangan dan idea. Maklumlah sejak menceburkan diri dalam dunia penulisan ini, sungguh sukar untuk saya bersembang dengan rakan penulis lelaki. Ketika menyertai bengkel atau kursus penulisan, majoritinya peserta perempuan. Adakah bilangan penulis lelaki di negara kita kecil bilangannya? Atau saya masih belum berjumpa dan berkenalan dengan mereka?

Saya mengucapkan jutaan terima kasih kepada semua pembeli novel-novel saya sebelum ini dan diharapkan terus memberi sokongan untuk saya menghasilkan karya yang lebih baik lagi. Dan tidak lupa kepada pihak GISB yang masih memberi kepercayaan untuk saya. Semoga usaha murni ini mendapat keberkatan dan keredhaan-Nya.

Wallahualam.

0 Komentar: