Sebaik sahaja selesai menulis Siri Komik Geng 5A, saya mencapai sebuah buku yang hampir lunyai dikerjakan. Ia adalah sebuah buku tip penulisan yang dibeli ketika berkunjung ke Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2009 yang lalu.
TIP MENJADI PENULIS BESTSELLER.
Sebuah lagi hasil tulisan hebat, sahabat penulis Tuan Zamri Mohamad. Apa yang menariknya ialah pada waktu saya membeli buku ini, saya baru berjinak-jinak dalam dunia penulisan dan tidak kenal pun siapa Tuan Zamri Mohamad. Apa yang saya mahu tahu ialah apa rahsia menjadi penulis bestseller sahaja. Dan itulah impian saya hingga kini. Masih menjadi penulis biasa-biasa sahaja. Dan hasrat untuk menjadi penulis bestseller masih lagi segar dan mekar dalam diri saya. Insya-Allah.
"Masih menjadi penulis biasa-biasa sahaja."
Apabila ungkapan ini muncul dalam minda saya, maka saya mula berfikir siapa yang mengkategorikan saya sebegitu?
Siapa lagi kalau bukan diri sendiri. Dan itulah yang saya rasa di sepanjang saya berada dalam dunia penulisan ini sejak novel pertama saya diterbitkan sekitar awal tahun 2010 yang lalu.
Memang benar, kalau hendak dibandingkan dengan barisan penulis tersohor, jurangnya begitu luas sekali. Kalau boleh saya menyebut beberapa nama yang saya kagumi seperti Tuan Pahrol Mohd Juoi, Tuan Zamri Mohamad, Tuan Ramlee Awang Murshid, Pak Latip, Puan Ainon Mohd, Cikgu Abu Hassan Morad dan novelis Aisya Sofea. Mereka mempunyai kekuatan tersendiri dan pakar dalam bidang yang mereka ceburi ini. Dan yang pasti mereka juga bermula sebagaimana orang lain. Apa yang membezakannya ialah bakat dan usaha keras mereka untuk berada di lapangan ini.
Tidak mustahil untuk saya dan teman-teman seperjuangan berdiri sama tinggi dengan mereka suatu hari nanti. Insya-Allah.
Kekurangan adalah bonus kepada penulis
Saya meminjam nama tajuk bab 13 di dalam buku 'Tip Menjadi Penulis Bestseller'. Tapi apa yang saya maksudkan di sini ialah saya sentiasa merasakan ada sahaja kelemahan atau kekurangan yang perlu saya perbaiki ketika setiap kali hasil karya saya diterbitkan. Contoh dari segi tatabahasa dan teknik penulisan. Saya tidak pasti ia berlaku kepada rakan-rakan penulis yang lain atau sebaliknya.
Jadi, apa yang menjadi bonus kepada saya apabila berfikiran demikian?
> Kenal pasti segala kekurangan yang ada.
> Usaha keras menimba ilmu penulisan melalui pembacaan dan menyertai seminar atau bengkel penulisan.
> Banyak membaca hasil karya penulis-penulis tersohor.
> Berani untuk dikritik oleh sesiapa sahaja.
> Banyak membuat kerja rumah sebelum menulis karya seterusnya.
> Berani bertanya.
> Sentiasa mahu belajar dan terus belajar.
Wahai diri! Teruskan berusaha tanpa lelah.
Sebagai manusia biasa, rasa kekurangan ini adalah sesuatu yang lumrah. Apatah lagi kesempurnaan itu hanyalah milik Allah SWT. Dan jangan sesekali saya mudah putus asa dan berpaling dari impian yang saya paterikan sebelum ini di dalam diri. Jangan begitu.
"Saya juga pernah susah dulu. Alhamdulillah sekarang agak senang. Pegangan saya ialah usaha, doa dan kemudian baru bertawakal. Ingat saudara, hidup ini perjuangan," saya sedikit berleter.
Dialog di atas adalah petikan di dalam muka surat 167, buku 'Berfikir Gaya Champion' hasil tulisan sahabat penulis, Tuan Hizamnuddin Awang@Websutera. Beliau juga di antara sahabat penulis yang saya kagumi kerana kegigihan menghasilkan karya-karya berkualiti. Insya-Allah.
Baik. Saya akan terus berjuang. Saya ambil nasihat Tuan Websutera ini selagi hayat masih ada. Berjuang dan terus berjuang.
Alhamdulillah, ketika ini saya sedang berjuang menghasilkan dua manuskrip terbaharu. Semoga ia lancar dan akan diterbitkan pada tahun 2014 nanti. Mohon doa sahabat-sahabat.
Amin!