SYUKUR NIKMAT

Posted: Sunday, April 22, 2012 by WZWY in Labels:
0

Saya ditanya oleh seseorang tentang SYUKUR NIKMAT. Dia nampaknya bersungguh-sungguh. Saya hanya mampu tersenyum kerana memikirkan tentang diri saya sendiri masih banyak kelemahan. Banyak lagi perkara yang perlu saya pelajari dan laksanakan dalam kehidupan ini. Namun atas dasar kepercayaan diberikan seseorang, maka saya cuba sedaya upaya membantu. Sekurang-kurangnya ia memberikan ilmu dan peringatan buat diri saya juga.

Saya berikan sedikit kupasan daripada Imam Bukhari, "Bersyukur akan menambahkan nikmat kerana ia ibarat baja bagi tanaman. Sebaliknya sifat kedekut, ego dan riyak akan membuatkan hati menjadi sombong." Maka tugas besar diri saya dan saudara-saudara mendidik HATI agar bersyukur di atas segala nikmat pemberian-Nya.

Dia masih belum jelas.

"Begini sahajalah tuan. Kita akan rasa bersyukur apabila kehilangan."
"Maksud tuan?"
"Bayangkan apabila telefon bimbit yang tuan pegang sekarang ini hilang entah ke mana. Atau pun mungkin dicuri seseorang. Oleh kerana harganya mencecah ribuan ringgit dan banyak maklumat atau nombor penting di dalamnya membuatkan tuan berasa sangat sedih dan gelisah. Betulkan?"

Tersenyum dan angguk.

"Hendak dijadikan cerita. Setelah satu hari suntuk tuan mencari tetapi tidak jumpa. Maka tuan akur bahawa telefon itu sudah hilang dan hati tuan juga keluh kesah. Makan pun tak lalu. Tetapi tidak lama kemudian, ada seseorang datang bertanyakan, 'Ini telefon siapa?'. Apa perasaan tuan pada masa itu? Pastinya gembira dan berkali-kali tuan ucapkan syukur kepada Allah. Pada masa itu tuan akan merasai betapa sukarnya hadapi saat-saat demikian."

"Ya benar tuan. Kita tak akan rasa syukur selagi tidak diuji oleh-Nya."

Begitulah keadaannya apabila kita kehilangan sesuatu yang berharga. Apatah lagi dengan NYAWA kita sendiri. Apakah bekalan yang kita cari selama ini mencukupi untuk memberatkan timbangan amalan kebaikan untuk memudahkan perjalanan kita ke syurga Allah?

Sesiapa yang tidak pernah memandu kereta Kancil tidak akan merasai apa-apa NIKMAT apabila diminta memandu kereta Proton Waja. Ini kerana sejak mula dia memandu, dia telah mampu membeli sebuah kereta import.

Namun sebaliknya pula bagi seseorang yang selama ini memandu kereta Kancil dan kemudiannya dapat membeli sebuah kereta Proton Waja. Dia merasa sangat gembira dan menikmati pemanduan kereta tersebut dengan hati berbunga-bunga. Dalam hati berasa bangga kerana mampu memandu Proton Waja.

Jadi, terpulang pada diri kita. Bersyukurlah dengan apa yang diberikan oleh Allah kepada kita. Berusaha dan terus berusaha menggapai cita-cita.

Waallahualam.

0 Komentar: