Berdoalah..Jangan Putus Asa

Posted: Monday, May 21, 2012 by WZWY in Labels:
0


“Saya sudah putus asa. Segala yang saya lakukan sudah tidak berguna lagi. Saya hilang keyakinan diri. Saya tewas.”

“Apa yang berlaku?”

“Isteri saya sudah tidak cintakan saya. Semua perkara yang saya lakukan kini, tiada makna lagi.”

“Adakah tuan pernah lakukan kesilapan?” Saya menduga.

“Iya. Dulu saya selalu abaikan dia. Semakin lama kudis itu makin membesar dan menyebabkan dia sudah tiada apa-apa perasaan lagi terhadap saya.”

“Berdoa dan bersolatlah. Insya-Allah keadaan kembali pulih.”

“Tidak mungkin.”

“Mungkin betul sangkaan saudara.”

Lelaki itu membulatkan mata. “Kenapa tuan kata begitu?”

“Kerana tuan sendiri beranggapan begitu. Tuan sudah hilang keyakinan diri. Tuan perlu ingat, kita masih ada Allah. Dia yang menyatukan hati tuan dan isteri suatu ketika dahulu. Jadi, kembalilah kepada pemilik penyatuan hati itu. Berbaik sangka pada Allah.”

Inilah sebahagian kisah manusia yang sedang dan telah diuji oleh Allah. Dan terpulanglah pula kepada seseorang itu mahu mengambil tindakan yang bersesuaian. Andai masih yakin dan beriman kepada-Nya. Maka, kembalilah pada-Nya. Mungkin ini suatu peringatan daripada-Nya agar kita sedar dan insaf di atas segala kelalaian kita sebagai hamba-Nya.

Jangan tuding jari kepada orang lain. Kita yang bertanggungjawab di atas segala yang berlaku. Kita bersabar di saat diuji dan kita juga bersabar apabila bahagia mula menjelma. Saat gembira dan bahagia sebenarnya lebih sukar untuk bersifat sabar. Oleh sebab itu ramai manusia yang bahagia, kaya raya dan seumpamanya tewas dengan dorongan hawa nafsu.

Salah satu teknik yang dianjurkan oleh Islam sebagai perangsang kekuatan diri kita ialah berzikir. Benarkah begitu? Kata Imam Bukhari, zikir adalah tugasan harian setiap muslim kerana ia mendatangkan kekuatan dan ketenangan. Berzikirlah setiap saat agar Allah sentiasa ingatkan kita setiap saat.

Saya tunjukkan satu bukti iaitu firman Allah dalam surah Al-Ahzab, ayat 35 :”Dan golongan lelaki dan wanita yang banyak berzikir kepada Allah, Allah janjikan bagi mereka keampunan serta ganjaran yang besar.”

Andai lelaki tadi terus berzikir dan mengingati Allah. Insya-Allah keyakinan diri akan pulih. Reda dia atas apa yang berlaku selepas berusaha habis-habisan memberi dan terus memberi kepada pasangannya. Berikan kasih sayang, berikan doa, berikan khidmat sebagai suami dan seumpamanya. Andai kata selepas semua itu masih belum berganjak tingkah laku isteri, fikirkanlah jalan alternatif yang terbaik untuk kedua-duanya. Sesungguhnya sesiapa beriman dengan-Nya, maka Dia akan berikan pertolongan.

Percayalah!

0 Komentar: