Ada Yang Lebih Penting Lagi

Posted: Saturday, May 19, 2012 by WZWY in Labels:
0

KEBANYAKAN MANUSIA pada hari ini amat tekun mencari rezeki. Keluar pagi dan pulang malam. Di pejabat atau di tempat kerja sentiasa mendapat pujian kerana memberikan perkhidmatan cemerlang.

Ada juga sesetengah manusia yang terlalu leka mencari harta dan wang ringgit sehingga mengabaikan tanggungjawab utama sebagai hamba Allah SWT. Sanggup bersekang mata mengumpul wang tetapi dalam masa yang sama dahi tidak pernah menyentuh sejadah.

Pendek kata, manusia lebih mengutamakan keindahan dan kemanisan dunia semata-mata. Padahal sudah sedar bahawa suatu hari nanti semuanya akan dibawa ke padang Mahsyar untuk dibicarakan.

Sebenarnya ada yang lebih penting selain bekerja siang malam atau pun terpaksa mengejar waktu untuk menyiapkan projek perniagaan.

Apa dia?

Ibadah lahir dan dan ibadah batin.

Dalam Islam ada ibadah lahir dan ada batinnya. Ada orang Islam, amalan dan ibadah lahirnya sukses. Dia berjaya solat, puasa, tunaikan zakat, mengerjakan haji, menutup aurat dan sebagainya. Namun begitu, dalam pada itu masih ramai umat Islam gagal dalam melaksanakan ibadah lahir mereka. Mereka cuai menunaikan solat atau melambat-lambatkan solat, tidak berpuasa dan seumapamanya.


Muhasabah buat diri saya sendiri.

Amalan dan ibadah kita bukan setakat melaksanakan sahaja. Kalau kita hanya laksanakan ibadah lahir sahaja, belum ada apa-apa makna lagi jika abaikan ibadah batinnya. Ia diibaratkan buah, amalan dan lahiriah itu hanyalah kulitnya sahaja. Kita belum mendapat isinya walhal nilai buah itu terletak kepada kemanisan isinya.

Dalam erti kata lain setiap ibadah yang kita lakukan ada ROH IBADAH. Roh dalam ibadah solat di antara lain ialah khusyuk. Roh dalam ibadah puasa ialah mendidik nafsu, menyuci dan mengembalikan fitrah kita kepada keadaan asal semula jadinya suci dan murni. Roh dalam ibadah zakat ialah mengorbankan perasaan cinta kepada harta dan mata benda dunia dan menggantikannya dengan cinta kepada Allah dan kepada manusia yang fakir miskin.


Maka kita sama-sama semak sama ada segala ibadah kita itu dapat mendidik HATI kita dekat dengan-Nya atau sebaliknya. Dapatkan kita mengekang hawa nafsu kita untuk melakukan dosa. Mampukah kita membersih hati dari segala sifat-sifat mazmumah dan diganti dengan sifat-sifat mahmudah.


Kita sama-sama semak dan perbaiki diri. Insya-Allah.
Selamat bercuti di hujung minggu.
Apa perancangan hari ini?

0 Komentar: