IKHLAS

Posted: Thursday, May 31, 2012 by WZWY in Labels:
0

TIBA-TIBA PERKATAAN INI MUNCUL DALAM FIKIRAN SAYA. Ketika ini juga saya masih berusaha mengembalikan semula momentum penulisan manuskrip MEREKA YANG BERTAUBAT. Sebaik sahaja dimaklumkan kertas cadangan penulisan manuskrip ini diluluskan oleh Jawatankuasa Pemilihan GISB, saya mula mencari rentaknya semula.

IKHLAS BUKAN SUATU YANG MUDAH

Saya percaya tuan-tuan juga bersetuju jika saya katakan IKHLAS ini sesuatu yang sukar dicapai, tetapi ia bukan sesuatu yang mustahil. Ikhlas adalah kekuatan dan motivasi umat Islam.

Kita mungkin menganggap setiap pertolongan atau bantuan kita itu IKHLAS. Namun begitu, di dalam hati masih menaruh harapan agar orang yang ditolong itu akan membantu kita pula nanti. Maka, di situ telah membuatkan kita gagal mencapai tahap IKHLAS yang sebenar.

Jadi, macam mana tanda-tanda IKHLAS?

Menurut Dzinun al-Misri :

1) Segala pujian atau pun celaan manusia tidak memberikan apa-apa kesan ke atas amalan kita. Maknanya, jika orang mengeji, kita masih teruskan amalan baik kita. Apatah lagi jika orang memuji, kita masih lakukan perkara yang sama tanpa mengharapkan lagi pujian orang lain.

2) Kita lupakan segala amalan-amalan baik kita. Jangan ungkit. Ingat! Jangan mengungkit. Kita berusaha pula melaksanakan amalan-amalan baik dengan lebih hebat lagi.

3) Setiap apa kita lakukan itu hanya mengharapkan keredaan Allah serta ganjaran di akhirat.

Jika ketiga-tiga perkara di atas berjaya dilaksanakan, maka kita sudah mencapai tahap IKHLAS yang sebenarnya. Ini semua berkait dengan hati. Maka kita sebagai hamba Allah tidak layak untuk mempersoalkan keikhlasan orang lain. Ia di luar kemampuan kita.

Saya juga harus muhasabah diri. Saya juga percaya tuan-tuan juga mahu muhasabah diri semula. Pernah tak kita terfikir atau terlepas cakap bahawa kita tidak berpuas hati dengan markah prestasi yang diberikan oleh majikan. Kita yakin bahawa kita sepatutnya mendapat markah yang lebih tinggi. Maka bermula hari ini, biarlah kita lakukan tugas kita dengan IKHLAS tanpa mengharapkan pujian manusia. Ini kerana penilaian Allah lebih hebat lagi berbanding manusia di persekitaran kita.

Kesimpulannya, jika kita mahu hati yang tenang dan bahagia, maka laksanakan segala amalan kita dengan penuh KEIKHLASAN. Walaupun nampak sukar, kita sama-sama didik HATI kita agar bersifat IKHLAS. Kita hendaklah berusaha memohon pada-Nya. Timba seberapa banyak ilmu dunia dan akhirat. Latih diri sentiasa memberi dan beristighfar pada-Nya.

Insya-Allah kita berjaya di dunia dan di akhirat.
 

0 Komentar: