Hanya Linangan Air Mata

Posted: Thursday, May 24, 2012 by WZWY in Labels: ,
0

"TOK!TOK!TOK!"

Pintu bilik saya diketuk. Kemudian muncul salah seorang guru.

"Encik Wan! Ada seorang murid kita mengalami masalah dalaman yang agak besar."

Saya menyambut satu set soalan peperiksaan . Kemudian saya melihat semula ke arah guru itu semula.

Tidak percaya.

Murid itu menulis deretan ayat bagaikan sebuah lagu atau puisi tentang kemarahan dan kekecewaannya di halaman kosong di belakang set soalan itu.

Dia begitu kecewa apabila ayah mengabaikannya. Dia juga kecewa apabila ayahnya memperlakukan ibu sedemikian rupa. Dia sangat marah dan berdendam kepada seorang ayah yang tinggalkan ibu, dia dan dua adik yang lain.

Murid ini adalah mangsa sebuah rumahtangga yang runtuh.

Saya tidak tergamak untuk tulis di sini isi perbualan saya dan murid perempuan tersebut. Dia lahirkan segala isi hati kekecewaannya. Kesal dan marah.

"Saya dan adik-adik, kadang-kadang tidak makan kerana ibu tiada duit."

"Bila balik sekolah, kami pernah hanya minum air sahaja kerana tiada makanan di rumah."

"Adik saya berumur 3 tahun minum air teh dan bukan susu kerana ibu tiada duit untuk belikan susu."

"Ayah boleh terbang bercuti tetapi sanggup lupakan saya dan adik-adik. Kata tiada duit."

Murid ini bercucuran air mata dari awal hingga akhir pertemuan. Alhamdulillah, sudah menjadi rezeki murid ini kebetulan masih ada sebahagian pakaian, kasut dan beg yang lebih sumbangan syarikat MISC pada tahun lepas. Maka kami menyerahkan kepada murid dan adik lelakinya. Moga ia membantu. Wajah suram murid tadi mula mengukir sedikit senyuman. Kemudian saya maklumkan mereka akan masuk senarai 'waiting list' penerima makanan RMT pada setiap pagi. Jika ada murid tidak hadir sekolah. Mereka akan menggantikan mereka untuk ambil sarapan tersebut.

Saya juga terkesan. Murid pada usia 11 tahun ini telah menerima tekanan hidup sehebat itu.  Ke manakah perginya rasa kasih dan sayang serta tanggungjawab seorang ayah? Biarkan bekas isteri dan anak-anak menderita. Inilah dunia yang kita diami sekarang. Nasihat saya padanya, "Jangan lupa solat. Minta doa dengan Allah banyak-banyak."

Saya undur diri dahulu.

0 Komentar: