CEMAS SEKETIKA

Posted: Sunday, May 27, 2012 by WZWY in Labels:
0

Situasi saya agak gawat pada tengah hari semalam (26hb Mei) apabila Zikry mengadu sakit perut dan sakit kepala. Badan dia juga agak panas. Sejak awal pagi tadi dia mengadu sakit perut dan sakit kepala. Lebih kurang pukul 8 pagi selepas masak nasi bubur dan bakar ikan untuk dibawa ke hospital, saya lihat Zikry masih lagi tidur. Ziyad dan Zali tertidur di ruang tamu selepas solat Subuh.
 
Selepas menghantar sarapan isteri dan ibu mertua, saya singgah sekejap bersarapan di sebuah kedai mamak. Hati masih tidak tenteram kerana keadaan Zikry tadi masih lagi tidak stabil.
 
Lebih kurang pukul 12 tengah hari saya bawa Zikry ke sebuah poliklinik di Alam Budiman. Zikry pula seperti biasa kurang bercakap dan menangis. 
 
Kecewa. Apabila sampai di kaunter sebuah poliklinik tersebut, saya tidak dilayan atau ditegur pun. Malah staf sibuk dengan kerja dia sahaja. Bila ditanya, dimaklumkan doktor ada tetapi tidak dipanggil untuk mendaftarkan nama. 
 
Selepas lama menunggu, saya ambil keputusan panggil Zikry yang dalam keadaan sakit keluar. Saya teringat masih ada satu klinik swasta di taman perumahan ini, Klinik As-Syakirin. Saya terus hidupkan enjin dan ke klinik tersebut. Alhamdulillah, sampai sahaja terus dipanggil daftar dan masuk ke bilik doktor.
 
Terkejut apabila doktor syak Zikry ada apendiks. Maka dia minta saya hantar segera Zikry ke Hospital Sungai Buloh.
 
Dalam kepala sedang fikir macam mana kalau Zikry masuk wad dan isteri masih dirawat di Hospital Umra Seksyen 13, Shah Alam. Teringat kembali pada tahun 2003 apabila Al-Ghazali masuk ICU dan Zikry pula ditahan di wad kerana asma.
 
Dipendekkan cerita selepas hampir 4 jam di Hospital Sungai Buloh, doktor khabarkan berita gembira apabila ujian darah menunjukkan Zikry tidak ada simptom sakit apendiks. Doktor hanya memaklumkan Zikry ada jangkitan kuman dan diberikan anti biotik. Dibenarkan pulang.
Alhamdulillah.
 
Syukur dengan nikmat Allah. Dalam hati tetap terus berdoa agar tiada apa-apa berlaku kepada anak kedua ini. Banyak benar dugaan dia alami sejak berumur 3 tahun. Keluar masuk hospital.
 
Hari ini (27hb Mei ) isteri dibenarkan pulang. Badan masih lemah. Tugasan saya sejak 26hb ialah masak bubur nasi dan bakar ikan selar. Ia akan berterusan hingga habis pantang. 'Baby' masih ditahan wad dan dibenarkan keluar pada esok hari (28hb Mei).

Semoga diberi keredaan dan kerahmatan Allah.

Amin.

0 Komentar: