Kongsi Ilmu

Posted: Sunday, February 28, 2010 by WZWY in Labels:
0

"Hmm...novel ini tidak menariklah." 

"Novel ini cerita tentang apa ya?"

"Macam tak 'best'cerita ni."

Ini adalah sebahagian respon daripada pembaca terhadap buku atau novel sebelum ia dibeli.Begitu juga dengan saya dan mungkin anda mengalami situasi sama.

Apa masalahnya?

Kalau saya, sebelum membelek atau menyentuh sesebuah buku atau novel, perkara pertama ialah melihat 'cover' di kulit buku atau novel terlebih dahulu. Kecuali saya sudah ada perancangan awal untuk membeli sesebuah buku atau novel tersebut. Proses kedua jika ia tidak dibalut, saya akan baca secara sepintas lalu isi kandungan dan bab awal buku atau novel. Jika ia dirasakan menarik atau sesuai dengan keperluan, maka saya akan meletakkan buku tersebut di kaunter bayaran. Jika tidak, ia akan kembali semula ke rak.

Saya ingin kongsi sedikit ilmu yang saya perolehi daripada Puan Nisah Haron. Jika ia mahu dipelajari secara terperinci, bolehlah menghadiri kursus-kursus yang dikendalikan oleh beliau.

Teknik penulisan bab pertama merupakan satu perkara yang tidak boleh dipandang ringan oleh mana-mana penulis kerana ia menjadi titik tolak hasil karya akan terus dibaca oleh pembaca atau tidak. Di antara perkara-perkara yang perlu diberi perhatian ialah :

1- Inciting Incident ( Peristiwa pencetus )

2- Story-Worth Problem ( Watak ada masalah dalaman )

3- Initial Surface Problem ( Masalah yang kelihatan )

4- Setup - Latar / Dialog / Gambaran

Semoga perkongsian ilmu ini dapat membantu rakan-rakan yang baharu berjinak-jinak dengan dunia penulisan. Saya pun masih banyak kelemahan yang perlu diatasi. Saya tiada pilihan selain perlu banyak membaca, menghadiri kursus berkaitan, bertanyakan seseorang yang mahir dengan penulisan dan sentiasa berdoa agar diberi kemudahan untuk berkarya.





Berita Pelancaran Novel IJ di Majalah Anis dan Asuh

Posted: Saturday, February 27, 2010 by WZWY in Labels:
0

Alhamdulillah, berita Majlis Pelancaran Novel Impian Juara dimuatkan di dalam majalah Anis dan Asuh keluaran bulan Mac 2010.

Pada peringkat awal, saya agak ragu-ragu untuk mengadakan majlis ini. Apabila cadangan ini disambut baik oleh pihak pentadbir sekolah, akhirnya ia menjadi kenyataan. 

Tiada apa yang mampu diungkapkan selain panjatkan setinggi-tinggi kesyukuran di atas keizinan-Nya. Hasrat untuk menghasilkan karya pertama yang dicetuskan pada bulan April 2009 terlaksana apabila novel ini mula berada di toko-toko buku pada awal Disember 2009.

"Jika ingin menjadi seorang yang HEBAT, kita tiada PILIHAN," beritahu Ustaz Jazlan sempena sambutan Maulidur Rasul semalam.

"Pilihan yang ada hanya SATU sahaja, taat perintah Allah Subha nawataala dan Rasulullah Salallahi alaihi wassalam," sambung Ustaz Jazlan lagi.

Semoga saya lebih bersemangat untuk terus berkarya dan menjadikan hasil karya tersebut sebagai bahan rujukan dan panduan pembaca.Walaupun ia bukanlah suatu tugas mudah, saya tiada pilihan selain mempertingkatkan kemahiran dan mengekalkan momentum untuk menulis dan terus menulis.

9 Nyawa.....

Posted: Tuesday, February 16, 2010 by WZWY in Labels:
0

Novel terbaru karya novelis tersohor Ramlee Awang Murshid setebal 519 muka surat akhirnya sampai ke noktah terakhir.

Sejujurnya, ia merupakan novel pertama karya RAM yang saya beli dan baca. Sebelum ini hanya dengar daripada rakan-rakan tentang keunikan hasil tulisan beliau. Sehingga salah seorang rakan menawarkan untuk meminjamkan saya koleksi beliau. Saya menolak dan ingin membelinya sendiri jika ia sesuatu hasil berbaloi.
Pada 7 Februari 2010 yang lepas, saya  membelinya di MPH Shah Alam dan mula membaca bab ke bab.Walaupun ia memakan masa hampir 9 hari baru sampai titik akhir, saya sentiasa teruja ketika menatap helai demi helai novel ini. Saya sengaja melambatkan proses pembacaannya. Saya mahu setiap hari, ia menjadi teman setia. Oleh sebab itu, sebelum tidur pun saya akan membaca sekurang-kurangnya tiga helai muka surat. Saya mahu hayati sepenuhnya penceritaan 9 Nyawa ini. Di samping itu saya akan mencatat beberapa perkataan baharu untuk dimasukkan ke dalam buku catatan saya.

Saya bukan membaca semata-mata ingin tahu apa yang tersurat sahaja. Saya ingin mengenali cara RAM berkarya. Saya kagum dan tabik di atas hasil usaha beliau. Cukup mendebarkan. Baharulah saya teringat pada penghujung tahun lepas apabila bercerita tentang karya-karya RAM dengan salah seorang rakan sekerja. Saya bertanyakan beliau, kenapa RAM digelar Novelis Thriller Nombor 1 Malaysia? Apa yang dimaksudkan 'thriller'? Beliau hanya mencadangkan saya kenali dulu hasil buah tangan RAM, kemudian baharu tahu apa jawapannya. Kini, baharu saya tahu kenapa karya-karya beliau menjadi peneman setia peminat-peminatnya.

AKhirnya, saya juga terpengaruh dan akan mendapatkan karya-karya RAM sebelum ini. Novel Tombiruo dan Tombiruo Terakhir akan menjadi tatapan saya pula selepas ini.

Berkenaan novel 9 Nyawa pula, walaupun pada peringkat awalnya saya agak berpinar-pinar dan kekok ketika membacanya. Lama kelamaan ia menjadi semakin menarik dan kagum dengan cara garapan RAM. Kisah alam nyata dan alam ghaib digarap dengan sempurna oleh beliau.

Oleh sebab itu, saya semakin tidak sabar untuk menghadiri kursus penulis skrip drama anjuran AVA. Ia amat berguna untuk diaplikasikan di dalam penulisan novel dan ia sesuatu yang menarik. Saya berazam untuk menulis sebagaimana RAM dan akan terus belajar menjadi lebih baik. Amat beruntung jika suatu hari nanti saya berpeluang bersemuka dan berguru dengan beliau.Insya-Allah ia dimakbulkan oleh Allah s.w.t.

Hati berasa puas.....

Ilmu Ada Di Mana-Mana....

Posted: Saturday, February 13, 2010 by WZWY in Labels:
1

Bilakah kali terakhir tuan/puan ke kedai buku berhampiran?

Apakah buku terakhir tuan/puan baca?

Masih ingat tajuk buku bekenaan?

Wah..banyak pula soalan ditanya. Tapi isu baca buku ini pernah menjadi perdebatan kerana dikatakan rakyat Malaysia kurang membaca. Betul ka? Atau ia sekadar omongan kosong untuk menyedarkan budaya membaca di negara ini masih lagi ditahap sederhana atau lemah.

Kita abaikan dulu tentang hasil kajian tersebut. Kita bermula dengan diri kita sendiri dan ahli keluarga kita dahulu. Adakah kita tergolong di dalam kelompok menjadikan buku sebagai teman setia atau sebaliknya.

Kita sama-sama buat semakan:

1- Berapa buah buku kita baca pada tahun lepas?
2- Berapa buah buku kita baca dalam seminggu atau sebulan?
3- Pada bulan Januari lepas, cuba senaraikan buku-buku yang telah kita beli dan baca.
4- Adakah kita rasa sayang untuk berbelanja sekurang-kurangnya Ringgit Malaysia Dua Puluh bagi membeli sebuah atau dua buah buku?
5- Pernahkah kita membawa isteri dan anak-anak ke kedai buku?
6- Adakah kita memberi kebebasan kepada mereka untuk memilih buku-buku kegemaran masing-masing
7- Pernahkah kita membuat apa-apa catatan setiap kali membaca buku?
8- Adakah kita rasa berat hati untuk meminjamkan buku-buku dibeli kepada rakan?
9- Adakah kita menjadikan kedai buku adalah persinggahan pertama apabila ke bandar/pekan?
10- Adakah kita sentiasa membawa sebuah buku dan meletakkannya di kerusi sebelah semasa memandu? 
11- Adakah kita akan membelek buku di kedai-kedai makan atau sambil menunggu pesanan?
12- Adakah kita rasa segan atau malu untuk membaca buku di kedai makan?
13- Adakah kita pernah alami situasi sukar berenggang dengan buku yang kita baca?
14- Siapakah penulis buku atau novel yang paling diminati?
15- Adakah buku-buku dibeli akan disimpan dengan selamat dan dijaga rapi?

Saya tidak kisah apa jua jawapan diberikan. Cuma yang paling penting kita sama-sama muhasabah diri dan memastikan kita berada di dalam kelompok orang yang bernasib baik kerana sentiasa berusaha meningkatkan ilmu pengetahuan.

Salah seorang sahabat pernah memberitahu saya bahawa apabila kita hidup di Lembah Klang ini, adalah menjadi satu kerugian jika hanya memikirkan solal duit atau harta semata-mata. Duit dan harta menjadi suatu keutamaan sehingga mengabaikan majlis-majlis ilmu. Katanya, selain buku kita boleh menghadiri atau memilih mana-mana surau atau masjid di kawasan sekitar yang sentiasa mengadakan kuliah maghrib, kuliah subuh dan pelbagai aktiviti keilmuan. Malah katanya, ada juga beberapa institusi yang mengadakan kelas secara percuma. Cuma mahu atau tidak sahaja.

Oleh itu, fikir-fikirkan adakah kita merasakan suatu kerugian untuk mengeluarkan 2%-5% hasil pendapatan bulanan kita untuk memiliki buku-buku berkaitan dan jadikan rumah kita sebagai salah satu gudang ilmu.

Wassalam....

Pelancaran Novel Impian Juara

Posted: Saturday, January 16, 2010 by WZWY in Labels:
1


Majlis Pelancaran Novel Impian Juara telah diadakan secara sederhana dan ringkas pada 11 Januari 2010 yang lalu.

Majlis tersebut telah disempurnakan oleh Guru Besar SK Taman Medan, Cikgu Mohd Nordin Bin Haji Naim.

Jutaan terima kasih kepada semua guru SK Taman Medan dan pihak pentadbir di atas sokongan yang diberikan.

Tidak lupa kepada pihak penaja iaitu Cikgu Zulkifli Ibrahim, pengarah teknikal majlis iaitu Cikgu Zainale, pengacara majlis Ustaz Wan A'mran dan Cikgu Fuad serta Cikgu Hafizan yang mengabadikan majlis ini dengan rakaman kamera video dan kamera digital. 

Aku Hanya Bermula Zero

Posted: Saturday, January 2, 2010 by WZWY in Labels:
2


Imran tersipu-sipu malu mendengar kata-kata Ustaz Zikry. Perlahan-lahan dia mengangguk.

"Saya juga ada impian," kata Ustaz Zikry lagi.

"Apa impian ustaz?" soal Imran ingin tahu.

"Impian saya, mahu melihat anak bangsa saya berjaya dalam sukan pingpong," terang Ustaz Zikry.

Imran tersentak mendengar kata-kata Ustaz Zikry.

"Jadi saya mahu kamu buktikan yang kamu boleh lakukannya walaupun dengan hanya memakai jersi bola," ujar Ustaz Zikry dengan bersemangat.

Imran ketawa mendengar kata-kata Ustaz Zikry. Dia teringat dalam perlawanan tahun lepas, mereka meminjam jersi pasukan bola sepak keran tidak mempunyai jersi sendiri. Selepas mereka berjaya merangkul kejuaraan, barulah pihak sekolah memberi peruntukan bagi membuat jersi khas pasukan ping pong.

"Saya mahu pemain-pemain saya mencontohi Shakirin Ibrahim, pemain pingpong utama negara sekarang. Tetapi impian itu tidak mudah dilaksanakan, Imran. Jadi..." kata-kata Ustaz Zikry terhenti.

"Jadi apa ustaz?" soal Imran tidak sabar.

"Jadi saya sudah merangka sesuatu untuk dilakukan sepanjang cuti nanti,"

Belum pun sempat Ustaz Zikry menghabiskan kata-katanya, loceng berbunyi menandakan waktu rehat tamat.
************
Impian Juara adalah sebuah tajuk novel awal remaja yang bertitik tolak daripada hasrat saya pada bulan April 2009 lepas.

"Saya ingin berjumpa dengan tuan petang ini," saya memulakan perbualan melalui telefon dengan Editor Kanan Galeri Ilmu Sdn Bhd, Encik Zakaria Sungib.

"Saya mahu jadi penulis," ujar saya terus terang.

" Boleh, insya-Allah," 

"Tapi saya tidak tahu apa yang mahu saya tulis," balas saya lagi.

"Tulislah sesuatu yang dekat dengan saudara," jawab Encik Zakaria.

"Kebetulan pada bulan depan, pihak kami akan mengadakan Bengkel Penulisan Novel Remaja Islami, saya rasa bagus untuk saudara datang," Encik Zakaria memberi cadangan.

"Tapi.." saya mula risau.

"Kenapa?"

"Saya tidak pernah beli atau baca novel sebelum ini," 

"Itu bukan suatu halangan, saudara boleh mulakan daripada sekarang," pujuk Encik zakaria.

Bulan Mei 2009, saya mula mengenali dunia penulisan. Apa itu tema, watak perwatakan, plot, gaya bahasa dan sebagainya. Walaupun semasa belajar di tingkatan lima dan enam dahulu, mata pelajaran sastera sudah diterokai, namun ia masih belum cukup untuk berkecimpung dalam bidang ini.


Selepas itu saya terus berdayung dalam arus penulisan ini. Alhamdulillah, pada bulan Jun 2009, sinopsis novel awal remaja siap. Namun bukan suatu usaha mudah, apabila ia berulang kali keluar masuk daripada kotak email.Beberapa kali Encik Zakaria meminta saya mengubahnya. Akhirnya pada bulan Julai 2009, sinopsis diluluskan seperti mana ditulis dalam Impian Juara.

Di dalam proses penulisan manuskrip itu, saya mula semakin dekat dan cinta terhadap dunia penulisan. Bengkel Penulisan Novel Kusyi Hirdan saya kunjungi selepas itu dan diikuti pula Bengkel Penulisan Cerpen anjuran KEPEZI ( Kelab Penulisan Zaharah Nawawi) yang diadakan di Dewan Bahasa Dan Pustaka.

Lebih kurang sebulan selepas itu, seingat saya dalam bulan September 2009. Manuskrip siap dan dihantar ke meja Encik Zakaria. Cuma agak kelakar juga kerana saya begitu ghairah sehinggakan proses pengeraman tidak dilakukan sebaik mungkin. Siap sahaja ayat terakhir, saya katakan kepada Encik Zakaria.

"Manuskrip sudah siap,"

Selepas itu saya mula sibuk berhubung dengan penyunting novel ini, Puan Zulina Hassan. Salah seorang novelis dan bekas wartawan yang saya hormati. Dia banyak mengajar dan memberi bimbingan serta teguran kepada saya. Kalau tidak, Impian Juara tidak akan diterbitkan seperti mana hari ini. Terima kasih....

Barulah saya tahu, bukan senang rupanya menjadi seorang penulis walaupun ia sebuah naskhah setebal 114 muka surat. Tapi cabaran ini telah memberikan saya suatu kepuasan tidak terhingga. Daripada impian saya mahu menulis pada bulan April 2009, dan pada bulan Disember 2009 Novel Impian Juara berada di toko-toko buku. Bagai mimpi apabila sebuah buku tertera nama Zayu Hisham sebagai penulisnya. Itulah Keazaman Membara menjadi suatu realiti. Syukur ke hadarat Ilahi di atas keizinan-Nya.


*Terima Kasih kepada saudara Nimoiz Ty, penulis buku 'menjadi Penulis Jutawan' yang memberikan saya inspirasi untuk menulis sebelum ini. Walaupun saya telah miliki buku ini pada April 2007.Saya tidak jangka selepas 2 tahun.Ia baru direalisasikan.
*Terima kasih Galeri Ilmu Sdn Bhd kerana beri ruang dan peluang untuk saya belajar dan menulis.



Sudah mahir, kenapa perlu belajar lagi?

Posted: Friday, January 1, 2010 by WZWY in Labels:
0


Sabda Rasulullah s.a.w :" Sesungguhnya bagi setiap sesuatu ada kemegahan yang mana manusia berbangga dengannya. Dan yang menjadi kemegahan dan kebanggaan umatku iaitu al-Quran."

Sabda baginda lagi:" Bacalah olehmu akan al-Quran sesungguhnya ia akan datang pada hari kiamat memberi syafaat kepada pembacanya."


Dua petikan hadis Nabi Muhammad s.a.w di atas jelas menunjukkan kepada kita bahawa begitu pentingnya ayat-ayat suci al-Quran kepada kita. Ia bukan hanya dibaca, malah perlu dikaji dan diterokai tafsirannya. Sesungguhnya amat rugi daripada kalangan umat Nabi Muhammad s.a.w yang masih leka dengan keduniaan dan mengabaikan kewujudan al-Quran. Kulit luar masih berkilat dan tersusun indah di rak-rak buku sahaja tanpa disentuh dan dibelek serta dialunkan surah-surah di dalamnya.


Kata seorang sahabat: Berapa ramai umat hari ini membaca al-Quran tetapi mereka sentiasa dilaknati oleh ayat-ayat dibaca tadi. Kenapa?


Ini adalah kerana mereka tidak pernah rasa ingin tingkatkan kemahiran membaca al-Quran sebagaimana mereka mempertingkatkan ilmu keduniaan mereka.


Baca al-Quran tetapi sifat, makhraj dan hukum tajwidnya berterabur. Di mana letaknya tempat keluar sesuatu huruf-huruf hijaiyah itu? Apakah yang dikatakan Hukum Ra? Apakah Hukum Lam Lafaz al-Jalalah? Apakah yang dikatakan Hukum Tashil?


Sungguh malang jika mereka beranggapan, pembelajaran semasa usia muda mereka dahulu dijadikan ukuran bahawa mereka sudah berdabik dada mengatakan mereka sudah mahir al-Quran.


Wallahualam....


*Carilah mana-mana guru untuk bertalaqqi dan musyafahah...pesannya lagi.