IKUT KEMAMPUAN KITA

Posted: Sunday, June 3, 2012 by WZWY in Labels:
0

" Saya juga bukan lulusan agama luar negara. Namun begitu, saya tidak boleh rasa rendah diri. Ilmu bukan diukur dengan sehelai sijil. Paling penting kita terus berusaha menggali ilmu Allah. Wujudkan bidaya ilmu dalam kehidupan seharian. Ia bukan mustahil jika kita sudah bertekad." Luahan ikhlas saya buat teman yang meminta pandangan berkaitan buku-buku yang saya tulis.

"Saya hanya mahu menulis. Saya juga menulis berdasarkan kemampuan dan ilmu saya." Kata-kata ini masih berbekas lagi ketika berbual dengan Tuan Haji Zakaria suatu ketika dulu.

LAKUKAN SESUATU ITU IKUT KEMAMPUAN KITA.

BANGGA DENGAN KEMAMPUAN KITA SENDIRI

Nasihat guru agar melihat orang di bawah kita memberi kesan yang cukup kuat bagi diri saya. Selama ini terasa diri ini serba kekurangan berbanding orang lain. Kita mahu apa yang orang lain ada, namun begitu ia di luar kemampuan saya kerana beberapa kesilapan percaturan sebelum ini dilakukan. Walaupun begitu, ia bukan suatu masalah kerana rezeki Allah itu amatlah luas dan banyak. Kita jemput sahaja ia datang ke arah kita. 

Bagaimana?

Kalau mahukan jalan pintas, saya sarankan saudara membaca buku hasil tulisan rakan penulis saya iaitu MUDAHNYA MENJEMPUT REZEKI, terbitan Galeri Ilmu Sdn. Bhd. Buku ini banyak mengupas soal rezeki yang selama ini kita tidak tahu atau lupakan. Secara umumnya untuk menjemput rezeki Allah ialah menjadi hamba-Nya yang beriman dan bertakwa. Laksanakan segala suruhan-Nya dan jauhi segala larangan-Nya.

Mudahkan?

Pernah tak saudara berfikir, "Gaji dia sama dengan aku, tetapi kenapa aku tidak mampu miliki rumah sepertinya?"

Kalau mahu dihitung setiap rezeki yang diperoleh oleh orang lain akan membuatkan jiwa kita tidak akan pernah tenteram. Percayalah. Usah biarkan jiwa kita dalam situasi sedemikian. Berpalinglah pada ketentuan Allah. Kita hanya perlu bersyukur dengan apa kemampuan kita dan berusaha untuk memenuhi apa yang dicita-citakan. Insya-Allah terlaksana.

Alangkah baik kita menenangkan jiwa kita dengan berfikir, " Alhamdulillah, aku masih mampu beli rumah ini setelah berbual dengan bekas rakan sekelas yang mengadu hanya mampu tinggal di rumah sewa buat masa ini."

Kita buka dan bacalah sirah Nabi Muhammad SAW. Sedikit sebanyak ia akan membuatkan jiwa kita lebih tenang. Kita cuba hayati saat-saat perjuangan Rasulullah SAW yang berdepan dengan seribu satu dugaan. Namun baginda tetap berdiri teguh dan mampu bertahan. 

Kenapa?

Kerana kayakinan baginda terhadap kekuasaan Allah SWT.

Maka kita harus yakin segala apa yang berlaku itu adalah campur tangan Allah SWT. Mohon pada-Nya. Sesungguhnya kemampuan kita adalah terbatas.

Tapi...janganlah terus diam dan berpuas hati dengan apa yang ada. Berusahalah. Tingkatkan kebolehan dan kemampuan diri ke tingkat yang lebih hebat lagi.

Yakinlah.

0 Komentar: