PENGALAMAN BERHARGA

Posted: Friday, June 22, 2012 by WZWY in Labels:
0

"Seronok betul berniaga hujung minggu lepas ketika program TV Al-Hijrah di Masjid Negeri Shah Alam," kata seorang makcik kebetulan gerainya bersebelahan dengan meja jualan saya tempoh hari.

"Kenapa?"

"Tiga hari berniaga bakul-bakul ni, makcik dapat RM5000," beritahu makcik itu dengan penuh semangat di sebelah timbunan baku-bakul anyaman yang cukup menarik.

Saya cuma mampu diam sahaja. Jumlah itu melebihi gaji bulanan saya sebagai seorang guru yang sudah bekerja hampir 17 tahun.

Hebat!

Begitulah hebatnya rezeki seorang peniaga. Boleh memperoleh keuntungan besar dalam jangka masa singkat sahaja. Walaupun begitu, ia bukanlah sentiasa begitu. Sekurang-kurangnya acara besar yang disertai itu dapat menampung pendapatan pada hari lain yang mungkin berkurangan.

Pada 20 Jun yang lalu, saya mencuba sesuatu yang belum pernah dilakukan sebelum ini. Promosi dan jual sendiri buku di khalayak ramai. Kebetulan seorang rakan mempelawa untuk berkongsi meja jualan sempena Ulangtahun ke-6 MPPJ di Stadium Petaling Jaya. Apa yang ada dalam fikiran ialah pengalaman mempromosi dan menjual sendiri buku yang ditulis. Apatah lagi saya masih baru dalam bidang penulisan motovasi dan tarbiah. Ia perlukan kerja keras untuk memperkenalkan buku pertama yang ditulis kepada masyarakat.

Ramai hadir, kurang jualan

Itulah yang diluahkan oleh seorang peniaga baju di sebelah. Memang benar lokasi stadium yang luas membuatkan para pengunjung sukar buat keputusan. Tambahan pula 20 Jun bukanlah hari keraian para penjawat awam atau pun swasta. Poket masing-masing belum tebal lagi.

Itu semua secara teori ilmu perniagaan sahaja. Apa yang lebih utama ialah setiap rezeki itu datangnya daripada Allah. Dia yang tentukan segalanya. Jika kurang sambutan, bersyukurlah dan apatah lagi apabila jualan yang memberangsangkan.

Kata seorang teman, ramai orang berusaha keras mencari rezeki. Namun begitu, ramai yang tidak sedar pintu rezeki itu milik Allah SWT. Oleh sebab itu, ramai yang sanggup mencari pelbagai teknik perniagaan. Kemudian apabila masih belum berjaya, barulah dirujuk kepada ahli agama atau ustaz.

"Bukan mudah untuk berniaga pada situasi sekarang," jelas seorang teman.

Walau apa pun yang ada dalam fikiran kita, harus ingat bahawa kunci rezeki itu ialah BERIMAN dan BERTAKWA  kepada Allah SWT. Apabila kita dekat dengan Allah, maka segala apa yang kita lakukan itu dapat dijayakan dengan penuh yakin dan sabar.

Segala penat lelah terubat apabila melihat keletah anak-anak yang mahu sama-sama membantu mempromosikan buku SUAMI YANG TERUJI. Mereka sanggup menggalas buku dan memperkenalkan buku pada para pengunjung. Alhamdulillah, ada juga yang berminat.

Memang agak penat tetapi puas. Semoga para pembeli buku SUAMI YANG TERUJI dan MUDAHNYA MENJEMPUT REZEKI berpuas hati dan mengambil manfaat di dalam kedua-dua buku tersebut.

Amin.

0 Komentar: