Hebatnya Layanan Rasulullah SAW

Posted: Friday, June 1, 2012 by WZWY in Labels:
0

Sayidatina Aisyah r.a berkata, "Aku pernah tidur bersama Rasulullah SAW di atas satu tikar. Ketika itu aku sedang haid. Apabila darahku menitik di atas tikar itu, Rasulullah SAW mencucinya pada bahagian yang terkena titisan darah dan Rasulullah SAW tidak berpindah ke tempat lain, kemudian Baginda solat di tempat itu pula, lalu Rasulullah SAW berbaring kembali di sisiku. Apabila darahku menitik lagi di atas tikar itu, Rasulullah SAW mencuci pada bahagian yang terkena titisan darah itu sahaja dan tidak berpindah dari tempat itu, kemudian Rasulullah SAW pun solat di atas tikar itu." (Riwayat Ahmad)

Begitu hebat sekali layanan Rasulullah SAW terhadap seorang isteri. Bukan sahaja tidak mengeluh, malah Baginda sendiri meringankan beban isteri dengan mencuci darah yang menitik di atas tikar tempat perbaringan mereka. Kemudian Rasulullah SAW pula tidak berganjak dari tempat itu dan seterusnya mengerjakan ibadah solat di situ juga. Itulah keperibadian mulia seorang utusan Allah SWT. KIta juga beruntung kerana menjadi umat Nabi Muhammad SAW. Baginda SAW merupakan mentor kehidupan kita. Maka selayaknya juga kita mencontohi segala percakapan, pemikiran dan perbuatan yang dilaksanakan oleh Baginda.

DUA PERENGGAN di atas ialah petikan yang saya ambil daripada buku SUAMI YANG TERUJI. Buku ini sudah sebulan beredar di pasaran di seluruh negara. 

Situasi saya sekarang juga menuntut saya memberi layanan terbaik buat isteri yang baru sahaja melahirkan cahayamata kelima kami. Saya bukanlah seorang suami yang hebat, tetapi saya berusaha untuk menjadi suami yang hebat. Saya bukanlah suami yang terbaik, tetapi saya bermujahadah untuk menjadi yang terbaik pada mata seorang isteri. Walaupun ia bukan mudah dan menuntut segala pengorbanan.

Hidup untuk memberi....

Maka saya memberi apa yang terdaya dalam kemampuan saya. Begitu juga tuan-tuan, memberikan segala yang termampu buat sesiapa sahaja di persekitaran kita. Lebih-lebih lagi kepada ahli keluarga kita sendiri.

Saya juga tidak mahu menoleh ke belakang lagi. Segala kekurangan atau kekhilafan terdahulu dijadikan sempadan. Usah biarkan fikiran dan hidup kita terus di selubungi memori silam. Apa yang penting siapa kita pada hari ini.

"Saya bukan seorang yang baik, bagaimana boleh saya nasihatkan orang lain."

Kata-kata itu kita simpan di dalam kocek. Selagi kita terdaya dan mampu lakukan, maka kita bantu sesiapa yang perlukan nasihat atau pandangan. Lama kelamaan kita juga akan 'malu alah' pada diri sendiri. Dan akhirnya kita juga berubah ke arah yang lebih baik.

Semoga bermanafaat.

0 Komentar: