AMANAH ALLAH SWT

Posted: Wednesday, June 6, 2012 by WZWY in Labels:
0


AMANAH ALLAH SWT

Kali ini saya mulakan dengan maksud firman Allah SWT yang ditujukan khas buat ketua keluarga iaitu bapa atau suami :

“Wahai orang-orang yang beriman, peliharalah diri kamu dan keluargamu daripada api neraka, yang bahan-bahan bakarnya ialah manusia dan batu-batu (berhala), neraka itu dijaga dan dikawal oleh malaikat-malaikat yang keras kasar (layanan mereka), mereka tidak menderhaka kepada Allah dalam segala yang diperintahkannya kepada mereka, dan mereka pula tetap melakukannya segala yang diperintahkan.” (Surah al-Tahrim:6)

Ia memang menakutkan dan menggerunkan. Berdasarkan amaran Allah SWT dalam firman-Nya di atas, tanggungjawab dan amanah seorang suami atau bapa cukup besar. Tugas seorang suami atau bapa untuk mendidik dan mengasuh isteri dan anak-anak bukan suatu tugas yang mudah. Jika dilihat dari satu sudut ia nampak sukar lalu timbul pula persoalan, kenapa begitu berat sekali tanggungjawab yang dipikul oleh kaum lelaki? Inilah hakikat sebuah kehidupan sebagai hamba Allah SWT. Masing-masing ada tugasan dan tanggungjawab. Sesungguhnya Allah SWT bukanlah zalim dengan memberatkan hamba-Nya dengan tanggungjawab yang tidak mampu digalas. Ia dalam kemampuan manusia selagi mana mereka meletakkan Allah SWT di aras paling atas untuk dipatuhi dan menjadikan peringatan Rasulullah SAW sebagai panduan hidup.

****

Petikan di atas adalah saya petik daripada buku SUAMI YANG TERUJI. Ia merupakan petikan segmen Muhasabah Diri di dalam bab keenam iaitu Belum Dapat Hidayah. Ia merupakan satu rakaman kisah benar di mana si suami yang sudah melewati usia 40an tetapi masih gagal menjadi hamba Allah SWT yang taat pada perintah dan suruhan-Nya.

Kisah Ayub dan Zulaikha itu wajar dijadikan iktibar walaupun kita hidup dalam kesempitan kewangan, tidak bermakna kita terus melupakan Allah dalam mencari rezeki untuk keluarga. Padahal segala bentuk rezeki di atas muka bumi ini di dalam kekuasaan Allah. Dialah Maha Pemberi rezeki buat semua makhluk di alam ini.

Kelekaan sebahagian manusia mencari rezeki dan mengabaikan perintah Allah menjadikan mereka itu terus hanyut dan tidak menemui kebahagiaan yang hakiki. Walaupun dikatakan kaya raya, tetapi mereka masih merasakan belum puas dan cukup untuk menampung kehidupan mereka.

Kenapa?

Mereka tidak meletakkan Allah itu yang paling utama. Mereka menganggap segala rezeki yang diperoleh itu adalah hasil usaha mereka sendiri semata-mata.

Kisah BELUM DAPAT HIDAYAH ini juga memaparkan bagaimana si anak telah ditampar hingga berdarah kerana si ayah ditegur sebagai ahli neraka kerana tidak menunaikan solat fardu dan menjalani ibadah puasa di bulan Ramadan. Memang perlakuan si anak yang menasihati si ayah itu agak keterlaluan dan menimbulkan kemarahan si ayah. Namun begitu, dari sudut sisi yang lain pula, kenapa si anak sanggup melakukan demikian walaupun dia tahu perbuatan itu akan membuatkan si ayah akan melenting kemarahan.

Kenapa?

Si anak tadi tidak sanggup melihat si ayah terus bergelumang dengan dosa dan sayangkan si ayah agar menuruti segala perintah Allah sebagai mana dia pelajari di sekolah.

Mungkin cara si anak tadi kurang tepat. Kalau diletakkan diri kita sendiri pun, jika anak menegur kita dengan agak keras begitu, ia akan menimbulkan situasi yang kurang selesa. Tambahan pula jika keegoan sebagai ayah itu amat tinggi.

Persoalan pula ialah kenapa harus kita biarkan si anak sanggup menegur kita dengan sedemikian. Siapa yang harus menegur dan siapa harus ditegur? Maka kita muhasabah diri agar setiap amanah Allah SWT itu dapat dijalankan dengan sebaik-baiknya. Insya-Allah!

Jika tidak tahu. Ia bukan satu alasan. Cari dan bongkarlah ilmu Allah itu di dalam kitab atau buku yang banyak dijual di kedai-kedai buku. Kita juga boleh mengikuti pengajian di masjid atau surau. Dan paling mudah kita melayari blog atau laman web berkaitan. Pastikan kita merujuk juga kepada ahli agama sebelum kita berpegang kepada sesuatu hukum yang diambil di alam siber. Bimbang ia terpesong daripada ajaran sebenar.

Wallahualam.

* Peringatan buat diri penulis.

0 Komentar: